Memaparkan catatan dengan label presiden pas. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label presiden pas. Papar semua catatan

17 Oktober 2008

Krisis ekonomi global tanda gagal sistem kapitalis

Irwan Muhammad Zain (harakahdaily.net)

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyifatkan krisis ekonomi global sebagai tanda kegagalan sistem kapitalis yang selama ini didewa-dewakan oleh negara Barat.

Kesan dari krisis ekonomi global ini, kata Ustaz Hadi memaksa negara seperti Amerika Syarikat mengeluarkan dana yang besar untuk membantu syarikat yang hampir muflis.

"Amerika Syarikat begitu angkuh sebelum ini hingga sanggup menyerang negara lain semata-mata untuk kepentingan ekonomi mereka," kata beliau.

Beliau turut menegaskan sistem ekonomi kapitalis yang lebih mementingkan keuntungan kepada satu pihak menyebabkan banyak syarikat kewangan yang muflis.

Mengambil contoh kegagalan Bank Bumiputera yang kini hanya tinggal nama akibat mengamalkan riba untuk mendapatkan keuntungan yang berlebihan.

"Pinjaman yang banyak dikeluarkan kerana mahu mengaut riba yang tinggi, akibatnya ramai peminjam yang gagal membuat pembayaran dan akhirnya bank yang mengalami kerugian," kata Ustaz Hadi.

Berucap di Dewan Rakyat ketika sesi perbahasan pembentangan belanjawan 2009, Ustaz Hadi turut mengkritik pengagihan ekonomi yang tidak sama rata dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata BN lebih menumpukan pembangunan dari segi ekonomi dan infrastruktur di neger-negeri tertentu berbanding negeri di Pantai Timur, Sabah dan Sarawak.

Dari segi infrastruktur kata beliau, Sabah dan Sarawak jauh lebih ketinggalan berbanding Semenanjung biarpun BN sudah memerintah lebih dari 50 tahun.

"Pemimpin-pemimpin BN hanya tahu untuk mengambil balak di Sabah dan Sarawak tetapi tidak penderitaan yang ditanggung oleh rakyat di sana," tegas beliau.

Ustaz Hadi berkata sepatutnya pengagihan ekonomi sama rata dilakukan tanpa mengira agama dan kaum bersesuaian dengan ajaran Islam yang menjadi agama rasmi negara ini.

"Kita tidak sepatutnya meminggirkan kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain kerana mereka juga rakyat negara ini," tegas Ustaz Hadi.

Beliau juga mengesa agar ekonomi rakyat dimantapkan bagi meringankan beban yang ditanggung akibat krisis ekonomi global.

Dengan mengambil contoh kadar gaji di Singapura yang jauh lebih tinggi berbanding Malaysia,Ustaz Hadi menegaskan sepatutnya rakyat negara ini juga menikmati gaji yang lebih tinggi agar mereka dapat hidup dengan lebih sempurna.

Sehubungan dengan itu, ahli parlimen Marang itu seterusnya mencadangkan agar sistem ekonomi kapitalis yang turut diamalkan di negara ini digantikan dengan sistem ekonomi Islam yang lebih menjamin kesejahteraan rakyat. - mks. _

19 Mei 2008

Kenyataan Media Presiden PAS berkaitan Tun Mahathir

Tindakan Yang Amat Berbahagia Tun Dr Mahathir Mohammad mengumumkan keluar dari Umno hari ini merupakan satu tindakan yang radikal sekaligus membuktikan betapa Umno kini berada dalam keadaan yang sangat parah, dengan penyakit rasuah, amalan tidak demokratik dan penipuan yang bukan hanya diamalkan dalam pilihan raya malah sesama mereka sendiri di dalam parti. PAS merasakan tindakan Tun ini turut membuktikan yang Umno sudah tidak layak lagi diberikan kepercayaan untuk menjadi penyelamat negara, bangsa Melayu dan agama Islam.

PAS sentiasa tegas dan konsisten dengan Islam sebagai penyelamat kepada bangsa Melayu dan negara seluruhnya. PAS sentiasa terbuka kepada semua pihak yang bersedia melakukan "islah" atau perubahan samada ianya Pakatan Rakyat yang sedia ada atau pihak Umno sendiri yang bersedia melakukan perubahan dengan syarat-syarat berikut:

1. Pihak berkenaan hendaklah mengekalkan kepimpinan Melayu Islam yang baik
2. Berlaku adil kepada semua rakyat pelbagai kaum dan agama sebagai penyelesaian kepada masalah masyarakat majmuk
3. Perpaduan Melayu mestilah dipelihara berasaskan Islam manakala perpaduan rakyat pelbagai kaum,dan agama dibentuk berasaskan keadilan dan hak yang adil buat semua
4. Proses prubahan hendaklah berlaku secara berakhlak, luhur dan berlandaskan etika yang baik

PAS sangat berpengalaman dalam arus politik negara dalam apa sahaja situasi dan keadaan sejak Merdeka sehinggalah ke hari ini. PAS pernah memimpin kerajaan negeri, menyertai kerajaan campuran diperingkat pusat, bekerjasama dengan pakatan pembangkang dan malah pernah bersendirian sebagai pembangkang. PAS akan mengkaji pengalaman ini dari masa ke semasa, bersama Pakatan Rakyat dan jika perlu menegur Pakatan Rakyat disamping memberi perhatian dan mengkaji perubahan yangs edang berlaku dalam Umno pasca pilihan raya, demi menyusun langkah dan strategi yang sebaik-baiknya demi masa depan negara.

Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang
Presiden PAS