01 Disember 2008

Belasungkawa: Syed Alwi ditemui mati, ada kesan calar

Oleh MStar

SUNGAI BULOH: Tokoh Seniman Negara, Datuk Syed Alwi Syed Hassan ditemui mati di kediamannya di Kampung Sungai Serai, Kuang, Rawang dekat sini, kira-kira pukul 8.30 malam tadi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Selangor, SAC II Hasnan Hassan berkata, mayat mangsa yang berusia 78 tahun itu dijumpai di bahagian dapur rumah banglo berkenaan oleh anaknya, Norsham, 27, yang baru pulang ke rumah.

"Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih kurang 48 jam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Hasnan berkata, siasatan awal mendapati ada kesan calar dan lebam di badan mangsa, yang tinggal seorang diri sejak Jumaat.

Katanya tiada kesan pecah masuk di banglo milik Allahyarham tetapi terdapat sebuah meja yang terbalik dengan banyak ubatubatan di sekitarnya.

Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dalam satu kejadian samun selain kemungkinan beliau jatuh lalu meninggal dunia.

"Perlakuan jenayah (dalam kes ini) akan disiasat," katanya.

Mayat Syed Alwi dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Syed Alwi, anak kelahiran Taiping, Perak mendapat pendidikan asas di Sekolah Melayu Pondok Tanjung dan Sekolah Taiping.

Beliau melanjutkan pelajaran ke University of Minnessota, Amerika Syarikat dalam bidang teater dan kewartawanan serta merupakan anak Melayu pertama yang melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang berkenaan.

Syed Alwi pernah menerima Hadiah Pelajaran Tabung John D. Rockefeller III untuk mengkaji perkembangan teater dan filem semasa di Amerika antara April dan Jun 1980.

Beliau adalah antara penggiat teater yang melalui dua zaman iaitu zaman penjajahan serta zaman kemerdekaan dan banyak menghasilkan karya yang mantap dan mempunyai impak khususnya dalam memperkatakan isuisu berhubung bangsa Melayu.

Syed Alwi dianggap sebagai tokoh terkemuka yang mengangkat martabat teater tanah air daripada corak purbawara dan bangsawan kepada corak yang lebih bersifat kontemporari.

Antara karyanya yang memenangi pelbagai hadiah ialah drama Alang Retak Seribu (1973), Tok Perak (1974) serta dua drama berbahasa Inggeris "I Remember The Rest House" (1992) dan "Member of The Club" (1994).

Syed Alwi adalah pengasas Kumpulan Teater Seni Malaya (Malayan Art Theater Group) pada tahun 1951, yang kemudian bertukar menjadi Malaysian Art Theater Group.

Beliau pernah mengarah dan berlakon dalam beberapa pementasan teater terkenal antaranya Midsummer Nights (Starveling), Androcles and the Lion (Slave) dan Henry V (Duke of Bedford) sehingga 1953.

Syed Alwi pernah bertugas dengan RTM, TV3 dan NTV7 sebagai pengurus, penerbit, pelakon, penulis dan pengarah selain pernah bertugas dengan Filem Negara, Panggung Negara, Akademi Seni Kebangsaan, Universiti Malaya dan Pejabat Penerangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Seni Negara pada 19 September 2002, iaitu satu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni negara. BERNAMA

Tiada ulasan: