Memaparkan catatan dengan label tok imam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label tok imam. Papar semua catatan

18 Julai 2008

Nostalgia: Mengenal alam





Sementara orang-orang tua menegakkan bangsal, budak-budak pergi menuba. Pokok-pokok tuba yang banyak kedapatan didalam hutan, merupakan keperluan utama untuk menangkap ikan. Buah dan akar dikutip, ditumbuk dan direndam didalam baldi. Kemudian dituangkan dihulu sungai. Dalam masa sepuluh lima belas minit, ikan-ikan mula meloncat-loncat kepeningan.


Bila tiba masanya, awal-awal lagi penduduk kampong sudah berkumpul dirumah Tok Sidang. Ada yang bawa parang, beliong dan sabit. Ada yang bawa periuk, beras dan ikan masin. Tok Halaq memimpin rombongan kedarat untuk memulakan upacara menebas dan menebang. Dalam istilah kampong, terdapat empat mata angin. Hulu, hilir, darat dan baroh dimana sungai dijadikan tempat rujukan. Kawasan yang jauh dari sungai dipanggil darat, berhampiran dengan sungai dipanggil baroh. Beberapa perkataan lagi digunakan untuk menunjukkan tempat seperti tanjong, kuala, tebing, dan pengkalan. Semuanya berkaitan dengan sungai. Sungai adalah kehidupan.

Sampai di darat, Tok Halaq memulakan pagi dengan jampi mentera, meminta kebenaran sang penunggu dan tuan punya hutan untuk membenarkan anak cucu bercucuk tanam. Selepas itu, baru lah penebasan dilakukan. Yang tua menebang pokok, yang muda menebas. Batang-batang halban dikumpul untuk dijadikan tiang, batang mengkirai dijadikan alang dan kasau. Sementara orang-orang perempuan pula mengumpul bertam untuk dijadikan atap.

Bila matahari sudah mula mendongak, penduduk pun menegakkan bangsal untuk dijadikan tempat berteduh. Yang tua menegakkan tiang, yang muda memasang alang dan kasau sementara orang perempuan menganyam atap daun bertam.

Sementara orang-orang tua menegakkan bangsal, budak-budak pergi menuba. Pokok-pokok tuba yang banyak kedapatan didalam hutan, merupakan keperluan utama untuk menangkap ikan. Buah dan akar dikutip, ditumbuk dan direndam didalam baldi. Kemudian dituangkan dihulu sungai. Dalam masa sepuluh lima belas minit, ikan-ikan mula meloncat-loncat kepeningan. Cuma perlu bawa tangguk dan tangkap.

Begitulah kehidupan selama hampir seminggu, sementara kawasan ditebang dan ditebas. Dan waktu rehat selama tiga atau empat hari digunakan untuk menoreh getah yang sudah seminggu tidak ditoreh.

Cuaca yang panas selama 3-4 hari sudah cukup untuk mengeringkan daun-daun pokok yang telah ditebas dan diwaktu petang, selepas budak-budak balik dari sekolah dan ibu bapa sudah berehat selepas menoreh diwaktu pagi, proses memerun atau membakar merupakan aktiviti yang cukup seronok. Budak-budak pantang dapat api dan kerja memerun memang menyeronokkan.

Tetapi, bukan semua terbakar! Masih banyak batang-batang kayu yang belum kering. Batang-batang kayu ini dibiarkan dimana dia tumbang, tidak perlu dikumpul macam pertanian moden, kerana apabila hujan nanti, batang-batang kayu inilah yang menghalang hakisan.

Setelah abu dan arang menjadi sejuk, tiba masa untuk menukal. Batang-batang kayu sebesar batang cangkul ditajamkan dihujung untuk membuat lubang. Setiap orang lelaki mesti mempunyai satu batang tukal untuk digunakan ketika menukal nanti.
Sekali lagi, orang kampong berpesta menukal ladang. Selepas makan pagi, masing-masing bersedia, orang lelaki berjalan seiring dalam satu barisan dan dibelakang setiap lelaki, ada seorang perempuan. Yang lelaki membuat lubang, yang perempuan mengisi lubang dengan benih padi. Dan lubang itu ditutup dengan ibu jari. Menjelang zohor, ladang yang luas dapat diselesaikan, tanpa jentera, tanpa subsidi.

Keesokannya, giliran orang perempuan pula membuat kerja. Disebelah petang, ibu-ibu membawa benih-benih bayam dan maman untuk ditabur dipermukaan bumi. Selepas itu, masing-masing berehat menunggu hari hujan.

Hujan pasti datang, bukan kerana jampi Tok Halaq tetapi kerana sudah hukum alam. Matahari tetap akan naik, walaupun tanpa kokok ayam. Ayam hanya memberitahu kita, matahari akan naik. Hujan tetap akan turun, walaupun tanpa bunga gapis, tetapi bunga gapis hanya memberitahu kita, hujan akan turun. Setiap kejadian ada petunjuknya. Terpulang kepada kita untuk mencari petunjuk itu.

Bila tanah mendapat air, benih-benih mula bercambah. Bayam dan maman akan tumbuh menutup bumi, lebih awal dari semalu dan sendayan. Selepas dua minggu, bayam dan maman akan membesar, melindungi anak-anak padi yang baru tumbuh. Tak perlu racun serangga, tak perlu racun herba. Setiap makhluk mempunyai keistimewaan masing-masing, melindungi dan dilindungi.

Bila anak-anak padi sudah melepasi buku lali, bayam sudah sedia untuk dijadikan sayur, maman pula sudah boleh dijadikan jeruk. Dan suburlah padi, tanpa gangguan dari serangga sehinggalah mula membunting.

Bila padi mula membunting, bapa-bapa mula menegakkan pondok untuk menghalau burung dari memakan padi. Sana-sini, kami menyiapkan orang-orang dan tin-tin kosong yang diregang melewati ladang. Siapa kata kehidupan dikampung sunyi? Ia sebenarnya riuh rendah dengan bunyi-bunyi pipit dan serindit, riuh dengan tin-tin kosong, dan riuh dengan jeritan ibu-ibu dan anak-anak menghalau burung.

Bagi budak-budak, menggetah burung adalah satu aktiviti yang cukup seronok. Ambil susu getah, masak dan campurkan dengan minyak enjin yang dibuang. Bila pekat, lekatkan kepada batang buluh atau bertam, sedia untuk menagkap burung-burung pipit dan terahan. Berapa yang lekat, itulah lauk untuk hari tersebut. Sembelih, buang getah dan bulu, tabor garam dan kunyit, goreng. Bila budak-budak yang belum sunat menyembelih burung, ada yang terputus, peduli apa! Tak ada siapa yang mempertikai sembelihan itu sah atau tidak, tak ada siapa yang mempertikai lauk itu halal atau tidak. Semuanya rezeki dari Tuhan.

Musim menuai hanya seronok bagi orang tua. Budak-budak macam aku memang malas sebab kerjanya berat. Yang seronok ialah bila masa untuk menumbuk, untuk mengasingkan kulit dari beras. Ada yang pakai lesung tangan dan ada yang pakai lesung kaki. Paling seronok ialah menggunakan lesung kaki, macam main jongkang jongkit.
Selepas menumbuk, tibalah proses terakhir, iaitu mengangin. Sorang tukang pusing kipas, sorang tukang menampi.

Habis kerja semusim. Bagi budak-budak kampong masa itu, semusim padi sama dengan satu semester pelajar IPT masa kini. Tidak ada guru, tapi kami belajar dari alam. Pelajaran bukan dari buku atau papan hitam, tapi dari tanah, air, api dan angin. Tiada matapelajaran geografi, sains atau matematik, tapi mengenal alam, mengenal tumbuhan dan mengenal kehidupan.

Masa berladang sudah tamat.Tanah perlu dipulihkan sementara musim menanam yang akan datang. Manakala dusun buah-buahan perlu diterangkan, kerana durian akan gugur tak lama lagi.

Nota: Seorang penulis yang senantiasa melahirkan idea-idea kreatif melalui tulisannya dan senantiasa juga mengetengahkan isu-isu kontroversi di blognya. Sdr boleh mengikuti tulisannya yang lain di blognya yang berjudul Mat Saman Kati.


10 Julai 2008

Nostalgia: Belajar mengira





" Dalam seminggu lagi, kita nak mula menebas, nak tanam padi. Jadi, mintak semua tolong asah parang, asah sabit tajam-tajam. Satu rumah mesti ada wakil dua orang, satu betina, satu jantan. Mana yang janda, bawak anak jantan sorang. Tok Halaq akan bagi tau bila kita nak mula menebas."


Lepas makan tengahari, aku turun kebawah rumah, main congkak dengan adik aku. Kadang-kadang, kawan sebelah rumah pun join sama. Dah jadi kebiasaan sebab itulah masa bapak aku nak tidur tengahari. Subuh-subuh dah bangkit sebab nak pergi menoreh, dan lepas makan tengahari, waktu dia rehat. Kalau kami main kat atas rumah, dah tentu bising.

Main congkak ada macam-macam, ada lubang tujuh, ada congkak bom. Dan kami guna biji getah sebagai 'buah'. Kalau main lubang tujuh, kena rancang supaya 'mati' kat rumah. Kalau 'mati' kat lubang kosong, kira out. Itu sebabnya, pada umur 4-5 tahun, budak-budak dah boleh bilang satu sampai dua puluh.

Tengah seronok main, Tok Sidang datang kerumah,"Mat, Ayah kamu ada dirumah?"

"Ayah tidor!"

"Mak kamu?"

"Mak!!! Pak Anjang datang cari ayah!" Aku jerit dari bawah rumah. Semua budak-budak dikampung panggil Tok Sidang, Pak Anjang.

"Petang ni minta datang kerumah, nak buat tahlil dan doa selamat sikit. Panggil semua sekali, lepas Asar" Pak Anjang bagi tau kat mak aku.

Petang tu, kami semua pergi kerumah Pak Anjang. Yang lelaki, semua duduk kat anjung, perempuan kat dapor dan budak-budak kat bawah rumah. Masa orang bertahlil, kami semua main-main kat bawah. Tapi bila orang angkat tangan baca doa, mesti ada geng bagi tau ," hoi!! Dah amin dah!"

Masing meluru ke atas. Time makan dah dekat. Aku suka duduk dengan orang tua, sebab kalau duduk dengan kawan-kawan, selalu tak cukup. Orang tua malu nak tunjuk pelahap.

Lepas makan, Tok Sidang mula berucap.

" Dalam seminggu lagi, kita nak mula menebas, nak tanam padi. Jadi, mintak semua tolong asah parang, asah sabit tajam-tajam. Satu rumah mesti ada wakil dua orang, satu betina, satu jantan. Mana yang janda, bawak anak jantan sorang. Tok Halaq akan bagi tau bila kita nak mula menebas."

Dalam kampong, ada tiga tokoh yang dihormati. Tok Sidang, Tok Halaq dan Tok Imam. Tok Sidang ialah Ketua Kampung. Bukan ada gaji, tapi paling dihormati. Tok Halaq pula ialah pawang atau bomoh. Masa tu, orang kampong bukanlah warak macam orang sekarang. Masih banyak cara hidup dipengaruhi animism. Orang lebih takut hantu dan pelesit daripada takut Tuhan. Tok Halaq bukanlah orang kaki sembahyang. Tapi bila sakit demam, Tok Halaq la yang jadi tumpuan.

Tok Imam setakat baca doa masa kenduri dan baca talkin bila orang mati. Jadi imam kat surau cuma masa sembahyang Raya. Dihari lain, zohor time tidur, asar time menebas, maghrib, isya dan subuh dah gelap. Nak sembahyang kat surau, bukan ada lampu letrik! Tak kan nak sembahyang dalam gelap.

"Tadi, masa aku mandi kat sungai, aku nampak pokok Gapis dah mula berbunga. Maknanya, dalam lima enam hari lepas ni, hari akan panas. Jadi, kita mula menebas. Lima hari, mesti siap menebas, lepas tu kita rehat tiga hari. Cukup tiga hari, kita mula memerun. Tiga hari mesti siap. Lepas tu, bagi tanah sejuk dua hari, kita mula menukal. Sehari mesti siap. Siap menukal, hari mula hujan selama seminggu." Tok Halaq memberikan ucapan. Semua yang ada khusyuk mendengar.

Nak tanam padi huma, kami tak ada Jabatan Kaji Cuaca, tak ada Jabatan Pertanian dan tak ada MADA atau KADA. Semuanya bergantung kepada alam. Walaupun Tok Halaq tak sembahyang dan baca Quran, tapi dia pakar dalam kehidupan alam. Dia melihat perubahan cuaca dengan mengenali tumbuh-tumbuhan. Bila Gapis berbunga, hari akan panas. Dua minggu selepas itu, hari akan hujan, untuk melembutkan kulit pokok durian dan sebaik saja hujan berhenti selama seminggu, bunga durian akan mula bercambah.

Diikuti dengan bunga rambutan, bunga langsat dan bunga manggis. Akhir sekali bunga rambai. Kemudian hujan akan turun lagi selama seminggu untuk meluruhkan bunga durian sehinggalah putik durian mula kelihatan sebesar bilah mancis api. Sementara menanti musim buah, kami menanam padi.

Kalau mengikut kata Tok Halaq, durian akan mula gugur, seratus hari dari mula gugurnya bunga. Dalam masa tiga bulan ini, kita perlu merancang untuk hidup, dengan bantuan alam.

Tapi sekarang, alam sudah dirosakkan oleh manusia. Hujan dan panas sudah tidak dapat ditentukan oleh Tok Halaq. Malah, orang sudah tidak percaya kepada Tok Halaq lagi.
Emak aku tak tau membaca dan menulis manakala bapak aku cuma pandai tulisan jawi.

Nak tulis rumi, macam budak-budak darjah dua sekarang. Emak aku cuma boleh membilang hari setakat seminggu. Kelmarin, semalam, hari ini, esok, lusa, tulat, tonggeng. Jadi, aku dan kakak aku jadi tukang tulis. Walaupun tak pergi tadika, budak-budak kampong belajar dari alam.

Tiba hari yang ditetapkan, semua penduduk kampong datang berkumpul untuk mula menebas. Semua tak pergi menoreh, sebab ini adalah arahan Tok Halaq. Yang lelaki membawa parang dan sabit manakala yang perempuan membawa periuk, pulut dan kelapa.

Tok Halaq membawa empat batang buluh lemang sepanjang enam kaki. "Mat! Ada bawa tempurung tak? Aku selalu jadi khadam kepada Tok Halaq.

"Ada!"

"Jantan ke betina?"

"Jantan. Tempurung nyior hijau." Tempurung nyior hijau sering digunakan dalam upacara pemujaan atau pun semasa berubat.

Tok Halaq membelah buluh lemang sehingga kira-kira dua kaki, kemudian diambil tempurung jantan dah dimasukkan dicelah-celah buluh yang telah dibelah. Tempurung disikan dengan bara api, dan Tok Halaq menabur kemenyan kedalam bara api dan mula membaca jampi mentera. Setelah selesai, Tok Halaq memacakkan perasap ketanah . Dia kemudiannya berjalan sambil merintis lorong dengan goloknya sementara aku dibelakang membawa perasap. Sampai disatu tempat, dia akan berhenti dan memacakkan satu perasap sambil membaca jampi menteranya. Seterusnya sehinggalah empat penjuru tanah .

Itulah sempadan yang hendak ditebas, diperun, disemai dan ditanam dengan padi huma.
Selepas itu, barulah kerja-kerja menebas dilakukan sementara orang perempuan memasak pulut berinti kelapa. Menjelang tengahari, semua berhenti dan giliran Tok Imam membaca doa, sebelum mengisi perut dengan pulut kuning inti kelapa.

Nota: Seorang penulis yang senantiasa melahirkan idea-idea kreatif melalui tulisannya dan senantiasa juga mengetengahkan isu-isu kontroversi di blognya. Sdr boleh mengikuti tulisannya yang lain di blognya yang berjudul Mat Saman Kati.