Memaparkan catatan dengan label harakahdaily. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label harakahdaily. Papar semua catatan

23 Julai 2008

Tutup fail muzakarah, hanya ada sekadar muqabalah - Mursyidul Am

Oleh: Lanjusoh & Salmah Mat Husain (Harakahdaily)

"Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno. Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan," Hj Hadi



KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu muzakarah sudah tutup fail dan apa yang berlaku sekadar pertemuan biasa (muqabalah).

"Pada kenyataan yang lepas saya benarkan pertemuan di antara pemimpin PAS dan Umno berkaitan Islam dan masalah rakyat, serupa sahaja dengan kenyataan yang disebut Presiden PAS.

"Kalau difahami betul-betul tidak bercanggah di antara satu sama lain. Kalau ada perjumpaan hendak masuk Barisan Nasional ia langsung tidak ada. Kenyataan Presiden pun memang begitu,"katanya pada persidangan media di sini, lewat petang ini.

Sebelum itu rombongan anggota Majlis Syura Ulama mengunjungi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 di sini. Perbincangan terbabit diadakan hampir dua jam.

Turut kelihatan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; timbalannya, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Timbalan Mursyidul Am, Dato' Dr Haron Din; Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang dan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Mohamed Daud.

Ikut serta pertemuan tersebut Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman.

Bagaimanapun Tuan Guru Nik Abdul Aziz mahu perkataan muzakarah yang di'geger'kan sebelum ini ditukar kepada istilah muqabalah (perjumpaan biasa).

Menurutnya keputusan syura sebelum ini bersetuju diadakan pertemuan biasa dengan pemimpin Umno kerana syura sudah membuat keputusan sebulat suara.

Perkara itu diputuskan pada 23 April lalu manakala pertemuan dengan pemimpin Umno hanya diadakan pada 20 Julai lalu.

Ustaz Abdul Hadi pula berkata, apa yang sebenarnya berlaku bukan muzakarah sebaliknya muqabalah di antara PAS dengan Umno bagi menyelesaikan masalah-masalah yang dialami umat Islam dan rakyat seluruh negara.

"Masalah yang dialami di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat kita minta kerajaan pusat menyelesaikan. Itu yang kita bincangkan dalam pertemuan dengan pemimpin Umno.

"Tidak timbul masalah PAS menyertai kerajaan kerana PAS masih lagi bersama dengan Pakatan Rakyat. Kita akan terus dengan Pakatan sekarang memenuhi hikmah-hikmah politik yang kita perjuangkan,"katanya.

Bagaimanapun katanya dalam Pakatan Rakyat persefahaman kita tidak akan menjadi halangan, masing-masing memperjuangkan ideologi dan tetap berganding dalam isu-isu bersama.

Menurutnya sebagai orang Islam, PAS wajib menyuarakan kepada orang Islam lain dan dalam masa yang sama tidak mengabaikan keadilan Islam kepada semua kaum yang ada di negara ini.

Kata beliau di atas prinsip itulah diputuskan Majlis Syura Ulama di mana Timbalan Presiden dan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali bertemu dengan pemimpin Umno bagi menimbulkan isu-isu berkaitan.

Manakala Dr Haron berkata, Majlis Syura Ulama PAS menyedari masalah tersebut berlaku sebelum disedari wartawan, di mana perbincangan Majlis Syura mengenainya dibuat pada April lalu.

"Ketika itu tidak timbul isu muzakarah. Majlis Syura telah menangapi perlu diberi ruang untuk kita bermuqabalah dari face to face.

"Namun apa yang timbul sekarang perkataan muzakarah itu seolah perlawanan seperti yang berlaku di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini di antara Menteri Penerangan dan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Kita tidak mahu berlawan macam itu, kita nafikan ada muzakarah. Kalau dedahkan begitu akan menimbulkan masalah kerana akan ada yang kalah dan menang. Hanya apa yang ada sekadar pertemuan biasa," katanya.

Beliau menjelaskan mengapa hendak dilarang pertemuan biasa dan PAS bersetuju bekerjasama dalam semua perkara demi kebaikan semua rakyat di Malaysia.

Ditanya pertemuan lain bakal diadakan selepas ini, kata beliau itu mengikut keperluan.

"Bagaimanapun kita mahu lihat respon daripada Umno terhadap apa yang kita kemukakan terlebih dahulu," ujarnya.

Menurutnya juga usaha pertemuan itu sebenarnya dianjurkan pihak Umno.

Kata beliau, mereka yang mengusahakan dan bukti jelas dilihat kepada kenyataan ada tiga pertemuan sebelum ini dibuat sendiri Presiden Umno.

"Mereka yang membuat kenyataan dan merekalah yang mengusahakan pertemuan sebelum ini,"katanya

17 Julai 2008

PAS akan tetap dengan Pakatan Rakyat

Wan Nordin Wan Yaacob (HarakahDaily)

Kepada seluruh penyokong PAS saya menyeru agar kita terus mempertahankan dasar perjuangan PAS yang suci dan mulia serta memanjatkan doa bermunajat kepada Allah s.w.t agar keadilan dapat ditegakkan di bumi Malaysia, " Hj Hadi


KUALA LUMPUR, 17 Julai (Hrkh) - Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS akan terus berjuang bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil.
Demikian kenyataan beliau yang dibacakan Timbalannya, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam sidang media di bangunan parlimen sebentar tadi.

Turut serta ialah, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli, AJK PAS Pusat antaranya, Dr Syed Azman Syed Ahmad; serta Ahli Parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad.

Menurut beliau, PAS menegaskan dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi, PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat.

"Amat perlu dijelaskan di sini, bahawa isu ini jangan sesekali diseret bagi digunakan Umno demi menutup dan mengalih perhatian rakyat tentang pergolakan yang sedang parah berlaku dalam parti tersebut," kata beliau.

PAS juga berpendirian bahawa isu-isu rakyat gagal ditangani dan dipikul oleh Umno/BN seperti isu kenaikan kos sara hidup yang mendadak dan ketidakstabilan ekonomi serta masalah jenayah yang meruncing.

"Kepada seluruh penyokong PAS saya menyeru agar kita terus mempertahankan dasar perjuangan PAS yang suci dan mulia serta memanjatkan doa bermunajat kepada Allah s.w.t agar keadilan dapat ditegakkan di bumi Malaysia," ujarnya.

Sementara itu PAS juga melahirkan rasa kesalnya terhadap penahanan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim secara tergesa-gesa semalam.

PAS turut mengalu-alukan pembebasan Anwar yang telah dibenarkan diikat jamin pagi tadi, kata beliau.

08 Julai 2008

Wadah protes wajar di jalan raya - Presiden PAS

Azamin Amin & Wan Nordin (Harakahdaily)

"Kalau suara hanya tertutup dalam stadium , hanya itu sajalah.....sekadar melepaskan geram bukan dari erti kata yang sebenar," katanya ketika ditemui Harakah dalam temubual eksklusif berkaitan isu-siu semasa di pejabat pembangkang di Parlimen pagi tadi.

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Hrkh) - Protes atau bantahan terhadap sesuatu isu mesti dilakukan dengan kaedah yang betul demi menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan.

Presiden PAS Dato' Seri Guru Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata pendekatan menggunakan stadium bagi melahirkan protes itu tidak memberi kesan yang sepatutnya dan tidak sampai mesej.

Malah protes yang dibuat seperti 'karnival' dan mengadakan hiburan sampai ke pagi tidak mencapai matlamat yang jelas kepada rakyat dan tidak sewajarnya dibuat.

"Perlu ke pada jalan raya dan perlu menyampaikan nota bantahan kepada pemimpin, itu yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengulas 'Himpunan Protes Sejuta Rakyat' yang diadakan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) di Kelana Jaya Ahad lalu yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

"Walaupun lima minit atau 10 minit, kalau protes dilakukan lima minit pun berkesan, apa yang penting ialah kita dapat menyamapaikan mesj itu kepada kerajaan dan rakyat

"Kalau suara hanya tertutup dalam stadium , hanya itu sajalah.....sekadar melepaskan geram bukan dari erti kata yang sebenar," katanya ketika ditemui Harakah dalam temubual eksklusif berkaitan isu-siu semasa di pejabat pembangkang di Parlimen pagi tadi.

"Kita perlu menghantar wakil bertemu....bukanlah tak boleh....bertemu menteri yang bertanggungjawab itu protes yang betul...kerajaan mesti terbuka dalam masalah ini," katanya.

Beliau turut merujuk kepada situasi yang berlaku di London semasa lawatannya ke negara itu baru-baru ini di mana kerajaan tersebut membenarkan demonstrasi.

Polis pula mengawal daripada berlaku apa-apa yang tidak diingini, ujar Presiden PAS.

"Di Amerika, begitu juga, polis tidak melakukan sebarang provokasi, polis membiarkan peserta demonstrasi menyampaikan apa yang mahu dinyatakan dan kerajaan mereka mendengar," tegasnya lagi.

29 Jun 2008

Azizah: Ada gambar Saiful Bukhari dengan orang kanan Najib

Oleh: Wan Nordin Wan Yaacob (Harakahdaily)

"[...]beliau berkata, laporan tersebut diatur oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk 'menyerangnya' sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehinya, yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail[...]"

SHAH ALAM, 29 Jun (Hrkh) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam sidang media sebentar tadi mendedahkan gambar pengadu kes Anwar, Saiful Bukhari Azlan dengan Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anas Yusof.

Gambar itu akhirnya mencetus tanda tanya samada kes dakwaan liwat terbaru membabitkan Anwar itu adalah berpunca dari konspirasi seseorang.

Beliau tidak mendedahkan siapa yang menyerahkan gambar tersebut namun disyaki adanya konspirasi seperti kes pada tahun 1998 membabitkan Anwar.

Namun menurut sumber, Saiful adalah Pegawai Khas Anwar yang menjadi sukarelawan ketika pilihan raya umum lalu dan beliau dikatakan bukan ahli KeADILan.

Wan Azizah yang mengulas perkembangan terbaru itu menyatakan rasa kecewa dengan dakwaan tersebut yang dikatakan sekali lagi untuk menjatuhkan Anwar.

Malah menurut Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali, kini konspirasi itu bukan sahaja untuk menjatuhkan Anwar malah mengancam hidup Anwar.

Pimpinan KeADILan sepakat mengecam konspirasi terbaru ini yang nyata sekali untuk menjatuhkan Anwar tatkala perkembangan KeADILan semakin hampir memerintah kerajaan, kata Syed Husin.

Pimpinan KeADILan sendiri sepakat tidak mempercayai dakwaan Saiful itu malah menyokong penuh kepimpinan Anwar.

Suasana di perkarangan hotel dekat sini semakin bising dengan laungan reformasi dan takbir.

Sejak semalam, timbul desas-desus yang menyatakan bahawa Anwar akan ditahan ekoran satu laporan polis yang dibuat terhadapnya semalam.

Laporan tersebut dibuat oleh pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa telah diliwat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Sumber KeADILan mengatakan bahawa polis telah menahan pembantu khas Anwar semalam dan memaksanya membuat laporan polis yang dia diliwat oleh Anwar.

Sementara Saiful Bukhari dikatakan sedang memberi keterangan di salah sebuah balai polis di Kuala Lumpur.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan dalam laporan tersebut dan mendakwanya ianya merupakan satu rekaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, laporan tersebut diatur oleh pihak-pihak yang berkepentingan untuk 'menyerangnya' sebagai tindak balas terhadap bukti yang diperolehinya, yang membabitkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail berhubung salah laku,termasuk mereka bukti dalam kes-kes terhadapnya pada 1998-1999.

Anwar dijangka membuat laporan polis berhubung bukti-bukti yang diperolehinya itu hari ini.

Presiden KeADILan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail mengesahkan perkara itu tetapi tidak diketahui bila dan di mana laporan itu akan dibuat.

Dalam kenyataannya pagi tadi, Wan Azizah berkata, Saiful merupakan seorang sukarelawan yang tampil membantu KeADILan, sewaktu pilihan raya umum lalu.

Ekoran itu, katanya, mereka tidak membuat sebarang semakan latar belakang pengadu.

Mengenai laporan tersebut, beliau berkata, ia bertujuan untuk mencemarkan masa depan politik Anwar.

Menurut Wan Azizah perkara yang sama berlaku sepertimana 10 tahun yang dulu.

Anwar, bekas TPM dan Menteri Kewangan, dipecat dari kerajaan pada 1998 kerana didakwa menyalahguna kuasa dan dituduh terbabit dalam perbuatan liwat.

Pada 1999, beliau dijatuhkan hukuman penjara enam tahun atas tuduhan salahguna kuasa dan pada tahun 2000, dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara atas tuduhan liwat.

Bagaimanapun, pada 2004, Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan hukuman liwat dan membebaskan Anwar.

Anwar mendakwa tuduhan terhadapnya itu merupakan satu konspirasi politik terhadapnya, tetapi kerajaan menafikannya.

Laporan lanjut menyusul./wann