Memaparkan catatan dengan label melayu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label melayu. Papar semua catatan

15 April 2009

Dari Bangsar Utama: Melayu disuruh bangkit lagi….






Selepas PRU 12 lalu, diantara slogan-slogan yang sering kedengaran ialah “Bangkitlah Melayu”. Slogan-slogan ini tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mengapi-apikan sentimen perkauman mengenai kononnya kuasa politik Melayu kini telah hilang.

Walaupun “hasutan-hasutan” sebegini sudah tidak mendapat tempat dihati majoriti orang-orang Melayu terutamanya bagi golongan cerdik pandai serta golongan tua yang sudah tidak boleh ditipu lagi, terdapat golongan-golongan yang tidak henti-henti untuk mencuba bagi memastikan agenda perkauman sempit mereka dapat dijayakan.

Tujuan golongan ini tidak lain tidak bukan ialah untuk menggembalikan kekuatan Umno dan Barisan Nasional. Logik mereka mudah, jika orang-orang Melayu bergaduh dengan kaum-kaum lain, sokongan terhadap Umno akan meningkat kerana kononnya parti tersebut memperjuangkan hak-hak orang Melayu.

Ini juga akan memberikan keuntungan politik kepada parti-parti komponen BN yang lain seperti MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain kerana dianggap memperjuangkan nasib kaum-kaum bukan Melayu.

Ibrahim Ali yang sebelum ini memberi amaran akan mengamuk jika sesiapa cuba kelirukan konsep 1 Malaysia dan beberapa orang kawan-kawan yang satu kepala dengannya mengulangi slogan “Bangkitlah Melayu” ini.

Kata Presiden Perkasa itu,

‘‘Parti Melayu akan kuat bila Melayu dijaga. Jadi Umno kena fokus orang Melayu. Jadi Umno tak perlu takut kerana saya lihat bila Umno itu kuat orang bukan Melayu automatik akan sokong juga Barisan Nasional (BN) macam dulu’’


Baca komen kengkawan Ibrahim Ali disini mengenai isu yang sama.

Kepada orang-orang Melayu, bersediakah kita untuk terus diperbodohkan lagi?


09 September 2008

Kita semua rakyat Malaysia.

Oleh: Kuda Ranggi

Pada mulanya saya agak keberatan nak ulas kekecohan yang berpunca ekoran daripada kenyataan ketua UMNO bahagian Bukit Bendera, Pulau Pinang bernama Ahmad bin Ismail. Sama ada benar atau tidak apa yang didakwa dikatakan olehnya mengenai rakyat Malaysia keturunan Cina bukan persoalannya kerana isu tersebut sudahpun merebak dan mengapi-apikan keadaan.

Jika tidak ditangani dengan cermat, teliti dan bijak, isu itu boleh ditangguk dalam air yang keruh oleh anasir-anasir yang ingin melihat negara ini hancur serta mengundang campur tangan kuasa asing. Dalam zaman dunia tanpa sempadan dan liputan meluas dan segera oleh media elektronik antarabangsa, apa yang berlaku di sesebuah negara itu tidak dapat disembunyi atau dinafikan.

Isu pokok yang dibangkitkan oleh Ahmad Ismail membabitkan persoalan "menumpang" iaitu rakyat Malaysia keturunan Cina adalah penumpang di negara ini. Beliau menjelaskan bahawa ia merujuk kepada zaman pra-Merdeka. Bagaimanapun, sensitiviti rakyat Malaysia keturunan Cina telah terguris.

Saya tidak mengenali secara peribadi Ahmad Ismail, tetapi kenal agak rapat dengan Allahyarham abangnya, Abdul Rahim Ismail, pemilik Syarikat Pembinaan Rahim yang pada satu ketika dahulu agak terkenal sebagai sebuah firma pembinaan Bumiputera yang unggul di Pulau Pinang. Saya tidak tahu apa dah jadi dengan syarikat itu selepas Abdul Rahim meninggal dunia.

Secara peribadi, saya tidak setuju dengan apa yang didakwa dikata oleh Ahmad Ismail atas beberapa sebab.

Bagi saya, hampir 90 peratus rakyat Malaysia, khususnya di Semenanjung, adalah pendatang dan kita semua sebenarnya menumpang hidup di bumi Allah. Kita bukan pemilik kekal tetapi hanya menumpang.

Sebagai contoh, saya sendiri adalah keturunan pendatang yang menumpang hidup di bumi bertuah ini. Datuk nenek di sebelah bapa saya berhijrah dari Makkah dan dari Brunei ke sini manakala di sebelah ibu pula dari Hadhramut, Yaman. Kami adalah pendatang dan penumpang sama seperti hampir semua penduduk negara ini khususnya di Pulau Pinang.

Bagi Ahmad Ismail, dia juga datang dari keluarga pendatang dan menumpang hidup di negara ini. Ahmad Ismail tidak boleh menafikan hakikat bahawa datuk neneknya adalah pendatang dari India untuk menerokai penghidupan yang lebih baik dan selesa di bumi bertuah ini.

Perdana Menteri Abdullah bin Ahmad juga tergolong dalam kategori yang sama. Datuknya di sebelah ibu adalah pendatang dari wilayah Guandong, China. Pendek kata, datuk Pak Lah iaitu bapa Allahyarhamah Kailan bernama Hassan Salleh atau Hah Su Chiang adalah seorang pendatang. Beliau berhijrah ke Tanah Melayu dari wilayah Guandong (Kwantung) pada pertengahan abad ke-19 dan menetap di Bayan Lepas sebagai pekebun getah, pesawah padi dan kemudian saudagar intan berlian.

Najib Tun Razak, Timbalan PM juga berasal daripada keluarga pendatang iaitu dari Sulawesi, Indonesia atau lebih senang disebut orang Bugis manakala sepupunya Hishamudin Hussein tidak terlepas daripada darah keturunan Turki.

Datuk nenek mantan PM Tun Dr Mahathir Mohamad juga pendatang dari Kerala, India manakala ibu Almarhum Tunku Abul Rahman berasal dari negeri Siam (Thailand).

Kesultanan Melayu Melaka pun dibuka oleh orang pendatang dari Sumatra bernama Parameswara, seorang anak raja atau bangsawan beragama Hindu.

Dalam sejarah kesultanan Melayu, kita dapati ada yang ditubuh oleh pendatang dari Bugis dan ada pula dari Hadhramut selain dari Minangkabau.

Hampir semua orang Melayu di sini berasal dari luar Tanah Melayu tetapi diiktiraf sebagai "bangsa Melayu" oleh Perlembagaan Persekutuan. Kita adalah "Melayu mengikut takrifan Perlembagaan" iaitu beragama Islam, mengamalkan adat resam Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu. Malangnya, bahasa Melayu nampaknya dimatikan oleh orang Melayu (UMNO) sendiri apabila dinamakan sebagai bahasa Malaysia.

Oleh itu, orang Arab seperti Syed Hamid Albar dan saya, orang Aceh seperti Sanusi Junid, orang India seperti Kader Sheikh Fadzir dan Nor Mohamed Yakcop, orang Bugis seperti Najib, orang Minang seperti Rais Yatim, orang Jawa seperti Mohamad Rahmat dan yang lain seperti dari Madura, Pulau Boyan, Siam, Burma, Yunnan (China) dan selatan Filipina dengan mudah boleh diiktirf sebagai "Melayu".

Mereka diterima sebagai orang Melayu tidak kira sama ada mereka bertutur bahasa Melayu atau tidak di rumah umpamanya si Arab berbahasa Arab, si Jawa berbahasa Jawa dan si Minang berbahasa Minang atupun si Mamak berbahasa Tamil.

Bahasa-bahasa yang disebut itu bukan bahasa Melayu dan jika dilihat dari sudut Perlembagaan Persekutuan, tidak boleh diterima atau diiktiraf sebagai bangsa Melayu. Walau bagaimanapun, atas kepentingan dan faktor politik, semuanya diterima sebagai Melayu dan Bumiputera.

Oleh itu, adalah tidak adil untuk menuding jari kepada orang Cina yang juga kaum pendatang sama seperti orang Arab, India, Aceh, Minang, Batak, Mandailing, Jawa, Madura mahupun Bugis, sebagai menumpang di negeri ini. Kita tidak boleh menafikan bahawa sebilangan besar datuk nenek orang Cina telah berhijrah ke negeri ini semasa Kesultanan Melayu Melaka, bahkan kesultanan-kesultanan terdahulu di Kedah mahupun Terengganu dan Kelantan serta semasa Francis Light berjaya menipu Sultan Kedah untuk menduduki Pulau Pinang pada 1786.

Kita adalah kaum pendatang yang menumpang hidup di negeri ini. Golongan yang boleh diiktiraf sebagai orang asal atau anak bumi tulen adalah mereka yang kita kenali sebagai Negrito, Jakun, Semang, Jahut, Orang Laut, Orang Darat, Senoi dan suku kaum masyarakat Asli lain yang masih menjadi penghuni belantara.

Kita tidak harus lupa akan sumbangan dan pengorbanan semua kaum dan suku kaum untuk membangunkan Malaysia sama ada dari sudut ekonomi, kemasyarakatan, keselamatan dan yang paling penting kesepakatan dan perpaduan. Semua orang yang kena dan seharusnya membayar cukai, berbuat demikian tanpa mengira kaum atau asal keturunan, sama ada pendatang atau penumpang.

Kita semua adalah rakyat Malaysia.

05 September 2008

Dari Bangsar Utama: Sah, Umno Pulau Pinang mengapi-apikan sentimen perkauman!!!





Sebentar tadi Umno Pulau Pinang mengadakan sidang akhbar. Mereka menyatakan sokongan kepada Ahmad Ismail diatas tindakan untuk tidak memohon maaf diatas ucapannya yang menghina kaum Cina dinegara ini dalam ucapannya sewaktu kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Klik disini untuk membaca berita dari Malaysiakini.

Mereka tidak punyai niat lain selain daripada untuk menghuru-harakan negara ini.

Diharap pihak-pihak lain jangan terperangkap dengan permainan ini.

Ini adalah taktik lama. Hanya orang bodoh sahaja yang akan terjerat dengan permainan Umno Pulau Pinang ini.

Mereka mahukan ada kelompok Cina yang respon agar pergaduhan kaum dapat dimulakan.

Apabila pergaduhan kaum bermula, maka undang-undang Darurat akan digunakan.

Apabila darurat berjalan, maka halallah tindakan kerajaan untuk menangkap sesiapa sahaja dan ini sekaligus akan menghalang Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan. Apakah ini ada kena mengena dengan kenyataan Dollah Tidur hari ini yang berbunyi, ‘Saya Pastikan 16 Sept Tidak Akan Berlaku,’ Kata Abdullah.

Awas, jangan terperangkap dengan percaturan sempit ini!!!

Nota: Beliau adalah seorang aktivis 'pemantau pilihan raya' -- sudah pergi hingga ke Sri Lanka, India, Indonesia dan Filipina untuk memastikan pilihan raya di sana kekal bersih. Juga merupakan seorang kolumnis di akhbar elektronik bebas http://malaysiakini.com. Kolum Borak-borak kendalian beliau mula beroperasi di malaysiakini pada 29 Mei 2007 yang lepas.

20 Ogos 2008

Politik Persen (%)



Mungkin apa yang ingin saya ulas ini tidak begitu glamour memandangkan perbahasan mutakhir ini walau di ceruk mana sekalipun lebih banyak berkisar soal Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan isu liwat Anwar Ibrahim v2.0.

Saya tertarik dengan kekecohan yang ditimbulkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, berkait dengan cadangan penerimaan 10% pelajar bukan Bumiputera dan pelajar asing ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya sebenarnya pernah bertemu dengan Tan Sri Khalid ketika beliau masih bergelar CEO Kumpulan Guthrie Berhad bersama dengan Sharmeen Jalil, adik-beradik Dato’ Shahrizat Jalil, yang menjadi PA (Pembantu Khas) Tan Sri Khalid, sewaktu saya masih menginap di Kolej Guthrie, Universiti Utara Malaysia.


Saya tidak berhajat, tidak berniat dan tidak berminat lagi untuk mengkritik Parti Keadilan Rakyat tetapi masalahnya saya tidak boleh bersetuju dengan Tan Sri Khalid dalam soal ini. Masalahnya juga saya turut tidak berkenan dengan respon-respon yang terbit akibat dari kenyataan Tan Sri Khalid ini, sama ada dari pimpinan Umno, peneraju UiTM Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah, para pelajar UiTM sendiri, juga dari pihak-pihak bebas seperti Ibrahim Ali, kerana mereka semua jelas hipokrit!

Saya cukup konsisten dalam hal ini. Politik persen (%) ini, berapa persen kita berapa persen dia, dalam isu pendidikan, yang cuba menyeret nasib anak bangsa dalam kancah peperangan laba politik, bukanlah sesuatu yang baru. Saya telah menulisnya selepas Pilihanraya Umum 1999, selepas PAS berjaya mengambil-alih Negeri Terengganu, bilamana dua buah MRSM - Yayasan Terengganu ditutup kerana kemenangan PAS itu, dalam waktu yang sama 10% pelajar bukan Melayu dan Bumiputera mula diterima masuk ke MRSM, apa yang saya simpulkan ketika itu boleh dibaca di sini, tulisan saya itu juga telah dipetik oleh laman portal berita Agendadaily.com.
Saya menulis ketika itu atas kapasiti saya sebagai bekas pelajar MRSM. Tidak adapun masa itu Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA ataupun pengetua-pengetua MRSM, yang membantah mainan politik persen ini menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada juga masa itu ANSARA (Persatuan Bekas Pelajar MRSM) yang diterajui Mukhriz Mahathir turun berarak ke jalanraya membantah kemasukan 10% pelajar bukan Melayu dan Bumiputera ke MRSM ini. Sedangkan beza di antara isu MRSM dan UiTM ini sangat besar, MRSM dahulu sudah di peringkat perlaksanaan, sedangkan UiTM ini hanyalah satu cadangan sahaja.

Saya tidak boleh bersetuju dengan cadangan Tan Sri Khalid atas premis yang sangat mudah. Meskipun ada rasionalnya, namun untuk mengatakan yang orang Melayu dan Bumiputera bila dikumpulkan sesama mereka sahaja dalam sebuah institusi pendidikan akan menjadikan mereka kurang kompetitif dan buta globalisasi, itu bagi saya adalah satu generalisasi yang gopoh dan tidak cermat. Ini kerana kebanyakan pemimpin Melayu dalam negara ini “dikilangkan” oleh sebuah institusi Melayu, khas untuk orang Melayu dan bernama Melayu, itulah Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tan Sri Khalid pun tentu maklum yang Saudara Anwar Ibrahim juga lahir dari institusi ini. Betullah bukan semua membesar menjadi Anwar Ibrahim, tetapi sudah pasti ada yang menjadi Hishamuddin Tun Hussin, ada yang menjadi Hishamuddin Rais, ada yang menjadi Dr. Hatta Ramli, mereka semua adalah pemimpin dalam kelompok masing-masing, apakah mereka tidak kompetitif dan buta globalisasi?

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, termasuklah bidang pendidikan. Saya bukan seorang chauvinist Melayu, saya mendokong citra Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan budaya, jauh sekali untuk saya punya rasa prejudis terhadap kaum-kaum lain di Malaysia. Tetapi dalam masa yang sama saya mempertahankan klausa ini, apa salahnya? Saya yakin semua rakyat Malaysia, dari semua kaum dan agama memperakui bahawa Malaysia hari ini lahir dari kerangka-kerangka politik kenegaraan lama seperti Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Melayu Johor, Kerajaan Melayu Pahang, Kerajaan Melayu Kedah, Kerajaan Melayu Perak, Kerajaan Melayu Kelantan, juga Kerajaan Melayu Terengganu. Ahli-ahli sejarah Malaysia, tidak kiralah dari mana-mana kaum sekalipun pasti bersetuju bahawa gerakan politik dan nasionalisma di negara ini bermula dengan dokongan orang Melayu, dari bersifat sebagai persatuan-persatuan bahasa, kemudiannya kepada persatuan-persatuan Melayu negeri, kepada kewujudan Kesatuan Melayu Muda, kronologi panjang ini sudah wujud lama sebelum PUTERA-AMCJA, sebelum Fron Sosialis, juga sebelum Perikatan. Atas asas inilah saya percaya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah wajar dan perlu. Lebih dari itu, asas Melayu yang begitu kuat dalam sejarah pembinaan negara ini adalah bukti bahawa sedikit keistimewaan untuk orang Melayu dan Bumiputera adalah HAK, bukan pemberian ihsan yang boleh diperbincang untuk dikekal atau ditarik balik.

Berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini, maka instruktur-infrastruktur pendidikan Melayu dibangunkan, ianya rancak dalam tempoh awal perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah tersilap bila mengatakan UiTM ditubuhkan berdasarkan Perkara 153 tersebut, ini kerana bukan hanya UiTM tertubuh kerananya, banyak infrastruktur pendidikan lain yang dibangunkan, antaranya termasuklah program-program matrikulasi, sekolah-sekolah berasrama penuh, juga Maktab-Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Soalnya, jika Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah benar-benar sayangkan bangsanya, benar-benar mahu mempertahankan Perkara 153, kenapa hari ini hanya berani bersuara? Kenapa tidak mengkritik ketika MRSM mula dibuka kepada bukan Melayu dan Bumiputera dahulu? Inilah yang saya katakan hipokrit.

Menyusuri latar belakang keluarganya, saya tidak pelik dengan sifat “ddebe” dan “nok ggocoh” Datuk Paduka Ibrahim Ali, tetapi orang kata biarlah bertempat. Sebagai Ahli Parlimen bebas, Ibrahim Ali mengatakan beliau akan menyokong siapa sahaja dan beliau akan mengkritik siapa sahaja, demi kepentingan Melayu dan Islam. Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi mangsanya, alasan Ibrahim Ali mudah, UiTM begitu sentimental dengannya kerana beliau bekas pelajar UiTM (ITM), bekas Setiausaha Agung dan Presiden KSITM. Saya suka untuk memakai frasa pertamanya, bahawa beliau boleh bersetuju dengan siapa sahaja, boleh menentang siapa sahaja, demi kepentingan Melayu dan Islam. Nyata beliau juga, seperti Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah, tertinggal MRSM dalam agendanya (atau masing-masing buat-buat lupa). Tidak lebih dan tidak kurang, Datuk Paduka Ibrahim Ali dan Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah sama-sama hipokrit, lebihnya Ibrahim Ali, beliau sedang mencari laba politik.

Saya rasa tak perlulah saya huraikan bagaimana cerianya pelajar-pelajar UiTM dipergunakan untuk berdemonstrasi tanpa polis dan FRU, bukankah AUKU melarang pelajar menyertai kegiatan haram, dan bukankah perarakan itu haram di sisi Seksyen 27 Akta Polis? Kenapa Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah tidak mencadangkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar UiTM supaya membuat kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Selangor? Atau beliau juga sedang kemaruk populariti dan bercita-cita besar untuk terjun ke kancah politik?

Tentang komen-komen dari pimpinan Umno berkait dengan “baru cadangan” Tan Sri Khalid ini tidak perlulah saya ambil kira sangat. Tanya mereka dahulu apa bezanya di antara MRSM dan UiTM di sisi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Anda semua harus tahu bahawa sekarang tanah rezab Melayu sudah ada harga di “pasaran bebas.” Siapa yang meletak harganya? Anda perlu tanya Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kesimpulan saya dalam hal ini sama seperti dahulu juga. Sama ada di MRSM, di UiTM, di sekolah-sekolah berasrama penuh, atau di pusat-pusat matrikulasi, mereka adalah adik-adik kita, anak-anak kita, anak-anak bangsa Melayu dan Bumiputera, dan mereka sekarang sedang menjadi buah catur permainan “berapa persen-berapa persen” oleh ahli-ahli politik kita. Sakit hati, dendam dan perbalahan politik kita memungkinkan kita membunuh dan merencat generasi masa depan bangsa kita sendiri.

Sekali lagi, apapun yang ingin kita ubah, ingin yang kita reformasikan, mestilah hadir bersama tanggungjawab!!!