Memaparkan catatan dengan label malaysiakini. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label malaysiakini. Papar semua catatan

30 Disember 2008

Budaya konsumer punca kemelesetan ekonomi


Oleh: Hishammudin Rais

Hari ini kita terus membaca dan diberitahu bahawa dunia kapitalis sedang dilanggar krisis yang maha besar. Krisis ekonomi yang sebesar ini belum pernah dialami oleh dunia kapitalis selama 200 tahun. Krisis kali ini lebih buruk daripada zaman kemelesetan tahun 1929.

Kita hanya membaca zaman kemelesetan pada 1929 di Amerika Syarikat. Kita tidak mengalaminya. Kita mengetahui hanya melalui surah sejarah, tidak lebih dari itu. Apa yang kita lihat hanyalah gambar-gambar hitam putih tentang zaman itu.

Apa yang kita hayati hanyalah filem-filem yang cuba menggambarkan suasana dan drama di zaman itu. Zaman kemelesetan besar di Amerika Syarikat berlaku 80 tahun dahulu.

Lapan puluh tahun dahulu Tanah Melayu masih bawah penjajah Inggeris. Getah baru sahaja sampai dari Brazil pada 1902. Sistem ekonomi kapitalis belum melebar.

Jual-beli duit ringgit belum menjadi budaya. Malah banyak warga langsung tidak memiliki duit. Bertukar-tukar barangan masih lagi budaya ekonomi. Masyarakat konsumer yang kita lihat di sekeliling kita hari ini masih belum wujud.

Rumah kita di kampung memakai lampu damar, kita memasak dengan kayu dan mengambil air dari perigi. Kita ke sawah setahun sekali. Di pekan, lampu jalan memakai lampu minyak pam.

Kereta satu benda yang ajaib – kalau bernasib baik kereta melintasi kampung kita – kita berkumpul berkerumun untuk melihatnya.

Saya sendiri belum wujud pada 1929. Apa yang saya tulis ini hanyalah menyambung surah daripada arwah ibu dan ayah saya.

Zaman itu telah lama berakhir. Hari ini kita melihat zaman itu sebagai Zaman Dahulu, kita panggil zaman ini Zaman Lampau atau Zaman Tok Kaduk. Apakah ini tepat?

Sebelum menjawab soalan itu, kita wajib melihat apakah budaya yang sedang kita anuti hari ini.

Untuk ujian pertama, sila buka almari kain baju dan lihat berapa banyak kain baju yang terkumpul dan tidak pernah kita usik-usik. Malah kita terlupa bahawa kita memiliki kain baju ini. Kemudian sila pandang rak kasut. Berapa banyak kasut yang terkumpul?

Jika kain baju bergantang-gantang dan kasut semakin membusut, maka tandanya kita sedang menghayati dan merayakan budaya konsumerisme – budaya yang lahir daripada sistem ekonomi kapitalis.

Budaya konsumer ini telah sampai ke tahap akhiran kerana sistem ekonomi kapitalis tidak lagi berkemungkinan untuk berkembang melainkan menguncup dan akhirnya meleset.

Jangan dengar cakap-cakap para politikus yang memerintah. Mereka sedang berbohong. Kerja dan tugas mereka hanyalah berbohong dan menipu. Jangan percaya bahawa kita semua selamat daripada krisis ekonomi ini.

Jangan percaya bahawa ekonomi Malaysia kukuh. Tidak mungkin kalau semua negara dalam dunia ini telah mengakui bahawa negara mereka sedang menghadapi krisis, mana mungkin hanya Malaysia terselamat! Ini mustahil.

Jaminan politik ini pembohongan. Ia betul-betul macam penafian bahawa Najib Razak tidak mengenal Altantuya Shaariibuu. Bohong.

Fakta: Amerika Syarikat rakan niaga terpenting Malaysia telah memasuki zaman meleset bukan pada 2008 tetapi tahun lalu lagi. Inilah fakta rasmi kerajaan Amerika Syarikat. Negara Iceland telah jatuh muflis.

Tiga syarikat kereta yang terbesar di dunia – Ford, General Motors dan Chrysler – telah jatuh muflis.

Di United Kingdom, syarikat kereta Vauxhall menjalankan dasar “beli satu kereta, dapat satu percuma”. Ini kerana tidak ada lagi orang yang ingin membeli kereta. Di Malaysia pada ketika ini kita boleh beli kereta tanpa duit pendahuluan.

Trend ini hanya permulaan. Akan sampai masanya apabila kereta dari kilang Proton akan tinggal terbengkalai. Satu demi satu bank besar dan syarikat kewangan gergasi tutup kedai.

Harga minyak sawit kita telah jatuh. Harga minyak mentah telah juga jatuh. Bila harga minyak sawit dan harga mentah jatuh, ertinya pendapatan negara kita kurang. Tahun lalu indeks komposit bursa saham Kuala Lumpur naik hingga ke 1,300 mata. Lupa?

Bukankah Abdullah Ahmad Badawi berasa amat bangga dan mengeluarkan kenyataan bahawa ekonomi kita cermerlang, gemilang dan terbilang?

Hari ini indeks komposit hanya di takuk 800 mata. Bukankah ini tanda penunjuk bahawa ekonomi kita sedang merundum? Apakah kalau indeks naik maknanya ekonomi baik - jika indeksnya turun, tidak ada seorang menteri yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka semua telah jadi rabun dan buta.

Tahun hadapan kita akan diamuk lagi. Krisis luaran ini badainya akan sampai. Seperti ombak tsunami – ia bermula di Wall Street New York. Limpahan ombak tsunami ini akan sampai enam bulan kemudian ke Malaysia. Ombak ini pasti akan datang tahun hadapan.

Apakah kita semua sedar bahawa nilai ringgit kita telah jatuh. Maknanya, kalau dulu kita boleh membeli kapal selam dari Perancis dengan harga 10 ringgit sebuah. Hari ini kapal selam yang sama harganya menjadi 12 ringgit.

Duit ringgit rupanya dan warnanya tidak berubah. Apa yang berubah ialah nilainya. Titik sebenar pertanyaan: apakah ada jalan untuk menghadapi krisis ini?

Pasti ada. Sebelum ombak krisis ekonomi ini menggelora sampai kita wajib menilai kembali budaya konsumer yang kita rayakan. Budaya ini ialah budaya pembaziran yang sedang membawa laknat kepada umat manusia.

Kita wajib kembali melihat bumi ini sebagai rahmat untuk kita bercucuk tanam. Tidak ada jalan lain kecuali kita menghidupkan tanaman yang boleh kita makan. Bukan menanam getah atau sawit untuk dieksport agar negara dapat membeli kapal selam. Ini kerja bodoh.

Di Amerika Syarikat dan di Eropah – berjuta-juta buruh telah mula kehilangan pekerjaan. Apabila mereka hilang kerja, mereka tidak ada duit. Apabila mereka tidak ada duit, mereka tidak membeli barang.

Apabila mereka tidak membeli barang – kilang kita yang membuat barang akan ditutup sama. Apabila kilang kita ditutup, kita pula hilang pekerjaan dan kita pula tidak ada duit. Beginilah lingkaran setan dalam sistem global ekonomi kapitalis.

Lingkaran setan ini dapat kita putuskan jika kita kembali berbakti kepada bumi. Bumi bukan untuk diruntuh-rantahkan. Bumi tempat kita bercucuk tanam dan memakmurkan tanaman untuk makanan.
Kita wajib memisahkan diri kita daripada terjerut dalam sistem global ekonomi kapitalis yang memaksa kita menjadi konsumer.

Bernoktahlah sebentar dan lihat kembali Zaman Tok Kaduk dahulu. Tidak ramai yang memiliki duit dan ringgit. Mereka bertukar tenaga bantu-membantu, bergotong-royong. Mereka hidup bukan sebagai konsumer. Mereka hidup sebagai manusia.

Kini telah muncul kembali di banyak tempat di Amerika Syarikat dan di Eropah di mana warga-warga menolak pengunaan duit rasmi dan menggunakan duit mereka sendiri. Ia diamalkan untuk memastikan mereka tidak terperangkap dalam ekonomi konsumer.

Mereka menjalankan perniagaan tukar-menukar. Mereka mahu menjadi manusia yang merdeka bebas daripada belenggu sistem ekonomi kapitalis.

Satu perkara yang wajib kita semua sedari. Pada tahun tahun 1930-an, apabila ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah meleset, apa yang muncul? Perang Dunia Kedua bermula. Dalam sistem ekonomi kapitalis, perang adalah jalan pintas untuk kaum pemodal menjual barangan mereka.

Dalam masa yang sama perang akan memusnahkan apa yang telah mereka buat. Buat, kemudian musnahkan. Buat lagi, dan musnahkan lagi. Ini cara untuk memastikan kilang akan terus bergerak.

Perang menjanjikan industri senjata berkembang. Industri senjata adalah satu-satunya industri yang menjadi pasak dan menjana ekonomi sistem kapitalis. Dalam perang, kemusnhan akan berlaku. Kapal terbang hancur, kereta kebal musnah, peluru dan bom diletupkan – semua ini perlu diganti dan dibuat lagi.

Industri perang adalah industri terbesar - numero uno - untuk Amerika Syarikat. Negara ini, atau lebih tepat Wall Street, sarang kaum pemodal multinasional berkumpul dan merancang.

Pada ketika ini, di kilang-kilang industri perang sedang menggunung dengan peralatan senjata yang belum terjual atau belum musnah.

Justeru, kemungkian perang besar akan bemula tidak boleh diketepikan. Sejarah telah menunjukkan apabila kaum pemodal dilanggar krisis, maka tidak dapat tidak mereka akan merancang perang.

Perang di Iraq, di Afghanistan, Kosovo, Somalia dan di Sudan ini masih belum mencukupi untuk memusnahkan senjata-senjata yang telah sedia dibuat. Kerana itu perang wajib diluaskan ke Iran, Pakistan dan India.

Apa yang berlaku di Mumbai baru-baru ini adalah sebahagian daripada perancangan perang yang lebih luas.

Bernoktahlah sebentar dan mari kita melihat diri kita sendiri. Apakah kita telah terperangkap dalam sistem dan budaya yang dimunculkan secara terancang oleh kaum pemodal internasional?

Apakah kita diperangkap untuk terus menjadi hamba sebagai pengguna dan konsumer untuk membeli barangan yang kini telah menyempit bilik kita sendiri?

Jawapannya – sila buka kembali almari kain baju dan lihat apa yang ada di dalamnya. Jawapannya di hadapan mata.

nota ed: Penulis adalah kolumnis di web berita malaysiakini.com. Artikel di atas adalah hasil tulisan beliau di web berita berkenaan.

21 September 2008

Mujahid: Pakatan hantar surat pada Agong

sumber: malaysiakini

Pakatan Rakyat telah mengutuskan surat rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong beberapa hari lalu, memohon mengadap Seri Paduka, kata Ahli Parlimen PAS bagi Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa dalam forum anti-ISA di Pulau Pinang malam tadi.

Jika Seri Paduka memberi perkenan, sepertimana yang diharapkan oleh pemimpinan Pakatan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyerahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokongnya untuk meyakinkan Seri Paduka bahawa peralihan kuasa di Putrajaya tidak dapat dielakkan.

Mujahid berkata, Pakatan bergantung kepada Seri Paduka untuk menasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya memanggil sidang khas Parlimen untuk berdepan dengan usul tidak percaya yang mahu dibentangkan oleh Pakatan.

Sambil melahirkan keyakinannya bahawa Seri Paduka akan campurtangan untuk menangani krisis politik sekarang, Mujahid berkata, pihak pembangkang dirangsang oleh campurtangan istana dalam menyelesaikan isu pelantikan menteri besar di Perak, Perlis dan Terengganu selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Mengikut perlembagaan

Beliau berkata, keutamaan Pakatan ialah untuk menggunakan semua cara yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk memastikan peralihan kuasa berjalan dengan lancar.

Katanya, Pakatan tidak akan menggunakan cara yang tidak mengikut perlembagaan dan tidak demokratik tetapi akan terus menggunakan cara yan gdiperuntukan dalam perlembagaan untuk memastikan peralihan kuasa secara lancar.

Anwar mendakwa Pakatan mendapat sokongan majoriti daripada 222 ahli Parlimen (MP), termasuk yang MP Barisan yang didakwanya melompat menyertai pembangkang, bagi mengambil alih kerajaan.

Para pemimpin BN, termasuk perdana menteri, telah menyifatkan dakwaan Anwar itu sebagai satu pembohongan.

Setakat ini, usaha Pakatan untuk mengambil alih kuasa secara perlembagaan belum berhasil.

Abdullah juga enggan bertemu dengan Anwar untuk membincangkan peralihan kuasa. Beliau juga menolak permintaan pembangkang supaya memanggil sidang khas Parlimen bagi membentangkan usul tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Oleh itu, kata Mujahid lagi, langkah seterusnya ialah Istana Negara dan Pakatan berhadap Seri Paduka akan campurtangan dan menasihatkan perdana menteri supaya memanggil sidang khas Parlimen.

Dengan cara itu, kata beliau yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, dapat membuktikan siapa yang mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Sebelum itu, ketika bercakap di forum tersebut di Georgetown, Mujahid mendesak pemimpin BN, terutama dari Umno, bahawa mereka tidak akan memerintah untuk selama-lamanya.

Sebaliknya, kata beliau, BN harus menerima realiti politik dan bersedia menyerahkan kuasa kepada Pakatan.

Ekoran penahanan ahli Parlimen DAP, Teresa Kok, Raja Petra Kamarudin dan wartawan Tan Hoon Cheng di bawah ISA, pembangkang telah menganjurkan siri pertemuan dan majlis menyalakan lilin, untuk membantah undang-undang tersebut.

Pakatan juga turut mengambil peluang daripada pertemuan-pertemuan tersebut untuk mendapatkan sokongan badan-badan sivil dan rakyat untuk menrealisasikan usaha peralihan kuasa tersebut.



17 September 2008

PAS tahu senarai MP lompat

Oleh: Jimadie Shah Othman (malaysiakini)

Senarai bilangan ahli Parlimen Barisan Nasional didakwa akan menyertai Pakatan Rakyat telah dikemukakan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat PAS Ahad lalu.

Berdasarkan senarai tersebut, kebanyakan mereka adalah dari Sabah dan Sarawak itu yang beragama Islam, demikian menurut ahli jawatankuasa PAS, Ahmad Awang (foto)

Perkara itu juga turut disahkan oleh seorang lagi ahli jawatankuasa PAS, Hashim Jasin yang juga pesuruhjaya PAS Perlis.

Ahmad, yang juga pesuruhjaya PAS Perak, berkata agenda itu dibawa daripada perbincangan Lajnah Politik parti itu sehari sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, senarai ahli Parlimen yang dikatakan akan melompat parti itu, menurut Ahmad, tidak lengkap.

“Kita hanya umum nama-nama penting sahaja,” katanya kepada Malaysiakini.

Senarai itu, katanya, turut dibentangkan lebih awal dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang berlangsung sebelum itu.

Terdapat wakil MCA,MIC

Ekoran itu, tegasnya, kepimpinan PAS yang menghadiri mesyuarat jawatankuasa pusat tersebut merasa ‘selesa’ dan yakin dengan pelan 16 September.

Dalam senarai itu juga, kata Ahmad, terdapat wakil rakyat dari MCA dan MIC yang akan menyertai Pakatan.

“Sebab itu kita tengok MCA (contohnya) ada hentam penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Itu bunga-bunganya (tanda-tanda hendak keluar daripada BN),” katanya.

Ahmad menegaskan, perancangan Pakatan untuk mengambil alih kerajaan paling lama selepas perhimpunan agung Umno.

"Walaupun mereka kata kita (buat) gimik, sebenarnya mereka panik. Perletakan jawatan (bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Zaid Ibrahim dan pergolakan dalaman Umno menjelang pemilihan parti itu, memberi kelebihan kepada Pakatan,” katanya.

Diminta mengulas beberapa kenyataan pemimpin PAS yang menunjukkan pendirian tidak yakin dengan peralihan kuasa yang diusahakan Anwar, beliau berkata:

“Suara yang tidak percaya adalah dari satu hala, (mereka) agak konservatif. Kita terus dengan keputusan muktamar agung dan dalam masa yang sama berwaspada. Kita mahu mendokong kerajaan yang (pemimpin) Islam dominan. Islam sebagai pasak,” katanya.

Beliau juga menyifatkan teguran keras Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap kenyataan pengarah pilihanraya Pusat parti itu, Mustafa Ali yang berkata 16 September tidak akan berlaku, sebagai pandangan peribadi yang “berlebih-lebihan”.

Strategi politik

Manakala Hashim yang turut hadir dalam mesyuarat itu Ahad lalu mengesahkan wujudnya senarai tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat hanya dimaklumkan mengenai bilangannya sahaja mengikut pecahan negeri.

“(Contohnya) mesyuarat sebut Sabah berapa bilangan, Sarawak berapa bilangan, macam itulah,” katanya kelmarin telah diisytiharkan sebagai wakil rakyat Sanglang, Perlis .

Bagaimanapun, katanya, tidak ada sebarang keputusan muktamad dibuat dalam perbincangan mengenai senarai itu.

Hashim berkata, beliau tidak tahu sama ada senarai penuh diketahui oleh pemimpin-pemimpin tertentu PAS dan tidak diumumkannya atas alasan strategi politik.

“(Presiden PAS, Datuk Seri) Abdul Hadi Awang pun bukan semua dia boleh bagi tahu kita,” katanya.

16 September 2008

Pasca 916: PAS retak menanti belah

Oleh: Jimadie Shah Othman (malaysiakini)

Gara-gara projek pembentukan kerajaan baru pada 16 September seperti diura-urakan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, PAS pula yang terpaksa bertelagah sesama sendiri khususnya antara Mursyidul Amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali.

Susulan sikap kritikal Mustafa terhadap projek Anwar dalam wawancaranya dengan Harakah dan Utusan Malaysia minggu lalu, Nik Aziz menyifatkan pengarah pilihanraya parti itu "sudah menjadi lidah Umno" dan "betul-betul serupa dengan nada presiden Umno".

Dalam kenyataannya sebagai reaksi terhadap pandangan Mustafa, Nik Aziz turut menyifatkan PAS Terengganu "telah tersalah memilih seorang pesuruhjaya" dengan membandingkan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang menganggap tersilap memilih penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tokoh besar PAS itu turut membayangkan Mustafa kemungkinan akan meninggalkan PAS dan menyertai Umno.

Bagaimanapun beberapa bahagian panas kenyataan panjang Nik Aziz ini, yang dikirimkan kepada Harakah, tidak dimuatkan dalam akhbar rasmi parti itu dalam edisi terbarunya.

Tidak cukup dengan serangan itu, Nik Aziz mengulangi kritikannya kepada Mustafa dalam ceramah di Markaz Tarbiah PAS di Gombak, Ahad lepas, dua hari selepas kenyataan kontroversi itu diterbitkan.

Dihubungi Malaysiakini semalam, pesuruhjaya itu enggan mengulas kenyataan Nik Aziz.

Mustafa dalam kedua-dua akhbar itu berpendapat perubahan kerajaan yang cuba diusahakan Anwar hari ini "tidak mungkin berlaku" dengan dua alasan.

Pertama, pada tarikh itu, Dewan Rakyat tidak bersidang, maka undi tidak percaya terhadap perdana menteri tidak boleh dibawa walaupun majoriti ahli parlimen menyebelahi Pakatan Rakyat.

Beliau juga dilaporkan berkata, secara politiknya, tidak pernah berlaku wakil rakyat kerajaan melompat parti untuk menyertai pembangkang.

Beberapa jam sebelum serangan sinis Nik Aziz kelmarin, seorang wartawan Harakah terpaksa menarik balik kenyataan penuh menteri besar Kelantan itu daripada blognya atas arahan ketua pengarang eksekutif akhbar itu Ahmad Lutfi Othman (foto kanan).

"Beberapa alasan telah diberi, namun saya pasti sebenarnya beliau tersepit.

"Malangnya oleh kerana kebimbangan saya di atas beberapa sebab, saya dengan itu menarik kembali artikel tersebut dengan rasa berat hati dan merasai kebebasan bersuara telah disekat," catat Wan Nordin Wan Yaakob di blognya Politik Suku Sakat (wannordinwanyaakob.blogspot.com).

Tambahnya, seorang lagi wartawan akhbar rasmi PAS itu "turut menerima tamparan apabila seorang pemimpin menghubunginya dan meminta isu itu jangan dihebahkan, malah kenyataan Tok Guru (Nik Aziz) itu katanya (pemimpin itu) melampau."

"Saya hanya penulis picisan yang terhimpit dengan ideologi politik suku-sakat, dan inilah yang dikatakan 'Politik Suku Sakat', akhirnya saya juga yang terkena penahan mereka," kata wartawan itu lagi.

Wan Nordin, yang menulis berita 'Mursyidul am mahu Pakatan Rakyat diperkukuh: Mustafa ditegur', bagaimanapun tidak mendedahkan pemimpin-pemimpin PAS yang mengganggu beliau dan wartawan wanita itu.

Usaha Malaysiakini menghubunginya hari ini gagal.

Dalam kenyataan yang sama, kini beredar lebih meluas dalam kalangan penyokong PAS yang pro-kerjasama dengan Pakatan Rakyat, Nik Aziz turut melahirkan kebimbangannya apabila Harakah sendiri terlibat menyiarkan pandangan Mustafa yang meragui usaha menumbangkan kerajaan BN gaya Anwar itu.

"Saya tidak dapat bayangkan bagaimana Harakah boleh memainkan peranan sebagai lidah rasmi parti dan organ parti, apabila orang nombor satu (Mustafa) yang merupakan pesuruhjaya PAS Terengganu ini telah mengambil sikap membelakangi keputusan Muktamar," kata Nik Aziz.

"Saya percaya, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi pojok, cerita, berita dan analisis yang dibuat.

"Dengan dibenarkan penerbitan dua kali seminggu maka lebih cepat lagilah ia boleh merosakkan imej Harakah. Pada logiknya, pembaca Harakah akan berkurangan.

"Saya fikir suatu keputusan perlu dibuat mengenai perkara ini."

Bagaimanapun ada pihak yang menganggap kenyataan mursyidul am PAS dikarang oleh "kumpulan Erdogan", pemimpin-pemimpin muda beraliran moderat yang dikatakan diketuai oleh naib presiden PAS Datuk Husam Musa - beliau bagaimanapun menafikannya.

"Saya tidak percaya (kenyataan) itu adalah tulisan Tuan Guru Nik Aziz ataupun kenyataan yang keluar dari isi hati dan lidah beliau.

"Nik Aziz yang kita semua kenal tidak pernah menyerang peribadi seseorang secara terbuka, lebih-lebih lagi sesama pimpinan PAS," kata blog Anti Husam, yang pertama kali memperkenalkan ungkapan "kumpulan Erdogan", bersempena perdana menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan.

"Saya percaya Husam dan/atau kumpulan Erdogannya berperanan besar untuk mengeluarkan kenyataan tersebut... sama ada disedari oleh Nik Aziz ataupun tidak.

"Mana mungkin Nik Aziz menyebut perkataan 'standing ovation' (tepukan hormat sambil berdiri) dalam kenyataannya.

"Lebih-lebih lagi fakta yang kononnya muktamar memutuskan untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat secara standing ovation tidak tepat sama sekali."

Pertembungan kali ini mengesahkan wujudnya dua puak, atau setidak-tidaknya dua aliran, dalam PAS yang saling berbeza pandangan berhubung isu pertukaran kerajaan pada 16 September, muqabalah dengan Umno dan kerjasama dengan Pakatan Rakyat.

Namun, kenyataan senada dengan Mustafa itu bukan pertama kali dikeluarkan oleh pemimpin atasan parti itu.

Naib presidennya Mohamad Sabu baru-baru ini pernah menyatakan keraguannya pada projek Anwar tersebut.

Bagaimanapun, oleh kerana beliau dilihat tidak cenderung kepada kumpulan tertentu, pandangan bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu tidak menimbulkan pertikaian besar seperti Mustafa.

Lagipun, Mohamad dikatakan pro-kerjasama dengan Pakatan Rakyat dan tidak selesa dengan rundingan PAS-Umno.

Berbeza dengan Mustafa yang dilihat sebagai seorang arkitek dalam projek muqabalah dengan sokongan penuh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang - kedua-duanya tokoh berpengaruh dari Terengganu.

Dua aliran ini turut mempengaruhi beberapa pihak lagi dalam PAS. Badan perhubungan PAS Johor menyokong Mustafa, sementara Kelab Penyokong PAS menyebelahi Nik Aziz.

Apakah kita akan menyaksikan keretakan yang lebih besar dalam PAS susulan kemenangan besar parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu yang mulai ketara menjelang dan sewaktu muktamar ke-54 di Ipoh?

15 September 2008

Zaid serah surat letak jawatan

Oleh: Malaysiakini

Datuk Zaid Ibrahim, yang mengkritik kerajaan kerana menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) minggu lepas, telah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebentar tadi.

Menurut sumber, surat tersebut diserahkan kepada pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada 2 petang.

Zaid melahirkan rasa tidak senangnya pada langkah kerajaan menangkap exco kerajaan Selangor dan juga ahli parlimen DAP Teresa Kok, pengendali blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin dan wartawan Sin Chew Daily Tan Hoon Cheng atas dakwaan mengancam keselamatan negara, Jumaat lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zaid gagal mempertahankan jawatan ketua Umno bahagian Kota Bharu selepas tidak mendapat cukup pencalonan.

Beliau hanya mendapat 17 pencalonan, kurang tujuh daripada yang diperlukan.

Semua 116 cawangan telah mengadakan mesyuarat tetapi empat cawangan diarahkan bermesyuarat semula kerana masalah teknikal.

Berikutan itu, jawatan ketua Umno bahagian Kota Bharu dimenangi oleh bekas timbalannya Datuk Mohd Fatmi Che Salleh, pemangku jawatan tersebut sewaktu Zaid digantung keahlian selama tiga tahun kerana politik wang.

Ahli jawatankuasa Umno bahagian Che Mansor Adabi berkata, kegagalan Zaid itu kerana ahli mahukan perubahan kepada pucuk pimpinan bahagian.

"Ia mungkin ada kaitan dengan politik Umno yang sedang berlaku sekarang," katanya.

Mohd Fatmi kini setiausaha politik Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


11 September 2008

Ramlang ditukar ke Jakim

Oleh: Jimadie Shah Othman (malaysiakini)

Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi telah ditukar ke bahagian pentadbiran dan kewangan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya, berkuatkuasa 9 September lalu.

Surat bertarikh 8 September itu ditandatangani oleh pengarah bahagian berkenaan, Abdul Murat Abdul Wahab.

Surat tersebut tidak menyatakan sebab-sebab Ramlang ditukar ke bahagian berkenaan.

Bagaimanapun, surat itu menyatakan Ramlang dikekal pada Gred 17.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Ahmad Nizam Hamid ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Pada 15 Ogos lalu, Ramlang adalah antara empat imam Masjid Wilayah Persekutuan yang diarahkan menghadiri majlis angkat sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan di masjid tersebut yang mendakwa dia diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun.

Ramlang kemudiannya muncul di tiga majlis anjuran Pakatan Rakyat pada 24 Ogos lalu - dua hari sebelum hari pengundian pilihanraya kecil Permatang Pauh - meminta supaya beliau tidak dikaitkan dengan majlis sumpah laknat Saiful kerana hadir tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.

Ramlang juga menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah Saiful itu tetapi tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Sementara itu, Ahmad Nizam berharap tindakan Jakim itu tidak bersifat 'pemecatan konstruktif'.

"Ini bukan pemecatan tetapi memberi tekanan kepada pekerja. Dalam kes ini kadang-kadang mereka bagi meja dan kerusi tapi kerja tidak ada.

"Saya harap Jakim tidak melakukanm perkara itu (terhadap Ramlang)," katanya.

Menurut Ahmad Nizam lagi, sudah tentulah anak guamnya kini dalam keadaan sedih.

Katanya, walaupun gred jawatan Ramlang adalah sama tetapi dia tidak lagi menjadi imam.

10 September 2008

Kes Anwar ditangguh kepada 24 Sept

Oleh: malaysiakini











kemaskini 11:40 pgMahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menangguhkan kes liwat terhadap Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 24 September depan ekoran bantahan terhadap perintah yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Apabila kes itu disebut pada jam 9.58 pagi tadi di hadapan Hakim SM Komathy Suppiah, pihak pendakwa telah mengemukakan perintah untuk memindahkan kes tersebut ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun, para peguam Anwar mempertikaikan perintah tersebut kerana ia ditandatangani oleh Abdul Gani, yang menurut mereka, tidak sepatutnya terbabit dalam kes tersebut kerana beliau adalah pihaknya disebut dalam aduan polis yang dibuat oleh Anwar berhubung dakwaan mereka bukti terhadapnya pada 1998.

Mereka berhujah bahawa sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Abdul Gani dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan tidak akan terbabit secara langsung dalam kes liwat terhadap Anwar.

Anwar telah membuat laporan polis terhadap Abdul Gani dan Musa yang didakwanya telah mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya 10 tahun yang lalu.

Hakim Komathy kemudian menetapkan 24 September untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujah terhadap kesahihan perintah pemindahan kes yang ditandatangani oleh Abdul Gani itu.

Anwar meninggalkan mahkamah pada kira-kira jam 11.14 pagi.

Diserbu wartawan

Sebelum itu, Anwar tiba di Mahkmah tersebut jam 9.30 untuk sebutan tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan penghujung Jun lalu.

Anwar tiba dengan diiringi oleh peguamnya Sankara Nair; isterinya Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga presiden PKR serta dua orang anaknya - Nurul Izzah dan Nurul Hanna.

Sebaik sahaja tiba, Anwar diserbu oleh para wartawan dan jurugambar yang berada di situ untuk membuat liputan kesnya pagi ini.

Bagaimanapun, mantan timbalan perdana menteri itu tidak bercakap kepada pemberita.

Kira-kira 100 penyokong penyokongnya turut hadir. Anwar masuk ke bangunan mahkamah pada kira-kira jam 9.35 pagi.

Beliau dihadapkan di mahkamah yang sama pada 7 Ogos lalu atas tuduhan tersebut dan Hakim SM Komathy membenarkan Anwar dibebaskan dengan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Beliau juga menetapkan kes itu disebut pada hari ini.

Lima trak FRU


Menurut kertas pertuduhan terhadapnya, Anwar didakwa melakukan tuduhan tersebut pada petang 26 Jun lalu di sebuah bilik di Desa Damansara Condominium, Bukit Damansara.

Jika disabitkan kesalahan bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan, Anwar boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pemimpin PKR telah memberi amaran akan berlakku protes jalanan sekiranya ikatjamin terhadap Anwar dibatalkan.

Anwar, yang menang pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos lalu, berkata beliau bakal menubuhkan kerajaan baru lewat bulan ini dengan bantuan ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang menurutnya akan menyertai Pakatan Rakyat.

Sementara itu, pihak polis telah meningkatkan kawalan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Sekurang-kurangnya lima trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ditempat di situ.

Para wartawan pula diminta mendaftarkan di tiga tempatan sebelum dibenarkan masuk ke dewan mahkamah untuk mengikuti kes Anwar

05 September 2008

"Pelapis Ulama PAS mengecewakan" - Mat Sabu

Oleh: Jimadie Shah Othman (malaysiakini)

Barisan pelapis kepemimpinan ulama PAS kini berada dalam keadaan krisis – pengetahuan mereka yang berusia bawah 40 tahun "paling tidak memuaskan" dan tertumpu aspek keagamaan sahaja, kata naib presidennya Mohamad Sabu.

"Saya selalu dengar ceramah-ceramah ulama muda ini. Masih stereotaip. Daripada ucapannya, kita tahu daripada sudut bacaannya," katanya kepada Malaysiakini.

"Masih mengecewakan saya," jelasnya lagi, mengulas prestasi kepemimpinan ulama yang disokong beliau sejak diperkenalkan awal 1980-an selepas terpengaruh dengan kejayaan Revolusi Islam Iran.

Berbeza dengan generasi tua pemimpin ulama parti itu, kata penceramah popular itu, barisan muda lulusan agama PAS sekarang dilatih di negara-negara Arab yang tidak demokratik sehingga menyebabkan mereka hanya bertujuan lulus peperiksaan.

"Sebab kita lihat, latar pengajian mereka di Mesir, Arab Saudi, Syria. Negara-negara ini terkongkong daripada sudut politiknya, pendedahannya, dengan penindasan yang berlaku di sana.

"Sekarang ini, kalau di Mesir, Syria dan negeri-negeri Arab, semuanya negeri yang diktator.

"Jadi, aliran pengajian mereka (bergantung) kepada buku untuk lulus peperiksaan. Itu yang saya rasa rimas sikit dengan perkara-perkara macam ini," katanya sewaktu ditemui di kediamannya di Shah Alam semalam.

"Berlainan dengan ulama-ulama kita di tahun 1950-an dan 1960-an. Kebanyakannya lulusan (agama) dari India.

"Jadi di sana, di universiti-universiti Aligarh, Deoband dan sebagainya, (orientasinya) lebih bersikap sains politik. (Misalnya) profesor Zulkifli Mohamad di zaman itu."

Bekas ahli parlimen Kuala Kedah itu menambah, barisan ulama di beberapa negara lain seperti Iran dan Lubnan mempunyai gabungan kepakaran semasa dan ilmu agama.

"Kita harap ulama-ulama kita pun sampai ke peringkat itu. Ertinya, bukan hanya bidang fekah semata-mata tetapi boleh bercakap dalam pelbagai bidang.

"Jadi, kepimpinan ulama perlu dipertahankan, tetapi perlu peningkatan," katanya.

31 Julai 2008

Kak Wan lepas kerusi Permatang Pauh untuk suaminya

Oleh Malaysiakini

Wan Azizah berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini. Permatang dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Wan Azizah menang besar dengan majroti 13,388.


Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melepas kerusi Parlimen Permatang Pauh untuk membuka laluan kepada suaminya, yang juga Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihanraya kecil untuk kerusi tersebut.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat PKR di Petaling Jaya, Wan Azizah berkata, beliau bagaimanapun kekal sebagai presiden PKR.

Wan Azizah berkata, beliau telah menghantar surat peletakan jawatan tersebut kepada Speaker Dewan Rakyat hari ini.

Permatang dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum lalu, Wan Azizah menang besar dengan majroti 13,388.

Beliau mendapatkan 30,348 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Pirdaus.

29 Julai 2008

Muzakarah: Ketua Penerangan PAS pohon maaf

Oleh Malaysiakini

Kenyataan Mahfuz ini membayangkan kemungkinan mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tidak diberikan maklumat yang lengkap sehingga beliau minggu lalu menyokong "bersemuka" dengan pemimpin Umno - walaupun beberapa hari sebelum itu menggesa "muzakarah" PAS-Umno dihentikan.


PAS bulan lalu menafikan wujudnya rundingan PAS-Umno kerana mereka yang terlibat dalam pertemuan sulit itu tidak memaklumkan kepada jawatankuasa pusat parti itu, kata ketua penerangannya Mahfuz Omar.

"Ia (penafian) adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS," katanya dalam satu surat terbuka memohon maaf kepada ahli dan penyokong parti itu.

"Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno."

Hasil maklumat yang tidak lengkap itu, PAS mengarahkan Mahfuz mengeluarkan kenyataan menafikan pertemuan dua parti itu pada 10 Jun.

Dalam kenyataan awalnya itu, Mahfuz "menafikan sekeras-kerasnya parti itu pernah mengadakan rundingan sulit dengan Umno" dan menyifatkan laporan laman web dan mesej SMS tentang pertemuan itu sebagai "fitnah".

Beliau berkata penyebaran berita seumpama itu sebagai "mainan politik politik dan perang saraf jahat" pihak media dan BN dalam usaha mereka untuk "pecah dan perintah Pakatan Rakyat".

Mahfuz juga berkata penyebaran itu bertujuan "menyuntik jarum kecurigaan dan kesangsian komponen parti Pakatan, rakyat dan pengundi terhadap PAS."

Dalam kenyataan panjang lapan perenggan hari ini, Mahfuz memohon maaf selepas dianggap "membohongi" ahli dan penyokong PAS sehingga menerima kritikan banyak pihak.

"Saya sedar kesilapan yang telah saya lakukan apabila mengumumkan tiada sebarang pertemuan dan rundingan antara kedua-dua parti.

"Saya menerima banyak teguran dan kritikan di atas 'pembohongan' ini daripada ahli-ahli dan penyokong PAS baik yang Islam atau yang bukan Islam serta rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau menambah: "Oleh kerana tindakan beberapa individu atas nama PAS tanpa pengetahuan jawatankuasa kerja PAS pusat dan tidak pula memaklumkan tindakan mereka secara terperinci kepada parti, maka PAS mengarahkan saya membuat kenyataan menafikan adanya pertemuan dan rundingan tersebut.

"Ia adalah salah faham akibat adanya maklumat yang disembunyikan daripada pengetahuan jawatankuasa kerja PAS pusat."

Kenyataannya bulan lepas "bukanlah atas sifat peribadi" tetapi dibuat "atas kapasiti sebagai ketua penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan beliau berbuat demikian."

Pendedahan Mahfuz ini bertentangan dengan kenyataan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini yang menyebut rundingan itu telah dimaklumkan kepada jawatankuasa pusat dan majlis syura ulama PAS.

"Berikutan itu majlis syura ulama PAS telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung PAS bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh dalam menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam," kata Abdul Hadi, mengakui pendedahan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi 20 Julai lepas.

Abdullah membongkar pertemuan peringkat tertinggi melibatkan beliau sendiri dan Nasharuddin sebanyak tiga kali dalam rundingan dua parti itu, antaranya untuk perkongsian kuasa sejurus selepas keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Kenyataan Mahfuz ini membayangkan kemungkinan mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri tidak diberikan maklumat yang lengkap sehingga beliau minggu lalu menyokong "bersemuka" dengan pemimpin Umno - walaupun beberapa hari sebelum itu menggesa "muzakarah" PAS-Umno dihentikan.

---------------------

Berikut kenyataan penuh "permohonan maaf" Mahfuz, yang juga ahli parlimen Pokok Sena:

Kepada,
Semua ahli, penyokong dan pengundi PAS.

Pertamanya marilah kita bersyukur kepada Allah di atas segala nikmatnya. Saya menuliskan surat terbuka ini adalah dengan tujuan untuk memohon maaf kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas kenyataan saya baru-baru ini yang menafikan wujudnya sebarang pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno. Saya memohon berbanyak kemaafan di atas keterlanjuran ini.

Sebenarnya kenyataan yang saya buat sebelum ini bukanlah atas sifat peribadi saya, tetapi dibuat atas kapasiti sebagai ketua penerangan PAS berdasarkan keputusan parti yang mengarahkan saya berbuat demikian.

Saya tidak menyalahkan pimpinan PAS yang mengarahkan saya berbuat demikian, tetapi ia adalah kesalahan beberapa individu yang gagal memberikan maklumat sebenar kepada pimpinan PAS.

Tindakan mereka merahsiakan perkara-perkara tertentu berkaitan pertemuan dengan Umno telah menyebabkan pimpinan PAS mengambil pendirian bahawa tiada pertemuan dan rundingan antara PAS dengan Umno.

Saya berharap individu terbabit dapat tampil ke hadapan membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan penyokong PAS tentang pertemuan berkenaan termasuk butir-butir perbincangan seperti yang didedahkan oleh presiden Umno baru-baru ini.

Mereka juga harus bertanggungjawab secara khusus dalam masalah ini kerana tindakan peribadi mereka.

Saya sendiri amat terkejut dengan pendedahan tersebut yang sama sekali bertentangan dengan kenyataan saya sebelum ini. Ia kemudian disahkan oleh Presiden PAS.

Lebih memeranjatkan lagi apabila "muzakarah" tentang kepentingan Islam dan ketuanan Melayu yang didedahkan oleh presiden Umno telah bertukar menjadi rundingan untuk membawa PAS menyertai kerjasama politik dengan Umno/BN.

Sebelum ini kami sendiri tidak dimaklumkan tentang apa yang didedahkan oleh Umno ini, bahkan kami diberitahu tiada sebarang pertemuan dan rundingan rasmi antara kedua-dua parti.

Apabila bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut mendedahkan adanya rundingan khas selama empat hari berturut-turut selepas pilihanraya baru-baru ini, saya berpandangan ia adalah tindakan peribadi individu tertentu tanpa melibatkan sebarang keputusan parti.

Kerana itu, saya tidak mempunyai sebarang maklumat berkaitan rundingan yang disebut oleh Dr Mohamad Khir itu.

Saya berharap individu yang terbabit ini turut membuat penjelasan kepada ahli-ahli dan mengambil tanggungjawab di atas apa yang berlaku.

Atau saya meminta Dr Mohamad Khir Toyo yang mengaku turut terlibat dalam pertemuan di antara perdana menteri dan beberapa pimpinan PAS agar dapat memperincikan butir-butir pertemuan tersebut supaya kita dapat sama-sama mengetahuinya.

Oleh kerana tindakan beberapa individu atas nama PAS tanpa pengetahuan jawatankuasa kerja PAS pusat dan tidak pula memaklumkan tindakan mereka secara terperinci kepada parti, maka PAS mengarahkan saya membuat kenyataan menafikan adanya pertemuan dan rundingan tersebut.

Ia adalah salah faham akibat adanya maklumat yang disembunyikan daripada pengetahuan jawatankuasa kerja PAS pusat.

Saya sedar kesilapan yang telah saya lakukan apabila mengumumkan tiada sebarang pertemuan dan rundingan antara kedua-dua parti.

Saya menerima banyak teguran dan kritikan di atas "pembohongan" ini daripada ahli-ahli dan penyokong PAS baik yang Islam atau yang bukan Islam serta rakan-rakan daripada Pakatan Rakyat.

Kerana itu, dengan hati yang terbuka saya ingin memohon maaf di atas kesilapan yang saya tidak sengajakan itu.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada seorang profesor universiti tempatan yang telah mengingatkan bahawa "jika kita lupakan sejarah, sejarah akan mendera kita".

Saya amat sedar tentang hakikat sejarah berkaitan kerjasama PAS-Umno yang telahpun saya sebutkan dalam kolum saya di Harakah pada minggu lepas.

Saya mengakui bahawa sejarah tidak pernah berulang, sebaliknya yang berulang ialah kesilapan manusia.

Saya menyeru pimpinan PAS supaya jujur kepada ahli-ahli dan penyokong parti serta berusaha memperkukuhkan pakatan politik sedia ada.

Saya mengajak ahli-ahli PAS memerhatikan hakikat sejarah yang ada supaya kesilapan itu tidak berulang.

Akhirnya, sekali lagi saya memanjatkan jutaan kemaafan kepada semua ahli dan penyokong PAS di atas ketelanjuran yang berlaku.

Saya bersedia untuk menerima apa sahaja teguran dan kritikan membina untuk kebaikan bersama dan saya juga rela dihukum oleh ahli-ahli di atas kesilapan yang tidak sengaja saya lakukan ini.

Maafkanlah saya.

Sekian, wassalam.

Hj Mahfuz Hj Omar
Ketua Penerangan PAS Pusat

09 Julai 2008

Selepas ini demo atas jalan - Protes

Jimadie Shah Othman (Malaysiakini)

Bagaimanapun, tempat perhimpunan itu ditukar pada saat-saat ke Stadium Kelana Jaya. Perubahan itu dibuat atas keputusan pimpinan Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor.




Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) sudah "serik" mengadakan perhimpunan di tempat tertutup, khususnya di stadium kerana ia kurang mendapat sambutan.

Perhimpunan sejuta rakyat anjurannya Ahad lalu yang berlangsung di Stadium Kelana Jaya hanya dihadiri oleh kira-kira 10,000 orang pada sebelah siangnya.

Manakala acara kemuncak berupa ucapan tokoh-tokoh Pakatan Rakyat, terutama ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dihadiri oleh kira-kira 25,000 orang.

Pada mulanya dijadual diadakan di KLCC tetapi kemudiannya dipindah ke Padang Timur, Petaling Jaya. Tarikhnya diubah dari 5 kepada 6 Julai.

Bagaimanapun, tempat perhimpunan itu ditukar pada saat-saat ke Stadium Kelana Jaya. Perubahan itu dibuat atas keputusan pimpinan Pakatan Rakyat dan kerajaan negeri Selangor.

Dalam mesyuarat post mortem Protes petang semalam, pelbagai perkara, termasuk factor sambutan itu, serta insiden yang membabitk kumpulan pemuzik jemputan, telah dibincang secara panjang lebar.

Ambil pengajaran

Ahli jawatankuasa Protes, S Arutchelvan memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya memutuskan tidak akan lagi mengadakan sebarang perhimpunan di tempat tertutup, seperti stadium.

Katanya, tempat seumpama itu tidak sesuai untuk mengadakan protes seperti yang terbukti Ahad lalu di mana kehadiran orang ramai kurang daripada sasaran.

Selepas itu, beliau berkata, pihaknya tidak akan ada lagi protes diadakan di dalam stadium.

Mengenai insiden membabit kumpulan pemuzik pula, Arutchelvan berkata, pihaknya kesal dan mengambil pengajaran daripada apa yang telah berlaku.

Bagaimanapun, beliau menganggap ianya satu insiden kecil yang tidak mengganggu keseluruhan program tersebut.

04 Julai 2008

Protes Sejuta Turun berpindah ke Stadium Kelana Jaya

Oleh Jimadie Shah Othman (Malaysiakini)

Penyelaras Protes Dr. Hatta Ramli ketika dihubungi mengesahkan pertukaran tempat itu tetapi belum mahu menjelaskan butiran lanjut perkara itu.


Perhimpunan aman Protes Sejuta Rakyat Ahad ini yang dijadual diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya telah ditukar ke Stadium Kelana Jaya.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Angkatan Muka PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Menurut Shamsul, perubahan tempat ini diputuskan dalam mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

Difahamkan mesyuarat tersebut diadakan di rumah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut.

Stadium Kelana Jaya boleh memuatkan 50,000 tempat duduk. Manakala padangnya pula boleh memuatkan jumlah hadirin yang sama.

Penyelaras Protes Dr. Hatta Ramli ketika dihubungi mengesahkan pertukaran tempat itu tetapi belum mahu menjelaskan butiran lanjut perkara itu.

Semalam, Ketua polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan tersebut.

Katanya, beliau telah menasihatkan menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan.

Menurutnya lagi, jika masih ingin meneruskannya, ia boleh dipindahkan ke lokasi lebih sesuai seperti Stadium Shah Alam atau Stadium Malawati, juga di Shah Alam.

26 Mei 2008

Ezam, Badrul akan sertai UMNO?

Oleh Muda Mohd Noor (malaysiakini)

beritaAhli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Badrul Hisham Shaharin enggan mengulas ura-ura bahawa beliau akan menyertai Umno bersama bekas ketua Angkatan Muda (AMK) parti itu Mohd Ezam Mohd Nor.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Tetapi saya akan membuat pengumuman selepas saya berbincang dengan Ezam.

"Saya menerima banyak pertanyaan mengenai perkara ini tetapi ketika ini saya enggan membuat komen," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta mengulas satu coretan di sebuah blog yang mendakwa "satu pertemuan sulit" antaranya dengan Ezam beberapa minggu sebelum bekas setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaporkan akan menyertai Umno.

Dalam pertemuan tersebut, menurut blog itu lagi, Mohd Ezam meyakinkan bekas calon parlimen Rembau itu agar turut menyertai Umno "bagi mengukuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyekat kemaraan penentang-penentang perdana menteri".

"Dengan ini 'reformasi' dan perang melawan rasuah lebih mudah untuk dilakukan," catatan di blog itu dipetik, yang mendakwa ia menerima maklumat tersebut daripada mesej emel yang dikirimkan kepadanya.

"Ezam juga menjanjikan jawatan besar kepada Badrul jika beliau setuju untuk masuk Umno."

Kedua-duanya aktif dalam AMK sebelum Ezam meninggalkan sayap pemuda itu dan kemudian bersama Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (Gerak), yang ditubuhkan Ezam, selepas pemimpin itu meninggalkan PKR.

Badrul terpilih sebagai anggota MPT dalam mesyuarat agung PKR tahun lepas.

16 Mei 2008

Suruhanjaya klip video cadangkan supaya siasat 6 individu termasuk Dr. M

Oleh Malaysiakini

beritaSuruhanjaya diraja yang menyiasat skandal klip video Lingam mengesyorkan supaya mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima orang lagi disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim-hakim.

Lima tokoh tersebut - dua bekas ketua hakim negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin, peguam kanan Datuk VK Lingam, bekas menteri pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga setiausaha agung Umno serta tokoh perniagaan Tan Sri Vincent Tan.

Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya mereka disiasat bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.

Menteri di jabatan perdana menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata hari ini bahawa kabinet telah mengarahkan Pejabat Peguam Negara untuk memulakan siasatan secepat mungkin terhadap keenam-enam mereka.

Sebelum itu, Zaid berkata kerajaan memutuskan untuk mengumumkan laporan suruhanjaya diraja itu.

Orang ramai boleh membeli laporan tersebut mulai minggu depan pada harga RM542.10 senaskhah.

Salinan laporan tersebut tidak diedarkan kepada pihak media.

Laporan setebal 191 halaman itu telahpun diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lepas.

Suruhanjaya diraja itu dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor sebagai pengerusi, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguam Cara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah profesor emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Suruhanjaya itu dibentuk bagi menyiasat klip video 14 minit yang didakwa memaparkan seorang peguam Lingam, sedang bercakap menerusi telefon dengan seorang yang didakwa hakim kanan, kononnya bagi mengatur pelantikan hakim.

Seramai 21 saksi termasuk Dr Mahathir dan tiga bekas ketua hakim negara dipanggil memberi keterangan dalam siasatan yang memakan masa selama 17 hari bermula 14 Januari lalu.

19 April 2008

Minda Melayu perlu stabil

oleh: Malaysiakini

Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah bertitah tiada apa yang lebih penting daripada kestabilan minda masyarakat Melayu. Kestabilan minda akan dapat menghasilkan sangka baik antara kaum dan seterusnya masyarakat Malaysia berada dalam keadaan harmoni.

Baginda bertitah, "Agama Islam, kedaulatan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu adalah antara perkara yang tidak pernah lepas daripada perhatian Raja-Raja Melayu.”

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah sembah setia sempena sambutan Hari Keputeraan Ke-80 Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini.

Tambah baginda lagi, "Raja-Raja Melayu amat memahami bahawa kestabilan politik negara sangat bergantung kepada persediaan minda orang-orang Melayu menghadapi perubahan."

Turut berangkat di majlis tersebut ialah Raja Pemaisuri Perak Tuanku Bainun, Raja Dihilir Perak Raja Jaffar Raja Muda Musa, Raja Puan Muda Raja Normahani Raja Shahar Shah, kerabat diraja Perak, Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin, barisan exco kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan.

Menteri Besar dalam ucapan persembahan tahniah dan setianya, berkata kerajaan negeri sedang merangka pelan strategik yang berteraskan prinsip-prinsip amanah, adil, telus dan berkebajikan di samping meneruskan agenda pembangunan yang telah dirancang oleh kerajaan terdahulu.

"Keutamaan yang akan patik dan kerajaan lakukan hari ini ialah program-program yang memberi kebajikan dan kesejahteraan rakyat...kerajaan negeri berazam meneruskan dan memperkukuhkan dasar pembangunan negeri berpaksikan prinsip dan nilai sejagat.

"Patik akan sentiasa mendukung institusi Raja Berperlembagaan di negeri ini yang sentiasa merupakan sebahagian sejarah dan sistem berkerajaan di bumi Melayu. Patik akur dan menyedari bahawa institusi Raja Berpelembagaan akan kekal relevan dan memenuhi peranan besar pada sepanjang masa seiring dengan undang-undang tubuh negeri yang menyatakan bahawa kuasa pemerintah negeri hendaklah terletak hak kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku."