Memaparkan catatan dengan label khalid ibrahim. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label khalid ibrahim. Papar semua catatan

28 Jun 2008

Rusli Ibrahim: Saya dilantik pegang jawatan dalam KDEB tanpa Anwar dan Khalid tahu

Oleh: Malaysiakini

"Namun setelah desas-desus fitnah dan manipulasi jahat ini timbul dan saya juga telah berbincang secara mendalam dengan Datuk Seri Anwar, saya telah mengemukakan surat perletakkan jawatan...."


Rusli Ibrahim - adik kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - menjelaskan bahawa pelantikannya sebagai penasihat khas kepada presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) adalah tanpa pengetahuan Anwar dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kemasukan saya demi mempertingkatkan keuntungan syarikat dan memastikan KDEB akan terus menyumbang seiring dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Pimpinan Parti Keadilan Rakyat.," katanya dalam satu kenyataan hari ini untuk menjelaskan kedudukannya.

Rusli juga menjelaskan bahawa kenyataan yang menyatakan beliau adalah penasihat KDEB ialah fitnah dan tidak berasas.

"Namun setelah desas-desus fitnah dan manipulasi jahat ini timbul dan saya juga telah berbincang secara mendalam dengan Datuk Seri Anwar, saya telah mengemukakan surat perletakkan jawatan pada 25 Jun 2008, 3 petang kepada Presiden KDEB," katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh Rusli:

Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sebuah entiti perniagaan yang merupakan anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor. Sebagai sebuah entiti perniagaan KDEB bertanggungjawab penuh kepada pemegang saham dan menguruskan urusan perniagaan sebaik mungkin demi tanggungjawab terhadap pemegang saham.

Kewujudan jawatan sebagai penasihat kepada Presiden mana-mana syarikat bukan satu yang asing dan begitu jugalah kepada Presiden KDEB.

Sejak September 2004, sebaik sahaja selepas dilantik menerajui KDEB, cabaran Dato’ Karim Munisar selaku presiden KDEB cukup besar. Sasaran Presiden baru pada ketika itu ialah menaikkan daya saing dan produktiviti KDEB dan entiti dibawahnya yang sememang dalam keadaan tidak memberansangkan pada ketika itu.

Akaun syarikat dan pelaburan syarikat perlu disusun untuk itu telah dilantik penasihat kewangan kepada Presiden KDEB untuk menyusun semula perancangan strategik berkaitan kewangan.

Selain itu demi mendepani perbagai masalah berkaitan undang – undang maka penasihat undang undang korporat kepada Presiden KDEB juga telah dilantik. Ternyata tindakan dan pemilihan penasihat yang betul telah membantu Presiden KDEB memacu syarikat sehingga KDEB dan entiti di bawahnya khususnya.

Kumpulan Peransang Selangor Berhad dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad telah berjaya menjadi entiti perniagaan yang berdaya saing dan disegani semula.

Dunia perniagaan perlu bergerak seiring dan berubah segera sebagai respon terhadap persekitaran untuk mengekalkan daya saing. Seiring dengan perubahan dan meneliti impak PRU 12 maka beberapa perubahan perlu dilakukan.

Seperti KDEB perlu memainkan peranan besar dalam membantu memenuhi tanggungjawab terhadap pemegang saham utama iaitu kerajaan negeri yang telah berjanji untuk memberikan air percuma kepada rakyat Selangor.

Maka sudah tentu Presiden KDEB memerlukan satu penasihat khas untuk meneliti ke arah merialisasikan perkara ini.

Pada April 2008 saya telah dinamakan sebagai Penasihat Khas kepada Presiden KDEB. Maka kenyataan yang menyatakan saya sebagai Penasihat KDEB ialah fitnah dan tidak berasas.

Saya merupakan kakitangan KDEB yang bertanggungjawab terus kepada Presiden KDEB. Saya tidak punya kuasa eksekutif dan bukan ahli lembaga pengarah mana-mana syarikat dibawah KDEB.

Selain saya seorang penasihat ekonomi juga telah dinamakan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada KDEB.

Bidang tugasan saya ialah untuk mengukuhkan dan membina hubungan dan jaringan kerja baik antara pemegang saham, pengursan sumber, pelabur juga sektor korporat dan awam.

Saya juga diberi amanah untuk memerhatikan dan menasihati Presiden KDEB perubahan strategik khususnya untuk Kumpulan Peransang Selangor Berhad dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad.

Dengan pengalaman dan hubungan baik saya dengan perbagai pihak di dalam dan luar negara khususnya Timur Tengah saya juga diamanahkan untuk menasihatkan Presiden KDEB mengenai peluang pelaburan baru dan mempertingkatkan keuntungan pelaburan sedia ada.

Lantikan saya dalam KDEB ini adalah tanpa pengetahuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Khalid Ibrahim. Kemasukan saya demi mempertingkatkan keuntungan syarikat dan memastikan KDEB akan terus menyumbang seiring dengan aspirasi kerajaan negeri di bawah Pimpinan Parti Keadilan Rakyat.

Namun setelah desas desus fitnah dan manipulasi jahat ini timbul dan saya juga telah berbincang secara mendalam dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim saya telah mengemukakan surat perletakkan jawatan pada 25 Jun 2008, 3 petang kepada Presiden KDEB.

22 Jun 2008

Kedah juara piala FA 2008

Oleh: Utusan

Di depan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan kira-kira 50,000 penonton di tempat lawan yang tidak terjejas dengan kehangatan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2008 dan harga tiket yang didakwa agak mahal, Kenari berjaya menghampakan Gergasi Merah.

SHAH ALAM 21 Jun – Kedah mengesahkan kejaguhannya di arena bola sepak negara walaupun tanpa dua tonggak import dengan mempertahankan Piala FA selepas menundukkan Selangor 3-2 dalam perlawanan sengit akhir edisi ke-19 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Barisan bimbingan Azraai Khor Abdullah itu berjaya membawa kembali trofi persaingan kalah mati kebangsaan ini menerusi jaringan Fadly Baharom, Khyril Muhymeen Zambri dan Syafiq Jamal pada minit pertama, m-32 dan m-50 masing-masing sekali gus merapati cita-cita mengulangi pencapaian tiga gelaran seperti 2007 selepas menjuarai Liga Super, Mei lalu.

Di depan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan kira-kira 50,000 penonton di tempat lawan yang tidak terjejas dengan kehangatan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2008 dan harga tiket yang didakwa agak mahal, Kenari berjaya menghampakan Gergasi Merah.

Dua gol Selangor dijaringkan gol Amirul Hadi Zainal (m-13) dan penyerang import dari Liberia, Frank Seator (m-70) menerusi sepakan penalti.

29 Mac 2008

CEO pilihan Selangor sebagai pengurus

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

beritaPERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) melakukan satu anjakan baru dalam pengurusan bola sepak tempatan apabila bakal menjadi sebuah organisasi yang bercirikan korporat serta profesional.

Presiden FAS yang baru, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya kini sedang mencari individu yang bertanggungjawab sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi menguruskan bola sepak di Selangor.

"Memandangkan kita kini dalam era ketelusan, kita akan iklankan jawatan kosong CEO ini. Kita akan lihat respon yang diberi daripada mereka yang berminat nanti.

"CEO itu nanti akan bertanggungjawab sebagai pengurus dalam pengendalian bola sepak di negeri Selangor ini. Sekarang bukan masanya lagi untuk kita terus menguruskan organisasi ini secara sukarela," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada majlis minum pagi bersama pegawai FAS serta pemain Selangor yang terdiri daripada skuad Liga Super, skuad Piala Presiden dan skuad Piala Belia di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam semalam.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail selaku penaja utama FAS menerusi anak syarikatnya, Bekalan Air Selangor (Syabas) serta beberapa pegawai tertinggi FAS antaranya timbalan presiden, Datuk Mokhtar Ahmad, naib presiden, Datuk Emran Kadir serta setiausaha agung, Hamidin Mohd. Amin.

Jelas Abdul Khalid, beliau mahu mengubah FAS menjadi sebuah unit korporat yang bakal memainkan peranan utamanya dalam menentukan pembangunan dan masa depan bola sepak negeri Selangor.

"Kita mahu buat satu organisasi yang dapat membawa punca kewangan buat FAS. Jadi, saya mahu perubahan minda ke arah bola sepak Selangor yang profesional," ujarnya.

Ditanya adakah FAS akan memberikan tiket percuma seperti dilakukan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) baru-baru ini, Abdul Khalid menegaskan, pihaknya tidak bercadang memberi tiket percuma seperti itu.

"Beri tiket percuma tidak akan menaikkan minat seseorang penyokong itu. Kalau kita terus menang, main dengan bagus, itu sudah cukup untuk menarik minat mereka walaupun kena bayar tiket.

"Kita mahu jadikan bola sepak sebagai perniagaan. Jika berjaya tarik lebih ramai peminat selepas ini, saya nak jadikan peminat setia Selangor juga sebagai pemilik saham dalam organisasi bola sepak kita," katanya.

Dalam majlis semalam juga, Abdul Khalid menerima dua helai jersi Selangor daripada ketua jurulatih, Dollah Salleh dan ketua pasukan, Shukor Adan serta cek penajaan daripada Rozali yang mewakili Syabas.

Syabas mula menjadi penaja utama FAS sejak musim lalu dan ia diteruskan lagi bagi musim ini dengan nilai tajaan sebanyak RM5 juta setahun.

"Jumlah RM5 juta sebenarnya tidak cukup untuk menguruskan sebuah pasukan menjadi yang terbaik. Kalau boleh, saya akan cuba dapatkan lebih banyak lagi tajaan untuk FAS selepas ini," jelas Abdul Khalid.

28 Mac 2008

Setinggan Sifar: AMK Yakin Khalid tak macam Khir

Kenyataan Media
28 Mac 2008

Setinggan Sifar Perlu Dicapai Untuk Kepentingan Negara dan Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyokong kenyataan Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk Selangor mencapai matlamat setinggan sifar seperti yang disiarkan dalam temubual oleh portal internet Malaysiakini.

Namun Angkatan Muda Keadilan Malaysia kesal dengan kenyataan beberapa pihak yang mengandaikan bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin keADILan akan bertindak dengan cara yang sama seperti tindakan tidak berperikemanusiaan semasa Selangor di bawah Dato’ Seri Mohd Khir Toyo.

Adalah zalim untuk menganggap bahawa peneroka bandar perlu dibiarkan dalam keadaan mereka sekarang tanpa sebarang usaha untuk mengiktiraf hak dan pegangan mereka secara sah ke atas tanah yang didiami atau ke atas tanah lain yang bersesuaian dengan keperluan kehidupan mereka. Persoalan pampasan, peluang pekerjaan dan sebagainya perlu diberikan perhatian utama di dalam sebarang usaha pembangunan.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya Dato’ Menteri Besar Selangor akan mencari jalan terbaik yang adil dan manusiawi untuk memastikan para peneroka bandar dapat keluar daripada status ‘setinggan’ mereka. Setiap rakyat Selangor perlu diberi peluang yang adil untuk memiliki hartanah dan pada masa yang sama hak pemilik tanah dihormati dan diberi peluang untuk membangunkan hartanah mereka.

Ini ‘keseimbangan’ yang perlu dicari seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Abdul Khalid. Kerajaan perlu memainkan peranan utama dengan bertanggungjawab dan penyayang. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat perlu berperanan sebagai warga korporat yang prihatin. Malah sebelum ini Tan Sri Abdul Khalid telah pernah mengemukakan idea-idea inovatif untuk memastikan rakyat termiskin sekalipun mampu memiliki hartanah, termasuk melalui skim pembiayaan jangka panjang inter-generasi sehingga 60 tahun.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya Dato’ Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri akan mengemukakan pelan komprehensif untuk mencapai matlamat setinggan sifar yang akan dilaksanakan. Sebarang cadangan dan komen sekarang sudah tentu akan membantu. Namun ia perlu dikemukakan melalui saluran yang betul dan membina.

Harapan Baru Untuk Malaysia

Ahmad Zaki Yamani bin Zainon
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia