Memaparkan catatan dengan label waubebas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label waubebas. Papar semua catatan

05 Januari 2009

Surat Jemputan: Memperkasakan Demokrasi

FREEDOM ACADEMY JANUARY 2009

16 – 18 January 2009 (Friday - Sunday)
Theme: “Globalisation, the free market and developing countries”
Venue: Residence Hotel, UNITEN, Selangor.

At this Freedom Academy participants will study in depth the true meaning and morality of capitalism, how globalisation has brought prosperity to developing economies, and why free market capitalism is still the way for forward. Speakers from India, Pakistan, China and the United Kingdom will provide thorough and detailed analysis of how free market capitalism has benefited developing countries. Scholarships are available to cover fees.

Read more 

STRENGTHENING DEMOCRACY: THE ROLE OF MARKET

Date: Sunday, 18 January 2009
Time: 3.30pm to 5.30pm
Venue: Room Titan 2, Residence Hotel, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Jalan Kajang-Puchong, 43009 Kajang, Selangor

Is there a relationship between a healthy democracy and a free market? Do we need a free market in order to achieve true democracy? The Malaysia Think Tank is pleased to invite you to debate with a panel of international experts. Attendance is free.

Chair: Professor James Chin, Monash University Malaysia

Panellists:

Barun Mitra (Director, Liberty Institute, India),
Dr Khalil Ahmad (President, Alternate Solutions Institute, Pakistan),
Assoc Prof Xingyuan Feng (Vice President, Cathay Institute, Beijing),
Prof Julian Morris (Executive Director, International Policy Network, UK).

30 Disember 2008

Hijrah: Bukti Tingginya Nilai Kebebasan Dalam Islam

Oleh: Amin Ahmad

Meskipun tarikh sebenar Hijrah Nabi s.a.w. ialah pada akhir bulan Safar, iaitu bulan kedua kalendar Hijrah, umat Islam telah lama menyambut semangat Hijrah pada 1 Muharam sebagaimana mula di zaman Saidina Umar r.a.. Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar r.a. akhirnya tiba di Madinah pada 12 Rabiul’awal – sama dengan tarikh kelahiran dan kewafatan Baginda s.a.w..

Peristiwa Hijrah ternyata satu peristiwa yang sangat penting bagi umat Islam. Di Malaysia, cuti umum diberikan bagi menghormati tarikh ini. Sebagai seorang muslim, saya tidak dapat mengelak untuk mengambil tahu bagaimana peristiwa ini muncul dan apakah pelajaran penting daripadanya.

Umat Islam tidak dapat mengelak daripada membincangkan pengalaman sirah Baginda s.a.w. dan para sahabat r.a. untuk dijadikan panduan bagi menghadapi realiti zaman moden terutama dari segi prinsip dan tindakan yang harus diambil berkaitan sesuatu peristiwa. Maka saya melihat ada pelajaran yang cukup besar dari peristiwa Hijrah ini.

Peristiwa Hijrah berlaku dengan izin Allah s.w.t. bersandarkan nas dan juga hadis Nabi s.a.w.. Umum maklum ketika itu Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. mendapat tentangan hebat daripada sekelompok kaum yang tidak senang dengan dakwah Islam yang dibawa oleh Baginda s.a.w..

Hasil daripada peristiwa Hijrah, umat Islam maklum bahawa telah terbinanya sebuah ‘Negara Islam’ yang pertama dikenali sebagai Madinah al-Munawwarah atau Madinah Bandar yang Bercahaya. Dari peristiwa Hijrah ini juga Rasulullah s.a.w. telah mempersaudarakan suku kaum yang pelbagai dan sebagaimana saya telah ungkapkan dalam artikel Islam dan Hak Pemilikan Harta, Abdul Rahman bin ‘Auf r.a. yang meninggalkan hartanya di Mekah telah berhasil memanfaatkan pasaran bebas dan jaminan hak pemilikan harta di Madinah untuk kembali menjadi seorang yang paling kaya pada waktu itu.

Pelajaran pertama di sini ialah Rasulullah s.a.w. tidak pernah menggunakan label Negara Islam dan juga Rasulullah s.a.w. menjamin pasaran bebas serta hak pemilikan harta. Ya, Piagam Madinah memang tertulis Al-Quran dan As-Sunnah menjadi sumber hukum, dan saya tertanya bagaimana Rasulullah s.a.w. berunding mendapatkannya dengan aman dan bukan paksaan atau ugutan.

Saya pernah berbual dengan seorang aktivis Parti Islam se-Malaysia (PAS) apabila timbul pertikaian politik di Malaysia tentang hak menjadi pemerintah untuk bangsa lain. Ia bermula apabila di negeri Perak, majoriti kerusi dimiliki oleh mereka bukan Islam. Pengalaman di Malaysia adalah sangat unik kerana agama Islam diikat dengan definisi bangsa. Umat Islam dan Bangsa Melayu di Perak ‘diselamatkan’ oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang mewajibkan Bangsa Melayu dan Penganut Islam menjadi Menteri Besar di sana.

Seperti biasa, ayat surah Al-Baqarah:120 dipetik untuk menjustifikasikan sikap ‘anti’ kepada bukan Islam meskipun ketika saya meneliti sebab turun ayat ini, ia tidaklah sejauh kebencian mendalam umat Islam kepada Yahudi dan Nasrani seperti yang berlaku pada masa kini.

Saya berpendapat sebaliknya. Dari peristiwa Hijrah, saya menemukan bagaimana Rasulullah s.a.w. membenarkan sebilangan sahabat r.a. untuk mendapatkan perlindungan daripada Raja Najasyi yang jelas bukan seorang Islam tetapi sangat dikenali kerana keadilannya. Seperkara lagi, Rasulullah s.a.w. sendiri adalah contoh jelas bagaimana orang dari luar Madinah yang boleh diangkat menjadi pemimpin bagi masyarakat di sana. Ini adalah pelajaran lain yang boleh diambil daripada peristiwa Hijrah.

Berkaitan dengan persoalan ini juga, saya bertanyakan aktivis PAS ini tentang kenapa sebilangan ulama’ atau pemikir muslim yang hebat dan sering menjadi panduan umat Islam akhirnya memilih negara Barat yang sering dikecam sebagai sekular ketika mendapatkan mereka ditindas di negara masing-masing? Pada hemat saya, kebebasan dan kedaulatan undang-undang (Rule of Law) yang wujud di ‘negara sekular’ inilah akhirnya memberikan mereka tempat untuk berlindung daripada ditindas sekaligus membenarkan mereka (dengan izin Allah s.w.t.) melontarkan pandangan jernih tentang Islam. Kesannya, kita di Malaysia mendapat berita yang cukup banyak bagaimana Islam berkembang dengan baik di negara Barat sedangkan ada khabar sebaliknya di negara Islam (yang dikatakan antara terbaik di dunia).

Dalam satu riwayat Rasulullah s.a.w. berkata tentang Abu Nu’aim yang dirayu agar tidak berhijrah bersama Rasulullah s.a.w. kerana sebelumnya telah banyak menyumbang kepada anak yatim, janda dari kaumnya di mana kaumnya berjanji untuk membelanya dari gangguan yang lain. Sabda Rasulullah s.a.w. “Kaumku telah menghalauku dan mahu membunuhku. Sedangkan kaummu memelihara dan membela kamu”.

Dari apa yang saya cuba gariskan dalam tulisan di atas, saya fikir ada sesuatu bersifat dasar dari permasalahan umat Islam kini, khususnya di negara yang saya cintai ini. Umat Islam sering cemburukan kebebasan dan mahu memisahkannya dalam konteks kebebasan bergerak seiring dengan keadilan.

Baru-baru ini polemik hudud muncul kembali. Isu ketuanan bangsa dan ketuanan agama juga silih berganti dan ia membuatkan saya rimas kerana ia muncul saban waktu tanpa saya nampak jelas ada kebebasan yang ditawarkan selain kecenderungan yang kuat untuk menjadi autoritarian.

Saya sangat percaya autoritarian tidak pernah menjadi jawapan kenapa Rasulullah s.a.w. berjaya menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar negara. Kita juga tak harus berbangga menjadi antara negara Muslim terbaik kerana dari segi statistik rasuah dan kelemahan pengurusan ekonomi, negara Muslim cukup unggul mengisi ruang di tangga terbawah.

Sempena Maal Hijrah, elok kita fikirkan apa yang patut kita ubah.

-------------------

Noor Amin bin Ahmad, 26 ialah Penyelidik di Malaysia Think Tank dan mantan pimpinan pelajar di Universiti Putra Malaysia.

06 Disember 2008

Tahun yang hebat untuk demokrasi

oleh ‘Abidin Muhriz (WauBebas.org)

2008 mungkin tahun yang buruk untuk kapitalisme. Tetapi ia akan dikenang sebagai tahun yang hebat untuk demokrasi. Terdapat tiga pilihan raya yang mengujakan. Pertama, Pilihan Raya Umum Malaysia pada 8 Mac, kedua Pilihan Raya Datuk Bandar London pada 1 Mei dan ketiga Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat pada 4 November. Keputusan semua pilihanraya tersebut menunjukkan betapa terdapat kemahuan yang tinggi untuk perubahan. Semuanya mencipta sejarah tersendiri dan menguatkan keyakinan saya akan kebaikan ‘peti undi’.

Ada kemungkinan terdapat lebih ramai rakyat Malaysia yang tinggal di London berbanding seluruh Amerika Syarikat. Di London, warga Malaysia mempunyai hak mengundi melalui kerakyatan negara Komanwel. Namun demikian, PilihanrRaya Datuk Bandar London kurang mendapat perhatian kita. Dalam pilihanraya tersebut, Boris Johnson daripada parti Konservatif mengalahkan penyandang jawatan, Ken Livingstone daripada parti Buruh. Kemenangan Boris Johnson mencatatkan sejarah kerana ini merupakan kali pertama Datuk Bandar London bukan daripada parti pemerintah di peringkat nasional.

Datuk Bandar London dalam banyak hal jauh lebih berkuasa berbanding Menteri-Menteri Besar di Malaysia. Kuasa Datuk Bandar London merangkumi isu perumahan, pengangkutan dan kesihatan. Nyata sekali bahawa pilihanraya tersebut merupakan pilihanraya yang penting untuk sepuluh juta warga London. Keputusan ini melambangkan betapa pengaruh parti Buruh semakin menurun setelah lebih 10 tahun ia mentadbir Britain. Kemenangan Boris Johnson juga menjadi dorongan yang signifikan untuk Parti Konservatif pimpinan David Cameron.

Perbezaan kelas masih lagi menjadi isu dalam politik Britain. Kelompok Kiri di Britain tetap menuduh Boris Johnson sebagai seorang elit yang tidak mempedulikan nasib golongan miskin dan golongan minoriti. Tuduhan tersebut dilontarkan meskipun Boris Johnson sebenarnya mempunyai pertalian darah dengan salah seorang menteri semasa Empayar Uthmaniyyah, sama seperti Obama yang juga mempunyai pertalian dengan ahli keluarga beliau yang beragama Islam. Namun, pengundi di London tetap memilih perubahan tanpa menghiraukan kempen negatif golongan Kiri. Margaret Thatcher pernah berkata: “Kelas ialah konsep komunis. Mereka mengkelompokkan manusia dan menyebabkan adu domba antara satu dengan yang lain.”

Di Malaysia juga terdapat perubahan dalam isu kaum dan kelas, terutamanya selepas 8 Mac. Meskipun umumnya dipersetujui bahawa keputusan Pilihan Raya Umum pada 8 Mac bukanlah tanda bahawa politik berasaskan kaum telah berakhir, ia merupakan permulaan yang baik. Ahli politik daripada kerajaan dan pembangkang secara umumnya bersetuju bahawa politik pasca perkauman adalah satu perkembangan yang baik. Agenda Ekonomi Malaysia yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang jelas melangkau klasifikasi etnik. Laman sesawang baru Timbalan Perdana Menteri memaparkan slogan “Kita semua adalah rakyat Malaysia…Bersama menjadi Malaysia yang satu” (Each of us is one Malaysia… Together we are one Malaysia). Tetapi Tun Mahathir baru-baru ini menyatakan bahawa politik kaum masih belum mati, terutama kerana perbincangan mengenai kaum kini lebih banyak berlaku secara terbuka. Tetapi yang lebih penting ialah, isu kaum kini boleh diperdebatkan secara terbuka. Sudah tentu ada mereka yang mahu mempertahankan status quo, tetapi sekurang-kurangnya proses perubahan telah bermula.

Pada 5 November saya berhubung dengan rakan-rakan di Washington DC melalui Facebook. Saya meninggalkan Washington DC setahun yang lalu ketika mereka sedang membuat keputusan untuk memilih sama ada Hillary atau Barack Obama untuk penamaan calon parti Demokratik. Saya bertanya mereka sama ada Amerika kini telah melangkaui sempadan kaum. Seorang rakan yang asalnya menyokong Hillary Clinton merungut bahawa “Rakyat Amerika amat bimbang jika McCain dan Palin akan menguasai Rumah Putih sehingga mereka yang biasanya mempertahankan hak orang kulit putih pun telah mengundi calon yang hanya separuh hitam”. Seorang rakan saya dari sayap libertarian parti Republikan pula berkata “Amerika merayakan kemenangan Obama sedangkan kita terlupa betapa polisi-polisi beliau akan merosakkan negara. Malahan, mana mungkin kita mengatakan persoalan kaum sudah tidak relevan tetapi kemudian bersorak kerana Presiden baru ini berkulit hitam?”.

Saya berkongsi keperihatinan rakan Republikan saya. Sebahagian daripada dasar yang dibawa oleh Obama – terutamanya polisi perlindungan dan halangan perdagangan – perlu diperhatikan dengan teliti. Tetapi saya juga yakin bahawa kemenangan Barack Obama mempunyai kepentingan simbolik di seluruh dunia. Ia telah memulakan wacana di negara kita sama ada boleh atau tidak seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri satu hari nanti. Dan tentunya debat yang sama juga berlaku di negara-negara di seluruh dunia di mana isu kaum masih relevan.

Tidak perlu kita perdebatkan jika Presiden-Presiden Amerika sebelum ini ada yang berketurunan Afrika. Dan tidak perlu juga kita bincangkan jika bekas pemimpin-pemimpin negara kita ada yang berketurunan Siam, Turki atau India. Kemenangan Obama perlu dirayakan kerana ia telah mewujudkan satu perasaan positif terhadap Amerika yang pasti akan membolehkan polisi-polisi yang baik daripada Rumah Putih mempunyai lebih banyak peluang untuk berjaya.

07 Oktober 2008

Krisis sub-prima merupakan kejayaan kapitalisme

Oleh Wan Saiful Wan Jan (waubebas.org)

Mereka yang berhaluan Kiri dan golongan sosialis mungkin beraya besar tahun ini. Apa tidaknya. Amerika Syarikat sedang menghadapi ancaman krisis ekonomi yang hebat. Amerika Syarikat yang dianggap sebagai lambang kemegahan kapitalisme kini berada diambang keruntuhan ekonomi. Maka tidak pelik jika ramai yang terpengaruh dengan tuduhan golongan Kiri dan puak sosialis bahawa ini juga lambang keruntuhan kapitalisme.

Mereka sebenarnya tersilap.

Sosialisme merupakan satu fahaman yang membawa kepada campurtangan kerajaan dalam pelbagai hal termasuklah dalam urusan ekonomi. Golongan sosialis dan mereka yang berhaluan Kiri beranggapan bahawa tidak salah untuk kerajaan menubuhkan dan menjalankan syarikat perniagaan, ataupun menjadikan syarikat korporat sebagai hak milik negara. Mereka tidak teragak-agak untuk menggunakan wang rakyat untuk menyelamatkan (bail-out) syarikat-syarikat tertentu. Mereka menafikan keberkesanan sistem pasaran dalam menghukum dan membuang syarikat yang melakukan kesalahan.

Leon Louw, pengarah Yayasan Pasaran Bebas Afrika Selatan telah menulis satu artikel mengenai hal ini dan beliau menghuraikan dengan cermat latarbelakang Freddie Mac dan Fannie Mae. Tulisan Louw boleh membantu kita memahami situasi yang sedang berlaku. Maka saya akan memetik beberapa fakta yang beliau nyatakan.

Fannie Mae dan Freddie Mac, dua syarikat gergasi di Amerika yang menjadi penyebab masalah yang kita hadapi sekarang, sebenarnya ditubuhkan atas dokongan kerajaan Amerika, atau dikenali sebagai ‘Government Sponsored Enterprises’ (GSE). Mereka ditubuhkan untuk membolehkan lebih ramai rakyat Amerika mendapat pinjaman perumahan. Matlamat utama kerajaan Amerika pada waktu itu ialah untuk membolehkan lebih ramai rakyat Amerika membeli rumah, termasuklah golongan berpendapatan rendah. Dalam rangka mencapai matlamat mereka, syarikat-syarikat ini telah mendokong kredit dan pinjaman subprima yang jauh melangkaui tahap pinjaman yang munasabah. Tetapi mereka terus disokong oleh pelabur kerana kedua-dua syarikat ini dianggap sebagai dilindungi oleh kerajaan.

Federal National Mortgage Association (Fannie Mae) ditubuhkan pada tahun 1938 oleh kerajaan Presiden Roosevelt di bawah agenda New Deal yang amat banyak dipengaruhi oleh idea-idea sosialisme. Fannie Mae mencipta satu ‘pasaran pinjaman peringkat kedua’ dengan cara membeli pakej pinjaman daripada bank secara pukal, lantas menyatukan pakej-pakej itu sebelum dijual semula kepada pelabur domestik dan antarabangsa. Federal Home Loan Mortgage Association (Freddie Mac) pula ditubuhkan oleh kerajaan Amerika pada tahun 1970 kononnya untuk menjadi persaingan kepada Fannie Mae. Jika digabungkan, aset kedua-dua GSE ini amat besar, iaitu 45% lebih tinggi daripada aset Citicorp, bank terbesar di Amerika. Jumlah pinjaman yang mereka biayai melebihi USD$5 trilion. Fannie Mae sendiri sahaja membiayai pembelian 55 juta rumah, satu jumlah yang amat banyak. Kedua-dua GSE ini mendapat subsidi kerajaan bernilai USD$6.5 bilion setahun.

Kedua-dua syarikat ini terus menikmati dokongan kerajaan. Bekas Gabernor Federal Reserve Alan Greenspan pernah menyebut bahawa “Pasaran menganggap bahawa kerajaan menjamin operasi syarikat itu”. Vernon Smith, pemenang anugerah Nobel, pula pernah menyatakan bahawa syarikat-syarikat GSE sebenarnya merupakan syarikat yang ditanggung oleh semua pembayar cukai.

Maka, walaupun kedua-dua syarikat ini beroperasi dalam ‘sistem kapitalis’ Amerika Syarikat, mereka sebenarnya menikmati faedah daripada polisi sosialis seperti subsidi dan perlindungan kerajaan. Malahan, mereka ditubuhkan pun atas prinsip sosialisme! Ini membolehkan mereka terus mendokong penawaran produk yang mungkin tidak dapat bertahan lama dalam sistem pasaran terbuka sebenar – iaitu pinjaman subprima. Mereka berani mengambil risiko yang terlalu besar, dan pelabur pula terus melabur, kerana mereka dilihat sebagai dilindungi kerajaan.

Kegagalan Freddie Mac dan Fannie Mae sebenarnya mendedahkan betapa bahayanya jika kerajaan masuk campur dalam urusan ekonomi dan perdagangan secara berlebihan. Apabila kerajaan menubuhkan atau mempertahankan syarikat-syarikat tertentu yang beroperasi dalam pasaran, kerajaan mencipta satu persepsi bahawa walau apa sekalipun yang dilakukan oleh syarikat-syarikat berkenaan, ia tetap selamat. Pelabur akan berfikiran bahawa kerajaan pasti akan menyelamatkan syarikat itu dan risiko pelaburan mereka rendah walaupun aktiviti syarikat itu berisiko tinggi. Maka tidak ada apa-apa yang menghalang pelabur, dan ekekutif syarikat tersebut daripada meneruskan strategi tidak bertanggungjawab termasuklah memberi pinjaman kepada mereka yang sebenarnya tidak mampu. Dalam pada itu, syarikat-syarikat ini memastikan agenda politik kerajaan tercapai, iaitu membolehkan rakyat membeli rumah walaupun mereka sebenarnya tidak berkebolehan untuk membayar balik pinjaman.

Gerald Driscoll, pakar ekonomi daripada Cato Institute, mengatakan bahawa apa yang berlaku di Amerika sekarang adalah akibat daripada sistem ‘kapitalisme kroni’. Driscoll berpandangan bahawa ahli perniagaan dan ahli politik bersekongkol dalam hal ini. Ahli-ahli politik telah mencipta syarikat gergasi menggunakan wang rakyat dan dengan jaminan perlindungan kerajaan. Lantas syarikat itu pula kadang kala memberi sumbangan kepada agenda politik tertentu. Jika kita mahu membandingkan dengan Malaysia, ini boleh berlaku apabila syarikat-syarikat yang didokong kerajaan membiayai atau memberi subsidi kepada agenda politik tertentu.

Kita bernasib baik kerana sistem pasaran bebas dan kapitalisme akhirnya mendedahkan salah laku dan ketamakan syarikat-syarikat ini. Sistem pasaran bebas dan kapitalisme telah menghukum syarikat-syarikat yang melakukan kesalahan seperti Freddie Mac, Fannie Mae dan lain-lain lagi. Jika diturut sistem kapitalisme, maka syarikat-syarikat ini akan terpaksa gulung tikar. Malangnya, elemen-elemen sosialis dan ahli-ahli politik pragmatik dalam pentadbiran Amerika masih mahu melindungi Freddie Mac dan Fannie Mae, mungkin untuk mencapai faedah politik jangka pendek (pilihanraya Amerika akan berlangsung tidak lama lagi).

Keruntuhan Fannie Mae dan Freddie Mac sebenarnya merupakan kejayaan kapitalisme dan pasaran bebas dalam mendedahkan salah laku dua syarikat bantuan kerajaan tersebut. Ia bukan kegagalan kapitalisme. Sebaliknya ia membuktikan keampuhan kapitalisme dan pasaran bebas dalam menghukum salah laku dan ketamakan yang keterlaluan. Jangan pula kita dikelirukan oleh puak sosialis yang cuba menangguk di air keruh.

------------------
Wan Saiful Wan Jan ialah Editor WauBebas.org dan Ketua Pengarah Malaysia Think Tank. Artikel ini telah disiarkan oleh Harakahdaily (5 Okt 08)