22 Julai 2007

Dakwat: Boleh padam?


beritaPetaling Jaya: Sistem terbaru, menggunakan dakwat sebagai tanda sudah mengundi, dikatakan akan diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya [SPR] dalam pilihan raya umum ke-12 [PRU12] yang akan berlangsung pada bila-bila masa.

Dakwat itu dikatakan akan kekal selama beberapa hari di ibu jari. Tetapi benarkah, dakwat yang dikatakan akan kekal, akan terus kekal mengikut selama mana waktunya?

Dalam sebuah laporan oleh akhbar online mSTAR bertarikh 19-07-2007, mendedahkan bahawa The Times of India pada ketika pilihan raya umum di negara itu pada 2004, melaporkan bahawa terdapat banyak pihak mendakwa, dakwat yang diguna boleh dicuci dengan campuran kimia tertentu. Dan campuran itu dikatakan telah dikeluarkan oleh pengeluar tempatan, setiap kali menjelang pilihan raya.

Walaubagaimanapun menurut laporan itu lagi, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata kepada wakil media itu, "[s]ama ada ia (dakwat) boleh dibasuh atau tidak, tidak menjadi asas bagi kita membuat keputusan. Lagipun, kita telah uji keberkesanan dakwat yang digunakan SPR India. Dua orang ahli suruhanjaya telah menyapukan dakwat itu ke jari masing-masing hampir sebulan lalu, sehingga hari ini pun jari mereka masih bertanda. Mereka beritahu saya, telah bermacam-macam cara digunakan, termasuk menggunakan alkohol bagi menghilangkan tanda itu, tetapi ia kekal sehingga hari ini."