Memaparkan catatan dengan label agong. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label agong. Papar semua catatan

21 September 2008

DYMM Yang DiPertuan Agong Boleh Bertindak - Aziz Bari

Oleh: Professor Dr. Abdul Aziz Bari (www.WauBebas.org)

Cara Datuk Seri Abdullah Badawi menjawab soalan-soalan pemberita mengenai Dato Seri Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini menunjukan bahawa beliau memandang serius cabaran Ketua Pembangkang itu. Sebelum ini Abdullah biasanya berkata bahawa Anwar hanya bergimik apabila mendakwa bahawa beliau mempunyai cukup bilangan ahli parlimen yang akan melompat ke Pakatan Rakyat, lantas membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Tetapi mutakhir ini Abdullah telah bertukar nada. Anwar telah dituduh sebagai pengancam keselematan dan ekonomi negara. Tuduhan ini membayangkan bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mungkin akan digunapakai. Jelas sekali kerajaan kini merasa tergugat. Selain cabaran daripada Anwar, parti pemerintah juga digugat oleh perebutan kuasa dalaman. Jika kita lihat reaksi beberapa menteri terhadap penggunaan ISA baru-baru ini, tidak mustahil jika kita katakan bahawa Abdullah tidak lagi dapat mengawal sepenuhnya kabinet beliau.

Negara kita boleh dianggap sebagai menghampiri situasi krisis. Dalam waktu sebegini, kita memerlukan sesuatu yang mungkin kelihatan sedikit ‘di luar perlembagaan’ (extra-constitutional) untuk menangani keadaan. Cara-cara biasa mungkin tidak berkesan, terutama kerana kerajaan seolah-olah telah panik dan kelihatan tidak lagi berkebolehan untuk menasihatkan Yang Di-Pertuan Agong dan mengendalikan tugas-tugas biasa dalam pentadbiran.
Negara kita berbeza dengan Thailand dan Indonesia kerana kita tidak mempunyai Mahkamah Perlembagaan untuk dirujuk. Biasanya kita merujuk kepada Mahkamah Persekutuan tetapi sepanjang 51 tahun lepas Mahkamah Persekutuan tidak pernah membicarakan perlanggaran perlembagaan. Dan, berbeza dengan Mahkamah Agong Amerika Syarikat yang telah beberapa kali membicarakan kontroversi-kontroversi berkaitan perlembagaan, Mahkamah Persekutuan kita tidak langsung dirujuk semasa krisis perlembagaan pada tahun 1983, 1988 dan 1993. Mungkin ini merupakan tempias daripada kurangnya keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kebolehan hakim-hakim kita.

Maka kita tinggal dengan satu sahaja pilihan iaitu Yang Di-Pertuan Agong. Yang Di-Pertuan Agong sebenarnya mempunyai beberapa peranan dan kuasa khusus yang boleh digunapakai dalam situasi sekarang. Baginda boleh mendapatkan bantuan daripada Majlis Raja-Raja yang diberi kuasa oleh perlembagaan untuk membincangkan apa sahaja perkara yang dirasakan perlu.

Masalah yang sedang kita alami sekarang berkisar di sekeliling isu perlantikan kerajaan, yang dalam bahasa perlembagaan sebenarnya ialah isu perlantikan perdana menteri. Perlembagaan memberikan tanggungjawab ini kepada Yang Di-Pertuan Agong berdasarkan budi bicara Baginda.

Dalam situasi yang terang, contohnya jika terdapat majoriti di parlimen dan ketua yang jelas, maka Yang Di-Pertuan Agong tidak mempunyai pilihan selain daripada melantik ketua tersebut sebagai perdana menteri dan seterusnya menerima nasihat perdana menteri dalam urusan pembentukan kabinet. Ini boleh berlaku selepas pilihanraya umum, kematian perdana menteri semasa masih memegang jawatan, ataupun setelah berlaku perletakan jawatan perdana menteri.

Perletakan jawatan boleh berlaku dengan beberapa bentuk. Contohnya perletakan jawatan biasa seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003. Dalam konteks negeri dan peranan sultan negeri tersebut pula, kita boleh melihat contoh yang berlaku setelah Dewan Undangan Negeri tidak lagi menyokong Menteri Besar mereka seperti yang dialami oleh Menteri Besar Selangor Harun Idris pada tahun 1976 dan Menteri Besar Kelantan Mohamed Nasir pada tahun 1977.

Tetapi perlembagaan negara kita tidak mempunyai klausa yang jelas dalam isu perletakan jawatan. Satu-satunya peruntukan yang menyentuh isu perletakan jawatan ialah Artikel 43(4) yang menyebut bahawa mana-mana perdana menteri yang kehilangan sokongan dewan rakyat perlu meletak jawatan. Tetapi perlembagaan kita tidak menyebut mengenai proses menarik balik sokongan terhadap perdana menteri. Ini telah dimanipulasi oleh UMNO dan Barisan Nasional. Speaker Dewan Rakyat seolah-olah berusaha keras untuk menafikan usaha Pakatan Rakyat membawa usul tidak percaya di parlimen.


Apa peranan Yang Di-Pertuan Agong dalam situasi sekarang? Berdasarkan undang-undang, Yang Di-Pertuan Agong perlu bertindak mengikut nasihat kerajaan. Hakikatnya, walaupun tidak disebut secara jelas dalam perlembagaan, Baginda perlu memastikan wujud sebuah kerajaan pada setiap masa. Seterusnya, jika terdapat persoalan mengenai kredibiliti dan legitimasi sesebuah kerajaan, Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh bersikap tunggu dan lihat sahaja. Baginda wajar bertindak proaktif dan mengawal keadaan. Tidak ada institusi lain yang boleh memainkan peranan ini. Kita tidak boleh bergantung dengan kerajaan sedia ada tatkala kesahihan kerajaan tersebut sendiri sedang dipertikaikan.

Mungkin jika kita mengikut protokol dengan ketat maka Anwar tidak boleh ke Istana Negara sekarang. Dengan itu, Yang Di-Pertuan Agong sewajarnya menjemput Ketua Pembangkang tersebut untuk mengadap dan mempersembahkan senarai ahli parlimen yang beliau dakwa akan menyokong beliau dalam kerajaan baru. Yang Di-Pertuan Agong mempunyai hak untuk mendengar secara terus daripada ahli-ahli parlimen tersebut, sama seperti mana Sultan Selangor dan Raja Perlis telah memanggil mengadap ahli-ahli dewan undangan negeri mereka selepas pilihanraya Mac lalu.

Sekiranya Yang Di-Pertuan Agong mendapati dakwaan Anwar adalah benar dan Anwar memang mempunyai sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli parlimen, maka Baginda boleh menitahkan agar Abdullah meletak jawatan. Bukan sahaja Abdullah boleh dititahkan untuk meletak jawatan, bahkan dalam situasi sedemikian, berdasarkan undang-undang, perletakan jawatan menjadi tanggungjawab Abdullah dan kabinetnya.

Jika diteliti perlembagaan asal yang dihasilkan oleh Lord Reid, sebenarnya memang terdapat peruntukan yang membolehkan Yang Di-Pertuan Agong memecat perdana menteri dalam situasi sedemikian. Tetapi peruntukan ini tidak dimasukkan dalam draf akhir yang diluluskan menjadi perlembagaan negara kita. Bagaimanapun, saya berpendapat bahawa Yang Di-Pertuan Agong masih mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah ini.

Artikel 43(4) juga menyentuh mengenai pembubaran parlimen. Tetapi Artikel ini perlu dibaca dengan Artikel 40(2)(b) yang memberi kuasa kepada Yang Di-Pertuan Agong bertindak berdasarkan budi bicara dalam menentukan sama ada perlu atau tidak parlimen dibubarkan setelah diminta oleh perdana menteri. Berdasarkan pengalaman negara-negara Komanwel, Suruhanjaya Reid mengatakan bahawa terdapat beberapa sebab kenapa pembubaran parlimen perlu diserahkan kepada budi bicara Yang Di-Pertuan Agong, antaranya ialah untuk mengelakkan negara kita dipaksa mengulangi pilihanraya berkali-kali oleh kerajaan yang tidak stabil.

Jika kita teliti semula situasi sekarang, maka bagi saya tidak ada keperluan bagi Yang Di-Pertuan Agong membubarkan parlimen walaupun diminta. Kita baru sahaja menjalankan pilihanraya umum pada Mac 2008 dan kita boleh membentuk kerajaan tanpa perlu satu lagi pilihanraya.

**Professor Dr. Abdul Aziz Bari ialah Professor Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa

- Suara Keadilan

Mujahid: Pakatan hantar surat pada Agong

sumber: malaysiakini

Pakatan Rakyat telah mengutuskan surat rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu, memohon mengadap Seri Paduka, kata Ahli Parlimen PAS bagi Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dalam forum anti-ISA di Pulau Pinang malam tadi.

Jika Seri Paduka memberi perkenan, sepertimana yang diharapkan oleh pemimpinan Pakatan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyerahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya untuk meyakinkan Seri Paduka bahawa peralihan kuasa di Putrajaya tidak dapat dielakkan.

Mujahid berkata, Pakatan bergantung kepada Seri Paduka untuk menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memanggil sidang khas Parlimen untuk berdepan dengan usul tidak percaya yang mahu dibentangkan oleh Pakatan.

Sambil melahirkan keyakinannya bahawa Seri Paduka akan campurtangan untuk menangani krisis politik sekarang, Mujahid berkata, pihak pembangkang dirangsang oleh campurtangan istana dalam menyelesaikan isu pelantikan menteri besar di Perak, Perlis dan Terengganu selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Mengikut perlembagaan

Beliau berkata, keutamaan Pakatan ialah untuk menggunakan semua cara yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk memastikan peralihan kuasa berjalan dengan lancar.

Katanya, Pakatan tidak akan menggunakan cara yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak demokratik tetapi akan terus menggunakan cara yan gdiperuntukan dalam perlembagaan untuk memastikan peralihan kuasa secara lancar.

Anwar mendakwa Pakatan mendapat sokongan majoriti daripada 222 ahli Parlimen (MP), termasuk yang MP Barisan yang didakwanya melompat menyertai pembangkang, bagi mengambil alih kerajaan.

Para pemimpin BN, termasuk perdana menteri, telah menyifatkan dakwaan Anwar itu sebagai satu pembohongan.

Setakat ini, usaha Pakatan untuk mengambil alih kuasa secara perlembagaan belum berhasil.

Abdullah juga enggan bertemu dengan Anwar untuk membincangkan peralihan kuasa. Beliau juga menolak permintaan pembangkang supaya memanggil sidang khas Parlimen bagi membentangkan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Oleh itu, kata Mujahid lagi, langkah seterusnya ialah Istana Negara dan Pakatan berhadap Seri Paduka akan campurtangan dan menasihatkan perdana menteri supaya memanggil sidang khas Parlimen.

Dengan cara itu, kata beliau yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, dapat membuktikan siapa yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Sebelum itu, ketika bercakap di forum tersebut di Georgetown, Mujahid mendesak pemimpin BN, terutama dari Umno, bahawa mereka tidak akan memerintah untuk selama-lamanya.

Sebaliknya, kata beliau, BN harus menerima realiti politik dan bersedia menyerahkan kuasa kepada Pakatan.

Ekoran penahanan ahli Parlimen DAP, Teresa Kok, Raja Petra Kamarudin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah ISA, pembangkang telah menganjurkan siri pertemuan dan majlis menyalakan lilin, untuk membantah undang-undang tersebut.

Pakatan juga turut mengambil peluang daripada pertemuan-pertemuan tersebut untuk mendapatkan sokongan badan-badan sivil dan rakyat untuk menrealisasikan usaha peralihan kuasa tersebut.