Memaparkan catatan dengan label khas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label khas. Papar semua catatan

13 Jun 2008

Petisyen

Salam sejahtera!

khasSahabat anda, matkeri[AT]gmail[DOT]com ingin mengajak anda untuk bersama 1 juta rakyat Malaysia menyokong Gerakan Rakyat Anti Manipulasi Minyak (GERAMM) dalam mendesak kerajaan Barisan Nasional menurunkan semula harga minyak ke kadar yang boleh diterima akal.

Ayuh turut serta dengan menandatangani "Online Petition" di http://www.petitiononline.com/geramm/petition.html atau lawati http://www.geramm.org untuk maklumat lanjut!

GERAMM di sertai oleh gerakan anak muda di antara lainnya ialah Anwar Ibrahim Club (AIC), Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Dewan Pemuda PAS Pusat, Pemuda Sosialis DAP, Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), dan IKRAR.

Dari,
Sekretariat
GERAMM - Sejuta Rakyat Malaysia

22 April 2008

Bagaimana Umno membodohkan kita? [1/3]

Fathi Aris Omar

Hishamuddin Rais membuat kesimpulan menarik, walau masih permukaan dan awal, “jenayah Umno yang paling utama adalah memperbodohkan masyarakat Melayu. Rasuah saya rasa [jenayah] biasa.”

“Tapi, memperbodohkan orang Melayu itulah jenayah yang lebih besar,” kata Isham, namanya di kalangan teman-teman, tidak lama selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Hujah ini mengingatkan saya perbualan agak panjang dengan seorang sarjana dari sebuah universiti tempatan dan teman-teman penulis beberapa bulan sebelum Isham dibebaskan – berkenaan hal yang sama. Saya menekankan persoalan ini harus diteliti dengan lebih halus dan dikaji.

Saya kira ramai orang boleh bersetuju tentang gejala ini (walau tidak pasti sama ada orang ramai bersetuju bahawa ia lebih serius daripada rasuah seperti ditanggap Isham). Secara popular, pembodohan digambarkan dengan ungkapan “insulting our intelligence” (menghina kecerdikan kita) apabila merujuk kenyataan pemimpin politik atau laporan akhbar negara ini.

Kenyataan atau laporan itu mengandaikan orang ramai tidak menghalusi kesahan atau kebenaran ideanya. Ia dikeluarkan tanpa rasa malu; lagi pun rasa malu seumpama itu sudah tidak bernilai apa-apa dalam budaya politik kita. Oleh itu, dengan sewenang-wenangnya, ia disampaikan sama ada dalam bentuk mempertahankan sesuatu tindakan politik, menolak sesuatu hujah atau memberi ulasan tentang sesuatu isu.

‘Memperbodoh-bodohkan’ orang ramai topiknya luas dan boleh dilihat dari pelbagai penjuru. Misalnya, asal-usul pembodohan, teknik-teknik atau keadaan-keadaan proses ini terbentuk, dan juga reaksi orang ramai.

Tetapi saya ingin menarik kepada satu persoalan yang paling asasi: hubungan antara ‘kemahuan berfikir’ dengan pembodohan. Bagi saya, pembodohan membentuk budaya bersama atau sejenis social conditioning; yakni, rasa tidak perlu berhujah, berbeza pandangan, mempertikaikan sesuatu maklumat yang disogokkan atau mencabar kelaziman serta ‘tradisi’.

Ia mematikan keghairahan berfikir, serta menumpulkan minda, mula-mula secara kolektif, kemudian secara peribadi. Mula-mula di kalangan pengikut kelompok n, kemudian kepada penentangnya dan akhir sekali di kalangan pengikut penentang itu sendiri. Pembangkang kemudiannya mewarisi pembodohan yang tidak disukai itu.

Semangat berfikir kritis hanya ditujukan kepada kerajaan dan masyarakat (mereka ini semuanya salah); penyokong pembangkang tidak berfikir tentang parti atau pemimpinnya sendiri (konon semuanya betul), sama seperti teman-teman Isham – mungkin – tidak boleh mengeluarkan idea yang lebih baik daripadanya.

Aktivis dan pemimpin pembangkang juga gagal melihat serta membedah sesuatu yang lebih abstrak daripada tindakan politik, kenyataan pemimpin kerajaan atau perundangan. Soal nilai, budaya atau ‘ikatan seni’ yang mengawal minda, gelagat, minat atau naluri bangsa ini gagal dibedah siasat.

Jika ada, itu semua teori yang dilontar semula daripada buku-buku; bukan kefahaman mereka yang asli tentang negara ini. Saya tidak fikir mereka faham dan saya tidak nampak mereka sedar bahawa inilah kelemahan asasi mereka dalam perlawanan dengan Barisan Nasional dan institusi-institusinya. Bagi saya, ini semua akibat-akibat nyata ketumpulan minda.

Malah, ada di kalangan mereka bersikap anti-ilmu; tidak tahu meletakkan hubungan antara ‘teori’, ‘kritik’, ‘konsep’, ‘kajian’, ‘idea’, ‘falsafah’ atau kegiatan ‘intelektual’ dengan gerak kerja perjuangan.

Sering kita dengar, dengan nada jengkel atau sinis, “awak kritik saja, memang mudah”, “kita tidak perlu intelektual yang pandai berteori” atau “teori banyak-banyak pun tidak guna, yang penting pelaksanaan”. Sedarkah mereka nada seumpama ini lahir akibat pembodohan?

Proses keseluruhan pembodohan melalui pendidikan, undang-undang keras (yang menyekat debat awam) dan juga laporan media, akhirnya menimbulkan gejala paling berbahaya – merebaknya gejala ketiadaan atau kelemahan minat untuk berfikir.

Maksudnya, berfikir di luar batasan persoalan diri, berfikir soal-soal yang lebih abstrak dan menyentuh ruang lingkup bermasyarakat atau isu-isu kenegaraan. Mahu atau tidak, semua orang berfikir – fakta ini pasti – khasnya untuk mengatasi persoalan peribadi, seperti kelaparan atau kekasih merajuk.

Kerancakan debat awam – dianggap unsur penting penyertaan dalam proses demokrasi – tidak akan mungkin tanpa keinginan untuk berbeza pandangan dan kebebasan berfikir individu. Tetapi kebebasan berfikir itu sendiri hanyalah sejenis proses lewat (kalau bukan akhir) daripada: (a) keyakinan berfikir, khususnya secara awam dan sebelum itu, (b) kemahuan berfikir, secara senyap-senyap dan bersendirian sifatnya.

Di Eropah abad ke-18, ketika asas-asas sains moden mula berkembang, sains masih dianggap sebahagian cabang falsafah tabii, rasa ingin tahu (curiosity) jadi bahan ketawa. Mereka yang suka menyelidik alam semula jadi – bagi melayan rasa ingin tahu (asas utama penerokaan sains dan pemikiran) – dianggap kegiatan orang malas dan tidak berakal!

Bersambung…

Nota Editor: Klip yang ini mengingatkan saya pada tulisan Fathi Aris Omar ini. Sebuah tulisan yang pada mulanya ditulis untuk ummahonline.com kini disiarkan kembali oleh RK untuk tatapan pembaca. Tulisan ini akan didatangkan dengan trilogy, tiga siri.

05 Disember 2007

Lawan BN dengan Hartal

Kejadian perobohan kuil, masjid, surau, rumah setinggan semakin rancak dilakukan oleh pihak BERKUASA kebelakangan ini. Semakin banyak juga tulisan-tulisan beremosi di Internet yang menggambarkan kemarahan rakyat.

Saya sangat sedih dan marah dengan tindakan kerajaan di bawah Barisan Nasional yang terus mendikriminasi rakyat negara ini.

Dalam banyak kejadian dan tindakan zalim ini, pemerintah sebenarnya hanya mahu memenuhi kehendak pihak pemilik modal (contoh: syarikat pemaju tanah) dan melupakan kesusahan/tuntutan rakyat, seperti yang berlaku di Kampung Rimba Jaya dan Kampung Berembang.

Harap-harap dengan terus bersikap zalim, rakyat akan bersatu dan bertindak terhadap Barisan Nasional dengan melawan balik kekejaman mereka itu. Tetapi, melawan balik tidak bermakna kita mesti merobohkan masjid-masjid (buat mereka yang marah akibat rumah ibadat mereka dirobohkan pegawai majlis perbandaran, kebetulan beragama Islam). Kita tidak akan menang melawan kezaliman BN ini dengan tindakan balas dendam yang penuh emosi.

Saya fikir, kesusahan yang kita alami sekarang ini bukanlah pertentangan antara agama Islam lawan Hindu. Keperitan ini juga tidak ada kaitan dengan sengketa antara kaum India, Melayu, Cina, Iban, Kadazan, Jakun dan lain-lain. Musuh orang Melayu bukan orang India atau Cina. Musuh rakyat bukan agama Islam atau Kristian.

Musuh sebenar rakyat Malaysia adalah kenaikan harga minyak, kenaikan kadar bayaran tol, penyelewengan, rasuah, pembohongan media dan sebagainya. Gejala-gejala jahat inilah yang telah menyebabkan kita semua terpaksa hidup dalam kesusahan yang perit.

Semua kesusahan dan keperitan hidup ini adalah akibat kejahatan pemimpin negara yang datang dari Barisan Nasional. Mereka sangat pentingkan kekayaan dan kuasa kerana itulah mereka seringkali memihak kepada kepentingan para pemodal (termasuk, syarikat pemaju tanah) dan tidak mahu memperdulikan tuntutan rakyat.

Jadi, kita hendaklah bersatu untuk melawan dan kalahkan musuh sebenar, iaitu Barisan Nasional. selagi BN berkuasa, kita akan terus susah kerana mereka ini semua tamak kuasa dan duit.

Mahu lawan BN ini tidak semestinya dengan cara tidak mengundi calon mereka semasa pilihanraya sahaja. Undi pembangkang? BERSIH telah menyatakan bahawa pilihanraya di Malaysia tidak adil. Memang benar. Jadi, pilihanraya mungkin tidak akan memberi harapan besar kepada kita yang mahu memberi pengajaran buat BN. Selagi sistem pilihanraya tidak mengalami proses reformasi.

Lagipun, sudah tentu BN akan tahu lebih awal apabila mereka dapat dikalahkan melalui proses pilihanraya, sudah pasti awal-awal lagi pilihanraya akan mereka haramkan.

Jadi, kita mesti guna cara lain untuk kalahkan BN. Bagaimana?

Boikot pilihanraya? Ya, boikot pilihanraya adalah satu kaedah berkesan dan ditakuti oleh pemerintah. Dengan syarat, majoriti rakyat (mungkin, 50%) berdegil tidak mahu turun mengundi dan hanya calon dari BN yang masuk bertanding. BN akan menang 100%, tapi tanpa legitimasi dan kemenangan itu dapat dianggap sebagai tidak bermoral.

Ada satu cara lagi. Dalam sejarah negara kita, kaedah dan strategik politik ini pernah digunakan oleh rakyat negara ini ketika menentang British pada tahun 1940-an dahulu. Mereka melawan dengan melancarkan 'Hartal'.

Hartal adalah tindakan mogok sebagai menghindari tindakan kekerasan atau keganasan (Non-Violence-Resistence). Pada 20 Oktober 1947, Hartal telah berjaya dilakukan di seluruh Malaya. Dilaporkan bahawa British telah mengalami kerugian berpuluh ribu dollar akibat Hartal itu. Hartal adalah punca sebenar British mahu beri kemerdekaan kepada Malaya.

Sebanarnya, Hartal yang bermakna mogok juga adalah senjata utama perlawanan rakyat India yang diketuai Mahatma Ghandi ketika melawan British di India dahulu.

Mari kita cari "ada apa dengan Hartal".