Memaparkan catatan dengan label bn. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bn. Papar semua catatan

23 Oktober 2010

Najib akui tuduhan terhadap PR, karut

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Ucapan dasar Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno kelmarin jelas membuktikan, tuduhan bahawa Pakatan Rakyat akan mencabar hak Melayu jika memerintah adalah karut.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, ucapan Najib selaku Presiden Umno itu juga menjelaskan bahawa hak-hak orang-orang Melayu terjamin di bawah perlembagaan walau siapa pun yang memerintah.

"Jaminan di dalam perlembagaan yang dinyatakan oleh Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno Ke-61 itu dengan sendirinya mendedahkan pembohongan dan khurafat Umno untuk menakut-nakutkan orang-orang Melayu kononnya mereka akan hilang kuasa jika parti yang disebut sebagai parti perasuah oleh (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) itu tidak memerintah," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Dengan pengakuan Najib tentang jaminan dalam perlembagaan itu, Mahfuz yakin orang-orang Melayu tidak akan dapat lagi diperbodohkan oleh Umno yang tidak henti-henti mengugut kononnya mereka akan kehilangan kuasa jika pemerintahan Umno ditamatkan.

"Kita akan menjelajah seluruh negara untuk menggerakkan orang-orang Melayu supaya dengan tegas menyatakan "tidak" kepada penghinaan terhadap mereka.

"Umno menghina orang-orang Melayu melalui tindakan tanpa batasannya memperbodoh-bodohkan mereka semata-mata untuk menyalahgunakan kuasa dan meragut harta kekayaan negara dengan kuasanya sebagai pemerintah.

"Kita akan menyedarkan orang-orang Melayu bahawa hakikatnya mereka tidak ada apa-apa kuasa walaupun hanya sedikit di bawah pemerintahan Umno kerana semua kuasa terpusat di tangan para pemimpin parti yang dikatakan busuk hingga ke usus itu," katanya.

Malah, kata Mahfuz lagi, jika PR memerintah, hak-hak yang dijamin oleh Perlembagaan itu akan diperkukuhkan lagi dengan memberikan apa yang tidak diberikan oleh Umno kini, iaitu siri-siri reformasi yang bersifat institusional (institutional reforms) terutama pembebasan badan kehakiman, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain pihak yang selama ini disalahgunakan oleh parti yang memerintah.

"Perkara itu telah lama dilaksanakan dalam negara-negara demokrasi yang lain tetapi Umno enggan melaksanakannya dalam negara ini demi kepentingan cengkaman kuasanya," kata beliau.

Dalam ucapannya itu, Najib yang memberikan penjelasan panjang lebar termasuk mengimbas sejarah moden negara dan Kesultanan Melayu Melaka berkata, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezaban kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.  - Harakah

07 September 2008

PUTRAJAYA 916 : 16 SEPTEMBER PASTI BERLAKU...


'Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan (begitu sahaja), sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil teman yang setia selain Allah, Rasulnya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
( 9:16 )

Surah At-Taubah – Surah ke - 9 : Ayat 16

16 September atau 916 semakin hampir dan Ia PASTI BERLAKU. Selepas ini Dato Seri Anwar Ibrahim perlu melakukan satu lagi sumpah yang ditunggu-tunggu selama ini. Sumpah keramat kali ini akan menamatkan terus pemerintahan Barisan Nasional selama 50 tahun. Jika selama ini pelbagai pihak mendesak Dato Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan sumpah. Tetapi sumpah selepas ini akan menyebabkan mega tsunami yang akan menenggelamkan kapal Titanic Barisan Nasional selaku regim parti pemerintah sekarang. Sumpah tersebut adalah sumpah taat setia di hadapan Yang DiPertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang baru.

Tarikh 16 September juga kelak akan menjadi titik terpenting dalam sejarah masa hadapan Malaysia. Harapan baru rakyat Malaysia terhadap sistem pemerintahan negara bakal melakar satu lembaran baru. Selepas bergelut dengan pelbagai kemelut ekonomi, rasuah, sistem kehakiman , sistem demokrasi dan sosial. Rakyat Malaysia secara keseluruhannya wajar bangkit semula untuk meletakkan negara pada kedudukan dan standart yang tinggi di mata dunia.

Semangat dan inspirasi baru perlu ditiupkan kepada seluruh warga Malaysia. Dengan harapan baru kebangkitan rakyat Malaysia selepas 51 tahun negara mencapai kemerdekaan. Suntikan semangat dengan halatuju dan agenda baru perubahan negara akan melonjakkan Malaysia berada ditahap global. Kita perlu memahami realiti semasa dengan perubahan dunia yang semakin pantas bergerak maju dan semakin bersifat global. Justeru tindakan dan fikiran juga menuntut standart yang tinggi dan bersifat global dan futuristik.

Malahan harapan selepas 16 September adalah untuk melihat Malaysia bangkit dalam menghadapi kemelut ekonomi dan sistem keadilan. Dunia juga mengharapkan khususnya negara-negara Islam agar Malaysia menjadi jurubicara dunia Islam dan negara-negara membangun dalam menangani persoalan ketidakadilan global yang semakin memisahkan dan melebarkan jurang pertembungan tamadun atau Clash of Civilization yang diungkapkan oleh Samuel Huntington dalam karya agungnya.

Kita juga mengharapkan sinar baru harapan Malaysia akan muncul pada fajar 16 September. Sinar ini yang akan menerangi seluruh zaman kegelapan Malaysia dalam aspek sistem keadilan,sosial, ekonomi dan pentadbiran negara. Sinar harapan baru rakyat Malaysia untuk kembali bangkit menjadi bangsa yang menyumbang kepada kepesatan dan ketamadunan dunia. Kita juga akan bangkit bukan sekadar untuk menyaingi prestasi ekonomi Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Tetapi juga kita bangkit untuk membangunkan ekonomi yang akan menjadi role model dunia dan ummah sejagat di masa hadapan.

Apa jua halangan dan rintangan yang cuba dilaksanakan oleh regim pemerintah masa kini untuk menidakkan berlakunya peralihan kerajaan 16 September. Realiti sebenarnya 16 September pasti akan berlaku juga. Kini bidak catur berada pada giliran Pakatan Rakyat untuk menggerakkannya. Hanya tinggal beberapa langkah lagi percaturan ‘checkmate’ akan terus menamatkan permainan kotor regim pemerintah masa kini selama 50 tahun.

Kini seluruh dunia sedang memfokuskan kamera mereka ke arah Malaysia. Kerajaan Pakatan Rakyat 916 akan mengambil alih kerajaan persekutuan Malaysia. Kita mengharapkan proses peralihan tampuk pemerintahan negara akan berjalan lancar dan aman. Dunia juga sebenarnya ternanti-nanti satu peristiwa bersejarah yang akan mengubah landskap politik Malaysia pada masa hadapan. Kita juga wajar meraikan 16 September ini sebagai Kemerdekaan Malaysia Ke-2 yang bebas daripada sistem rasuah dan kezaliman. Kibarkan bendera Malaysia sebanyak yang mungkin tanda kemenangan kita dalam mendapatkan kemerdekaan yang sebenar yang kita bukan bebas daripada penjajahan fizikal tetapi kita bebas daripada penjajahan minda.

Kita merdeka daripada penjajahan minda untuk menjadikan Malaysia dan warganya mempunyai nilai maruah yang tinggi pada pandangan dunia. Bebas merdeka daripada penjajahan minda merupakan pembebasan yang cukup tinggi nilainya kerana dengan bebas daripada minda sahaja kita mampu bangkit membina negara menjadi sebuah negara madani yang bertamadun tinggi dan nilai akal budi murni yang terpuji.

Mengungkap sepotong ayat Al-Quran daripada Surah Al-Taubah yang merupakan surah ke 9 dan memetik pada ayat ke 16. Kita wajar memahami dan menghayati maksud ayat tersebut dengan mendalam yang membicarakan soal ujian keimanan dalam proses perjuangan yang akan dihadapkan dengan pelbagai ujian sebelum layak kita mengecap nikmat manis kejayaan tersebut.

Proses reformasi yang bermula 10 tahun lepas baru kini nampak hasilnya. Tetapi 16 September ini adalah proses permulaan dalam satu langkah panjang membawa negara ke arah era baru negara madani. Sempena meraikan 16 September ini di seru seluruh rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama menanamkan iltizam dan tekad baru untuk membawa Malaysia yang lebih gemilang di masa hadapan. 16 September adalah detik kebangkitan Malaysia menjadi warga negara yang lebih bermaruah. 16 September adalah Malaysia Baru untuk menjadi sebuah Negara Madani.

Semoga 16 September akan membawa Malaysia menjadi perintis kepada perjuangan menegakkan keadilan di peringkat global pula. 16 September bukan destinasi berhentinya perjuangan tetapi adalah sebuah perjalanan perjuangan yang panjang. Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia Ke-2 pada 16 September. Semoga 16 September adalah detik permulaan sinar aura harapan baru Malaysia untuk melakar sejarah tamadun ummah sejagat di masa hadapan.

16 Ogos 2008

Perebutan 3 penjuru di Permatang Pauh


Abdul Rahim Sabri (malaysiakini)

Pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh akan menyaksi pertandingan tiga penjuru di antara calon BN, PKR dan Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).

Pengumuman tersebut dibuat oleh pegawai pengurus pilihanraya, Roslan Yahya pada jam 11.45 pagi tadi.

Calon-calon tersebut ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR), Datuk Arif Shah Omar Shah (BN) dan Hanafi Hamad dari AKIM.

Seorang lagi calon yang turut mengemukakan borang pencalonan pagi tadi, Dr Mansor Othman telah menarik diri.

Menurut Roslan, Suruhanjaya Pilihanraya menerima lims bantahan tetapi semuanya ditolak.

Dr Mansor yang juga timbalan pengerusi biro pilihanraya PKR, mengejutkan banyak pihak pagi tadi apabila mengemukakan borang untuk bertanding sebagai calon bebas.

Ekoran itu, tercetus desas-desus yang mengatakan Dr Mansor adalah calon 'simpanan' PKR sekiranya pencalonan Anwar, ditolak.

Ketika ditemui pihak media kemudiannya, pengarah pilihanraya PKR Permatang Pauh, Mustapha Kamal Yusof mengesahkan bahawa Dr Mansor adalah calon 'simpanan'.

Calon BN, Arif Shah adalah yang pertama menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.12 pagi dan diikuti oleh Anwar pada jam 9.18 pagi.

Dr Mansor pula menyerahkan borang penamaan calonnya pada jam 9.40 pagi, diikuti oleh Hanafi (foto) pada jam 9.55 pagi.

Tarik diri

Roslan bagaimanapun tidak menyentuh langsung mengenai penarikan diri Dr Mansor.

Semasa ditanya pemberita kemudiannya, Roslan berkata Dr Mansor menarik diri tanpa sebab sebelum pengumuman dibuat.

Ekoran itu, Dr Mansor kehilangan depositnya kerana keputusan itu dibuat selepas jam 10 pagi, selepas waktu penyerahan borang pencalonan tamat.

"Malah mana-mana calon (yang bertanding pada pilihan raya kecil itu) masih boleh menarik diri dalam tempoh tiga hari," kata Roslan.

Sementara itu, Dr Mansor yang enggan mengulas lanjut berkata beliau menarik diri setelah pencalonan Anwar diterima dan mengakui beliau masih anggota PKR dan menyokong Anwar.

'Perang mulut'

Sementara itu sepanjang menunggu proses pengumuman calon, keadaan di luar dewan riuh rendah dengan penyokong kedua pihak 'berperang mulut'.

Penyokong BN melaung 'liwat tetap liwat' sambil menepuk benteng penghalang. Penyokong Pakatan pula membalas dengan laungan 'Altantuya' dan turut menepuk benteng penghalang.

Juga kedengaran laungan 'Samy Vellu undur undur'. Ini dibalas oleh penyokong BN dengan melaungkan 'Kasihan Saiful' beberapa kali. Kemudian kedengaran laungan Selawat dari penyokong Pakatan dan disambut oleh jeritan 'Hidup BN' oleh penyokong BN.

Kedengaran juga penyokong PKR yang meluangkan 'Saiful penipu' dan 'Tangkap boleh boleh'. Turut kedengaran laungan 'Najib' dan disambut dengan jeritan 'Altantuya'.

Keadaan tegang sedikit pada kira-kira jam 10.55 apabila seorang penyokong BN bertindak menunjuk punggung ke arah penyokong Pakatan. Dia bagaimanapun dinasihatkan oleh pihak polis supaya jangan berbuat demikian.

Kira-kira 40 anggota FRU kelihatan masuk ke ruang kosong yang memisahkan antara penyokong BN dan Pakatan, tetapi beredar keluar dari situ sejurus kemudian.

Penyokong kedua belah turut membawa kain rentang yang berbunyi 'Bersatu kita bersatu, menjulang pemimpin Melayu, Umno terus maju, menipu umat Melayu'. Di sebelah BN pula terdapat kain rentang 'Pastikan kemenangan Barisan Nasional di Permatang Pauh', 'Hidup Umno!!! hidup BN!!!.

Sebelum itu, Penyokong BN sampai di padang Institut Perguruan Tuanku Bainun pada kira-kira jam 8.50 pagi, penyokong kedua belah pihak bersorak antara satu sama lain. Di sebelah BN, kedengaran laungan 'liwat tetap liwat'. Manakala di pihak Pakatan, penyokongnya melaung reformasi.

Penyokong kedua belah pihak dipisahkan oleh benteng pada jarak 30 meter.

17 Mac 2008

Ku Li gesa Umno adakan perhimpunan khas

Gesaan itu dibuat oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan pergerakan Umno Johor. Dalam perhimpunan tersebut digesa supaya membincangkan keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu yang menyaksikan Umno kalah teruk dan Barisan Nasional (BN) kehilangan empat negeri kepada pembangkang dan gagal merampas Kelantan dari PAS.

Gesaan itu dinyatakan dalam bentuk surat sejumlah dua halaman dan bertarikh 12 Mac yang dihantar kepada kesemua 193 ketua bahagian Umno di seluru negara. Tengku Razaleigh (Ku Leigh) yang juga bekas menteri kewangan itu menggesa mereka supaya meminta diadakan mesyuarat agung luar biasa pada 11 Mei depan ekoran kekalahan teruk Umno pada 8 Mac lalu.

Pemuda Umno Johor pula mahu perhimpunan khas diadakan sebelum perhimpunan agung Umno yang dijangka pada Ogos depan, memandangkan keadaan akar umbi yang kini bergolak.

Pengerusi Tugas-Tugas Khas Pemuda Umno Johor, Suhaimi Khalid berkata, perhimpunan khas Umno hendaklah diadakan segera bagi membincangkan masalah dan pertikaian pendapat yang timbul dalam parti ekoran tsunami politik dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu. - malaysiakini.com