14 Disember 2007

Pramoedya dan ceritanya

Oleh Jelir

Lama sebelum saya terjumpa karyanya, nama Pramoedya Ananta Toer (6 Februari 1925 – 30 April 2006) ini sudah saya dengari. Tak ada apa pun petunjuk – kecuali sedikit catatan-catatan penulis tempatan – untuk saya jadikan panduan mencari buku-buku beliau di Malaysia ketika itu; cukup sukar bagi yang mencari bersendirian. Ketika itu juga, disebarang kesempatan yang ada, pasti saya akan menyelongkar rak-rak buku di mana-mana kedai untuk mencari hasil kerja Pram.

Kini, saya telah sempat membaca beberapa karya beliau – Cerita Dari Blora adalah buku pertamanya yang saya baca dan masih mencari lagi Keluarga Gerilya – ternyata pengalaman peribadi sosok Pram ini begitu berharga sehingga mampu menjadikan karya novelnya begitu besar.

Pram akan membawa saya ke satu alam lain – Indonesia dulu barangkali – dan membuatkan saya merasa sendiri segala pergolakkan jiwanya. Perih sakit, hiba, hilai tawa dan sebagainya, ia begitu akrab terasa ketika membaca novel-novel dan catatan beliau.

Ada seperkara yang saya baru tahu; bahwa karya-karya besar Pram yang ada, semuanya ditulis pada era di mana hidupnya sering keluar masuk penjara dan sebelumnya.

Sekadar makluman, Pram ditahan dibelakang tirai gerigi besi selama 18 tahun ketika hayatnya. Tiga tahun di bawah kuasa kolonial, satu tahun ketika pemerintahan Orde Lama Sukarno dan 14 tahun lagi ketika pemerintahan Orde Baru Suharto.

Menurut Max Lane, seorang Australia yang juga penterjemah karya Pram selama 36 tahun ketika berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini, Pram lewat dibebaskan dari penjara kali terakhir pada 1979 – sehinggalah beliau meninggal pada 2006 – baki hidup yang 27 tahun itu langsung tidak dicatatkan untuk menghasilkan karya yang menandingi kesungguhan dan kepayahan beliau ketika era sebelumnya.

Sentuh Max lagi, barangkali Pram berasa terlalu janggal dan kaget dengan situasi Indonesia yang lahir setelah dia bebas – mungkin tidak seperti Indonesia yang sering tergambar oleh Pram suatu masa dulu. Walaupun ada karyanya yang diterbitkan dalam tempoh Pram bebas dan sebelum meninggal itu, saya kira novel-novel itu juga adalah rakaman kisah peribadi ketika zaman-zaman sebelumnya juga.

Satu lagi perkara yang menarik yang dijelaskan oleh Max, Pram tidak pernah mengakui yang dia adalah pendukung idea-idea dan mengasihani perjuangan komunis – atas sebab ini jugalah dijadikan alasan oleh pemerintah untuk menghumbannya ke penjara – tetapi jelas Max dan diakui Pram sendiri, dia adalah seorang nasionalis kiri.

Karya Pram boleh menghambat pembaca walau dari corong waktu yang lain adalah disebabkan satu hal; Pram sendiri melalui apa saja yang tergambar di dalam karyanya – terhimpit, diseksa hingga pekak ketika dalam tahanan dan sebagainya.

Pram dalam maksud saya adalah satu entiti – atau kandungan masyarakatnya - yang real. Tidak berpura-pura menulis kembali semangat pengalaman yang pernah dilaluinya sendiri. Tidak hairan, walaupun banyak karyanya diharamkan – dulu hingga sekarang – namun ia masih berlegar juga dikalangan orang biasa, termasuk ada juga yang terlepas dan dijual ke Malaysia secara sembunyi-sembunyi oleh penerbit dari tanah seberang itu.

Selepas Pram melalui semuanya, kini ada baik juga kita mula merenung kembali segala kebiadapan dan keangkuhan bangsa manapun yang kerap dijadikan watak di dalam novelnya – baik bangsa penjajah mahupun bangsanya sendiri.

Pramoedya Ananta Toer karyanya mengasyikkan, menelanjangkan segala sisi kejengkelan yang semakin bernanah dalam tradisi perkembangan Indonesia. Kita, di satu sudut yang lain, mampu juga untuk mendampingi Pram dan memahami keresahan beliau selama hayatnya dan lantas merefleksi wajah bangsa kita hari ini.

Kenyataan Akhbar Anwar Ibrahim mendedahkan klip penuh video Lingam

kenyataan14 Disember 2007

ANWAR IBRAHIM MENDEDAHKAN KLIP PENUH VIDEO LINGAM BERIKUTAN PENUBUHAN SURUHANJAYA DIRAJA

Setelah saya mendedahkan klip video Lingam kepada orang ramai kira-kira tiga bulan yang lalu, kerajaan kini telah mengumumkan keanggotaan dan terma rujukan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat rasuah kehakiman.

Pada mulanya, kerajaan tidak mengendahkan isu ini tetapi kemudiannya hanya bersetuju membentuk panel tanpa bidang kuasa jelas. Justeru itu, keputusan menubuhkan Suruhanjaya Di-Raja kami anggap sebagai langkah positif untuk mengembalikan integriti kehakiman Negara. Kami mengucapkan tahniah kepada ribuan rakyat Malaysia yang telah menuntut reformasi kehakiman.

Malangnya, terma rujukan Suruhanjaya DiRaja ini tidak memenuhi bidangkuasa yang sewajarnya untuk memulakan siasatan menyeluruh terhadap krisis yang dihadapi institusi kehakiman, sebagaimana yang dituntut Majlis Peguam, badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain pertubuhan masyarakat. Kewujudan video ini merupakan bukti bahawa krisis ini cukup mendalam dan telah melibatkan peringkat tertinggi institusi kehakiman. Kami kesal bahawa Suruhanjaya ini tidak diberikan bidangkuasa yang secukupnya untuk menyelesaikan masalah yang telah ditimbulkan oleh video ini.

Penglibatan Tan Sri Haidar dan Tan Sri Steve Shim sebagai pesuruhjaya juga menimbulkan beberapa persoalan. Suruhanjaya DiRaja telah dipertanggungjawabkan untuk menyiasat semua perkara berkaitan dengan nama-nama yang disebut di dalam video ini, termasuk saya, yang dirujuk sebagai "Kes Anwar" di dalam video tersebut. Walaubagaimanapun, saya perlu menarik perhatian disini bahawa Tan Sri Haidar dan Tan Sri Steve Shim adalah antara hakim yang mendengar kes saya di Mahkamah Persekutuan. Di dalam perkara ini, kami berharap mereka bertindak waras bagi mengenepikan sebarang tanggapan negatif yang mungkin bersangkit di dalam penyiasatan Suruhanjaya DiRaja.

Namun demikian, kami masih komited untuk memberikan kerjasama penuh dengan Suruhanjaya DiRaja dengan harapan bahawa anggotanya mempunyai keberanian melaksanakan amanah mereka dengan jujur dan ikhlas. Rasuah, muslihat perlantikan hakim dan ketidakadilan yang dilaksanakan di dalam penghakiman adalah masalah serius yang perlu ditangani.

Untuk memenuhi janji saya sebelum ini, saya dengan ini memberikan klip penuh video tersebut selama 14 minit dan akan memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya DiRaja. Video tersebut boleh ditonton di:

http://anwaribrahimblog.com/
http://keadilanrakyat.org/
http://www.suarakeadilan.com/

ANWAR IBRAHIM

12 Disember 2007

Kenyataan Bersama Meminta Temujanji Segera dengan Perdana Menteri

kenyataan12 Disember 2007

Kami amat prihatin dengan krisis-krisis terbaru yang membelenggu negara kita.

Kami memandang serius ketegangan kaum dan agama yang melanda masyarakat kita. Komitmen utama kami ialah perpaduan nasional, muafakat masyarkat majmuk dan juga keselamatan dan kebajikan semua rakyat Malaysia. Kami percaya satu-satunya cara memelihara nilai-nilai tersebut ialah untuk menolak pendekatan yang memecahbelahkan masyarakat dan memelihara jaminan Perlembagaan. Justeru kami sekali lagi ingin mengulangi komitmen kami untuk mengambil pendekatan yang benar-benar bersatu dan pelbagai kaum dan agama di dalam perjuangan kami memperjuangkan keadilan untuk semua.

Kami juga kesal dengan tindakan kasar pihak berkuasa di dalam siri penahanan yang berlangsung pada 9 hingga 11 Disember. Penangkapan pimpinan badan bukan kerajaan dan parti-parti politik merupakan satu pelanggaran jelas hak asasi manusia yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Peristiwa tangkapan dan tekanan ini jelas bertentangan dengan jaminan kerajaan bahawa Malaysia merupakan sebuah demokrasi
yang kukuh, dan akan mencemar nama negara di mata dunia.

Kami juga terus komited di dalam memperjuangkan agenda pilihan raya yang bebas dan adil di samping reformasi Pilihan Raya yang benar-benar bermakna. Pemindaan Perlembagaan yang membenarkan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya untuk terus berkhidmat setahun lagi ialah petanda jelas bahawa kerajaan benar-benar ingin meneruskan sistem pilihan raya yang penuh dengan kelemahan dan penipuan. Sekali lagi kami mendesak kerajaan untuk memberi akses yang saksama terhadap media untuk semua parti politik dan menerima bukti-bukti yang kami kumpul secara serius untuk membanteras penyelewangan pilihan raya yang menular selama ini.

Jika tiada langkah yang segera diambil untuk menyelesaikan masalah-masalah ini, kita tidak akan memperoleh keadilan, keamanan dan kebebasan. Justeru, kami bersedia untuk membawanya ke peringkat kerajaan yang paling tinggi memandangkan adalah penting masalah-masalah ini dapat diselesaikan segera.

Dengan itu, kami ingin mendapatkan temujanji segera dengan Perdana Menteri untuk membincangkan masalah-masalah negara yang mustahak ini dan mendesak beliau berpegang pada janjinya untuk mendengar masalah semua rakyat Malaysia. Di dalam pertemuan ini kami berhasrat meneruskan agenda perpaduan dan muafakat nasional di kalangan semua
rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama dan meneruskan gesaan kami untuk pilihan raya yang bersih dan adil, di samping berusaha menyelesaikan masalah negara yang kita hadapi.

Endorcees for Solidarity Press Conference 12-12-2007
(In Alphabetical Order)

Political Parties:
1 Democratic Action Party (DAP)
2 Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
3 Parti Keadilan Rakyat (KeADILan)
4 Parti Sosialis Malaysia (PSM)

NGOs :

1 Center for Indepence Journalism (CIJ)
2 Centre for Policy Initiatives
3 Citizen Think Tank
4 Civil Rights Committee, KLSCAH
5 Concern Citizen Group
6 Gabungan Mansuhkan ISA (GMI)
7 Group of Concerned Citizens
8 Jemaah Islah Malaysia (JIM)
9 Komas
10 Labour Resource Centre (LRC)
11 MADPET
12 National Alliance of Bloggers (All-Blogs)
13 National Human Rights Society (HAKAM)
14 National Youth and Student Democratic Movement (DEMA)
15 Police Watch and Human Rights Committee
16 REFSA
17 Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
18 Writers Alliance for Media Independence
19 Youth For Change (Y4C)

Kenyataan DSAI berhubung senarai disyaki oleh pihak Imigresen

kenyataan11 Disember 2007

Sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi tadi saya telah ditahan oleh Pegawai Imigresen yang memaklumkan bahawa nama saya telah timbul dalam "senarai yang disyaki". Tiada penjelasan tambahan yang diberikan. Setelah itu paspot saya telah dikembalikan dan saya meninggalkan lapangan terbang.

Dengan menggunakan alasan keselamatan awam, dalam tiga hari kebelakangan ini pihak berkuasa telah meningkatkan tekanan terhadap rakyat Malaysia dan menahan pimpinan pembangkang serta badan bukan kerajaan.

Tindakan melampau ini petanda jelas kepimpinan Perdana Menteri Abdullah Badawi sampai ke penghunjungnya.

Di Malaysia, rasuah terus menular di kalangan pemimpin UMNO dan BN. Keyakinan orang ramai terhadap sistem kehakiman telah punah. Jenayah telah meningkat. Ekonomi semakin lesu dan media perdana kawalan UMNO-BN masih dikuasai kerajaan.

Rakyat Malaysia telah turun ke jalan untuk turut serta dalm perhimpunan aman untuk mendesak perubahan sistem pilihanraya. Dalam insiden terbaru, pejuang hak asasi telah ditangkap kerana ingin membiarkan kain rentang Hak Asasi Manusia terus berkibar di Dataran Merdeka. Kerajaan telah bertindak balas dengan menggunakan ancaman ISA untuk menakut-nakutkan pimpinan masyarakat.

ANWAR IBRAHIM

05 Disember 2007

Lawan BN dengan Hartal

Kejadian perobohan kuil, masjid, surau, rumah setinggan semakin rancak dilakukan oleh pihak BERKUASA kebelakangan ini. Semakin banyak juga tulisan-tulisan beremosi di Internet yang menggambarkan kemarahan rakyat.

Saya sangat sedih dan marah dengan tindakan kerajaan di bawah Barisan Nasional yang terus mendikriminasi rakyat negara ini.

Dalam banyak kejadian dan tindakan zalim ini, pemerintah sebenarnya hanya mahu memenuhi kehendak pihak pemilik modal (contoh: syarikat pemaju tanah) dan melupakan kesusahan/tuntutan rakyat, seperti yang berlaku di Kampung Rimba Jaya dan Kampung Berembang.

Harap-harap dengan terus bersikap zalim, rakyat akan bersatu dan bertindak terhadap Barisan Nasional dengan melawan balik kekejaman mereka itu. Tetapi, melawan balik tidak bermakna kita mesti merobohkan masjid-masjid (buat mereka yang marah akibat rumah ibadat mereka dirobohkan pegawai majlis perbandaran, kebetulan beragama Islam). Kita tidak akan menang melawan kezaliman BN ini dengan tindakan balas dendam yang penuh emosi.

Saya fikir, kesusahan yang kita alami sekarang ini bukanlah pertentangan antara agama Islam lawan Hindu. Keperitan ini juga tidak ada kaitan dengan sengketa antara kaum India, Melayu, Cina, Iban, Kadazan, Jakun dan lain-lain. Musuh orang Melayu bukan orang India atau Cina. Musuh rakyat bukan agama Islam atau Kristian.

Musuh sebenar rakyat Malaysia adalah kenaikan harga minyak, kenaikan kadar bayaran tol, penyelewengan, rasuah, pembohongan media dan sebagainya. Gejala-gejala jahat inilah yang telah menyebabkan kita semua terpaksa hidup dalam kesusahan yang perit.

Semua kesusahan dan keperitan hidup ini adalah akibat kejahatan pemimpin negara yang datang dari Barisan Nasional. Mereka sangat pentingkan kekayaan dan kuasa kerana itulah mereka seringkali memihak kepada kepentingan para pemodal (termasuk, syarikat pemaju tanah) dan tidak mahu memperdulikan tuntutan rakyat.

Jadi, kita hendaklah bersatu untuk melawan dan kalahkan musuh sebenar, iaitu Barisan Nasional. selagi BN berkuasa, kita akan terus susah kerana mereka ini semua tamak kuasa dan duit.

Mahu lawan BN ini tidak semestinya dengan cara tidak mengundi calon mereka semasa pilihanraya sahaja. Undi pembangkang? BERSIH telah menyatakan bahawa pilihanraya di Malaysia tidak adil. Memang benar. Jadi, pilihanraya mungkin tidak akan memberi harapan besar kepada kita yang mahu memberi pengajaran buat BN. Selagi sistem pilihanraya tidak mengalami proses reformasi.

Lagipun, sudah tentu BN akan tahu lebih awal apabila mereka dapat dikalahkan melalui proses pilihanraya, sudah pasti awal-awal lagi pilihanraya akan mereka haramkan.

Jadi, kita mesti guna cara lain untuk kalahkan BN. Bagaimana?

Boikot pilihanraya? Ya, boikot pilihanraya adalah satu kaedah berkesan dan ditakuti oleh pemerintah. Dengan syarat, majoriti rakyat (mungkin, 50%) berdegil tidak mahu turun mengundi dan hanya calon dari BN yang masuk bertanding. BN akan menang 100%, tapi tanpa legitimasi dan kemenangan itu dapat dianggap sebagai tidak bermoral.

Ada satu cara lagi. Dalam sejarah negara kita, kaedah dan strategik politik ini pernah digunakan oleh rakyat negara ini ketika menentang British pada tahun 1940-an dahulu. Mereka melawan dengan melancarkan 'Hartal'.

Hartal adalah tindakan mogok sebagai menghindari tindakan kekerasan atau keganasan (Non-Violence-Resistence). Pada 20 Oktober 1947, Hartal telah berjaya dilakukan di seluruh Malaya. Dilaporkan bahawa British telah mengalami kerugian berpuluh ribu dollar akibat Hartal itu. Hartal adalah punca sebenar British mahu beri kemerdekaan kepada Malaya.

Sebanarnya, Hartal yang bermakna mogok juga adalah senjata utama perlawanan rakyat India yang diketuai Mahatma Ghandi ketika melawan British di India dahulu.

Mari kita cari "ada apa dengan Hartal".