Memaparkan catatan dengan label 916. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 916. Papar semua catatan

16 September 2008

"Cukup, jumlahnya lebih dari cukup.."

PETALING JAYA, MALAYSIA, 16 SEPTEMBER 2008

Hari ini rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia- hari di mana negara kita menjadi satu dan rakyatnya bersatu. Hari ini mempunyai makna baru. Selepas bertahun berjuang, melawan sistem yang dilanda dan mengabaikan prinsip keadilan- kita sekarang berada diambang kemenangan. Hasrat kita untuk membina semula negara dan menyatu padukan rakyat Malaysia sebagaimana yang dicita-citakan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan sudah semakin dekat.

Keadaan ekonomi yang merudum jatuh dengan kadar pengangguran dan inflasi yang tinggi telah menyebabkan rasa tidak puas hati rakyat yang meluap-luap. Hubungan antara kaum menjadi tegang, diburukkan lagi dengan propaganda oleh media yang dikawal oleh kerajaan. Pentadbiran sekarang gagal untuk menawarkan jawapan buat negara kita keluar dari kedudukan sukar ini.

Pakatan Rakyat yakin dapat menyelamatkan Malaysia dari masalah ekonomi dan politik berbaur perkauman. Kami akan melaksanakannya secara bertanggungajwab, menuruti prinsip undang-undang dan tidak akan sama sekali menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara dan rakyat negara ini.

Pakatan Rakyat kini memiliki majoriti yang selesa untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang stabil. Kerajaan baru yang mencerminkan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Jesteru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman. Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan jam 2.30 petang semalam.

Dengan mandat ini kami bertekad untuk melaksanakan peralihan kuasa yang aman. Kami tidak ingin berulangnya peristiwa yang berlaku sewaktu mengambil alih kuasa di negeri Perak dan Selangor, di mana dokumen milik kerajaan negeri di lupuskan oleh pentadbiran terdahulu.

Kami mengingatkan kepada elemen radikal di dalam Barisan Nasional agar tidak menyalahgunakan kuasa serta menahan para penyokong Pakatan Rakyat. Penyiasatan yang dibuat secara tergesa-gesa oleh BPR terhadap Dato Seri Yong Teck Lee selepas mengumumkan akan membuat undi tidak percaya terhadap Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan di antara taktik yang kita tolak. Penggunaan ISA terhadap Ahli Parlimen Teresa Kok merupakan contoh untuk menghalang perubahan dengan tidak mengikut lunas-lunas perundangan.

Jesteru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman. Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan jam 2.30 petang semalam dan kami menuntut beliau memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti berikut :


1) Agar Barisan Nasional tidak menghalang ahli parlimennya dari bertindak menurut suara hati mereka, hak yang dijamin undang-undang serta keputusan yang mereka buat tanpa paksaan;

2) BN tidak boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan ahli parlimen yang berhasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat atau ahli parlimen
Pakatan Rakyat yang berjumlah 82 itu;


3) Kerajaan BN tidak seharusnya menggunakan kuasa darurat, kuasa polis,
atau menggantung perlembagaan mahupun membubarkan parlimen di dalam usaha mereka untuk menghalang Pakatan Rakyat dari berkuasa;

4) Dan Kerajaan Barisan Nasional tidak membuat sekatan jalan raya dan menghalang ahli parlimen, dari memasuki parlimen dan juga institusi-institusi kerajaan lainnya.

Kami yakin Perdana Menteri berkongsi keperihatinan yang sama terutamanya berkenaan kebajikan rakyat dan keselamatan negara. Kami percaya beliau akan memastikan Barisan Nasional bertindak mengikut perlembagaan dan prinsip-prinsip demokratik demi memastikan peralihan kuasa yang aman, serta tiada tindakan sabotaj untuk menghalang hasrat rakyat ataupun menggunakan retorik berbaur perkauman.

Kami menyeru masyarakat di semua lapisan agar memahami hasrat kami semata-mata untuk kebaikan negara ini. Saya juga ingin mengingatkan media massa jangan lagi berada di dalam penafian dengan meneruskan propaganda bahawa kami berbohong. Kita sekarang berada dalam era baru maka saya menyeru media massa meninggalkan tabiat lama dan mengambil iltizam untuk meningkatkan professionalisme kewartawanan.

Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, kami berhasrat untuk meneruskan gerak kerja kami sebagaimana yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam kami membentuk kerajaan baru dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat


DEKLARASI KELANA JAYA!

Oleh: Suhaimi Said

Bagi saya, Perhimpunan 30,000 rakyat di Stadium Kelana Jaya pada 15hb September 2008 dengan setiap seorang mengibarkan Bendera Malaysia adalah suatu peristiwa yang sepadan dengan Sambutan Hari Malaysia yang gagah.

Kehadiran pimpinan PAKATAN RAKYAT disambut dengan kibaran Bendera Malaysia memberangsangkan setiap yang hadir sebagai tanda bahawa semangat patriotisme Malaysia kini sedang diperbaharui diatas landasan yang kukuh dan berpandu kepada sejarah.

31hb Ogos disambut rakyat Malaysia sebagai Hari Merdeka dan 16hb September disambut dan dirayakan sebagai Hari Malaysia, itulah sejarah gemilang negara ini yang akan terus hidup dan disambut dengan penuh semangat.

Hari Merdeka dan Hari Malaysia bukanlah sekadar hari untuk dirayakan dengan sekadar cuti umum, dan diadakan perarakan serta pemakaian baju-baju baru, tetapi hendaklah disambut dengan penuh kesedaran dan keinsafan serta mengingati pejuang-pejuang bangsa yang menentang beratus tahun perhambaan bangsa oleh puak penjajah.

Kemerdekaan tidak membawa apa-apa erti jika rakyat terus dibelenggu oleh kemiskinan sedangkan Negara ini kaya dan boleh menampung keperluan rakyat jika berlaku pembahagian kekayaan secara adil dan teratur.

Kemerdekaan tidak membawa apa-apa erti jika rakyat dinafikan kemudahan-kemudahan yang sewajarnya boleh diperolehi mereka jika negara ini diuruskan dengan betul, tidak menyeleweng.

Kemerdekaan tidak membawa apa-apa erti jika mereka yang menghempas tulang empat kerat terus hidup tertekan, dan mereka yang boleh memanipulasi kekayaan Negara dan ekonomi melalui politik kronisme terus bermewah dengan projek demi projek.

Kemerdekaan tidak mempunyai apa-apa erti jika kaum pekerja, petani dan nelayan tidak memperolehi pendapatan sepadan dengan keringat mereka. Kemerdekaan tidak mempunyai apa-apa erti jika masih berlaku penindasan dan kezaliman terhadap golongan rakyat.
Kemerdekaan tidak mempunyai apa-apa erti jika pemerintahan masih bertegak diatas dasar pecah dan perintah dibawah dasar perkauman yang jijik.

Merdeka bukan hanya sekadar bebas dari penjajahan Negara asing keatas Negara kita yang tercinta ini. Merdeka bererti bebas dari cengkaman penjajahan asing dan penjajahan ekonomi oleh golongan yang berada keatas golongan yang tidak berada.
Didalam Negara Merdeka, kita mahu pastikan rakyatnya mendapat peluang yang bukan sahaja adil tetapi boleh menjamin kehidupan yang sejahtera dan mempunyai masa depan yang terjamin.

Kita tidak mahu dasar-dasar besar untuk pembelaan rakyat tetapi isinya kosong, kita tidak mahu Bajet yang dibentangkan tahun demi tahun untuk kesejahteraan rakyat namun peruntukan pelaksanaanya tidak sampai kepada sasaran sebenar.

Lihatlah dikawasan-kawasan pedalaman di Negara ini. Infrastrukturnya ketinggalan 50 tahun kebelakangan, tidak ada jalanraya, bekalan air, elektrik, talipon, tidak ujud kemudahan persekolahan kepada anak-anak sesuai dengan sebuah Negara Merdeka.

Lihatlah betapa kelaparan tanah berlaku kepada petani-petani dengan segala kesukaran untuk mereka menjalankan kerja-kerja pertanian dengan sistem yang sudah ketinggalan zaman.

Lihatlah rumah-rumah mereka hanya sekadar tiang-tiang kayu hutan, berdinding dengan kulit-kulit kayu, berlantaikan buluh dan beratapkan daun-daun nipah. Lihatlah betapa kemunduran mereka dibiarkan tanpa pembelaan sewajarnya. Adakah golongan mereka itu dikatakan minoriti? Mungkin, tetapi golongan minoriti ini adalah rakyat Malaysia yang mengharapkan pembelaan dari Negara Merdeka dan pembelaan itu tidak kujung tiba!

Rasakanlah keluhan hati mereka, rasakanlah keresahan mereka, rasakanlah kekeciwaan mereka, rasakanlah kemiskinan mereka. Billion demi billion ringgit wang yang dibajetkan, namun puluhan tahun golongan yang terpinggir ini tetap dipinggirkan; dan golongan yang terpinggir ini menjadi ratahan parti-parti politik yang rakus yang
mengumpan mereka dengan sogokan yang kecil untuk mendapatkan undi dari mereka semasa pilihanraya; seolah-olah kemiskinan mereka menjadi aset kepada kekuasaan parti-parti politik tersebut.

Secara ringkasnya Barisan Nasional sudah tidak berupaya lagi memerintah dan mentadbirkan Negara ini dengan baik dan berkesan. Kehadiran 30,000 rakyat berbilang kaum di Kelana Jaya yang mengibarkan Bendera Malaysia dan menyanyikan lagu Negara-Ku dipermulaan serta dipenghujung Perhimpunan itu melambangkan aspirasi kemerdekaan
sebenar. Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Datuk Kamaruddin Jaafar serta
Lim Guan Eng dan Tan Sri Khalid Ibrahim menghulurkan erti kemerdekaan sebenar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Pakatan Rakyat telah pun menyerahkan surat rasmi kepada Datuk Seri Abdullah Ahmada Badawi untuk suatu pertemuan segera bagi membincangkan penyerahan kuasa secara aman dari Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat.

Peralihan kuasa hendaklah berlaku secara aman diatas dasar bahawa jumlah ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat sudah pun mengatasi jumlah ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional di Parlimen.

Ia perlu berlaku secara aman kerana ini bukanlah rampasan kuasa tetapi berlaku mengikut cara dan prosedur yang sejajar dengan semangat demokrasi dan Perlembagaan Malaysia.

Kerajaan Barisan Nasional perlu menyerahkan kuasa kepada Pakatan Rakyat kalau tidak pada hari ini, maka esuk, atau lusa dan mengikut kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, "Kita berilah peluang kepada Pak Lah untuk membuat persediaan penyerahan aman dalam tempoh seminggu dua ini."

Bagi saya, 16hb September yang dijanjikan telah ditunaikan, dan itulah saya namakan DEKLARASI KELANA JAYA.

12 September 2008

SMS Pra 916

Wah! Tengah aku dok rehat-rehat, baring-baring, tepon aku berbunyi - lagu Rihanna lagi, Umbrella. Sebelum tengok mesej dari siapa, baik layan dulu lagu ni. Lagipun mesej, karang pun boleh tengok.

Dah selesai lagu tu habis, akupun tengoklah.

"Ermm..." kata hati kecil aku.

"Dari Pyan (bukan nama sebenar)" kali ini aku bercakap dengan diri sendiri

"Alamak. Sori Pyan, aku baru nak call mamak jual roti tu esok. Paling kurang tempahan kau siap Isnin depan, kalau tak pun 16hb ni. (Baru macam 916)"

Mesej tu berbunyi, "Muhyidin desak Pak Lah, Najib senyum panjang dan bila Najib naik, Mahathir masuk UMNO dan jadi "mastermind". Tapi dia orang tak sedar Pak Lah akan serah kuasa apabila Anwar dah conpem dapat tukar kerajaan baru. Percayalah Pak Lah akan balas diatas perbuatan Najib."

Mesej ini ok sikit daripada yang diterima oleh Rocky Bru yang berbunyi:

Sebarkan: BN: 140 Kerusi (MP Islam - 89 kerusi; MP bukan Islam - 51) Pakatan: 82 kerusi (MP Islam - 43 kerusi; MP bukan Islam - 39) Katalah jadi 30 yg lompat, semua bukan Islam, maka kerusi Pakatan 43 MP Islam & 69 MP bukan Islam..jika 30 yg lompat, 5 Islam 25 bukan, maka Pakatan jadi 48 MP Islam & 64 bukan Islam..jika inilah yg Anwar kehendaki, maka dia akan memusnah Islam & Melayu di M'sia..kita berdoa agar ia hanya impian kosong & Allah lindungi BN.

Detik 916

Oleh: Khalid Samad

Dari sudut hujjah2 Mustafa Ali saya telahpun memberi komen saya. Dari sudut alasan teknikal ada hujjah yang sebaliknya yang saya tidak kemukakan secara detail dulu. Ada yang minta saya detailkan. Sila lihat hujjah yang dikemukakan dalam mimpiboneka yang sebahagiannya saya ‘cut & paste’ dibawah. Kata empunya blog dia hanya blogger kampungan sahaja. Kalau kampungan dah begini, alamat makin hancurlah UMNO. Sila kunjungi Blog beliau untuk maklumat yang menarik yang lain juga.


“Ini kerana mengikut Artikel 40a, Kurungan (2),
sub-kurungan (a), Perlembagaan Malaysia, kuasa melantik seorang perdana menteri itu adalah semata-mata di atas perkenan dan budi bicara Duli Yang Maha Mulia
DiPertuan Agong.



Article 40a
40a.
(2) The Yang di-Pertuan Agong may act in his
discretion in the performance of the following functions, that is to say –
o
(a) the appointment of a Prime Minister;


Seterusnya kriteria yang
ditetapkan oleh Perlembagaan bagi DYMM Agong memilih seorang Perdana Menteri bukanlah takluk kepada hari apa, atau musim mana, sebaliknya tertakluk kepada klausa yang beri oleh Artikel 43, Kurungan (2), sub-kurungan (a) yang berbunyi.

Article 43
(2) The Cabinet shall be appointed as follows, that is to
say -
o (a) the Yang di-Pertuan Agong shall first appoint as Perdana Menteri
(Prime Minister) to preside over the Cabinet a member of the House of
Representative who in his judgment is likely to command the confidence of the
majority of the members of that House; and

Maksud jelas yang menerkam
bila Artikel 40(a) dan 43 dibaca bersama ialah: DYMM Agung boleh lantik ahli parlimen mana yang Tuanku berkenan, yang dalam pertimbangan Tuanku si-polan itu mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Yang mana implikasi praktis
Artikel 40(a) dan 43 dalam konteks polemik panas dewasa ini – samada Anwar Ibrahim mampu merealisasikan objektif ‘September 16’ – adalah tersangat mudah: DYMM Agong pada bila-bila masa boleh melantik Anwar Ibrahim (hatta orang lain) sebagai Perdana Menteri Malaysia jika Tuanku dapati Dolah Badawi itu sudah tidak mendapat sokongan majoriti ahli parlimen”.


Saya setuju dengan tafsiran di atas. Namun tak kata semestinya tafsiran ini yang betul atau sebaliknya. Hanya untuk mengatakan tafsiran ini kelihatan kukuh. Sepertimana saya sebut dulu, tidak ada precedent. Maknanya benda baru yang tak pernah dibuat lagi maka akan ada beberapa pandangan yang berbeza walaupun di kalangan peguam.

Soalnya mengapa Cikgu Pa nak kata mustahil dan dikatakan ‘gimik’ dan ‘janji kosong’? Itu memberikan gambaran seolah-olah Anwar saja menipu rakyat. Biarlah Anwar usahakan dan kita tolong. Kecuali kita sendiri tak setuju penukaran kerajaan itu dilakukan!

Menempelak Anwar?

Saya pun sebenarnya hairan dengan sikap Cikgu Pa kebelakangan ini. Kenapa dia nak masuk campur dalam isu yang dia anggap sebagai ‘agenda PKR dan bukan agenda PAS’? Kalau benar ianya agenda PKR dalam erti-kata tarikh 16 September ditentukan oleh mereka tanpa persetujuan (atau penolakan) dari PAS, kenapa dia yang nak ke depan untuk memberi penjelasan? Sekiranya dia khuatir pada tarikh itu tidak terjadi apa yang dijanjikan, biar Anwar sahajalah yang keluarkan kenyataan bukan dia. Kalau tidak nampak macam seolah-olah dia nak ambil kesempatan menempelak Anwar. Takkan dia tak tahu? Adakah itu tujuannya?

Mungkin bukan sekadar Anwar yang disasarkan tetapi PR itu sendiri. Adakah ini langkah mula kea rah menyediakan ahli2 PAS untuk keluar PR? Saya rasa Cikgu Pa kena menghayati keputusan yang dibuat dimuktamar baru2 ini. Sedih sangat kalau dilihat pemimpin yang tidak memahami disiplin parti.

Berita muka depan Harakah terbaru – salah guna kuasa?

Buat kali pertamanya dalam sejarah, saya difahamkan, Cikgu Pa mengarah Harakah menyiarkan berita berhubung pendirian peribadi beliau sebagai berita muka depan. Biasanya beliau tidak akan campur dalam soal muka depan dan membenarkan pihak pengurusan, khususnya Ketua Pengarang, menentukannya sendiri. Tetapi tidak kali ini.

Berita yang dianggap begitu sensasi dan mengagumkan itu, yang menyebabkan perlunya kebiasaan selama ini diketepikan, adalah berhubung isu 16hb September. Pendirian peribadi beliau yang menyatakan tak mungkin atas sebab teknikal dan politik serta persoalan moralitinya ingin ditonjolkan. Soalnya untuk apa?

Isu ini semenangnya dianggap hebat oleh pihak BN dan cara ianya disiarkan oleh Utusan Malaysia di muka depannya di mana gambar Cikgu Pa dan Anwar diletak sebelah menyebelah jelas menunjukkan betapa ia dianggap menguntungkan BN. Kenyataan kedua-dua mereka yang saling bercanggah satu sama lain ditonjolkan untuk membuktikan wujudnya ketidak sealiran pemikiran di antara mereka.

Dari sudut PAS pula, khususnya ahli2nya, yang kedengaran adalah hanya keluhan dan kemarahan. Dari satu sudut lain pula, jelas bahawa Cikgu Pa menyalah-gunakan kedudukannya sebagai Pengerusi untuk menyiarkan berita yang merupakan pendirian peribadinya dan diarahkan pula untuk dimuatkan di muka depan.

Bawah Tempurung bersama Cikgu Pa

Dikatakan bahawa PAS tak terlibat dalam perbincangan mengenai 16 Sept. Saya rasa hairan. Setahu saya tarikh ini diketahui umum. Dalam mesyuarat Majlis Pakatan Rakyat sudah pasti dibincang. Soal setuju tak setuju cerita lain. Begitu juga dalam mesyuarat Lujnah Politik Pusat yang saya terlibat. Saya memang ingat ada diupdatekan status berapa dan siapa secara umum. Memanglah tak boleh sebut secara detail kerana perlu dirahsiakan sebahagian dari mereka atas permintaan orang2 berkenaan.

Begitu juga dalam mesyuarat PAS Pusat. Saya difahamkan dibincang dengan begitu hangat. Tetapi hujjah2 berhubung bermoral atau tidak, mustahil atau tidak, ini semua tidak dibawa pada masa itu.

Soalnya, sekiranya tarikh tersebut dilihat mustahil kenapa tidak dibincang bersama dalam mesyuarat2 tersebut. Takkan baru sedar Parlimen tidak akan bersidang pada tarikh itu? Kalau soal hijrah dilihat tidak bermoral, kenapa tidak dibincang dulu? Takkan duduk bawah tempurung dan baru sedar sekarang?

Wallahu ‘Alam

07 September 2008

PUTRAJAYA 916 : 16 SEPTEMBER PASTI BERLAKU...


'Apakah kamu mengira bahawa kamu akan dibiarkan (begitu sahaja), sedang Allah belum mengetahui (dalam kenyataan) orang-orang yang berjihad di antara kamu dan tidak mengambil teman yang setia selain Allah, Rasulnya dan orang-orang yang beriman. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.
( 9:16 )

Surah At-Taubah – Surah ke - 9 : Ayat 16

16 September atau 916 semakin hampir dan Ia PASTI BERLAKU. Selepas ini Dato Seri Anwar Ibrahim perlu melakukan satu lagi sumpah yang ditunggu-tunggu selama ini. Sumpah keramat kali ini akan menamatkan terus pemerintahan Barisan Nasional selama 50 tahun. Jika selama ini pelbagai pihak mendesak Dato Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan sumpah. Tetapi sumpah selepas ini akan menyebabkan mega tsunami yang akan menenggelamkan kapal Titanic Barisan Nasional selaku regim parti pemerintah sekarang. Sumpah tersebut adalah sumpah taat setia di hadapan Yang DiPertuan Agong sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 yang baru.

Tarikh 16 September juga kelak akan menjadi titik terpenting dalam sejarah masa hadapan Malaysia. Harapan baru rakyat Malaysia terhadap sistem pemerintahan negara bakal melakar satu lembaran baru. Selepas bergelut dengan pelbagai kemelut ekonomi, rasuah, sistem kehakiman , sistem demokrasi dan sosial. Rakyat Malaysia secara keseluruhannya wajar bangkit semula untuk meletakkan negara pada kedudukan dan standart yang tinggi di mata dunia.

Semangat dan inspirasi baru perlu ditiupkan kepada seluruh warga Malaysia. Dengan harapan baru kebangkitan rakyat Malaysia selepas 51 tahun negara mencapai kemerdekaan. Suntikan semangat dengan halatuju dan agenda baru perubahan negara akan melonjakkan Malaysia berada ditahap global. Kita perlu memahami realiti semasa dengan perubahan dunia yang semakin pantas bergerak maju dan semakin bersifat global. Justeru tindakan dan fikiran juga menuntut standart yang tinggi dan bersifat global dan futuristik.

Malahan harapan selepas 16 September adalah untuk melihat Malaysia bangkit dalam menghadapi kemelut ekonomi dan sistem keadilan. Dunia juga mengharapkan khususnya negara-negara Islam agar Malaysia menjadi jurubicara dunia Islam dan negara-negara membangun dalam menangani persoalan ketidakadilan global yang semakin memisahkan dan melebarkan jurang pertembungan tamadun atau Clash of Civilization yang diungkapkan oleh Samuel Huntington dalam karya agungnya.

Kita juga mengharapkan sinar baru harapan Malaysia akan muncul pada fajar 16 September. Sinar ini yang akan menerangi seluruh zaman kegelapan Malaysia dalam aspek sistem keadilan,sosial, ekonomi dan pentadbiran negara. Sinar harapan baru rakyat Malaysia untuk kembali bangkit menjadi bangsa yang menyumbang kepada kepesatan dan ketamadunan dunia. Kita juga akan bangkit bukan sekadar untuk menyaingi prestasi ekonomi Singapura, Taiwan dan Korea Selatan. Tetapi juga kita bangkit untuk membangunkan ekonomi yang akan menjadi role model dunia dan ummah sejagat di masa hadapan.

Apa jua halangan dan rintangan yang cuba dilaksanakan oleh regim pemerintah masa kini untuk menidakkan berlakunya peralihan kerajaan 16 September. Realiti sebenarnya 16 September pasti akan berlaku juga. Kini bidak catur berada pada giliran Pakatan Rakyat untuk menggerakkannya. Hanya tinggal beberapa langkah lagi percaturan ‘checkmate’ akan terus menamatkan permainan kotor regim pemerintah masa kini selama 50 tahun.

Kini seluruh dunia sedang memfokuskan kamera mereka ke arah Malaysia. Kerajaan Pakatan Rakyat 916 akan mengambil alih kerajaan persekutuan Malaysia. Kita mengharapkan proses peralihan tampuk pemerintahan negara akan berjalan lancar dan aman. Dunia juga sebenarnya ternanti-nanti satu peristiwa bersejarah yang akan mengubah landskap politik Malaysia pada masa hadapan. Kita juga wajar meraikan 16 September ini sebagai Kemerdekaan Malaysia Ke-2 yang bebas daripada sistem rasuah dan kezaliman. Kibarkan bendera Malaysia sebanyak yang mungkin tanda kemenangan kita dalam mendapatkan kemerdekaan yang sebenar yang kita bukan bebas daripada penjajahan fizikal tetapi kita bebas daripada penjajahan minda.

Kita merdeka daripada penjajahan minda untuk menjadikan Malaysia dan warganya mempunyai nilai maruah yang tinggi pada pandangan dunia. Bebas merdeka daripada penjajahan minda merupakan pembebasan yang cukup tinggi nilainya kerana dengan bebas daripada minda sahaja kita mampu bangkit membina negara menjadi sebuah negara madani yang bertamadun tinggi dan nilai akal budi murni yang terpuji.

Mengungkap sepotong ayat Al-Quran daripada Surah Al-Taubah yang merupakan surah ke 9 dan memetik pada ayat ke 16. Kita wajar memahami dan menghayati maksud ayat tersebut dengan mendalam yang membicarakan soal ujian keimanan dalam proses perjuangan yang akan dihadapkan dengan pelbagai ujian sebelum layak kita mengecap nikmat manis kejayaan tersebut.

Proses reformasi yang bermula 10 tahun lepas baru kini nampak hasilnya. Tetapi 16 September ini adalah proses permulaan dalam satu langkah panjang membawa negara ke arah era baru negara madani. Sempena meraikan 16 September ini di seru seluruh rakyat Malaysia tidak mengira bangsa dan agama menanamkan iltizam dan tekad baru untuk membawa Malaysia yang lebih gemilang di masa hadapan. 16 September adalah detik kebangkitan Malaysia menjadi warga negara yang lebih bermaruah. 16 September adalah Malaysia Baru untuk menjadi sebuah Negara Madani.

Semoga 16 September akan membawa Malaysia menjadi perintis kepada perjuangan menegakkan keadilan di peringkat global pula. 16 September bukan destinasi berhentinya perjuangan tetapi adalah sebuah perjalanan perjuangan yang panjang. Selamat Menyambut Kemerdekaan Malaysia Ke-2 pada 16 September. Semoga 16 September adalah detik permulaan sinar aura harapan baru Malaysia untuk melakar sejarah tamadun ummah sejagat di masa hadapan.