Memaparkan catatan dengan label editorial. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label editorial. Papar semua catatan

29 Mac 2009

Blog pro Pakatan vs blog pro kerajaan






Pelbagai blog pro kerajaan yang wujud, yang secara melampau menyerang hingga membawa kepada sesuatu yang bersifat menghasut untuk membunuh atau mencelakakan kehidupan seseorang adalah memberi kebaikan atau faedah kepada blog-blog pembangkang. Mereka ini seolah-olah memberi peluru untuk ditembak kepada mereka balik.

Tetapi kita tidak boleh menolak semua ini, kerana pada masa yang sama ada segelintir daripada blog pro pakatan yang tidak berhujah secara rasional, hanya memaki hamun dan sumpah seranah.

"Hei, macam mana dia tak serang kita macam tu? Dah kita ada yang hina dia."

Terbaru YB. Drs. Khalil Idham Lim Abdullah telah membuat laporan polis berhubung dengan suatu posting blog yang bertajuk “Kill Nizar” dan lain-lain lagi unsur-unsur kebencian terhadap DS Ir Nizar. Selain itu terdapat gambar di blog tersebut yang menyamakan DS Nizar dengan seekor anjing.

Ya, blog-blog pro kerajaan ini sebenarnya telah banyak memberi faedah kepada pihak pembangkang, ia mudah – anda buat sesuatu yang dibenci orang maka sudah tentulah orang lain akan membenci anda, itulah sebabnya politik kebencian ini, yang cuba bermain dengan sentimen kebencian orang ramai, perlu ditolak.

Sama ada benih kebencian itu disemaikan oleh pihak kerajaan atau pihak pembangkang (dalam konteks negara ini Pakatan Rakyat), kita sebagai rakyat adalah penilai. Secara jujurnya saya tidak suka akan politik memaki hamun dan sumpah seranah tanpa berpijak pada asas yang kukuh.


Seperti blog yang dilaporkan kepada polis oleh YB. Khalil Idham, saya berpeluang pergi ke blog tersebut dan mendapati apa yang terkandung di dalam blog itu amat melampau, teruk, dan lucah. Pakatan Rakyat atau sesiapa yang bersimpati kepada mereka yang masuk ke blog berkenaan sudah pasti akan loya, termuntah atau lain-lain aksi yang mual.

Tetapi keadaan ini tidak dimanfaatkan oleh blogger pro Pakatan Rakyat mereka seakan-akan meniru perlakuan yang dipamerkan oleh blogger pro kerajaan. Dan perkara ini akan jadi lebih rumit lagi apabila blogger pro kerajaan pula mendakwa bahawa mereka cuma mahu membalas apa yang blogger pro pakatan Rakyat.
Akhirnya perang hujah antara ayam atau telur! Tak tahu yang mana wujud dulu.

Sayangnya, apabila kedua-dua jenis bloggers ini mendakwa merekalah yang mendaulatkan hukum tuhan, mendaulatkan sultan dan mendaulatkan undang-undang tetapi pada masa yang sama merekalah pendaulat rasa amarah mereka, mencaci-maki dan menghamburkan kata-kata kesat sumpah seranah.
Cuma satu sahaja seruan kepada semua bloggers, baik yang pro kerajaan atau blogger yang pro Pakatan cubalah berhujah dengan sesuatu yang mempunyai asas, rasional dan tidak tertakluk kepada emosi semata.


07 Disember 2008

Korban





Esok kita akan menyambut Eid-ul-adha.

Dalam kehidupan ini, kita mesti berkorban, kita sanggup berkoraban demi dunia, demi kekasih, demi pelajaran, demi kerja, demi perut, demi hawa nafsu dan demi segala-gala ni’mat di dunia. Tapi selalukah kita berkorban demi Allah.

Sepatutnya kita berkorban segala ni’mat di dunia demi Allah, tapi ini tidak berlaku, malah kita ‘korbankan’ keredhaan Allah demi ni’mat di dunia. Maka, jadikanlah esok satu titik tolak bagi kita untuk mengubah paradigma korban kita dari yang ke arah yang bertentangan, tapi ke arah yang sepatutnya, arahkan kiblat korban kita kepada kiblat yang sepatutnya demi pencipta kita.

Selayaknya korban Ibrahim yang sentiasa patuh kepada arahan Allah walaupun dipinta Allah untuk menyembelih Ismail anak kesayangannya.

Pada kesempatan ini kami di Republik Kata ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya Eid-ul-adha kepada para pembaca blog ini yang beragama Islam. Semoga korban kita semua akan di terima oleh Pencipta yang Maha Satu.

Sam Ahmad
Editor Republik Kata

02 Julai 2008

Underground untuk PROTES

Oleh: Sam Ahmad

Saya tertanya-tanya juga bukankah pengisian pada hari tersebut jelas bertentangan dengan Islam yang cuba dibawa oleh PAS. Namun saya begitu pasti, ada titik pertemuan tujuan mobilisasi massa ini cara underground dengan cara yang ingin PAS bawa.


Sehingga kini saya menantikan jawapan dari Black. Namun dia masih tidak mengirimkan emailnya kepada saya. Mungkin agak PROTES belum lagi buat mesyuarat terakhir. Mungkin sehari dua lagi agaknya barulah dia mengirimkan emailnya kepada saya.

Saya tertanya-tanya juga bukankah pengisian pada hari tersebut jelas bertentangan dengan Islam yang cuba dibawa oleh PAS. Namun saya begitu pasti, ada titik pertemuan tujuan mobilisasi massa ini cara underground dengan cara yang ingin PAS bawa.

Ustaz Nasaruddin Hassan at Tantawi timbalan ketua pemuda PAS dalam blognya membantah usaha untuk mengadakan konsert di dalam himpunan ini.

Saya mendapat info bahawa Dr Hatta dan Sdri Aiman Athirah tidak tahu menahu tentang konsert dan segala macam pengisian pada hari tersebut. Segalanya diuruskan oleh Sdr Hishamudin Rais. Tetapi saya juga ada mendapat info yang kuat bahawa pimpinan PAS pusat sudah merestuinya.

Tidak pasti saya, apakah tindakan yang akan di ambil oleh PROTES. Mahu meneruskan demo dengan konsert atau dibatakan sahaja bahagian konsert itu. Kedua-duanya mungkin akan diambil. Kita tidak boleh membuat telahan biasa saja. Kita juga mesti mengambil kira pandangan politik parti-parti yang terlibat dalam himpunan ini.

Ke mana arah politik PAS, PKR dan DAP? Saya yakin PAS, PKR dan DAP, masing-masing akan menilai perkara ini dengan sebaik mungkin untuk memastikan PAKATAN akan terus menuju ke Putrajaya.

Ramai dari kalangan PAS seperti Dr. Hatta Ramli, Dr. Dzukifli Ahmad, Siti Mariah Mahmoud, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali serta Salehuddin Ayub sendiri dari pimpinan pemuda pusat yang sudah nampak semakin terbuka untuk menerima idea-idea kreatif seperti ini.

Pun begitu, pihak pemuzik-pemuzik underground yang sudah pastinya bebas dari belenggu kapitalis perlulah memastikan bahawa mereka tidak akan bertindak diluar kawalan seperti melakukan aksi-aksi yang kurang menarik untuk dilihat serta tidak melakukan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Setahu saya, pemuzik-pemuzik underground ini tidak berorientasikan keuntungan, jadi bayaran persembahan untuk mereka adalah rendah. Mungkin RM300 atau RM400 untuk satu band atau mungkin juga mereka membuat persembahan dengan percuma. Dalam hal konsert di himpunan ini nanti, saya tidak tahu sama ada mereka bermain secara percuma atau tidak.

Betul, Ustaz Nasaruddin Hassan at Tantawi berhak menyuarakan pendapatnya dan beliau juga mestilah menerima pendapat orang yang tidak sehaluan dengannya. Berdiskusi, bermesyuwarahlah dengan pimpinan dari Pakatan. Dan saya yakin pimpinan Pakatan akan membuat keputusan dengan adil dan bijaksana selaras dengan kebijakan politik dari mereka. Dan saya juga yakin pertimbangan PAS adalah sama dengan pertimbangan ketika mereka mengundang Mawi untuk mengadakan konsert di Kelantan.


11 Jun 2008

Baik haramkan saja Islam Hadhari ini

Oleh Zulfikar Samsuri

editorialSah, Pulau Pinang tidak akan mempromosikan lagi apa yang dipanggil Islam Hadhari di negeri itu. Ini memetik kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada akhbar atas talian Malaysiakini bertarikh 9 Jun 08.

Katanya lagi, "[k]ita akan menumpukan untuk membangunkan dan menggerakkan sebanyak-banyaknya segala program-program Islam yang telah sedia ada dan kita syiarkan tujuan itu tanpa perlu menggunakan istilah-istilah yang mengelirukan.”

Mengutip apa yang diperkatakan oleh Luthfi Assyaukanie dalam ruangan editorialnya di web rasmi Jaringan Islam Liberal, “[n]amun, Islam Hadhari yang diperkenalkan Badawi tampaknya hanya sekadar retorika belaka. Sambil terus mempromosikan konsep itu, dia melakukan kebijakan-kebijakan politik yang sesungguhnya bertentangan dengan semangat Islam Hadhari. Misalnya, dalam dua tahun terakhir pemerintahannya, Badawi adalah penguasa Malaysia yang paling sering mengeluarkan daftar buku-buku terlarang, khususnya buku-buku yang terkait dengan sejarah dan pemikiran Islam.”

Tulisan beliau yang bertajuk Runtuhnya Islam Badawi itu bertarikh 15 Mac 2008 iaitu beberapa hari sejurus selepas Pilihan Raya Umum 12 pada 8 Mac lalu. Jika benar apa yang diperkatakan oleh Luthfi itu, maka lebih baik diharamkan saja Islam Hadhari. Ia jika digambarkanan oleh Luthfi itu ternyata sangat bertentangan sekali dengan semangat kebebasan yang dicita-citakan oleh Islam Hadhari.

Dua baris yang terakhir petikan tersebut yang berbunyi, “Badawi adalah penguasa Malaysia yang paling sering mengeluarkan daftar buku-buku terlarang, khususnya buku-buku yang terkait dengan sejarah dan pemikiran Islam.” Dengan jelas menggambarkan bagaimana sikap Islam Hadhari yang sebenar. .

Dalam sebuah artikel di web rasmi Islamhadhari.net, di bawah tulisan bertajuk “‘Keterbukaan’ dalam Islam Hadhari”, Abu Hatim penulis artikel tersebut telah menggambarkan tentang keterbukaan Islam Hadhari ini.

“Begitu luas dan tingginya ajaran agama Islam itu sedangkan pemahaman umat Islam kini masih lagi tertutup sehingga ada yang menganggap mempelajari sains pun adalah haram dengan memberikan alasan bahawa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, sedangkan sains menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang lain. Bagi mereka, hanya bahasa Arab yang diperakui kesucian dan ketulenannya di sisi Allah s.w.t.”

Nampak ada pertentangan di sini; di antara apa yang ditulis oleh Abu Hatim dengan tulisan Luthfi Assyaukanie. Mana mungkin Islam Hadhari yang terbuka ini dilihat tertutup dengan sikap-sikap yang telah ditunjukkan oleh Pak Lah.

Lagi, jangan kita haramkan Islam Hadhari tetapi biarlah ia tidak menjadi ideology sesebuah negeri. Apabila ia menjadi semacam ideology bagi sesebuah negeri – tanggungjawab bagi negeri tersebut untuk menyebarkan ideology ini – maka dengan sendirinya akan ada peruntukkan bersifat kewangan untuk menyebarkan ideology tersebut.

Bukankah itu merupakan sesuatu yang membazir di kala rakyat dihadapkan dengan krisis ekonomi yang begitu mencengkam.

Sebaiknya kita tak mengharamkan Islam Hadhari tetapi cukuplah cuma ia tidak perlu lagi menjadi ideologi sesebuah negeri. Jika ada orang perseorangan atau sesebuah entity bukan kerajaan yang mahu mengangkat Islam Hadhari menjadi ideology mereka silakan, jangan larang.
Dan, seeloknya kerajaan dikedua-dua buah negeri bisa mengamalkan Islam yang lebih progresif dan menitik beratkan nilai-nilai demokrasi yang tinggi kerana begitulah Islam itu wujud!



Zulfikar Samsuri
Editor Blogzine Republik Kata


01 Jun 2008

Baju sekolah seksi, Ezam dan TDM

editorialWalaupun Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengatakan bahawa baju sekolah pelajar-pelajar perempuan seksi dan menganjurkan pelajar-pelajar perempuan di negara ini mengenakan baju sekolah berwarna tetapi rata-rata yang kami tanya melalui kolum Suara Rakyat mengatakan bahawa pendapat serta tindakan sedemikian adalah tidak perlu.

Pembaca kami berhujah; nafsu boleh dibangkitkan dengan pelbagai cara bukan sahaja dengan berpakaian seksi. Ada pembaca yang menggariskan bahawa masalah akhlak atau gangguan seksual berlaku akibat daripada perkara-perkara lain termasuk keluarga, masyarakat sekeliling dan tenaga pengajar itu sendiri. Cikgu memainkan peranan yang penting bagi memupuk nilai-nilai murni akhlak masyarakat.

Mungkin perkara paling mendasar bagi reaksi kepada kenyataan PKPIM ini ialah daripada tuan punya diri sendiri dan mereka yang melihatnya. Betul kata sala seorang pembaca; baju cuma pemangkin untuk jiwa remaja yang bergelora dan asyik berfantasi. Dan mungkin kerana asyik berfantasi, mereka, anak muda-anak muda ini sering tersilap langkah; membuat pilihan yang salah, yang bakal menerima akibat suatu masa nanti.

Betul, baju sekolah yang seksi memungkin gangguan seksual, cabul, kejadian rogol atau perkara lain yang sewaktu dengannya. Tetapi bukan semua orang terganggu atau tertarik dengan baju sekolah yang seksi ini.

Jumlahnya saya -- sebagai pernah bersekolah dengan para pelajar perempuan ini -- percaya adalah sedikit kalau boleh saya perkatakan (tanpa kajian yang lengkap sama seperti PKPIM) adalah sekelumit atau saja 1/30 daripada jumlah semua pelajar yang ada di sekolah atau juga lebih rendah daripada itu.

Kenyataan PKPIM ini kemudiannya disokong oleh Dewan Muslimat PAS yang turut mengatakan melalui Aiman Athirah setiausahanya bahawa cadangan itu “sangat bertanggungjawab dan munasabah". Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dewan itu beberapa hari selepas kenyataan dari PKPIM dikatakan juga telah mengambil kira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fekah.

Saya setakat ini masih gagal lagi untuk memaahami punca dari saranan PKPIM ini dan kemunasabahan disebalik cadangan ini. Walaupun mereka dikatakan “telah mengambil kira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fekah” namun saya rasa usul itu masih belum cukup munasabah.

Menurut web berita Malaysiakini, Muslimat PAS turut mencadangkan agar PKPIM “segera membuat pungutan suara dalam kalangan pelajar di seluruh negara sama ada pakaian menjadi satu faktor pemangkin mendorong jenayah seks.”

Cuma saya turut ingin mengemukakan cadangan kepada PKPIM supaya dapat menjalankan pungutan suara di kalangan bukan sahaja pelajar Islam tetapi seratakan pungutan suara kepada seluruh pelajar di Malaysia.

Sebentar lagi saya akan melancar sebuah ebuk mini berjudul “Babad Pendekar Jawa” hasil tulisan Khalid Jaafar. Buku elektronik yang khas menghikayatkan kisah Ezam Mohd Nor yang juga sangat rapat dengan Khalid Jaafar. Mereka pernah melarikan diri bersama membuat persediaan untuk menyerang Dr M dari luar.

Pustaka RK bertanggungjawab menghasilkan ebuk ini, atas dasar kami yang ingin tahu serta menyelidiki apa yang ada di sebalik babad Ezam ini.

Banyak rencana dan berita yang berkisar tentang masuknya Ezam Mod Nor ke dalam UMNO. RK harap anda sekalian yang ingin tahu perihal Ezam masuk UMNO boleh membacanya di sini.

Sementara itu, RK pada awal bulan ini telah menerbitkan beberapa esei dan berita berkenaan Mahathir keluar UMNO. Jika Ezam memasuki UMNO, Dr M pula keluar dari parti tersebut kerana melakukan protes terhadap kepimpinan Pak Lah yang dikatakan terlampau lemah dan membelakangkan orang-orang Melayu.

Tindakannya meninggalkan UMNO tanpa membawa anaknya Mukhriz keluar bersamanya dilihat oleh rata-rata pemerhati politik sebagai tindakan bijak sang politikus berpengalaman.

Biar saja Mukhriz di dalam UMNO dia bisa buat sesuatu dari dalam! Bukan untuk Parti, tapi untuk diri aku sendiri…

Zulfikar Samsuri
Editor blogzine Republik Kata

16 April 2008

Provokasi lagi


Oleh Zulfikar Samsuri

editorial: nota zulfikarCis! Satu lagi provokasi dari barat.

Oops.. aku dah berjanji pada diri aku sendiri, aku tak mau termakan dengan provokasi.

Lagipun Geert Wilders seorang ahli politik yang kurang laku di Belanda, tidak, aku tidak akan termakan sekali lagi dengan provokasi.

Seperti kartun yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar di Denmark; yang menyiarkan gambaran kartun rasulullah. Semasa penyiaran kartun itu, aku menolak sifat ekstrem yang ditunjukkan oleh umat Islam. Setiap kali aku menonton Dunia Hari Ini, setiap kali juga aku akan mengeleng kepala.

Beristighfar.

Kali ini sekali lagi aku mengeleng-ngeleng. Beristighfar setiap kali menonton Dunia Hari Ini..

Dasyat sungguh penentangan umat Islam; di Pakistan, Indonesia dan satu dua lagi di negara di Timur Tengah. Apa yang buat perhimpunan sampai pecah cermin kereta, baker patung Geet Wilders dan pelbagai lagi aksi yang menentang Belanda.

Bukankah tindakan ganas hanya akan membenarkan apa yang digambarkan oleh Wilders di dalam doku-short-film, Fitna hasilan Wulders.

Bukankah Muhammad SAW di turunkan ke dunia untuk tujuan rahmat sekalian alam melalui contoh akhlaknya. Akhlaknya adalah akhlak damai yang bertunjangkan al-Quran.

Menurut Karen Armstrong, seorang pengarang yang terkenal dengan buku-buku hasil tulisannya yang bercorak agama: pengarang buku yang diharamkan di Malaysia, History of God, berkata di dalam artikelnya yang berjudul When God Went to War, “[a]khirnya, Muhammad telah membawa kedamaian ke wilayah yang bergolak dengan dasar beraninya menolak keganasan.”

Ya, itulah akhlak Rasulullah, membawa kedamaian dan menolak keganasan. Jika seluruh umat Islam dengan penuh amarah berhimpun menyatakan ketidak puasan hati, apa yang membawa kedamaiannya, apa yang menolak keganasannya.

Rasa-rasa lagi baik kalau kita (umat Islam) membuat satu filem pendek lagi kreatif untuk menjelaskan bahawa kita tidak seperti yang ada dalam filem Fitna.

Sementara itu, Jan Peter Balkenende, Perdana Menteri Belanda berkata:"Islam disamakan dengan keganasan, kami menentang tafsiran (filem) ini. Kebanyakan Muslim menolak ekstremisme dan keganasan dan sebaliknya mangsa adalah dari kalangan Muslim itu sendiri.”
Ah, PM Belanda pun dah cakap bahawa filem itu memaparkan sesuatu yang salah.

Aku ada tanya pada kawan aku tentang filem ini, tentang sama ada filem ini memprovokasi. Kawan aku yang satu ini menjawab, bahawa isu yang kecil ini cuba dibesar-besarkan.

Tah, betul cakap kawan aku, isu ini kecil dan cuba dibesarkan; baik pihak yang sebelah sana mahupun pihak yang sebelah sini. Bagi aku, kepentingan politik memainkan peranan di sini. Si pembuat filem Fitna cuba meraih kembali kuasa politik yang semakin pudar. Manakala pihak sebelah sini juga ada kepentingan politik yang cuba ditagih.

Politik

Tapi aku lega, akhirnya semua ini selesai. Namun penentangan, kebencian dan sikap prejudis tetap ada menjadi pakaian umat manusia. Dan selepas ini dunia akan menyaksikan pertembungan dua tamadun.

12 Mac 2008

Pembukaan Kota Mekah dan Hikayat Panglima-panglima Sumbing

editorial SEORANG teman, kini wakil rakyat, secara berseloroh berkata, “manifesto aku (adalah) anti politik bosan.”

Benar, sesudah itu politik Malaysia menjadi sungguh membosankan. Surat-surat khabar di negara ini sudah macam Selamat Aman Makmur. Menonton televisyen pula seperti berbual dengan guru Kemas atau pengerusi JKKK yang tegar. Berikut 13 hari-hari paling bosan dalam sejarah politik Malaysia. Kita sebagai pihak yang prokebebasan media, sudah tentu merasai loyanya.

Namun, dua hari sesudah tarikh keramat 8 Mac itu, membaca Utusan Malaysia, akhbar arus perdana paling pro-Umno, seolah-olah membaca Harakah, lidah rasmi Pas. Situasi ini mengingatkan penulis terhadap hari pertama bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara. Petang itu juga, Kumpulan NSTP menerbitkan The New Sraits Times (NST) edisi khas tentang beliua. Liputan pembebasannya juga diletakan di muka depan kebanyakan akhbar (arus perdana, alternatif sudah tentu).

Ini mengingatkan kita kepada kisah Pembukaan Kota Mekah hampir 1400 tahun lalu. Sepuluh ribu tentera Muhammad dengan pedang bersarung memasuki kota gersang itu dariada empat penjuru sempadannya. Gencatan senjata Muslim-Quraish melalui Perjanian Hudaibiah terbatal berikutan serangan mereka (kafir Quraish) terhadap Bani Khuzaah daripada kem Muhammad. Dan kota Ibrahim pun sedia ditakluki. Dengan bala tentera itu sang Nabi menundukkan golongan ini hampir tiada pertumpahan darah.

Hasilnya, pertukaran kerajaan berlaku dengan lancar. Kunci Kaabah diserahkan dan golongan kafir Quraish pelbagai golongan dan kasta memilih Islam. Pada waktu ini, Islam mencapai populariti yang amat besar di tanah Arab. Pembesar mereka Abu Sufian turut mengucap dua kalimah syahadah.

Peristiwa ini turut dirakamkan firman, “Apabila tibanya pertolongan Allah dan kemenangan. Dan ketika itu kamu lihat manusia (orang ramai) berbondong-bondong memasuki agama Allah.”

Begitulah lazimnya manusia, seperti parasit, akan berpaut di dahan yang kuat. Tanpa sedar, berbalik juga kepada naluri individualiti dari dalam diri.

Sesungguhnya hari kedua sesudah 8 Mac adalah seperti kota Mekah pada tahun keenam Hijrah. Saat ini, dengan kuasa baru Keadilan-DAP- Pas, semua orang membuka mata dan lahirlah pahlawan-pahlawan yang tidak pernah kita kenal sebelum ini dengan wajah-wajah yang sungguh sumbing. Mereka akan berkenduri, bersorak, melaung dan mendabik dada bahawa perjuangan ini adalah hasil titik peluh dan inisiatif mereka. Tetapi rakyat Persekutuan Malaysia sudah mulai faham makna perjuangan. Mereka faham beda antara yang benar dan yang palsu.

Kemudian, Tuhan berfirman lagi, "Maka bertasbih dan bersyukurlah kepada Tuhanmu dan beristigfarlah. Sesungguhnya dia maha menerima taubat."

Oleh itu, terimalah maaf dan tali persahabatan daripada panglima-panglima sumbing ini. Itulah politik cara Nabi. Kawan-kawan yang tewas harus menyerah anak kunci kota seperti keberanian Abu Sufian melakukannya 1400 tahun lalu. -- Jimadie Shah Othman

05 Mac 2008

Pilihan raya: Bebaskan Maklumat

EditorialKini, bukan lagi rahsia. Tarikh mengundi telah ditetapkan. Rakyat Malaysia tak perlu lagi berteka-teki. Perayaan demokrasi setiap paling maksimanya lima tahun akan dilansungkan tidak lama lagi.

Segala manipulasi media, putar belit calon dan rasuah pembangunan sudah mula digiatkan. Ayat-ayat seperti "undilah saya untuk kesenangan masa depan adik-adik, kakak-kakak," "undilah saya demi kepentingan agama," dan "undilah saya untuk membolehkan ekonomi sdr sdri stabil."

Paling jelas kelihatan adalah kempen yang dijalankan oleh media arus perdana yang memutar ulangkan di stesen tv mereka, janji manis yang dijanjikan oleh kerajaan, iklan propaganda "Undi untuk Malaysia", penumpuan terhadap ceramah pimpinan tinggi Barisan Nasional dan fitnah dan putar belit, mengadakan yang tiada.

Pilihan raya adalah 'mercu tanda' bagi sesebuah negara yang mengamalkan demorasi. Ia, sejauhnya juga menjadi semacam tunjang bagi negara yang dikatakan mengamalkam sistem musyawarah, kerajaan dan segala keputusannya diputuskan oleh sebuah entiti yang terlebih dahulu akan duduk berbincang.

Kata pensyarah undang-undang di salah sebuah IPTA Negara, "mereka seperti berlawan dengan seseorang yang diikat tangannya dan ditutup matanya. Tidak boleh balas, hanya mulut berkata-kata."

Katanya lagi, "Maka, dikata oleh orang yang menutup mata dan diikat tangan, "bapak anjing!" kepada orang yang menutup matanya dan mengikat tangannya. Terus ia ditumbuk matanya, jatuh tersungkur sehingga bukan sahaja dapat "hadiah persaraan" paling bermakna tetapi juga "hadiah sakit pinggang."

Sikap kerajaan yang memperkudakan pelbagai alat dan jentera kerajaan, terutamanya media, telah melahirkan mereka-mereka yang sedar. Seperti apa yang terangkum dalam filem-filem Lagi-lagi Senario arahan Aziz M Osman, ketika dua orang sahabat berlainan bangsa sedang berbual sambil ketika yang sama sedang menyelak surat khabar. Yang seorang berkata kepada yang seorang lagi, "Ini surat khabar tak boleh percaya, ma. Cuma ada satu tempat sahaja boleh percaya."

"Aiya, kat mana?," tanya semula kawannya.

"Itu 4 Digit punya tempat"

Sekarang, pada zaman ini, saya boleh pecahkan masyakat Malaysia terdiri daripada dua jenis golongan. Pertama, yang dapat maklumat dengan betul. Dan yang kedua, yang dapat makluma tetapi dipesongkan maklumat itu. Kalau di segi ekonominya bolehlah disimpulkan bahawa mereka yang berada di kelas ketiga dan hampir separuh yang berada di kelas kedua tergolong dalam golongan kedua. Manakala mereka yang berada di kelas pertama dan lebih separuh daripada kelas kedua tergolong dalam golongan pertama.

Mengapa saya kata begitu? Ini kerana golongan pertama lebih terdedah dengan pelbagai maklumat. Internet dan televisyen berbayar adalah gerbang segala macam maklumat. Jadi secara logikalnya mereka boleh membezakan, mana satu maklumat yang sahih dan yang mana satu maklumat palsu.

Bagi mereka yang duduk di golongan kedua, tiada sumber lain bagi mereka, selain daripada sumber arus perdana, baik akhbar dan televisyen. Pemikiran atau mentaliti mereka mengikut sahaja acuan dari akhbar arus perdana dan televisyen.

Ini, saya bagi lagi contoh mengikut demografik. Golongan pertama adalah mereka yang duduk di bandar dan sebagian kecil yang duduk di kampong. Manakala golongan kedua adalah mereka yang sebahagian besar menetap di kampong.

Cuma saya berharap (selepas apa yang terjadi sejak 50 tahun dahulu), bahawa pesta demokrasi kali ini bersih dan hasilnya juga saya harap pesta demokrasi kali ini dapat membebaskan suatu benda yang amat penting bagi seluruh masyarat Malaysia tanpa mengira kaum (ia dapat merapatkan jurang geografi dan menidakkan jurang ekonomi antara kelas) -- maklumat.

Saya bukan mahu menyebelah mana-mana pihak, tetapi ikut tertib, dahulukan yang mana harus didahului. Dan, mengkemudiankan yang terakhir. Dalam konteks pilihan raya umum ini, yang dahulu ialah maklumat mak bebaskanlah maklumat. Biarkan sahaja pendekar-pendekar berpencak di atas gelanggang yang sama rata dengan diadili oleh wasit yang benar-benar berkelayakkan. -- Zulfikar Samsuri

14 November 2007

Demokrasi Cara Malaysia









"This is democracy Malaysian's style. (Ini adalah demokrasi cara Malaysia)"

Kata-kata di atas adalah kata-kata yang keluar dari mulut seorang wartawan asing yang terkena tembakan meriam air dan percikan gas pemedih mata. Wartawan tersebut mencari berita untuk Al-Jazeera, sebuah media yang dikenali ramai akan ketelusannya menyebarkan berita-berita sensasi lagi berani. Media inilah yang bertanggung jawab menyiarkan footage-footage Usama bin Laden.

Dan pada satu masa dahulu media ini juga amat dipuji ketelusannya oleh pemerintah Malaysia dalam menyampaikan berita-berita berkenaan Islam. Seterusnya pihak pemerintah Malaysia juga mengizinkan pejabat Al-Jazeera Edisi English beroperasi di Malaysia.

Dengan membenarkan pejabat Al-Jazeera beroperasi di negara ini, pihak pemerintah mahu dunia melihat bahawa negara Malaysia adalah jagoan negara membangun yang membenarkan “ketelusan” beroperasi di Negara ini. Pemerintah juga mahu dunia melihat bahawa Malaysia adalah negara Islam yang terbuka lagi positif.

Tetapi situasi yang berlaku di negara ini, seperti yang dilaporkan oleh Al-Jazeera English Edition pada hari Sabtu yang baru lepas menunjukkan ketidak telusan pemerintah. Kejadian perhimpunan rakyat aman dan cara polis mengendalikan para demonstran amat memalukan.

Ini ditambah dengan gelagat "lucu" Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin atau panggilan mesranya ZAM. Jelas terpancar sikap Zam yang emosional; menjawab sementara wartawan sedang bercakap atau ingin menanyakan soalan tambahan. Amat memalukan.

Hamish MacDonald, wartawan dari Al-Jazeera itu secara tulus menyampaikan berita untuk tatapan jutaan penonton. Seperti Al-Jazeera suasana itu dikongsi bersama oeh BBC, CNN dan beberapa lagi agensi berita antara bangsa seperti AP, AFP, Reuters dan lain-lain lagi.

Jika Al-Jazeera mengelirukan rakyat, maka samalah juga keadaannya dengan BBC, CNN, AP, AFP, dan Reuters. Mungkin ada "konspirasi peringkat tertinggi", untuk membunuh imej negara terutamanya parti pemerintah. Mungkin. Tak masuk akal.

Di sisi lain pula, media arus perdana seperti mahu bersekongkol dengan parti pemerintah; menutup apa sebenarnya yang terjadi Sabtu lepas. Jumlah yang menghadiri perhimpunan itu kata mereka 4 ribu lebih orang sahaja, sedangkan laporan dari akhbar-akhbar dari luar negara mengatakan menurut laporan polis seramai 30 000 orang dan menurut BERSIH pula 40 000 orang menghadiri perhimpunan raksasa itu.

Betul kata Prof Dr. Hamdan Adnan, sikap ketidak telusan hanya akan menyebabkan masyarakat pembaca akhbar tidak akan membeli akhbar atau pergi ke sumber alternative lain. Seperti yang terjadi ketika pada zaman reformasi 1998. Kredibiliti akhbar dalam melaporkan hal sebenar diragui.

Dan situasi pada masa kini seakan membenarkan Indeks Kebebasan Akhbar RSF (Reporters Without Borders) yang meletakkan Malaysia di tangga ke 124 turun dari kedudukan tahun lepas iaitu di tangga 92. Tahap rating Malaysia amat mengecewakan jika mahu dibandingkan dengan beberapa buah lagi negara kecil dan miskin lain seperti Mongolia (74), Kemboja (85), Timor-Leste (94), dan Bhutan (116).

Apa yang terjadi Sabtu lepas, merupakan lubang kubur yang sudah siap digali, tinggal hendak memasukkan jenazah ke dalam kubur. Mahu dibawa beramai-ramai ke bawah, ke dalam kubur atau mahu sahaja jenazah menggolek-golekan diri, turun sendiri ke dalam kubur -- namun ia pasti sukar dilakukan atau boleh sahaja tidak mungkin dilakukan.

Jangan pula jenazah itu demokrasi, demokrasi yang gagal untuk marak di rantau ini atau sahaja ke alam dunia membangun atau dunia ketiga. Walaupun gagal untuk marak, namun ia tetap berkembang pesat; nyaris ada dunia siber ini. Pihak pemerintah mungkin boleh mengharamkan kritik kepadanya tetapi di dunia siber ini masalah jurisdiksi menjadi penghalang.

Dunia sekarang berteraskan demokrasi yang mementingkan hak asasi manusia, kebebasan akhbar dan lain-lain. Gelombang kuning Sabtu lepas mengisyaratkan kepada yang berkenaan bahawa demokrasi cuba untuk hidup di Malaysia; menggunakan talian hayat perhimpunan raksasa aman. Cuma persoalannya sekarang adakah demokrasi di Malaysia perlu satu lagi talian hayat selepas ini untuk menyelamatkannya dari terus mati dan terkubur. Mungkin. -- Zulfikar Samsuri

12 Oktober 2007

ANDAIKAN AIDIL FITRI TANPA BADAR


Perayaan ini, seperti juga agama kita tidak lepas daripada politik dan 'mata pedang'. Banyak dasar-dasar agama dibentuk dengan turut mempertimbangkan kecenderungan dan pergolakan politik semasa. Konflik awal di Mekah antara Muhammad lawan "Abu Jahal & co." bukan semata-mata persoalan akidah. Ia juga melibatkan perdagangan berhala dan konflik kuasa suku Quraish yang amat bepengaruh sebagai tuan penjaga kaabah.

Begitu juga dalam kez mazhab, setelah wafatnya 'diktator' yang tidak mampu dipertiaikan, khalifah sesudahnya tidak mempunyai autoriti wahyu, jadi kerakusan politik mulai marak. Mazhab-mazhab seperti Syiah dan Khawarij memang asalnya tiada kena mengena dengan akidah. Ia hanya persoalan politik dalam sebuah sistem tanpa pilihan raya. Lantas berubah menjadi mata pedang.

17 September 2007

Insiden Batu Burok


Oleh Zulfikar Samsuri

Habis, dua orang perserta terkena tembakan, satu di bahagian dada dekat dengan paru-parunya, yang satu lagi terkena serpihan tembakan, luka di bahagian leher. Mereka dikejarkan ke hospital berdekatan dan yang seorang kemudiannya dikejarkan pula ke Hospital Universiti Sais Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

[
lagi]

13 Julai 2007

Provokasi

Oleh Zulfikar Samsuri

Lihat sahaja baginda yang pernah dimarahi oleh orang yang berbangsa Yahudi, dilempar tahi, dipenggal sampah tidak melawan kembali perbuatan yang dilakukan orang Yahudi berkenaan kerana bagi baginda perbuatan yang tak elok mestilah dibalas dengan baik. Baginda menafikan konsep "eye for an eye" yang sudah sebati dengan budaya raja-raja Inggeris pada ketika itu. [lagi]