Memaparkan catatan dengan label hishamudin rais. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hishamudin rais. Papar semua catatan

30 Disember 2008

Budaya konsumer punca kemelesetan ekonomi


Oleh: Hishammudin Rais

Hari ini kita terus membaca dan diberitahu bahawa dunia kapitalis sedang dilanggar krisis yang maha besar. Krisis ekonomi yang sebesar ini belum pernah dialami oleh dunia kapitalis selama 200 tahun. Krisis kali ini lebih buruk daripada zaman kemelesetan tahun 1929.

Kita hanya membaca zaman kemelesetan pada 1929 di Amerika Syarikat. Kita tidak mengalaminya. Kita mengetahui hanya melalui surah sejarah, tidak lebih dari itu. Apa yang kita lihat hanyalah gambar-gambar hitam putih tentang zaman itu.

Apa yang kita hayati hanyalah filem-filem yang cuba menggambarkan suasana dan drama di zaman itu. Zaman kemelesetan besar di Amerika Syarikat berlaku 80 tahun dahulu.

Lapan puluh tahun dahulu Tanah Melayu masih bawah penjajah Inggeris. Getah baru sahaja sampai dari Brazil pada 1902. Sistem ekonomi kapitalis belum melebar.

Jual-beli duit ringgit belum menjadi budaya. Malah banyak warga langsung tidak memiliki duit. Bertukar-tukar barangan masih lagi budaya ekonomi. Masyarakat konsumer yang kita lihat di sekeliling kita hari ini masih belum wujud.

Rumah kita di kampung memakai lampu damar, kita memasak dengan kayu dan mengambil air dari perigi. Kita ke sawah setahun sekali. Di pekan, lampu jalan memakai lampu minyak pam.

Kereta satu benda yang ajaib – kalau bernasib baik kereta melintasi kampung kita – kita berkumpul berkerumun untuk melihatnya.

Saya sendiri belum wujud pada 1929. Apa yang saya tulis ini hanyalah menyambung surah daripada arwah ibu dan ayah saya.

Zaman itu telah lama berakhir. Hari ini kita melihat zaman itu sebagai Zaman Dahulu, kita panggil zaman ini Zaman Lampau atau Zaman Tok Kaduk. Apakah ini tepat?

Sebelum menjawab soalan itu, kita wajib melihat apakah budaya yang sedang kita anuti hari ini.

Untuk ujian pertama, sila buka almari kain baju dan lihat berapa banyak kain baju yang terkumpul dan tidak pernah kita usik-usik. Malah kita terlupa bahawa kita memiliki kain baju ini. Kemudian sila pandang rak kasut. Berapa banyak kasut yang terkumpul?

Jika kain baju bergantang-gantang dan kasut semakin membusut, maka tandanya kita sedang menghayati dan merayakan budaya konsumerisme – budaya yang lahir daripada sistem ekonomi kapitalis.

Budaya konsumer ini telah sampai ke tahap akhiran kerana sistem ekonomi kapitalis tidak lagi berkemungkinan untuk berkembang melainkan menguncup dan akhirnya meleset.

Jangan dengar cakap-cakap para politikus yang memerintah. Mereka sedang berbohong. Kerja dan tugas mereka hanyalah berbohong dan menipu. Jangan percaya bahawa kita semua selamat daripada krisis ekonomi ini.

Jangan percaya bahawa ekonomi Malaysia kukuh. Tidak mungkin kalau semua negara dalam dunia ini telah mengakui bahawa negara mereka sedang menghadapi krisis, mana mungkin hanya Malaysia terselamat! Ini mustahil.

Jaminan politik ini pembohongan. Ia betul-betul macam penafian bahawa Najib Razak tidak mengenal Altantuya Shaariibuu. Bohong.

Fakta: Amerika Syarikat rakan niaga terpenting Malaysia telah memasuki zaman meleset bukan pada 2008 tetapi tahun lalu lagi. Inilah fakta rasmi kerajaan Amerika Syarikat. Negara Iceland telah jatuh muflis.

Tiga syarikat kereta yang terbesar di dunia – Ford, General Motors dan Chrysler – telah jatuh muflis.

Di United Kingdom, syarikat kereta Vauxhall menjalankan dasar “beli satu kereta, dapat satu percuma”. Ini kerana tidak ada lagi orang yang ingin membeli kereta. Di Malaysia pada ketika ini kita boleh beli kereta tanpa duit pendahuluan.

Trend ini hanya permulaan. Akan sampai masanya apabila kereta dari kilang Proton akan tinggal terbengkalai. Satu demi satu bank besar dan syarikat kewangan gergasi tutup kedai.

Harga minyak sawit kita telah jatuh. Harga minyak mentah telah juga jatuh. Bila harga minyak sawit dan harga mentah jatuh, ertinya pendapatan negara kita kurang. Tahun lalu indeks komposit bursa saham Kuala Lumpur naik hingga ke 1,300 mata. Lupa?

Bukankah Abdullah Ahmad Badawi berasa amat bangga dan mengeluarkan kenyataan bahawa ekonomi kita cermerlang, gemilang dan terbilang?

Hari ini indeks komposit hanya di takuk 800 mata. Bukankah ini tanda penunjuk bahawa ekonomi kita sedang merundum? Apakah kalau indeks naik maknanya ekonomi baik - jika indeksnya turun, tidak ada seorang menteri yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah mereka semua telah jadi rabun dan buta.

Tahun hadapan kita akan diamuk lagi. Krisis luaran ini badainya akan sampai. Seperti ombak tsunami – ia bermula di Wall Street New York. Limpahan ombak tsunami ini akan sampai enam bulan kemudian ke Malaysia. Ombak ini pasti akan datang tahun hadapan.

Apakah kita semua sedar bahawa nilai ringgit kita telah jatuh. Maknanya, kalau dulu kita boleh membeli kapal selam dari Perancis dengan harga 10 ringgit sebuah. Hari ini kapal selam yang sama harganya menjadi 12 ringgit.

Duit ringgit rupanya dan warnanya tidak berubah. Apa yang berubah ialah nilainya. Titik sebenar pertanyaan: apakah ada jalan untuk menghadapi krisis ini?

Pasti ada. Sebelum ombak krisis ekonomi ini menggelora sampai kita wajib menilai kembali budaya konsumer yang kita rayakan. Budaya ini ialah budaya pembaziran yang sedang membawa laknat kepada umat manusia.

Kita wajib kembali melihat bumi ini sebagai rahmat untuk kita bercucuk tanam. Tidak ada jalan lain kecuali kita menghidupkan tanaman yang boleh kita makan. Bukan menanam getah atau sawit untuk dieksport agar negara dapat membeli kapal selam. Ini kerja bodoh.

Di Amerika Syarikat dan di Eropah – berjuta-juta buruh telah mula kehilangan pekerjaan. Apabila mereka hilang kerja, mereka tidak ada duit. Apabila mereka tidak ada duit, mereka tidak membeli barang.

Apabila mereka tidak membeli barang – kilang kita yang membuat barang akan ditutup sama. Apabila kilang kita ditutup, kita pula hilang pekerjaan dan kita pula tidak ada duit. Beginilah lingkaran setan dalam sistem global ekonomi kapitalis.

Lingkaran setan ini dapat kita putuskan jika kita kembali berbakti kepada bumi. Bumi bukan untuk diruntuh-rantahkan. Bumi tempat kita bercucuk tanam dan memakmurkan tanaman untuk makanan.
Kita wajib memisahkan diri kita daripada terjerut dalam sistem global ekonomi kapitalis yang memaksa kita menjadi konsumer.

Bernoktahlah sebentar dan lihat kembali Zaman Tok Kaduk dahulu. Tidak ramai yang memiliki duit dan ringgit. Mereka bertukar tenaga bantu-membantu, bergotong-royong. Mereka hidup bukan sebagai konsumer. Mereka hidup sebagai manusia.

Kini telah muncul kembali di banyak tempat di Amerika Syarikat dan di Eropah di mana warga-warga menolak pengunaan duit rasmi dan menggunakan duit mereka sendiri. Ia diamalkan untuk memastikan mereka tidak terperangkap dalam ekonomi konsumer.

Mereka menjalankan perniagaan tukar-menukar. Mereka mahu menjadi manusia yang merdeka bebas daripada belenggu sistem ekonomi kapitalis.

Satu perkara yang wajib kita semua sedari. Pada tahun tahun 1930-an, apabila ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah meleset, apa yang muncul? Perang Dunia Kedua bermula. Dalam sistem ekonomi kapitalis, perang adalah jalan pintas untuk kaum pemodal menjual barangan mereka.

Dalam masa yang sama perang akan memusnahkan apa yang telah mereka buat. Buat, kemudian musnahkan. Buat lagi, dan musnahkan lagi. Ini cara untuk memastikan kilang akan terus bergerak.

Perang menjanjikan industri senjata berkembang. Industri senjata adalah satu-satunya industri yang menjadi pasak dan menjana ekonomi sistem kapitalis. Dalam perang, kemusnhan akan berlaku. Kapal terbang hancur, kereta kebal musnah, peluru dan bom diletupkan – semua ini perlu diganti dan dibuat lagi.

Industri perang adalah industri terbesar - numero uno - untuk Amerika Syarikat. Negara ini, atau lebih tepat Wall Street, sarang kaum pemodal multinasional berkumpul dan merancang.

Pada ketika ini, di kilang-kilang industri perang sedang menggunung dengan peralatan senjata yang belum terjual atau belum musnah.

Justeru, kemungkian perang besar akan bemula tidak boleh diketepikan. Sejarah telah menunjukkan apabila kaum pemodal dilanggar krisis, maka tidak dapat tidak mereka akan merancang perang.

Perang di Iraq, di Afghanistan, Kosovo, Somalia dan di Sudan ini masih belum mencukupi untuk memusnahkan senjata-senjata yang telah sedia dibuat. Kerana itu perang wajib diluaskan ke Iran, Pakistan dan India.

Apa yang berlaku di Mumbai baru-baru ini adalah sebahagian daripada perancangan perang yang lebih luas.

Bernoktahlah sebentar dan mari kita melihat diri kita sendiri. Apakah kita telah terperangkap dalam sistem dan budaya yang dimunculkan secara terancang oleh kaum pemodal internasional?

Apakah kita diperangkap untuk terus menjadi hamba sebagai pengguna dan konsumer untuk membeli barangan yang kini telah menyempit bilik kita sendiri?

Jawapannya – sila buka kembali almari kain baju dan lihat apa yang ada di dalamnya. Jawapannya di hadapan mata.

nota ed: Penulis adalah kolumnis di web berita malaysiakini.com. Artikel di atas adalah hasil tulisan beliau di web berita berkenaan.

29 Julai 2008

Ber-zakar-lah: Ketuanan Melayu v Ketuanan Rakyat

Oleh: Hishamudin Rais

Apakah penafian awal dari juru dongeng itu satu pembohongan? Pasti ada nas dan sanad yang bolih mereka cari untuk menunjukkan ada bohong kecil, bohong besar, bohong wajib, bohong sunat dan bohong politik. Dalam kes ini, mengikut nas saya bohong ini adalah bohong yang bohong, tidak besar dan tidak kecil. Bohong adalah bohong.


Hari ini telah terbukti semakin ramai rakyat menolak konsep Ketuanan Melayu tetapi tunggul-tunggulnya masih ada. Pelik tetapi benar tunggul-tunggul baru Ketuanan Melayu telah muncul kebelakangan ini. Kali ini bukan datang dari batang tubuh gerombolan United Malays National Organisation - tetapi dari gerombolan kecil – satu kumpulan yang selalu bertempik-tempik mengajukan dasar agama yang tidak memandang kaum, bangsa dan ras. Sewajibnya agama tidak betuankan Melayu tetap bertuankan Tuhan. Inilah yang menjadi pelik tetapi benar.

Gerombolan kecil yang selalu bertempik-tempik di atas dasar agama ini telah berkhutubah ke hulu ke hilir mengatakan agama yang mereka anuti adalah sejagat. Tup tup – apabila dicakar kulitnya maka keluarlah agama barunya yang bernama Ketuanan Melayu. Maka keluarlah retorik ajaran agama ini – untuk perpaduan bangsa dan khutubah-khutubah untuk menjaga keMelayuan dari terhakis. Inilah menjadi lebih pelik dan hampir tidak dipercayai kerana yang yang mejadi juru dongengnya ialah seorang yang amat keras pegangan agamanya.Sehinggakan sanggup pasa satu ketika dahulu ‘mengkafirunkan’ sesiapa sahaja yang tidak berpayung di bawah ketiaknya. Pelik tetapi benar.

Pelik ini bertambah pelik kerana pada awalnya juru dongeng gerombolan kecil ini telah menafikan yang mereka sedang berbincang untuk membuat satu ‘geng baru’ dengan gerombolan United Malays National Organisation. Manafikan sahaja tidak cukup. Juru dongeng gerombolan kecil ini ingin menyaman sesiapa yang cuba ‘menuduh’ mereka sedang bersubahat dengan gerombolan United Malays National Organisation. Hebat. Memang hebat. Malah juru dongeng ini menanggap semua cerita-cerita berzakar ini adalah ‘al-fitnah wal fitnah’.

Wah wah bukan main hebat kenyataan juru dongeng ini. Tup tup bila kain lunginya terbarai kelihatan seluar dalamnya koyak lagi masam lagi haprak. Ternyata apa yang dianggap ‘fitnah’ itu ialah benar – tidak lain dan tidak bukan ialah benar semata-mata. Ke mana hendak disurukkan seluar dalam yang koyak itu? Hanya mereka sahajalah yang dapat mencari sanad dan nas nya. Ini kerana dalam hal mencari-cari sanad dan nas ini mereka memiliki ketrampilan.

Apakah penafian awal dari juru dongeng itu satu pembohongan? Pasti ada nas dan sanad yang bolih mereka cari untuk menunjukkan ada bohong kecil, bohong besar, bohong wajib, bohong sunat dan bohong politik. Dalam kes ini, mengikut nas saya bohong ini adalah bohong yang bohong, tidak besar dan tidak kecil. Bohong adalah bohong.

Siakap senohong
Gelama ikan duri
Pandai cakap bohong
Bolih jadi menteri.


Kalau bukan bohong kenapa pada awalnya ada keinginan untuk menyaman tetapi tidak jadi? Pelik tetapi benar.

Terbukti tunggul-tunggul Ketuanan Mekayu ini masih bersepah-sepah lagi. Mereka datang dalam pelbagai bentuk. Penjaja utama yang menelurkan konsep Ketuanan Melayu ini ialah gerombolan United Malays National Organisation. Gerombolan ini telah lebih 50 tahun menjadi tuan. Hasil darinya, mereka hidup bersenang lenang merampok hasil negara untuk kroni dan suku sakat. Jadi kita tidak hairan jika mereka terus ingin menjadi tunggul – pergi tersepak pulang terlanggar – untuk mempertahankan Ketuanan Melayu.

Yang menjadi pelik tetapi benar ini ialah munculnya tunggul-tunggul baru yang hendak menumpang semangkuk ? Ini menjadi pelik.

Di samping ini ada juga macha-macha dan kumpulan-kumpulan kecil yang turut sama menyokong apa yang mereka tafsirkan sebagai – mu – zakar - rah. Macha-macha dan kumpulan ini mengangkat-angkat tangan dan kaki menyokong muzakar ini. Sebenarnya mereka ini telah mendapat serpihan ekonomi dari gerombolan United Malays National Organisation. Atau mereka diwujudkan sebagai anak syarikat gerombolan United Malays National Organisation. Ada juga diantara kumpulan-kumpulan kecil ini yang memakai jubah kumpulan belia hijau yang berjenamakan agama. Kumpulan dan macha-macha kumpulan belia hijau ini tidak seharusnya menghairankan kita semua. Ini perjuangan macha untuk cari makan.

Untuk kita semua memahami apa yang telah di muzakarkan dan apa yang telah di zakarahkan kita wajib memahami politik hari ini. Gerombolan United Malays National Organisation sedang nazak. Dari luar rakyat telah menolak mereka. Dari dalaman mereka sedang beramuk sesama sendiri untuk merebut ghanimah – harta rompakan perang. Inilah yang menjadi latar timbulnya muzakar dan zakarrah.

Gerombolan kecil yang muncul menjadi tunggul baru Ketuanan Melayu ini sebenarnya bukan orang jahat walau pun mereka membuat kerja-kerja jahat. Ada diantara mereka orang baik. Ada yang memiliki latar belakang agama yang baik. Tetapi baik sahaja tidak mencukupi dalam politik hari ini. Mereka ini gagal memahami apa makna politik. Mereka juga tidak memahami ekonomi sebagai asas politik. Mereka tidak memahami dinamika ekonomi kapitalis yang tidak memiliki agama dan tidak memiliki bangsa.

Ekonomi kapitalis bertuhankan keuntungan maksima. Cita-cita ekonomi kapitalis ialah untuk membolot semua punca-punca ekonomi. Punca ekonomi ialah bahan mentah, tanah dan tenaga buruh. Tidak wujud ketuanan Melayu atau ketuanan Cina atau ketuanan Melanau dalam sistem ekonomi kapitalis. Justeru, Pepsi Cola yang dijual di negara Arab itu adalah sama sahaja dengan yang dijual di Amerika walau pun dalam ejaan Jawi. Tujuan nya sama - untuk mencari untung.

Jika masih ada lagi tunggul-tunggul yang menjadi pengikut mazhab Ketuanan Melayu ini maka sahih yang mereka tidak memahami struktur sistem ekonomi kapitalis yang wujud dalam negara kita ini.

Ketuanan Melayu ini adalah satu konsep bayangan, satu ajenda politik yang digunakan olih gerombolan United Malays National Organisation untuk mencari sokongan orang Melayu. Jika ada Tuan maka pasti akan ada Hamba Abdi. Ketuanan Melayu ertinya akan ada yang menjadi hamba abdi kepada Melayu. Tidak mungkin orang Cina atau India, Kadazan atau sesiapa sahaja hendak menjadi hamba kepada Melayu. Malah orang Melayu sendiri pun tidak mahu menjadi hamba kepada sesiapa pun.

Justeru, lawan terhadap Ketuanan Melayu ialah Ketuanan Rakyat - politik, pemikiran, falsafah baru yang telah dicadangkan oleh Pakatan Rakyat. Ketuanan Rakyat ini bemakna kita warga di negara ini semua adalah sama tetapi tidak serupa. Kita sama sederajat walau pun kita tidak serupa agama, budaya, bahasa ibunda. Inilah falsafah yang diajukan melalui konsep Ketuanan Rakyat. Ketuanan Rakyat akan mementingkan rakyat dahulu bukan mementingkan keuntungan maksima. Rakyat itu iah kita semua – bukan orang Melayu sahaja.

Kenapakah bagitu susah hendak difahami konsep dan falsafah Ketuanan Rakyat ini? Apa masalah untuk memahaminya? Ketuanan Rakyat ini selari dengan konsep semua agama; kecuali jika ada agama yang mengakui agama mereka mengatasi yang lain, atau agama mereka sahaja yang betul. Justeru Ketuanan Rakyat mengkukuhkan nilai baik sangka antara sesama manusia. Kitab-kitab suci, ajaran-ajaran nabi dan ahli-ahli falsafah semuanya mengajukan kesaksamaan antara manusia dengan manusia tanpa mengira bangsa atau agama.

Untuk tunggul-tunggul baru yang cuba bangun dengan Ketuanan Melayu ini rasa saya mereka harus menilai kembali asas kefahaman politik mereka. Mereka wajib melihat arus politik 2008 dimana rakyat keseluruhan telah menolak konsep dan propaganda Ketuanan Melayu dari gerombolan United Malays National Organisation.

Sesiapa pun bolih bebas untuk menjadi tunggul. Yang hendak bermuzakar ke arah mana pun biarkan mereka bermuzakar. Yang hendak mengelabah biarkan mengelabah. Politik baru Ketuanan Rakyat tetap akan akan muncul kerana ini hukum sejarah. Seperti kata datuk nenek moyang kita – pergi tersepak pulang terlanggar - seratus jong masuk anjing tetap bercawat ekor.

20 Mei 2008

Tolong Jangan Hina Mahathir

Oleh Hishamuddin Rais

eseiTiba-tiba saya menerima satu panggilan telefon dari Pulau Pinang. Si pemanggil ialah Bakal Awek saya , seorang Minah cun yang bukan anak Mamak atau anak Mami. Dia memberitahu yang dia baru pulang dari Kedah kerana menghadiri diri dalam satu perhimpunan United Malays National Oganisation yang bersunat dan bukan perhimpunan haram yang tidak bersembelih.

Bakal Awek saya ini telah mengkongfirmkan berita bahawa Tun Dr. Mahathir Muhamad bekas Perdana Malaysia kita semua telah ‘ terberak dalam seluar… opps .. telah meninggalkan parti United Malays National Organisation’.

( Bakal Awek saya ini adalah agen yang saya upah untuk mengekori ke mana sahaja bekas Perdana Menteri kita ini menjelajah) .

Apabila berita itu saya terima maka saya ingin memberi ingatan kepada pembaca dan seluruh warga Malaysia: Tolong jangan hina Tun Dr. Mahathir Muhamad bekas Perdana Menteri kita semua.

Tolong jangan panggil dia Mamak Kutty. Tolong jangan buka cerita asal usul keturunan Keralanya. Jangan beritahu sesiapa pun tentang ‘application form’ nya ke King Edward College di Singapura yang bertulis : Mahathir s/o Iskandar Kutty. Sila jangan minta lihat borang ini yang masih tersimpan di pejabat Tengku Razaleigh.

Beberapa minit kemudian, saya menerima satu lagi panggil telefon. Kali ini dari junior saya di Malay College Kuala Kangsar. Pada pagi cuti Hari Wesak ini junior saya ini ternampak Rafidah Aziz meluru keluar dari kedai dandan rambut. Kasut tinggi tumit Rafidah terpatah. Menurut junior saya ini Rafidah Aziz telah menjerit-menjerit ‘why…why.. sir ? Why did you do this… sir.. ? Rupa-rupanya si pendandan rambut itu telah membotakkan kepala Rafidah.

Junior saya di MCKK ini juga telah memberitahu bahawa Rafidah kini sedang memacu kereta ‘four wheel drive’ nya untuk pulang ke Kuala Lumpur menuju ke Country Heights. Saya difahamkan si Rafidah Aziz ingin ke rumah Tun Dr. Mahathir untuk meminjam rambut palsu Datin Siti Hasmah.

Tolong jangan hina Mahathir

Saya juga menerima satu panggil dari Berlin, kenalan lama saya seorang wartawan di Frankfurter Allgemeine Zeitung ingin mendapat pengesahan - apakah betul Tun Dr. Mahathir Muhamad telah meninggalkan United Malays National Organisation? Wartawan ini juga ingin tahu sama ada laporan AFP yang mengatakan bahawa Mahathir Muhamad akan memasuki parti KIMMA betul atau tidak?

Saya sebagai warga Malaysia yang bertanggung jawab lagi ingin menjaga martabat kemelayuan dan ketuanan Melayu telah mengesahkan dengan sedih medih lagi pilu di hati bahawa memang betul lagi tepat Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty telah meninggalkan United Malays National Organisation. Sayangnya, kemungkinan beliau memasuki parti KIMMA seperti yang dilaporkan oleh AFP itu masih belum dapat saya pastikan.

Tolong jangan hina Mahathir. Dan tolong jangan gunakan ayat-ayat kitab-kitab suci atau merekrut Yang Maha Esa dalam hal ini. Sila jangan hantar sms dengan ayat-ayat berbunyi seperti : Jika tuhan ingin membalas seseorang maka terlebih dahulu dia akan menjadikan orang itu gila.

Tolong jangan ulangi dan jangan disebarkan satu cerita lucah yang berpunca dari Presiden Habibi dari Indonesia. Cerita ini telah tersebar luas pada zaman Reformasi dahulu. Saya anggap ada satu niat yang tidak baik dan tidak sopan di belakang cerita ini. Mengikut Habibi rakyat Indonesia menganggap Sukarno betul-betul gila perempuan. Presiden Suharto dianggap gila harta kekayaan. Manakala Tun Mahathir Muhamad dianggap oleh Habibi betul-betul gila.

Tidak lama sesudah saya menerima panggilan dari Kuala Kangsar ini, saya juga telah menerima satu lagi panggilan telefon dari kawan saya seorang lelaki India dari Sentul. Kawan saya ini seorang anggota MIC yang unggul dengan begitu gembira sekali telah mengulangi berita Tun Dr. Mahathir Muhamad meninggalkan United Malays National Organisation. Menurut kawan saya ini, MIC cawangan Kampung Chu Badak akan mengadakan mesyuarat tergempar minggu hadapan untuk membincangkan hasrat ahli-ahli MIC yang ingin menjemput Mahathir Muhamad menjadi pemimpin MIC dan menggantikan Samy Velu. Ya asal balik usul.

Tolong jangan hina Tun Dr. Mahathir Muhamad. Sedarlah rakyat Malaysia terutama orang Melayu bahawa Tengku Abdul Rahman adalah sebagai Bapak Kemerdekaan kita , Tun Abdul Razak ialah Bapak Pembangunan kita maka Tun Dr. Mahathir Muhamad tidak lain dan tidak bukan ialah Bapak Mirzan kita.

Tun Dr. Mahathir Muhamad adalah seorang pejuang nasionalis bangsa Melayu yang begitu gigih, menangis-nangis dan telah bermati-matian berjuang untuk menaikkan taraf ekonomi bangsa Melayu. Dengan penuh kesedaran dan dengan semangat kemelayuan yang tebal sekali demi untuk menaikkan taraf ekonomi Melayu, Mahathir Muhamad telah meluluskan Akta Tanah yang membolehkan tanah rizab Melayu di jual tanpa di tambah ganti.

Dengan penuh kesedaran, juga untuk membantu ekonomi bangsa Melayu, Mahathir Muhamad telah di kelilingi oleh penasihat ekonomi yang gah lagi hebat. Mereka terdiri dari Ananda Krihnan, Vincent Tan, Lim Goh Tong, Ting Phek Khiing dan Eric Chia. Mahathir dengan bangganya telah membuktikan kepada orang Melayu bahawa seorang pemandu lori dan seorang penjual insurans boleh menjarah dan merompak ekonomi negara jika mereka pandai membodek Dr. M.

Tolong jangan hina Mahathir Muhamad

Mahathir Muhamad adalah patriot yang paling tulus lagi ikhlas. Lebih tulen dan hebat dari Patriot misile yang di buat oleh Amerika untuk menggodam Scud Saddam Hussein. Mahathir dengan semangat yang patriotik telah membuat perjanjian rahsia dengan Caspar Weinberger untuk membenarkan tentera dan soldadu Amerika datang masuk ke Malaysia. Tanpa Tun Dr. Mahathir Muhamad mungkin orang-orang Melayu tidak ada berpeluang melihat soldadu Amerika mendarat di Port Dickson.

Tidak cukup dengan patriotik, jiwa Mahathir Muhamad juga telah di salur pula semangat anti-Amerika yang berkobar-kobar. Mahathir dengan terbuka hati telah menjemput Amerika Syarikat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat ‘anti-terrorist’ untuk negara Asia. Kerana begitu patriotik dan anti-Amerika pusat ‘anti-terrorist’ ini telah di rahsiakan dari pengetahuan rakyat Malaysia dan orang Melayu. Malah ahli parlimen kita juga tidak mengetahui hal ini. Inilah dia jiwa seorang patriot yang cukup anti-Amerika.

Pusat ‘anti-terrorist’ ini cukup rahsia, sehinggakan anak Mahathir sendiri yang bernama Mukriz tidak tahu menahu apa yang telah dilakukan oleh ayahandanya. Dengan bangga sekali Mahathir telah menjemput Amerika untuk menubuhkan pusat rahsia ini. Semangat anti-Amerika Mahathir Muhamad ini begitu kuat sekali. Ini dibuktikan, belum pun sempat runtuhan World Trade Center di New York di baiki pusat ‘anti-terrorist’ ini telah didirikan entah di mana dalam negara kita ini. Ini adalah bukti semangat anti- Haliburton bekas Perdana Menteri kita Tun Dr. Haji Muhamad Mahathir.

Tun Dr. Mahathir Muhamad ialah wira dunia ketika yang betul pro Arab dan anti-Isreal. Dengan senyap-senyap kerana dasar anti-Isreal yang berkobar-kobar, Mahathir Muhamad telah berunding dalam gelap dengan Shimon Peres di sebuah hotel di Paris. Rundingan dalam gelap ini tidak di ketahui oleh anakandanya Mukriz yang pada ketika itu turut bersama di Paris kerana sedang mencari ubat menyubur rambut. Hasil rundingan itu ialah lawatan tim kriket Israel ke Malaysia. Inilah contoh wira dunia ketiga yang pro Arab dan anti-Isreal.

Tolong jangan hina Mahathir Muhamad bekas Perdana Menteri kita semua

Kemelayuan Tun Dr. Mahathir Muhamad ini tidak ada tolok bandingnya. Bayangkan dalam negara kita ada beratus ribu peguam Bumiputera yang hebat-hebat, lihat siapa yang menjadi peguam peribadi Mahathir Muhamad – tidak lain dan tidak bukan orangnya ialah V.K. Lingam. Ini membuktikan : Air di cincang tidak akan putus. Mana gelap kulit Mahathir gelap lagi kulit Lingam. Hanya yang legam yang dapat melegam yang lain.

Kepada sasterawanis, penulis certot dan pejuang bahasa Melayu what is the because you angry-angry. Kita patut berbangga sama kerana Tun Dr. Mahathir Muhamad adalah pejuang bahasa Melayu yang jumud lagi kuat kemut. Lihat bagaimana perkataan belanjawan telah diubah kepada bujet. Inilah contoh keglokalan Mahathir Muhamad.

Ingatilah sampai hari kiamat, tanpa inisiatif imitatif inovatif yang imaginatif dari Tun Dr. Mahathir Muhamad kita yang positif lagi reflektif menjadikan anak-anak Melayu kita hari ini tidak lagi tercicir dalam ‘maths and science’. Sekarang orang Melayu boleh berbangga kerana seorang anak Melayu telah dapat menumpang kapal angkasa komunis Rusia yang tidak bertuhan itu. What is the because you angry-angry dengan Tun Dr. Mahathir Muhamad. You Malay must equal hepi hepi.

So, tolong jangan you shykan dan look bottom Tun Dr. Mahathir Muhamad. Silap-silap nanti dia masuk Tamil Tigers.

16 Mei 2008

Last round: Anwar lawan Najib

Oleh Hishamuddin Rais

eseiJangan salah baca. Jangan salah congak. Pembacaan politik yang betul amat penting untuk mengambil tindakan yang tepat. Politik wajib ditakrif sebagai perang di atas meja. Jika perang di atas meja ini gagal maka perang senjata di darat, laut, padang pasir atau hutan akan di mulakan.

Sejarah manusia adalah sejarah perang untuk mengambil kuasa. Sejarah manusia ialah sejarah pertempuran satu kelas dengan yang lain untuk merebut kuasa demi kepentingan ekonomi. Hukum alam ini tidak pernah beralih-alih atau berubah. Inilah perjalanan sejarah tamadun manusia. Perebutan ekonomi adalah asas yang menimbulkan perang – sama ada perang di meja mahu pun perang di hutan.

Pakatan Rakyat sekarang ini sedang melancarkan perang untuk mengambil alih Kerajaan Persekutuan. Pakatan Rakyat sedang melakukan perang ini agar punca-punca ekonomi dapat disusun kembali. Penyusunan ekonomi ini amat penting. Punca-punca ekonomi Malayssia wajib di agih-agihkan semula secara demokratik dan adil. Dasar ekonomi Pakatan Rakyat ialah untuk kesejahteraan ramai. Bukan kesejahteraan kroni, anak bini atau penyokong parti.

Selama 50 tahun ini punca-punca ekonomi telah di monopoli dan di kawal dengan ketat oleh gerombolan United Malays National Organisation dan sekutunya. Kekuatan ekonomi inilah yang membolehkan United Malays National Organisation dilihat kuat dan dapat terus berkuasa. Hari ini gerombolan ini sedang terdesak. Kekalahan mereka dalam PRU ke 12 yang lalu memungkinkan punca-punca ekonomi dalam tangan mereka tergelincir hilang dan di ambil alih oleh Pakatan Rakyat.

Waspada ! Gerombolan United Malays National Organisation dan konco-konconya TIDAK akan melepaskan kuasa dengan senang. Ini hakikat. Gerombolan yang selama ini hidup bermewah-mewahan tidak mungkin akan melepaskan berbilion juta ringgit yang pada hari ini masih lagi dalam kawalan mereka. Justeru, mereka akan melawan kembali. Mereka akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan punca-punca ekonomi ini. Perlawanan merebut punca ekonomi inilah yang di panggil perang politik.

Dalam perang politik ini semua mungkin berlaku. Dalam berperang semua kemungkinan akan dilakukan. Dalam perang semua kemustahilan akan difikirkan. Dalam perang ini semua taktik akan dilakukan untuk mengambil alih kuasa. Dalam perang ini tidak ada lubang cacing yang tidak akan digali. Dalam perang tidak ada sebuah gua batu yang tidak akan di selongkar. Tujuan akhir perang ini adalah untuk menang dan mengalahkan gerombolan United Malays National Organisation dan meletakkan kembali Malayssia ke atas landasan Ketuanan Rakyat.

Pertempuran politik di antara Pakatan Rakyat dengan gerombolan United Malays National Organisation ini pasti akan bertambah sengit. Apa yang kita baca, dengar dan lihat di pentas politik negara hari ini ialah penyambungan perang yang belum selesai sesudah PRU ke 12. Berita-berita yang kita baca di media atau di lihat di kaca TV semuanya adalah taktik dan strategi peperangan.

Orang ramai wajib sedar bahawa perang politik yang hakiki pada hari ini adalah di antara Anwar bin Ibrahim dengan Najib bin Razak. Jangan silap baca. Jangan silap menganalisa. Jika silap, hasilnya ialah kekalahan.

Abdullah Badawi, Mahathir Muhamad, Tengku Razaleigh, Muhideen Yassin - kesemua mereka ini bukan lagi pemain utama dalam perang ini. Pada awalnya dahulu mereka dilihat penting, kini mereka hanya watak-watak sampingan. Watak-watak ini dilihat keluar masuk gelanggang seolah-olah mereka penting tetapi dalam naratif pertempuran ini, mereka TIDAK penting lagi.

Dalam peperangan ini kita sebagai warga dituntut untuk tidak ada berkecuali. Sesiapa yang berkecuali ertinya sama bersekongkol untuk mempertahan kuasa yang sedia wujud. Kuasa yang sedia wujud ialah kuasa gerombolan United Malays National Organisation. Kuasa yang wujud ialah kuasa yang dimiliki oleh Najib bin Razak. Kuasa Najib bin Razak inilah yang sedang ditempur oleh Anwar bin Ibrahim.

Warga dan rakyat Malayssia wajib membuat pilihan sekarang. Pada hakikatnya warga Malayssia hanya ada dua pilihan – Anwar atau Najib. Apakah rakyat mahukan Anwar memimpin negara dengan agenda Ketuanan Rakyat atau mahukan Najib untuk meneruskan kerenah agenda kapal selamnya.

Najib mewakili politik lama - politik feudal yang memerangkap manusia Melayu dengan slogan Hidup Melayu. Slogan Hidup Melayu yang diwakili oleh Najib selama 50 tahun telah memaksa manusia Melayu duduk dalam cengkaman budaya feudal. Budaya feudal ini telah memastikan fikrah manusia Melayu terus bebal dan bodoh. Ertinya dasar budaya feudal yang di kembangkan oleh United Malays National Organisation bertujuan khusus untuk memperbodoh dan membebalkan manusia Melayu.

United Malays National Organisation tidak mahu manusia Melayu cerdik dan berani berfikiran bebas. Melayu yang cerdik dan berani berfikiran bebas akan berduyun-duyun meninggalkan United Malays National Organisation.

Tidak cukup dengan memperbodohkan Melayu gerombolan United Malays National Organisation ini juga tanpa henti-henti telah dan sedang menakut-nakutkan manusia Melayu dengan dua ekor hantu – satu hantu dipanggil Cina dan satu lagi dipanggil Kaum Asing.

Apabila mereka kalah dalam PRU ke 12 mereka terus menakut-nakutkan manusia Melayu dengan mengatakan bahawa Melayu telah hilang kuasa. Negara ini akan diambil oleh Cina. Kuasa politik Melayu hilang diambil oleh Cina dan Kaum Asing.

Manusia yang takut dengan hantu-hantu ini pasti akan mencari pertolongan dan bantuan bomoh dan pawang. Inilah taktik yang selama ini telah digunakan oleh United Malays National Organisation; mereka menyebarkan cerita hantu dan kemudian mereka juga menjadi pawang menghalau hantu.

Memang tepat dan betul ada orang yang hilang kuasa dalam PRU ke 12 dahulu. Yang hilang kuasa ialah United Malays National Organisation. Bukan orang Melayu. Selama 50 tahun ini yang berkuasa ialah gerombolan United Malays National Organisation dan konco-konconya bukan orang Melayu. Manusia Melayu memang tidak memiliki apa-apa kuasa, tidak memiliki apa-apa ketuanan dan tidak memiliki apa-apa yang istimewa. Melayu hidup menunggu janji dan mati dalam harapan.

Kemenangan Pakatan Rakyat di 5 buah negeri ialah satu kemenangan tetapi BUKAN untuk Melayu, bukan untuk Cina , bukan untuk Iban, bukan untuk Dayak, Kadazan atau India. Kemenangan itu untuk semua rakyat Malayssia. Inilah bezanya Anwar dan Najib. Agenda Anwar untuk rakyat Malayssia dengan Ketuanan Rakyat. Manakala agenda Najib hanya untuk kuncu-konco kapal selamnya dan para kroni dalam gerombolan United Malays National Organisation.

Pada ketika ini taktik-taktik perang ini semakin jelas dan tidak kabur lagi. Dari awal lagi langkah Pakatan Rakyat telah disabotaj dan di serang. Fail-fail dihilangkan. Dokumen-dokumen penting dikoyak-koyak. Ini taktik-taktik perang awal untuk memporak perandakan pentadbiran Pakatan Rakyat.

Yakinlah taktik dan serangan dari konco-konco Najib dan gerombolan United Malays National Organisation akan lebih kerap dan ganas. Menuduh Karpal Singh sebagai tidak hormat kepada Raja adalah taktik perang. Menyokong pegawai kerajaan negeri Perak agar enggan menjalankan tugas adalah taktik perang. Menuduh Anwar Ibrahim sebagai ejen Yahudi adalah taktik perang. Menutup jalan raya, menyembur orang ramai dengan air kimia dan tembakan gas pemedih mata kemudian menuduh Pakatan Rakyat sebagai mengancam suasana perniagaan adalah taktik perang.

Mahathir, Razaleigh, Muhideen, Ali Rustam, Syed Hamid, Rafidah Aziz – semua telah dipukul teruk oleh Pakatan Rakyat. Kini mereka lebam-lebam dan duduk membebel di luar gelanggang. Zam, Razi, Shahidan, Sharizat telah sesak nafas dan telah menanggalkan sarung penumbuk sambil duduk bersila di luar gelanggang.

Abdullah Badawi sendiri kelihatan letih dan lebam-lebam. Abdullah akan dibawa ke luar gelanggang untuk direhatkan mungkin seawal bulan Jun tahun hadapan. Kini yang tinggal dalam gelanggang untuk terus berperang ke pusingan akhir hanyalah Anwar dan Najib.

Rakyat seantero dunia sedang menunggu dan ternanti-nanti bunyi loceng akhir yang akan mengosong Najib bin Razak keluar gelanggang. Bila ini berlaku maka Pakatan Rakyat akan dinobatkan sebagai Kerajaan Baru untuk Malaysia.

24 April 2008

Surat Jemputan

KEGANASAN, PENIPUAN & INTERNET
Hegemoni media daulah pecah

Dapat dibeli di semua kedai buku minggu ini:

1) MPH
2) Kinokuniya
3) Borders
4) Time
5) Coop Book Store
6) Popular BOOK Store
7) RiceCooker Annex Central Market

Buku akan di lancarkan dan dijual di Bau Bau Cafe Annexe Central Market

Pada 1 May 2008

Aturcara majlis:

8.30 pm – Pelancaran Buku

8.45 pm - Jamuan

9.00 pm – Party muzik/bands

Semua dijemput hadir,

Hishamuddin Rais