Memaparkan catatan dengan label MB Selangor. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MB Selangor. Papar semua catatan

22 Jun 2008

Kedah juara piala FA 2008

Oleh: Utusan

Di depan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan kira-kira 50,000 penonton di tempat lawan yang tidak terjejas dengan kehangatan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2008 dan harga tiket yang didakwa agak mahal, Kenari berjaya menghampakan Gergasi Merah.

SHAH ALAM 21 Jun – Kedah mengesahkan kejaguhannya di arena bola sepak negara walaupun tanpa dua tonggak import dengan mempertahankan Piala FA selepas menundukkan Selangor 3-2 dalam perlawanan sengit akhir edisi ke-19 di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Barisan bimbingan Azraai Khor Abdullah itu berjaya membawa kembali trofi persaingan kalah mati kebangsaan ini menerusi jaringan Fadly Baharom, Khyril Muhymeen Zambri dan Syafiq Jamal pada minit pertama, m-32 dan m-50 masing-masing sekali gus merapati cita-cita mengulangi pencapaian tiga gelaran seperti 2007 selepas menjuarai Liga Super, Mei lalu.

Di depan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan kira-kira 50,000 penonton di tempat lawan yang tidak terjejas dengan kehangatan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2008 dan harga tiket yang didakwa agak mahal, Kenari berjaya menghampakan Gergasi Merah.

Dua gol Selangor dijaringkan gol Amirul Hadi Zainal (m-13) dan penyerang import dari Liberia, Frank Seator (m-70) menerusi sepakan penalti.

18 Jun 2008

Bantah konsert 'ego orang agama'

Jimadie Shah Othman (Malaysiakini) Jun 17, 08

"Kalau nak ikut betul-betul, berapa ramai ahli parlimen tidak boleh masuk Perlis. Tengoklah perangai mereka dalam parlimen macam mana. Itu lebih teruk daripada Faizal Tahir."


Komposer terkenal Roslan Aziz menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan "ego" golongan agama dan bermotifkan politik.

"Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi kepada seorang ustaz dan kata kepada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas rancangan Pemuda PAS negeri mengadakan perhimpunan membantah konsert tersebut yang dijadual 6 Julai di Shah Alam.

Konsert itu, yang dilaporkan bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, diadakan sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara Singapura dengan pasukan negeri.

Menurut Roslan (foto), bantahan itu terjadi disebabkan PAS sendiri yang ingin menggunakan agama untuk tujuan politik.

"Secara peribadi saya tidak setuju guna Islam untuk tujuan politik. Saya fikir (tindakan) ini salah. Biar orang kata Umno itu jahat tapi ia tidak guna Islam untuk tujuan politik.

"Masalahnya pada keseluruhan PAS itu sendiri. Sebab itu di Datuk Keramat, saya tidak pernah mengundi. Masalahnya nak mencari orang yang betul dalam parti yang betul.

"Dalam Umno yang baik ada orang-orang senget. Orang-orang alim, lebai-lebai yang baik pula dalam parti senget," tambahnya.

Bekas pengetua Akademi Fantasia musim lalu ini juga berkata campur tangan ahli politik seumpama Pemuda PAS Selangor itu sebagai sejenis "buli" akibat kegagalan seniman sendiri.

"Ia berpunca artis kita juga. Ada yang bongok, oleh kerana tak pandai belajar, jadi artis. Jadi, mereka tidak proaktif, tidak ada pengetahuan. Sebab itu orang suruh potong rambut pun tak apa. Kena buli pun tak apa.

"Dulu masa (menteri penerangan) Mohamad Rahmat nak potong rambut pun, saya tak bagi. Jangan potong, saya kata. Saya bukan beruk. RTM tak bagi tak apa," katanya.

Dihubungi Malaysiakini berhubung memorandum Pemuda PAS itu, setiausaha politik menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata menteri besar sedang menelitinya.

Tindakan selanjutnya bergantung kepada menteri besar, tambahnya lagi.

Menurut Harakahdaily.net, ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mokhyi, yang menyerahkan memorandum itu kepada Nik Nazmi semalam, berharap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "bertindak segera agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi (dalam Pakatan Rakyat) khususnya PAS."

"Kami difahamkan bagi menyerikan program itu turut diadakan konsert Mas Idayu dan Ella (foto). Sudah pasti persembahan mereka akan mengundang risiko moral yang tinggi dan tidak ada tempat dalam Islam," katanya seperti dilaporkan.

Gaya hidup mewah

Selain mendakwa konsert anjuran syarikat kerajaan negeri Kelab Darul Ehsan Bhd itu sebagai "pembaziran dan gaya hidup mewah", Sallehen berkata ia "mengundang imej tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, apatah lagi imej Islam di ambang 100 hari" menguasai Selangor.

Roslan menggesa seniman mencari alternatif untuk mengetengahkan idea mereka dan tidak tunduk kepada bantahan sebegini.

"Jangan tunduk. Jika tunduk, kita seolah-olah akui kita salah.

"Kalau saya, waktu mula-mula masuk dulu, saya nak ketengahkan muzik Melayu ke seluruh dunia.

"Saya akan buat. Tak apa, saya tak hairan kalau tak boleh pergi Kelantan. Saya cari jalan lain," tambahnya, yang mulai dikenali meluas selepas kejayaan album Sheila Majid dan Zainal Abidin pada akhir 1980-an.

Seniman beragama Islam, tambahnya, tidak pernah berniat melawan nilai-nilai Islam.

Mengulas larangan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terhadap penyanyi Faizal Tahir, Roslan berkata:

"Kalau nak ikut betul-betul, berapa ramai ahli parlimen tidak boleh masuk Perlis. Tengoklah perangai mereka dalam parlimen macam mana. Itu lebih teruk daripada Faizal Tahir."

Kumpulan rock terkenal Nitrus pula berkata Pemuda PAS berhak membantah tetapi tidak boleh mengetepikan hak orang lain.

"Dia ada hak beri pandangan mereka. Pihak yang lain juga ada hak. Yang perlu dibuat adalah diskusi, mesyuarat. Soal aurat, suara perempuan itu tidak terperinci (dijelaskan). (Bantahan) itu sesuatu yang kritikal. Ramai orang Islam yang cari makan dengan muzik, macam kami.

"Perkembangan budaya juga penting untuk pembangunan masyarakat. Diskusi patut melibatkan ahli akademik dan orang industri sendiri. Bincang, kemudian umumkan," kata vokalis kumpulan bebas itu Syed Helmy Syed Hood.

Bercanggah dengan manifesto

Ditanya sama ada mereka bersetuju dengan alasan moral dan pembaziran yang diberikan Pemuda PAS, Syed berkata:

"Kurang setuju. Tuduhan itu kurang konkrit, macam cakap tak ada dalil, tak ada alasan (terperinci). Kalau kata tak setuju, nyatakan batasan, garis panduan yang jelas.

"Budaya seni tidak boleh dipanjang remeh. Ia adalah sebahagian daripada kita," tambahnya.

Sementara itu, penggiat muzik dan pelukis Mazir Ibrahim pula berkata, bantahan Pemuda PAS itu tidak wajar.

"Kerajaan baru harus utamakan pembangunan masyarakat, bukan politik semata-mata. Takkan kerajaan baru kerjanya hanya mengharamkan. (Mereka) mesti sediakan (ruang) untuk semua. Bukan hal-hal yang dia suka saja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, hujah Pemuda PAS bahawa konsert itu akan "mengundang risiko moral yang tinggi" sebagai tidak relevan.

"Hujah yang dikemukakan mereka tidak relevan sama sekali. Tujuannya satu, untuk 'menghijaukan' (melebarkan pengaruh PAS di) Selangor sebab bertolak daripada premis politik.

"Tidak ada konsert, di Kelantan ada juga anak luar nikah. Ini soal pembangunan budaya. Ini juga tentang cari makan. Konsert kalau tidak benarkan, mesti beri alternatif lain," tambahnya, yang juga koordinator Music Forum.

Aktivis politik Amin Iskandar berkata tindakan Pemuda PAS Selangor itu sebagai "menipu" rakyat kerana bercanggah dengan manifesto parti itu dalam pilihanraya umum lalu.

"Tindakan ini tidak demokratik. Kenapa tidak tulis dalam manifesto dulu? Tindakan ini menipu rakyat. Kalau dulu tulis, itu OK. Dia kena sedar, Pakatan menang, termasuk PAS, dalam kawasan berkomposisi pelbagai kaum. Jadi tuntutan itu tidak sesuai dengan aspirasi Pakatan.

"Yang memenangkan mereka dulu bukan (penyokong) PAS saja, tetapi semua pihak. Jangan lupa pada Cina yang buka bilik gerakan untuk mereka dan India yang bertakbir selepas ceramah PAS dulu," katanya.

Tindakan Pemuda PAS ini hanya menunjukkan parti itu tidak bersedia memerintah Malaysia, tambahnya.

02 April 2008

Suara Rakyat: So far ok, tapi masih awal lagi

Kerajaan baru Selangor pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim, antara kerajaan negeri yang paling banyak ditekan. Tekanan itu datang daripada pelbagai isu, termasuklah dalam hal Timbalan Menteri Besar (TMB) yang kelihatan cuba dipermainkan oleh sesetengah pihak sebagai suatu soal perkauman.

Dalam era kini, yang mementingkan kebahagian untuk hidup, permainan politik perkauman nampaknya punya pengaruh; kalaupun tidak banyak, hingga boleh memecah belahkan keharmonian masyarakat Malaysia, yang multi-kaum dan multi-ideologi.

Kerajaan negeri Selangor, yang mempunyai komposisi penduduk yang sama rata, menjadi pusat latihan atau pusat ujian bagi politik anti-perkauman ini tertegak. Jika politik anti-perkauman berjaya, kita boleh melihat Selangor menjadi sebuah negeri yang maju serta berdaya saing.

Untuk itu, pihak RK telah menanyakan beberapa soalan kepada beberapa orang responden bagi mengetahui serba sedikit tentang hal negeri Selangor, khususnya tentang Tan Sri Khalid Ibrahim.

Bagaimana dengan permulaan kerajaan pembangkang ni? Di bawah Khalid Ibrahim, lebih spesifik lagi.

IE, Manager Lokasi Kedai Serbaneka: Buat masa ni tak nampak lagi isu berbangkit. Setakat ni ok lagi. Tak nampak lagi agenda-agenda nak dibuat.

Hairil, Pekerja Projek: Hmm… Aku belum nampak apa-apa tapi so far ok…rakyat Selangor pun boleh terima kerajaan negeri baru. Cuma aku tunggu perubahan-perubahan yang bakalyang dilaksanakan kerajaan BR ni, macam taarif air, agihan projek, dll. Aku mula goyang juga, pasal ada 2 projek aku kena hold. Tapi tengoklah macam mana nanti, harap-harap kerajaan BR ni lagi bagus.

Owin, Pegawai Undang-undang: So far changes yang obvious tak nampakla tapi S Alam still terpelihara. Kawan-kawan mak aku cakap dia tak bagus sangat coz rasuah.

Anis, Lepasan U: Biasa jer. Parking masih kena bayar, harga barang tak turun-turun jugak. Tak de beza pun dengan yang lama, cuma sesetengah manusia makin naik minyak adalah.

Azmir, Pegawai Bank: Ada satu masalah untuk ******, pasal tak dapat gantung gambar MB baru (Tan Sri Khalid Ibrahim) bersama-sama PM dan Agong. Buat masa ni kat cawangan gambar MB baru tak de lagi.

Gromofonrock, Pekerja Swasta: So far ok. Dia telah pun menjalankan apa yang tertulis pada manifestonya. Salah satunya tariff air dikurangkan sebanyak 60%. Selangor akan bertambah maju. Yang lain akan dijalankan akan datang times to times.

Amran, Pegawai Undang-undang: So far doing good, but still too early, anyway, already some popular decision he made like to sell exco luxury colony, review water pact wether first 20 cubic free for domestic usage permissible, 30% exco allowance for charity,. He is an ex-businessman. His experience in business world can be useful in state economy.

Spyz, Blogger: Pendekatan berhati-hati MB amat dialu-alukan kerana Selangor adalah sebuah negeri yang komposisi kaumnya agak sama rata. Oleh itu pendapat semua kaum perlu diambil kira dalam setiap keputusan.

CD, Engineer: Setakat ni ok tapi masih awal lagi nak cakap. Tekanan cukup kuat terutama daripada orang Melayu Selangor (dipelopori UMNO) tentang isu timbalan MB.

Farid, Pegawai Bank: Aku manala tau.. bukan ada urusan dengan gomen pun… lagi pun aku malas nak amik tau, aku sokong BN, yang menang pembangkang. Dah sah-sah aku tak gemor diorang memerintah. Hidup UMNO, hidup BN, hidup Melayu.

Haris Zakapli, Wartawan Kanan Siasah: Kena tengok dasar-dasar yang dibuat nanti. Tapi nampak ada usaha untuk merawat masalah yang ditinggalkan kerajaan dulu, eg jual rumah exco, isu air.

Pasal DEB?

Ijad, Aktivis teater: Aku punya pandangan dari mata rakyat biasa yang tak paham sangat sistem social. Bangun sampai tido balik, KERJA! Aku tak pernah paham DEB tu apa benda. Yang aku paham, susu anak aku dah naik 5 kali, tapi gaji aku baru naik sekali. Kerja kuat tak tentu kaya, tapi kabel baik senang kaya. Belajo tinggi belum tentu pandai, tapi banyak duit baru pandai.

Masih lakukah lagi politik perkauman?

Spyz, Blogger: Politik perkauman masih laku mungkin untuk satu generasi lagi tetapi pengaruhnya makin berkurangan. Ini kerana masih wujud pengaruh generasi tua yang melalui zaman memuncak politik perkauman sekitar 50an – 70an. Lagipun, ada ke Negara yang bebas secara penuhnya daripada perkauman? Yang penting adalah toleransi.

Hizairi, Pereka Laman Web: Tak laku dah sekarang ni, India, Cina dan Melayu bergabung. Tapi macam ada agenda lain dari satu-satu kaum.

Pandangan tentang MB Selangor.

Aqil Fitri, Editor ummah-online.com: Aku rasa MB ni lagi bagus dari MB-MB PAS. Sebab MB-MB Keadilan akan mengangkat nilai-nilai piawai pentadbiran antarabangsa. Beza dengan MB-MB PAS yang lebih berminat dengan cara tadbir tafsiran Islam yang maseh kabur.

Jamel, Pegawai Kewangan: Bagi aku Tan Sri Khalid try to do something for rakyat Selangor n try nak kotakan janji-janji PKR. So just bagi ruang n opportunity untuk MB Selangor. We will receive the benefit full or half of it.

Haizad, Pegawai Swasta: Superb beb! Sime Darby dia la beli dari orang putih. Kalau dia bertanding MIC ari tu, jadi pemuda MIC le aku.

29 Mac 2008

CEO pilihan Selangor sebagai pengurus

Oleh: Wan Fakhrul Wan Bakar (KOSMO!)

beritaPERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) melakukan satu anjakan baru dalam pengurusan bola sepak tempatan apabila bakal menjadi sebuah organisasi yang bercirikan korporat serta profesional.

Presiden FAS yang baru, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sebagai langkah permulaan, pihaknya kini sedang mencari individu yang bertanggungjawab sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) bagi menguruskan bola sepak di Selangor.

"Memandangkan kita kini dalam era ketelusan, kita akan iklankan jawatan kosong CEO ini. Kita akan lihat respon yang diberi daripada mereka yang berminat nanti.

"CEO itu nanti akan bertanggungjawab sebagai pengurus dalam pengendalian bola sepak di negeri Selangor ini. Sekarang bukan masanya lagi untuk kita terus menguruskan organisasi ini secara sukarela," katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada majlis minum pagi bersama pegawai FAS serta pemain Selangor yang terdiri daripada skuad Liga Super, skuad Piala Presiden dan skuad Piala Belia di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Shah Alam semalam.

Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga, Tan Sri Rozali Ismail selaku penaja utama FAS menerusi anak syarikatnya, Bekalan Air Selangor (Syabas) serta beberapa pegawai tertinggi FAS antaranya timbalan presiden, Datuk Mokhtar Ahmad, naib presiden, Datuk Emran Kadir serta setiausaha agung, Hamidin Mohd. Amin.

Jelas Abdul Khalid, beliau mahu mengubah FAS menjadi sebuah unit korporat yang bakal memainkan peranan utamanya dalam menentukan pembangunan dan masa depan bola sepak negeri Selangor.

"Kita mahu buat satu organisasi yang dapat membawa punca kewangan buat FAS. Jadi, saya mahu perubahan minda ke arah bola sepak Selangor yang profesional," ujarnya.

Ditanya adakah FAS akan memberikan tiket percuma seperti dilakukan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) baru-baru ini, Abdul Khalid menegaskan, pihaknya tidak bercadang memberi tiket percuma seperti itu.

"Beri tiket percuma tidak akan menaikkan minat seseorang penyokong itu. Kalau kita terus menang, main dengan bagus, itu sudah cukup untuk menarik minat mereka walaupun kena bayar tiket.

"Kita mahu jadikan bola sepak sebagai perniagaan. Jika berjaya tarik lebih ramai peminat selepas ini, saya nak jadikan peminat setia Selangor juga sebagai pemilik saham dalam organisasi bola sepak kita," katanya.

Dalam majlis semalam juga, Abdul Khalid menerima dua helai jersi Selangor daripada ketua jurulatih, Dollah Salleh dan ketua pasukan, Shukor Adan serta cek penajaan daripada Rozali yang mewakili Syabas.

Syabas mula menjadi penaja utama FAS sejak musim lalu dan ia diteruskan lagi bagi musim ini dengan nilai tajaan sebanyak RM5 juta setahun.

"Jumlah RM5 juta sebenarnya tidak cukup untuk menguruskan sebuah pasukan menjadi yang terbaik. Kalau boleh, saya akan cuba dapatkan lebih banyak lagi tajaan untuk FAS selepas ini," jelas Abdul Khalid.

28 Mac 2008

Setinggan Sifar: AMK Yakin Khalid tak macam Khir

Kenyataan Media
28 Mac 2008

Setinggan Sifar Perlu Dicapai Untuk Kepentingan Negara dan Rakyat

Angkatan Muda Keadilan Malaysia menyokong kenyataan Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk Selangor mencapai matlamat setinggan sifar seperti yang disiarkan dalam temubual oleh portal internet Malaysiakini.

Namun Angkatan Muda Keadilan Malaysia kesal dengan kenyataan beberapa pihak yang mengandaikan bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin keADILan akan bertindak dengan cara yang sama seperti tindakan tidak berperikemanusiaan semasa Selangor di bawah Dato’ Seri Mohd Khir Toyo.

Adalah zalim untuk menganggap bahawa peneroka bandar perlu dibiarkan dalam keadaan mereka sekarang tanpa sebarang usaha untuk mengiktiraf hak dan pegangan mereka secara sah ke atas tanah yang didiami atau ke atas tanah lain yang bersesuaian dengan keperluan kehidupan mereka. Persoalan pampasan, peluang pekerjaan dan sebagainya perlu diberikan perhatian utama di dalam sebarang usaha pembangunan.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya Dato’ Menteri Besar Selangor akan mencari jalan terbaik yang adil dan manusiawi untuk memastikan para peneroka bandar dapat keluar daripada status ‘setinggan’ mereka. Setiap rakyat Selangor perlu diberi peluang yang adil untuk memiliki hartanah dan pada masa yang sama hak pemilik tanah dihormati dan diberi peluang untuk membangunkan hartanah mereka.

Ini ‘keseimbangan’ yang perlu dicari seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Abdul Khalid. Kerajaan perlu memainkan peranan utama dengan bertanggungjawab dan penyayang. Pada masa yang sama, syarikat-syarikat perlu berperanan sebagai warga korporat yang prihatin. Malah sebelum ini Tan Sri Abdul Khalid telah pernah mengemukakan idea-idea inovatif untuk memastikan rakyat termiskin sekalipun mampu memiliki hartanah, termasuk melalui skim pembiayaan jangka panjang inter-generasi sehingga 60 tahun.

Angkatan Muda Keadilan Malaysia percaya Dato’ Menteri Besar Selangor dan Kerajaan Negeri akan mengemukakan pelan komprehensif untuk mencapai matlamat setinggan sifar yang akan dilaksanakan. Sebarang cadangan dan komen sekarang sudah tentu akan membantu. Namun ia perlu dikemukakan melalui saluran yang betul dan membina.

Harapan Baru Untuk Malaysia

Ahmad Zaki Yamani bin Zainon
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia