Memaparkan catatan dengan label bersih. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bersih. Papar semua catatan

29 Mac 2008

CEO pilihan Selangor sebagai pengurus

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

beritaPERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) melakukan satu anjakan baru dalam pengurusan bola sepak tempatan apabila bakal menjadi sebuah organisasi yang bercirikan korporat serta profesional.

Presiden FAS yang baru, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya kini sedang mencari individu yang bertanggungjawab sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi menguruskan bola sepak di Selangor.

"Memandangkan kita kini dalam era ketelusan, kita akan iklankan jawatan kosong CEO ini. Kita akan lihat respon yang diberi daripada mereka yang berminat nanti.

"CEO itu nanti akan bertanggungjawab sebagai pengurus dalam pengendalian bola sepak di negeri Selangor ini. Sekarang bukan masanya lagi untuk kita terus menguruskan organisasi ini secara sukarela," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada majlis minum pagi bersama pegawai FAS serta pemain Selangor yang terdiri daripada skuad Liga Super, skuad Piala Presiden dan skuad Piala Belia di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam semalam.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail selaku penaja utama FAS menerusi anak syarikatnya, Bekalan Air Selangor (Syabas) serta beberapa pegawai tertinggi FAS antaranya timbalan presiden, Datuk Mokhtar Ahmad, naib presiden, Datuk Emran Kadir serta setiausaha agung, Hamidin Mohd. Amin.

Jelas Abdul Khalid, beliau mahu mengubah FAS menjadi sebuah unit korporat yang bakal memainkan peranan utamanya dalam menentukan pembangunan dan masa depan bola sepak negeri Selangor.

"Kita mahu buat satu organisasi yang dapat membawa punca kewangan buat FAS. Jadi, saya mahu perubahan minda ke arah bola sepak Selangor yang profesional," ujarnya.

Ditanya adakah FAS akan memberikan tiket percuma seperti dilakukan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) baru-baru ini, Abdul Khalid menegaskan, pihaknya tidak bercadang memberi tiket percuma seperti itu.

"Beri tiket percuma tidak akan menaikkan minat seseorang penyokong itu. Kalau kita terus menang, main dengan bagus, itu sudah cukup untuk menarik minat mereka walaupun kena bayar tiket.

"Kita mahu jadikan bola sepak sebagai perniagaan. Jika berjaya tarik lebih ramai peminat selepas ini, saya nak jadikan peminat setia Selangor juga sebagai pemilik saham dalam organisasi bola sepak kita," katanya.

Dalam majlis semalam juga, Abdul Khalid menerima dua helai jersi Selangor daripada ketua jurulatih, Dollah Salleh dan ketua pasukan, Shukor Adan serta cek penajaan daripada Rozali yang mewakili Syabas.

Syabas mula menjadi penaja utama FAS sejak musim lalu dan ia diteruskan lagi bagi musim ini dengan nilai tajaan sebanyak RM5 juta setahun.

"Jumlah RM5 juta sebenarnya tidak cukup untuk menguruskan sebuah pasukan menjadi yang terbaik. Kalau boleh, saya akan cuba dapatkan lebih banyak lagi tajaan untuk FAS selepas ini," jelas Abdul Khalid.

30 November 2007

KL akan saksikan lagi perhimpunan aman bulan depan

berita Dua perhimpunan rakyat telah diadakan bulan ini dan tiga lagi perhimpunan dijangka diadakan di Lembah Klang bulan depan.

Tiga perhimpunan yang dirancang itu akan diadakan walaupun kerajaan telah memberi amaran keras termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang menyertainya.

Pada 9 Disember ini, Majlis Peguam akan mengadakan perarakan tahunan Hari Hak Asasi Manusia dan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) telah menyatakan hasratnya untuk turut sama.

Dua hari kemudiannya, Bersih akan mengadakan demonstrasi di luar Bangunan Parlimen untuk membantah rancangan pindaan perlembagaan yang akan menaikkan had umur anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Perhimpunan ketiga akan dianjurkan oleh parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantah kenaikan kadar tol lebuhraya di beberapa negeri mulai 1 Januari depan.

Rancangan perhimpunan anti-tol itu belum diumumkan secara rasmi dan tarikhnya juga belum dimuktamadkan.

Pakaian kuning

Pada 10 November lalu, kira-kira 40,000 menghadiri perhimpunan anjuran Bersih di luar Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong menuntut supaya diadakan pilihanraya yang bersih dan adil.

Dan pada 25 November lalu, kira-kira 30,000 orang, sebahagian besarnya kaum India, menyertai perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) di ibunegara, untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British.

Sementara itu, wakil Bersih Faisal Mustaffa (kiri) memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa anggota gabungan tersebut akan berpakaian berwarna kuning semasa berarak bersama para peguam dari Majlis Peguam.

Mereka merancang berarak dari Sogo hingga ke Pasar Seni di mana beberapa aktiviti akan diadakan untuk menyedarkan masyarakat mengenai hak asasi manusia.

Majlis Peguam pula dijangka membuat pengumuman mengenai perarakan tersebut pada 1 Disember ini.

Pindaan perlembagaan

Perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen akan diadakan pada 11 Disember depan, iaitu pada hari Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua.

Seorang lagi wakil Bersih, Tian Chua, berkata gabungan itu percaya kerajaan mahu mempercepatkan pindaan tersebut bagi membolehkan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman terus memegang jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Abdul Rashid mencapai usia 66 tahun pada 31 Disember depan. Pindaan tersebut akan memboleh Abdul Rashid berkhidmat setahun lagi. Beliau memegang jawatan tersebut sejak tahun 2000.

"Jika tidak, untuk perkhidmatan Abdul Rashid setahun lagi, perdana menteri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Kita rasa kerajaan bimbang Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankannya," kata Tian Chua, sambil menambah Bersih menganggap perkhidmatan Abdul Rashid akan disambung untuk menjadi "alat" kepada kerajaan.

"Mengapa pinda Perlembagaan Persekutuan untuk menyelamatkan seorang kakitangan awam?" soalnya. - malaysiakini