Memaparkan catatan dengan label AMK PKR. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AMK PKR. Papar semua catatan

16 Ogos 2008

Perebutan 3 penjuru di Permatang Pauh


Abdul Rahim Sabri (malaysiakini)

Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh akan menyaksi pertandingan tiga penjuru di antara calon BN, PKR dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Pengumuman tersebut dibuat oleh pegawai pengurus pilihanraya, Roslan Yahya pada jam 11.45 pagi tadi.

Calon-calon tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Hamad dari AKIM.

Seorang lagi calon yang turut mengemukakan borang pencalonan pagi tadi, Dr Mansor Othman telah menarik diri.

Menurut Roslan, Suruhanjaya Pilihanraya menerima lims bantahan tetapi semuanya ditolak.

Dr Mansor yang juga timbalan pengerusi biro pilihanraya PKR, mengejutkan banyak pihak pagi tadi apabila mengemukakan borang untuk bertanding sebagai calon bebas.

Ekoran itu, tercetus desas-desus yang mengatakan Dr Mansor adalah calon 'simpanan' PKR sekiranya pencalonan Anwar, ditolak.

Ketika ditemui pihak media kemudiannya, pengarah pilihanraya PKR Permatang Pauh, Mustapha Kamal Yusof mengesahkan bahawa Dr Mansor adalah calon 'simpanan'.

Calon BN, Arif Shah adalah yang pertama menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.12 pagi dan diikuti oleh Anwar pada jam 9.18 pagi.

Dr Mansor pula menyerahkan borang penamaan calonnya pada jam 9.40 pagi, diikuti oleh Hanafi (foto) pada jam 9.55 pagi.

Tarik diri

Roslan bagaimanapun tidak menyentuh langsung mengenai penarikan diri Dr Mansor.

Semasa ditanya pemberita kemudiannya, Roslan berkata Dr Mansor menarik diri tanpa sebab sebelum pengumuman dibuat.

Ekoran itu, Dr Mansor kehilangan depositnya kerana keputusan itu dibuat selepas jam 10 pagi, selepas waktu penyerahan borang pencalonan tamat.

"Malah mana-mana calon (yang bertanding pada pilihan raya kecil itu) masih boleh menarik diri dalam tempoh tiga hari," kata Roslan.

Sementara itu, Dr Mansor yang enggan mengulas lanjut berkata beliau menarik diri setelah pencalonan Anwar diterima dan mengakui beliau masih anggota PKR dan menyokong Anwar.

'Perang mulut'

Sementara itu sepanjang menunggu proses pengumuman calon, keadaan di luar dewan riuh rendah dengan penyokong kedua pihak 'berperang mulut'.

Penyokong BN melaung 'liwat tetap liwat' sambil menepuk benteng penghalang. Penyokong Pakatan pula membalas dengan laungan 'Altantuya' dan turut menepuk benteng penghalang.

Juga kedengaran laungan 'Samy Vellu undur undur'. Ini dibalas oleh penyokong BN dengan melaungkan 'Kasihan Saiful' beberapa kali. Kemudian kedengaran laungan Selawat dari penyokong Pakatan dan disambut oleh jeritan 'Hidup BN' oleh penyokong BN.

Kedengaran juga penyokong PKR yang meluangkan 'Saiful penipu' dan 'Tangkap boleh boleh'. Turut kedengaran laungan 'Najib' dan disambut dengan jeritan 'Altantuya'.

Keadaan tegang sedikit pada kira-kira jam 10.55 apabila seorang penyokong BN bertindak menunjuk punggung ke arah penyokong Pakatan. Dia bagaimanapun dinasihatkan oleh pihak polis supaya jangan berbuat demikian.

Kira-kira 40 anggota FRU kelihatan masuk ke ruang kosong yang memisahkan antara penyokong BN dan Pakatan, tetapi beredar keluar dari situ sejurus kemudian.

Penyokong kedua belah turut membawa kain rentang yang berbunyi 'Bersatu kita bersatu, menjulang pemimpin Melayu, Umno terus maju, menipu umat Melayu'. Di sebelah BN pula terdapat kain rentang 'Pastikan kemenangan Barisan Nasional di Permatang Pauh', 'Hidup Umno!!! hidup BN!!!.

Sebelum itu, Penyokong BN sampai di padang Institut Perguruan Tuanku Bainun pada kira-kira jam 8.50 pagi, penyokong kedua belah pihak bersorak antara satu sama lain. Di sebelah BN, kedengaran laungan 'liwat tetap liwat'. Manakala di pihak Pakatan, penyokongnya melaung reformasi.

Penyokong kedua belah pihak dipisahkan oleh benteng pada jarak 30 meter.

23 Mei 2008

Jemputan: Laporan polis oleh AMK ke atas kerajaan

Kepada semua,

Shamsul Iskandar, Ketua AMK Malaysia, akan membuat satu laporan polis ke atas kerajaan kerana melambat-lambatkan siasatan ke atas enam individu yang disabitkan dengan salahlaku bidang kehakiman seperti yang disimpulkan oleh laporan Suruhanjaya Di raja pada hari esok, Sabtu 24/5/2008 pada pukul tiga petang.

Oleh itu, semua dijemput untuk menunjukkan sokongan pada hari tersebut. Sila berkumpul di hadapan Sogo, Kuala Lumpur dan bergerak bersama-sama ke Balai Polis Dang Wangi untuk membuat laporan polis.

Laporan yang sama juga akan dibuat di semua balai polis utama seluruh negara pada hari Ahad 25/5/2008, pukul 1.00 tengahari (Sila hubungi sekretariat AMK negeri untuk perkara ini).

20 Mei 2008

Kenyataan Media: Umno Sudah Tidak Relevan!

Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) berpendirian bahawa pengumuman Tun Mahathir Mohamad keluar daripada Umno adalah bertitik tolak daripada pelbagai konflik yang berlaku di dalam parti berkenaan.

AMK tidak terkejut dengan pengumuman Tun Mahathir, memandangkan sebelum ini tiga Presiden Umno terdahulu (Dato’ Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, dan Tun Hussien Onn) juga tidak berdiri sebagai ahli Umno di saat mereka menghembuskan nafas yang terakhir.

Ulasan ringkas Tun Mahathir bahawa beliau akan berada di luar Umno sehingga kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi ditukar ganti adalah satu kenyataan yang menggambarkan bahawa Umno sudah tidak relevan lagi masa kini.

AMK komited dengan pendirian bahawa Tun Mahathir bertanggungjawab dengan segala bentuk cacamarba yang berlaku dalam konteks politik dan perundangan yang berlaku di kenyatan mediaMalaysia semenjak beliau mengambil alih tampuk kepimpinan seawal tahun 1980-an. Ini diperhebatkan lagi dengan sifat ‘duduk dan diam’ Abdullah yang memandang ringan ‘kekotoran’ yang diamanahkan kepada beliau sepanjang beliau memerintah Malaysia dari tahun 2004.

Kekalutan yang melanda Umno seusai Pilihanraya Umum Ke-12 yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya menafikan majoriti dua pertiga Umno dan Barisan Nasional memberi gambaran bahawa hayat Umno dan politik perkauman sudah sampai ke penghujungnya.

AMK dengan tegas menyatakan bahawa apa yang berlaku ini adalah masalah dalaman Umno, tetapi AMK percaya bahawa biar sehebat mana perubahan kepimpinan dilakukan di dalam Umno, ia tidak akan meredakan amarah rakyat yang sekian lama dizalimi dengan politik sempit naungan Umno/BN.

Kini tiba masanya kita menjunjung Ketuanan Rakyat demi merealisasikan Harapan Baru buat segenap lapisan rakyat Malaysia.

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Ketua Angkatan Muda
Parti Keadilan Rakyat

28 Mac 2008

Setinggan Sifar: AMK Yakin Khalid tak macam Khir

Kenyataan Media
28 Mac 2008

Setinggan Sifar Perlu Dicapai Untuk Kepentingan Negara dan Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyokong kenyataan Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk Selangor mencapai matlamat setinggan sifar seperti yang disiarkan dalam temubual oleh portal internet Malaysiakini.

Namun Angkatan Muda Keadilan Malaysia kesal dengan kenyataan beberapa pihak yang mengandaikan bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin keADILan akan bertindak dengan cara yang sama seperti tindakan tidak berperikemanusiaan semasa Selangor di bawah Dato’ Seri Mohd Khir Toyo.

Adalah zalim untuk menganggap bahawa peneroka bandar perlu dibiarkan dalam keadaan mereka sekarang tanpa sebarang usaha untuk mengiktiraf hak dan pegangan mereka secara sah ke atas tanah yang didiami atau ke atas tanah lain yang bersesuaian dengan keperluan kehidupan mereka. Persoalan pampasan, peluang pekerjaan dan sebagainya perlu diberikan perhatian utama di dalam sebarang usaha pembangunan.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya Dato’ Menteri Besar Selangor akan mencari jalan terbaik yang adil dan manusiawi untuk memastikan para peneroka bandar dapat keluar daripada status ‘setinggan’ mereka. Setiap rakyat Selangor perlu diberi peluang yang adil untuk memiliki hartanah dan pada masa yang sama hak pemilik tanah dihormati dan diberi peluang untuk membangunkan hartanah mereka.

Ini ‘keseimbangan’ yang perlu dicari seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Abdul Khalid. Kerajaan perlu memainkan peranan utama dengan bertanggungjawab dan penyayang. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat perlu berperanan sebagai warga korporat yang prihatin. Malah sebelum ini Tan Sri Abdul Khalid telah pernah mengemukakan idea-idea inovatif untuk memastikan rakyat termiskin sekalipun mampu memiliki hartanah, termasuk melalui skim pembiayaan jangka panjang inter-generasi sehingga 60 tahun.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya Dato’ Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri akan mengemukakan pelan komprehensif untuk mencapai matlamat setinggan sifar yang akan dilaksanakan. Sebarang cadangan dan komen sekarang sudah tentu akan membantu. Namun ia perlu dikemukakan melalui saluran yang betul dan membina.

Harapan Baru Untuk Malaysia

Ahmad Zaki Yamani bin Zainon
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia