Memaparkan catatan dengan label babad pendekar jawa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label babad pendekar jawa. Papar semua catatan

14 Julai 2008

Babad Pendekar Jawa lagi

Oleh Khalid Jaafar

Yusmadi, ahli parlimen Balik Pulau dan salah seorang peguam pendekar kita semasa dalam penjara, pernah memberi tahu saya: "Ezam ini orang yang tidak punya keyakinan diri. Bila mahu bersumpah dia akan seret emaknya, bapanya.


Laman web ceoexpress.com memang mencabar daya pilih, kudrat dan akal. Seperti memasuki supermall, leka kerana terlaku banyak pilihan, dan akhirnya lelah. Where is the knowledge we have lost in information - dimanakah ilmu yang hilang dalam maklumat. Soalan ini ditanyakan oleh T S Eliot beberapa dekad sebelum berlakunya ledakan maklumat. Zaman ini sungguh mewah dengan maklumat. Tetapi apakah kita semakin pandai? Majalah The Atlantic Monthly bulan ini menyiarkan esei "Is Google Making us More Stupid?" yang membentang hubungan ilmu dengan teknologi.

Maka saya sering berdepan dengan dilema. Buku atau web. Sebagai penulis saya perlukan idea. Dailog-dailog Plato lebig sarat dengan idea dari yang terkandung dalam Google. Jadi menghadam sebuah dialog kecil seperti Phaedrus lebih mencerah, lebih memperkasakan otot-otot akal dari berbulan-bulan melayari Google. Tetapi sebagai penulis saya juga perlukan maklumat. Idea dalam buku, maklumat dalam web. Dan semalam AWJ--rakan sekelas di Masjid Tanah awal 1970an dan makan nasi bersama dalam ladang getah di sebelah sekolah--memperkenalkan ceoexpress.com, satu laman yang mempunyai tembusan kepada maklumat berkualiti.

Tatkala sedang asyik menyelak ceoexpress.com malam tadi saya terdengar suara pendekar Jawa kita menjerit dalam tv. Saya tidak menonton tv, hanya mendengarnya dari jauh. Ezam mahu bersumpah 'secara Islam'. Yusmadi, ahli parlimen Balik Pulau dan salah seorang peguam pendekar kita semasa dalam penjara, pernah memberi tahu saya: "Ezam ini orang yang tidak punya keyakinan diri. Bila mahu bersumpah dia akan seret emaknya, bapanya." Dan anaknya, dan kalau boleh cucunya yang hanya akan lahir 20 tahun dari sekarang. Kita harap Ezam akan benar-benar bersumpah, dan dengan menjujung al-Qur'an, supaya dia memperteguhkan kedudukan dan kejohanannya sebagai politikus Melayu yang paling kerap bersumpah dalam sejarah. Pada masa ini rekod ini tidak akan dipecahkan sehingga akhir abad ini. Bersumpah, inilah kemahuan dan ketagihan khalayak politik Melayu-Umno yang jahil syariat.

Dakwa pendekar itu dia telah merujuk kepada 'dua ulamak muktabar'. Apakah ianya sheikhul Islam Negeri Entah Berantah? Berapa kitab ugama yang dikarang oleh 'ulamak muktabar' tersebut? Seorang ulamak tidak boleh jadi muktabar kalau tidak mengarang buku. Apakah kitab dan ilmu islamnya mengatasi ilmu Sheikh Taha Jabir al-Elwani atau Sheikh Yusuf al-Qaradhawi? Gelembong ini amat tipikal bagi pendekar itu. Teringat saya dibulan-bulan terakhir Anwar Ibrahim dalam penjara. Ezam membuat gerakannya dan menjustifikasikannya: "kita perlu berfikir di luar kotak." Saya melakukan interrogasi, saya ingin tahu, siapa penasihat-penasihatnya, rakan befikir di luar kotak. Dia menyebut beberapa nama, tetapi yang paling penting adalah Hamdan Taha. Bukan kepalang saya menahan perut untuk tidak pecah ketawa. Hamdan Taha! Berfikir di luar kotak! Saya ingatkan seorang ahli politik veteran yang keluar masuk labiran politik selama lima dekad atau anak muda yang mempunyai IQ melebihi 160.

Ezam adalah pendekar yang tewas dua kali. Kekalahan pertama adalah dalam ujian penjara. Ezam begitu berbangga dengan statusnya sebagai bekas tahanan ISA. Dan lagi, untuk membandingkan dirinya dengan setiausaha-setiausaha Anwar yang lain, satu-satunya setiausaha yang masuk ISA. Tentunya di sini Ezam memang lebih. Bahkan dia melebihi semua tahanan ISA reformasi. Dialah satu-satunya tahanan ISA reformasi yang tewas.

Ketewasan kedua adalah lebih kelasik. Bukan sahaja tewas, bahkan tidak pernah menang. Itulah pergelutannya dengan pemegang diari merah. Inilah luka yang paling dalam pada diri pendekar Jawa. Dia pergi bertapa di makan Sunan Gunung Jati di Ceribon. Dia beroleh kekuatan, tetapi luka itu tidak sembuh. Maka kekuatan itu menjadi bahan bakar kepada kesumatnya.

01 Jun 2008

Babad Pendekar Jawa

bukupetikan dari Babad Pendekar Jawa:

...Pertamanya beliau masih terpasung dengan minda Umno. Ezam mendapat pendidikan politik dalam Umno dan beliau terlalu berbangga dengan pendidikan tersebut. Saya tidak mahu mengatakan semuanya jelek dalam pendidikan tersebut. Tetapi apabila kita bertambah matang kita perlu melakukan interogasi terhadap pendidikan tersebut. Beliau tidak dapat membuat anjakan kepada falsafah baru politik yang di bawa oleh Anwar Ibrahim. Ezam masih dalam kepompong politik perkauman, baginya politik pelbagai kaum tidak punya masa depan...

...Kedua, ilmu yang paling banyak dipelajari oleh Ezam semasa dalam Umno adalah untuk menjadi bomoh intrik politik. Dan sepanjang dalam Keadilan Ezam, selain dari orang yang paling banyak menerima sumbangan dana perjuangan, adalah orang yang pakar dalam seni sepak terajang politik. Dan beliau amat berbangsa dengan seni tersebut. "Semuanya mungkin dalam politik," kata Ezam dalam NST ...

...Sebagai seorang yang bersangka baik saya lambat menangkap mainan Ezam. Tetapi setelah berlaku peristiwa Anuar Shaari saya mula mengumpul ingatan apa yang Ezam pernah katakan kepada saya. Apa yang dahulu saya fahami sebagai tersurat saya mula melihat apa yang tersirat....


klik pada gambar depan ebuk ini untuk memindah turun

Baju sekolah seksi, Ezam dan TDM

editorialWalaupun Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengatakan bahawa baju sekolah pelajar-pelajar perempuan seksi dan menganjurkan pelajar-pelajar perempuan di negara ini mengenakan baju sekolah berwarna tetapi rata-rata yang kami tanya melalui kolum Suara Rakyat mengatakan bahawa pendapat serta tindakan sedemikian adalah tidak perlu.

Pembaca kami berhujah; nafsu boleh dibangkitkan dengan pelbagai cara bukan sahaja dengan berpakaian seksi. Ada pembaca yang menggariskan bahawa masalah akhlak atau gangguan seksual berlaku akibat daripada perkara-perkara lain termasuk keluarga, masyarakat sekeliling dan tenaga pengajar itu sendiri. Cikgu memainkan peranan yang penting bagi memupuk nilai-nilai murni akhlak masyarakat.

Mungkin perkara paling mendasar bagi reaksi kepada kenyataan PKPIM ini ialah daripada tuan punya diri sendiri dan mereka yang melihatnya. Betul kata sala seorang pembaca; baju cuma pemangkin untuk jiwa remaja yang bergelora dan asyik berfantasi. Dan mungkin kerana asyik berfantasi, mereka, anak muda-anak muda ini sering tersilap langkah; membuat pilihan yang salah, yang bakal menerima akibat suatu masa nanti.

Betul, baju sekolah yang seksi memungkin gangguan seksual, cabul, kejadian rogol atau perkara lain yang sewaktu dengannya. Tetapi bukan semua orang terganggu atau tertarik dengan baju sekolah yang seksi ini.

Jumlahnya saya -- sebagai pernah bersekolah dengan para pelajar perempuan ini -- percaya adalah sedikit kalau boleh saya perkatakan (tanpa kajian yang lengkap sama seperti PKPIM) adalah sekelumit atau saja 1/30 daripada jumlah semua pelajar yang ada di sekolah atau juga lebih rendah daripada itu.

Kenyataan PKPIM ini kemudiannya disokong oleh Dewan Muslimat PAS yang turut mengatakan melalui Aiman Athirah setiausahanya bahawa cadangan itu “sangat bertanggungjawab dan munasabah". Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dewan itu beberapa hari selepas kenyataan dari PKPIM dikatakan juga telah mengambil kira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fekah.

Saya setakat ini masih gagal lagi untuk memaahami punca dari saranan PKPIM ini dan kemunasabahan disebalik cadangan ini. Walaupun mereka dikatakan “telah mengambil kira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fekah” namun saya rasa usul itu masih belum cukup munasabah.

Menurut web berita Malaysiakini, Muslimat PAS turut mencadangkan agar PKPIM “segera membuat pungutan suara dalam kalangan pelajar di seluruh negara sama ada pakaian menjadi satu faktor pemangkin mendorong jenayah seks.”

Cuma saya turut ingin mengemukakan cadangan kepada PKPIM supaya dapat menjalankan pungutan suara di kalangan bukan sahaja pelajar Islam tetapi seratakan pungutan suara kepada seluruh pelajar di Malaysia.

Sebentar lagi saya akan melancar sebuah ebuk mini berjudul “Babad Pendekar Jawa” hasil tulisan Khalid Jaafar. Buku elektronik yang khas menghikayatkan kisah Ezam Mohd Nor yang juga sangat rapat dengan Khalid Jaafar. Mereka pernah melarikan diri bersama membuat persediaan untuk menyerang Dr M dari luar.

Pustaka RK bertanggungjawab menghasilkan ebuk ini, atas dasar kami yang ingin tahu serta menyelidiki apa yang ada di sebalik babad Ezam ini.

Banyak rencana dan berita yang berkisar tentang masuknya Ezam Mod Nor ke dalam UMNO. RK harap anda sekalian yang ingin tahu perihal Ezam masuk UMNO boleh membacanya di sini.

Sementara itu, RK pada awal bulan ini telah menerbitkan beberapa esei dan berita berkenaan Mahathir keluar UMNO. Jika Ezam memasuki UMNO, Dr M pula keluar dari parti tersebut kerana melakukan protes terhadap kepimpinan Pak Lah yang dikatakan terlampau lemah dan membelakangkan orang-orang Melayu.

Tindakannya meninggalkan UMNO tanpa membawa anaknya Mukhriz keluar bersamanya dilihat oleh rata-rata pemerhati politik sebagai tindakan bijak sang politikus berpengalaman.

Biar saja Mukhriz di dalam UMNO dia bisa buat sesuatu dari dalam! Bukan untuk Parti, tapi untuk diri aku sendiri…

Zulfikar Samsuri
Editor blogzine Republik Kata