Memaparkan catatan dengan label zukri aksah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label zukri aksah. Papar semua catatan

29 Oktober 2008

Saya Dah Cakap Lama Dah!!!

Oleh Zukri Aksah

Barack Obama meletak kata-kata ini sebagai signature kempennya dalam mengejar cita-citanya menjadi pemimpin kulit hitam Amerika pertama menerajui Rumah Putih, “Saya meminta untuk anda percaya, bukan hanya keupayaan saya untuk membawa perubahan sebenar ke Washington, saya meminta anda percaya akan keupayaan anda.”

Bukan tidak ada pemimpin kulit hitam Amerika yang cuba memasuki perlumbaan ke Rumah Putih sebelum-sebelum ini, tetapi belum ada yang berjaya dan tiada seorangpun yang seberjaya Obama. Kini rakyat Amerika mula memasang harapan baru dan Obama menjadi idola mereka, bukan setakat itu, kemunculan Obama juga telah merebak menjadi fenomena seluruh dunia.

Termasuklah di Malaysia ini. Ramai ahli politik yang mahu menjadi seperti Obama, berkempen ala Obama, mengangkat tangan ala Obama, laman web ala Obama, sampai pentas ceramah pun ada yang ala-ala kempen Pilihanraya Presiden Amerika itu. Tidak kiralah kalau sebelum ini totok menyokong atau pro Republikan (konservatif dan neo-konservatif), hari ini boleh bangga pula kalau ada orang menggelarnya Obama Malaysia.

Cuma Obama bila memutuskan untuk memasuki secara serius perlumbaan menerajui Rumah Putih dahulu meminta supaya rakyat Amerika bukan hanya mempercayainya untuk merobah Amerika, tetapi lebih dari itu meminta rakyat Amerika supaya mempercayai keupayaan mereka sendiri untuk melakukan perubahan.

Lain pula di Malaysia, atas premis yang sama, “perubahan,” Pakatan Rakyat yang diterajui Anwar Ibrahim memasuki Pilihanraya Umum 8 Mac 2008 yang lalu. Tetapi Anwar, melalui Pakatan Rakyat dalam usaha menguasai Putrajaya jelas membina projeksi yang berbeza berbanding Obama. Jentera kempen Pakatan Rakyat, terutama Parti Keadilan dan Anwar Ibrahim sendiri (sehingga hari ini) cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa Anwarlah perubahan, Anwarlah “Dewa Perubahan (Reform Angel)” – sebab itulah segelintir kalangan penyokong Anwar telah menaikkan replika gergasi Anwar di Batu Cave (kalaupun itu bukan patung, sudah jelas ia tanda pendewaan).

Namun misi Anwar gagal sehingga hari ini. Selepas berjaya menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum yang lepas dan selepas menang bergaya dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, Anwar dengan begitu yakin mewar-warkan yang beliau akan dapat mengambil-alih kerajaan persekutuan dengan melompatnya Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat, paling mengejutkan bila tarikhnya diberi, 16 September 2008, hingga pada satu masa, jumlah Ahli Parlimen Barisan Nasional yang ingin melompat itu dikatakan bertambah setiap jam!

16 September dihampiri, tiba dan berlalu, tidak ada apa-apa berlaku, tarikh lain diberi, dan terus diberi, sehingga tidak bertarikh lagi, perubahan tidak berlaku juga. Mungkin agaknya sudah kebas mulut untuk berjanji manis, akhirnya melalui laporan The Malaysian Insider bertarikh 23 Oktober (laporan ini tidak dipetik oleh blog peribadi Anwar Ibrahim – memelikkan) Anwar telah memberi respon paling pesimis semenjak Pilihanraya Umum 8 Mac 2008. Ayat Anwar tidak lagi mengatakan bahawa pelan perubahan Malaysia melalui pengambil-alihan kuasa adalah satu keyakinan dan pasti tetapi telah menjadi opsyen yang semakin sukar.

Saya kadang-kadang tersenyum sendiri, ketawa dan sesekali menggeleng kepala bila mengikuti drama “rampasan kuasa berperlembagaan” Anwar Ibrahim ini. Sampai hari ini saya hairan bagaimana orang boleh begitu percaya kepada idea dan perancangan Anwar ini. Saya tidak percaya, saya dah cakap lama dah!!! Kalangan bawahan Parti Keadilan dan juga PAS dulu ramai yang bertanya saya soal ini, saya kata saya tidak percaya, ia tidak akan berlaku. Ya, saya akui Anwar punya karisma yang cukup hebat, pidato yang cukup memukau, siap lagu dan tarinya. Tetapi itu belum menjamin yang Anwar juga cukup hebat dan memukau bila berstrategi dalam politik, hujah saya cukup ringkas, kalau idea dan perancangan Anwar itu syumul sifatnya, ketika dalam Umno lagi dah dia berjaya menjadi Perdana Menteri, kalau ketika bersama parti yang memerintah pun dia gagal dan tersepak keluar, apa lagilah ketika ini yang berstatus pakatan pembangkang, memanglah memerintah di lima negeri, tetapi tetap pembangkang di lapan negeri yang lain, juga pembangkang di Dewan Rakyat. Kalau SAPP yang begitu lantang mahu mengusulkan undi tidak percaya kepada Pak Lah boleh tiba-tiba menikus, apa sangatlah yang boleh diharap dengan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional yang lain, beranikah mereka… Kalau dahulu Barisan Nasional pun tersungkur dalam usaha mengambil-alih Kerajaan Kelantan yang hanya berkelebihan dua kerusi (dan kini di Perak), macam mana kita boleh bermimpi untuk mengambil-alih Kerajaan Persekutuan yang mana Barisan Nasional mempunyai kelebihan 58 kerusi! Apakah Anwar Ibrahim dan pengikut-pengikutnya menganggap kalangan pemimpin Barisan Nasional hanya berpeluk tubuh dan berdiam diri sahaja melihat perilaku Anwar?

Maka kecewalah penyokong-penyokong bawahan Parti Keadilan dan PAS ini bila mendengar hujah-hujah saya ini. Begitu taksub, percaya dan besarnya harapan mereka terhadap Anwar. Saya kasihankan mereka, saya tidak kata Anwar tidak ada pengaruh, memang ada kalangan Umno dan pemimpin parti komponen lain yang menyertai Parti Keadilan dan Pakatan Rakyat selepas Pilihanraya Umum 8 Mac 2008, tetapi bukanlah yang berstatus Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri, yang ada hanyalah pemimpin-pemimpin Umno pencen, tidakpun pemimpin-pemimpin parti komponen Barisan Nasional yang lain yang sedang diserang penyakit buntu dan keliru, gagal mencari sebab mengapa parti-parti yang dipimpin mereka sebelum ini tiba-tiba ditolak rakyat sebegitu rupa, terperangkap di antara yang mereka anggap perjuangan dan survival kuasa.

Kenapa Anwar gagal? Anwar lupa rakyat, Anwar hanya mahukan sokongan dan undi mereka, perubahan itu rakyat, bukan Anwar, yang merobah itu rakyat, bukan Anwar, itu yang Anwar lupa. Anwar cuba meyakinkan rakyat yang dia mampu membuat perubahan (baca: perubahan susunan orang di pejabat-pejabat mewah di Putrajaya). Anwar lupa meyakinkan rakyat yang rakyatlah paling perlu membuat perubahan sebelum mahu melihat perubahan berlaku di mana-mana (baca: perubahan pendekatan politik, ekonomi, sosial, budaya, perubahan mentaliti, perubahan ideologi, perubahan kepercayaan kepada status quo, perubahan sikap dan cara bertindak). Garis dasar untuk ini perlu ada, lalu wujudlah keperluan segala macam jenis manifesto dan agenda. Tetapi oleh kerana kempen pengimejan Anwar sebagai dewa perubahan ini terlalu melampau dan dominan, maka dokumen-dokumen ini semakin lama menjadi semakin mengecil dan tidak diperhatikan serta tidak dianggap penting, rakyat pun akhirnya tidak dapat menangkap apakah idea perubahan itu dan bagaimana mereka harus berperanan…

Hasilnya, jadilah seperti yang kita dapat lihat selepas Pilihanraya Umum 8 Mac 2008, kegagalan Pakatan Rakyat yang saya namakan sebagai kegagalan yang mengecewakan, kenapa? Sebab kegagalan ini sedikit lagi boleh menjadi kejayaan, tetapi malangnya tidak berjaya. Di antara kegagalan dan kejayaan ini adalah titik keseimbangan graviti, Anwar telah salah menanda titik keseimbangan, kemudiannya berdiri pula di atas titik keseimbangan yang salah itu.


15 September 2008

Perihal ISA, Tindakan Parti, Tindakan Kerajaan dan Kenyataan Bodoh Hamid Albar

Oleh: Zukri Aksah

Untuk kesekian kalinya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan lagi, kali ini mangsanya adalah blogger Raja Petra, Teresa Kok dan wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng (dibebaskan selepas 16 jam dalam tahanan polis). Dan seperti biasalah, alasan yang digunakan kali ini tetap seperti dulu-dulu juga, ketenteraman awam, public order…

Dan untuk pertama kalinya saya sangsi, apakah penahanan ISA terbaru ini adalah tindakan Kerajaan, atau tindakan Kerajaan Barisan Nasional, atau tindakan Barisan Nasional? Kerana kelihatannya seolah-olah yang bersetuju dengan tindakan ini hanyalah Umno sahaja! Banyak parti lain yang menjadi komponen Barisan Nasional yang memerintah telah mula bersuara, MCA membantah, Gerakan membantah, PPP juga membantah. Maka timbul persoalan, apakah Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah sekarang masih didokong penuh oleh semua parti komponennya, atau sudah menjadi milik Umno yang syok sendiri?

Kalau dulu Umno menggunakan Zainuddin Maidin sebagai pahlawannya, kali ini Hamid Albar pula yang menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri mewarisi legasi tersebut. Berdasarkan latar belakang beliau, saya mengharapkan sedikit kecerdikan dari jawapan-jawapan Hamid Albar dalam sidang medianya, tetapi apa yang saya temui hanyalah kedunguan dan kebodohan.

Kebodohan pertama, kata Hamid Albar, tindakan ini bukan arahannya selaku Menteri Dalam Negeri, tetapi sepenuhnya adalah tindakan pihak polis. Soalnya beliau bercakap dengan khalayak mana? Jika saya ada dalam sidang media itu, nescaya sudah tentu saya akan tergelak guling-guling, mengapa? Mudah, arahan penahanan mengikut ISA memerlukan tandatangan Menteri Dalam Negeri, maka penahanan mengikut ISA adalah tindakan kerajaan.

Kebodohan kedua, jawapan Hamid Albar bila ditanya mengapa Ahmad Ismail, bekas Ketua Bahagian Umno Bukit Bendera yang mengeluarkan kenyataan menghasut mengatakan kaum China di Malaysia sebagai pendatang tidak ditahan di bawah ISA, sedangkan wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng yang melaporkan ucapannya itu di dalam akhbarnya pula yang ditahan, Hamid Albar menjawab dengan keras bahawa Umno telah mengambil tindakan terhadap Ahmad Ismail. Inilah masalah mentaliti Umno itu kerajaan, kerajaan itu Umno. Sedarkah Hamid Albar yang beliau ketika itu di dalam sidang media atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri, bukan pemimpin Umno! Dan soalan yang diajukan kepada beliau adalah tentang tindakan kerajaan terhadap Ahmad Ismail, bukan tindakan Umno! Seperti tindakan kerajaan terhadap Raja Petra, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng. Tidak timbul langsung soal laporan polis terhadap Ahmad Ismail, saya rasa ada beratus laporan polis terhadap pimpinan Umno, tolong kirakan pada saya berapa peratuskah yang sudah berjaya dibuat pendakwaan? Atau mengapa tidak sahaja Raja Petra, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng disiasat di bawah akta yang sama yang digunakan untuk Ahmad Ismail, asalkan bukan ISA, Ordinan Darurat atau yang seumpamanya.

Ada persamaan dan perbezaan di sini, Tan Hoon Cheng, wartawan kanan Sin Chew Daily melaporkan ucapan Ahmad Ismail yang berbau perkauman; yang samanya Khir Toyo melaporkan Teresa Kok terlibat dengan petisyen meminta diperlahankan laungan azan di sebuah masjid di Selangor. Perbezaannya Ahmad Ismail mengakui ucapannya itu, bahkan mempertahankannya, sedangkan Teresa Kok pula menafikan penglibatannya dan ini disahkan oleh ahli jawatankuasa masjid itu sendiri serta disokong oleh laporan polis balas terhadap Khir Toyo yang dibuat oleh Ahli Parlimen PAS bagi Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmud.

Mari kita lihat status pelapor dahulu, iaitu Tan Hoon Cheng, wartawan kanan Sin Chew Daily dan Khir Toyo, bekas Menteri Besar Selangor. Kalau ikut logik Hamid Albar, pelapor ucapan atau perbuatan orang lain boleh mengganggu ketenteraman awam, seperti ditunjukkan melalui penahanan Tan Hoon Cheng di bawah ISA, maka Khir Toyo juga berada dalam darjah yang sama dengan wartawan kanan Sin Chew Daily tersebut.

Orang yang dilaporkan pula iaitu Ahmad Ismail (yang mengaku akan ucapannya) masih menjadi rakyat Malaysia yang bebas dan merdeka, sedangkan Teresa Kok (yang menafikan dakwaan terhadapnya, dengan disahkan oleh jawatankuasa masjid dan disokong oleh Ahli Parlimen PAS Kota Raja) pula sampai sekarang tidak ketahuan di mana duduknya, terpenjara di bawah ISA. Perbandingan inilah yang ingin ditanya wartawan kepada Hamid Albar, yang ingin diketahui oleh rakyat semua.

Sesungguhnya saya menulis ini dengan penegasan bahawa saya menentang penggunaan ISA tidak kira untuk mana-mana kumpulan atau mana-mana pemimpin politik. Saya menulis ini juga bukan kerana dengkikan pemimpin Umno yang tidak ditahan sama, tetapi sebagai hujah pembuktian bahawa inilah bahagian sumbing dan canggung setiap kali pimpinan Umno mahu bercakap soal public order.



30 Ogos 2008

MERDEKA Ialah Keluar Dari Ruang Salah Yang Sesat

Oleh: Zukri Aksah

Salam MERDEKA!!!

Banyak perkara penting akan berlaku dalam masa terdekat ini, paling utama tentulah menanti kelahiran putri sulung saya, moga dia dan ibunya diberi kesihatan yang baik, insyaallah. 31 Ogos ini ialah ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-51, sementara 1 September pula seluruh umat Islam dijangka akan mula berpuasa Ramadhan, kenalah masanya kerana kita menyambut “kemerdekaan” dari godaan iblis dan syaitan selama sebulan.

Apa itu merdeka? Semudahnya saya menyimpulkan sebagai keluar dari ruang gelap dan memasuki ruang yang cerah, seperti keluar dari penjajahan kepada berkerajaan sendiri, keluar dari kemiskinan kepada kekayaan, juga keluar dari ruang salah yang sesat kepada ruang benar lagi mendapat petunjuk.


Entah macam mana malam tadi sambil menonton televisyen keseorangan (kerana isteri telah pun tidur, kesian dia keletihan kerana sarat mengandung), tergerak pula hati untuk menulis sesuatu tentang merdeka, lalu mula menimbang-nimbang apa yang saya harus rujuk kali ini. Saya terfikirkan Al-Quran, terus saya masuk ke bilik dan mengambil naskah Al-Quran terjemahan di atas almari pakaian.

Kembali ke ruang tamu, saya terus membuka Al-Quran tersebut dan Maha Suci Allah yang tinggi kebesaranNya, saya terbuka surah 68, Al-Qalam, sememangnya Dia tahu, saya dan ramai lagi rakyat di Malaysia ini sedang mencari petunjuk.

Saya perturunkan di sini terjemahan ayat 7 hingga 14 Surah Al-Qalam, Mafhum Firman Allah:

Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dijalanNya, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. Maka janganlah engkau ikut orang-orang yang mendustakan (agama). Dan mereka bercita-cita, jika engkau lembut (terhadap mereka), mereka akan lembut juga. Dan jangan engkau ikut orang yang banyak bersumpah lagi hina. Pencaci (orang), berjalan mengadu-ngadu. Enggan (mengeluarkan) harta, aniaya lagi berdosa. Keras hati dan selain daripada itu yang terkenal kejahatannya. Kerana dia mempunyai harta dan anak-anak.

Ayat-ayat di atas menyenaraikan orang-orang yang sesat dijalanNya, yang menakutkan saya adalah ayat ke 10 yang telah saya hitamkan, “Dan jangan engkau ikut orang yang banyak bersumpah lagi hina.” Anda semua sudah tentu maklum yang kebelakangan ini orang suka bersumpah, sama ada sumpah untuk mendakwa sesuatu atau sumpah untuk menafikan sesuatu. Anda semua juga tahu antara kalangan yang suka bersumpah ini adalah pemimpin atau pernah berada dalam kepimpinan organisasi yang mereka sertai atau pernah sertai. Sama ada masih memimpin atau pernah memimpin, mereka ini saya yakin masih punya pengikut sehingga sekarang, lebih khusus lagi pengikut yang beragama Islam. Jika mereka yang memimpin atau yang pernah memimpin ini sudah di ambang kesesatan, bagaimana dengan orang yang mereka pimpin, pengikut mereka? Na’uzubillahiminzaalik!

Saya memang tidak boleh melarang Najib Tun Razak dari bersumpah, kerana siapalah saya, sedangkan dia Timbalan Perdana Menteri. Saya juga tidak dapat membantah tindakan Saiful Bukhari bersumpah, kerana saya tidak kenal pun dia dan diapun tidak kenal akan saya.

Tetapi saya kenal seorang saudara, seorang sahabat dan seorang abang, Ezam Mohd Noor, harus saya betulkan niat saya di sini bahawa saya tulis ini bukan untuk mengutuk atau mengkritik, saya masih punya hubungan baik dengan Ezam sampai sekarang, kalau Ezam membaca tulisan ini, anggaplah ini sebagai pesanan dan ingatan sesama Muslim. Ketika menerajui Pemuda Keadilan, Ezam pernah bersumpah keramat di semua negeri seluruh Malaysia, Ezam juga pernah bersumpah akan menentang Mahathir walaupun Mahathir sudah berada di dalam kubur, Ezam turut bersumpah akan melawan Umno habis-habisan, yang terakhir Ezam bersumpah akan menghalang Saudara Anwar dari menjadi Perdana Menteri.

Atas rasa kasih-sayang kepada seorang saudara, seorang sahabat dan seorang abang, saya sangat-sangat merayu kepada Ezam supaya biarkanlah yang berlalu itu, cukuplah bersumpah, saya sangat-sangat takut Ezam termasuk dalam golongan yang disebut dalam ayat ke 10 surah Al-Qalam itu, dan natijahnya menjadi orang yang sesat dijalanNya.

Saya tahu, sungguhpun Ezam sudah tidak ada apa-apa jawatan politik, dia masih ada pengikutnya. Saya juga sangat-sangat takut jika Ezam memang termasuk dalam golongan tersebut, yang sesat dijalanNya, yang bakal terikut sama adalah orang-orang yang mengikutnya. Wajarkah saya menulis perkataan yang menggambarkan situasi ini, SESAT DAN MENYESATKAN. Saya akan menangis jika ini benar!

Sesungguhnya, keluar dari keadaan ini, keluar dari keadaan sesat dan menyesatkan adalah KEMERDEKAAN YANG SEBENAR.

MERDEKA!!!



Bila BN Mencari Geruh Di Permatang Pauh

Oleh: Zukri Aksah

Geruh siapa lagi, kalau bukan geruh Anwar Ibrahim…:-)

Saya tulis ini ketika sedang menonton rancangan Analisis Awani saluran 501 Astro, sewaktu Saudara Anwar Ibrahim telah disahkan memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam “pilihanraya kecil paling ganas” (hahaha… entah berapa orang mati tertikam tiang bendera atau terjerut tali poster), dengan majoriti 15,671 undi.

Saya kata BN sengaja mencari geruh Anwar kerana Permatang Pauh sudah terbukti kubu kebal beliau, tujuh penggal (termasuk ketika diganti sekejap oleh Dr. Wan Azizah) beliau menjadi Ahli Parlimen di situ membuktikan segala-galanya. Kenapalah tidak ada pimpinan BN yang ingin mendengar nasihat Anuar Musa.

Banyak analisis yang diperkata dan diberikan dalam rancangan Analisis Awani ini, oleh ramai penganalisis politik “hebat,” mereka cuba mengandai dan merumuskan kemenangan besar Saudara Anwar Ibrahim dengan menggunapakai rujukan pola pengundian orang muda, pola pengundian pengundi bukan Melayu, kesesakan lalu-lintas, hujan, kempen defensif dan ofensif, kempen pasif dan proaktif serta sebagainya. Walaupun saya akui kesemua ini ada peranannya dalam Pilihanraya Kecil Permatang Pauh tetapi saya tidak boleh mengelak untuk kadang-kadang merasa bahawa mereka yang suka digelar sebagai penganalisis politik ini lebih gemar bercakap atas persepsi mereka sendiri, bukan persepsi rakyat!

Dalam banyak lontaran suara yang diperdengarkan, apa yang diperkatakan oleh Saudara Suhaimi Sulaiman sedikit menangkap, ceritanya tentang respon dari rakyat biasa di Permatang Pauh tentang kempen yang dijalankan telah dikiaskan sebagai “kalau kita masuk ke rumah orang, jangan cakap anak orang itu jahat” menghilangkan terus konsentrasi saya kepada rancangan Analisis Awani tersebut, sebaliknya memaksa saya untuk berfikir mencari lapis maknanya.

Takrifan lapis pertama mudah difahami, memberitahu kita bahawa orang Permatang Pauh tidak suka orang luar datang dan bercerita bukan-bukan pasal Anwar. Takrifan lapis kedua pula menggambarkan bahawa struktur ayat itu bernada marah, sepertinya orang Permatang Pauh sudah muak dengan drama liwat Anwar; liwat Sukma, liwat Azizan, liwat tilam, liwat Saiful dan yang terakhir sumpah liwat!

Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah takrifan lapis ketiga. Betapa orang Permatang Pauh bukanlah dungu, bengap, jumud dan mandom. Mereka tidak perlu terlalu dimomokkan dengan isu liwat Anwar, mereka jadi rimas! Ibubapa manapun, walaupun sedar akan kejahatan anaknya, tetap akan membela anaknya di depan orang lain. Melainkan jika orang lain itu berjaya membuktikan anak dia ini memang jahat, maka siaplah anaknya itu, di depan orang lain itu juga anak ini akan disebat dan dihukum.

Soalnya, mengapa Permatang Pauh tidak “menyebat” dan menghukum anaknya, Saudara Anwar Ibrahim? Walhal BN dan pihak-pihak yang berkaitan sudah melakukan segalanya bagi membuktikan kejahatan Anwar, Anwar ini kaki liwat! Apakah setelah banyak kali sangat Saudara Anwar dituduh dengan tuduhan yang sama, orang biasa di Permatang Pauh tidak mula merasa was-was dan ragu-ragu? Mereka orang biasa, saya juga orang biasa, kadang-kadang terdetik juga, tetapi…

Masalahnya, BN dan pihak-pihak lain ini, setiap kali mencuba mahu membuktikan perilaku jahat Anwar yang kaki liwat ini, setiap kali itulah juga akan ada kepelikan berlaku, seolah-olah wujudnya perancangan, dan kepelikan ini menjadi “bahagian yang gagal” dalam perancangan tersebut. Contoh mudahnya, Saiful yang menuduh Saudara Anwar meliwatnya itu bekerja di pejabat Anwar, peliknya dia adalah bekas pemimpin mahasiswa pro-aspirasi yang kenal baik dengan pegawai khas Najib Tun Razak, bahkan pernah berjumpa Najib. Saya boleh terima kalau kata Najib perjumpaan itu kerana Saiful ingin memohon biasiswa, Saiful mungkin merasa lebih berpeluang mendapat biasiswa jika dia terus berjumpa Najib, apatah lagi sandaran hubungan baiknya dengan pegawai khas beliau. Namun begitu wujud lagi satu kepelikan, mengikut rekod pengajian universiti Saiful yang didedahkannya sendiri, dia telah gagal tiga semester! Lulus bersyarat pun hanya dibenarkan untuk dua semester. Sepengalaman saya sebagai bekas pelajar universiti, jika anda mendapat CGPA seperti Saiful, anda bukan “berhenti dari pengajian” seperti didakwa Saiful, tetapi lebih tepat anda diberhentikan, atau lebih jahat bahasanya dibuang dan ditendang dari universiti. Jadi, dengan rekod sebegini, bagaimana Najib boleh bersedia berbincang dengan Saiful berkaitan biasiswa?

Kepelikan berlaku terus… Oleh kerana kredibiliti akademiknya mula dipersoalkan yang memungkinkan tuduhannya tidak akan dipercayai, Saiful mengambil pendekatan yang lebih berani dan ekstrim. Kali ini dia ke masjid Wilayah Persekutuan, sehari sebelum penamaan calon Pilihanraya Kecil Permatang Pauh, bersumpah laknat di hadapan ayahnya, Pengarah JAWI, salah seorang imam masjid, Ustaz Ramlang Porigi dan beberapa orang lain lagi. Tidak banyak yang pelik tentang majlis itu melainkan tindakan Saiful memegang Al-Quran (dan memegangnya dengan tangan kiri pula) ketika melafazkan sumpah jelas bukan sebahagian dari yang diajar Islam.

Kepelikan majlis ini muncul bila imam yang hadir sama iaitu Ustaz Ramlang Porigi tiba-tiba membuat kenyataan bahawa dia telah diarahkan untuk turut sama berada dalam majlis Saiful itu. Yelah, anda boleh bersumpah di mana-mana dan tidak perlukan saksipun, tetapi bila anda ke masjid yang punya sembilan orang imam, mendakwa jujur mahu bersumpah laknat, dan tidak ada seorang imampun dari sembilan orang itu yang mahu berada dalam majlis sumpah anda, tentulah ada sesuatu yang tidak kena dengan anda di kacamata imam-imam tersebut. Siapa yang mengarahkan Ustaz Ramlang Porigi?

Saya melihat upaya Anwar untuk memintas kepelikan-kepelikan ini, maksudnya Anwar akan melakukan sesuatu sebelum suatu kepelikan berlaku. Anwar perlu masuk Parlimen secepat mungkin kerana kesnya akan dibicarakan pertengahan September ini, mungkin banyak lagi kepelikan akan berlaku. Apakah ini sememangnya petunjuk dari Tuhan, cuba memberitahu bahawa ada perancangan besar sedang dilakukan terhadap Saudara Anwar, dan kepelikan-kepelikan ini, seperti yang saya katakan sebelum ini adalah “bahagian yang gagal” dalam perancangan tersebut. Atau sekadar Anwar ini sememangnya manusia yang hebat, sehingga geruhnya tidak langsung boleh dicari, apalagi di kawasannya di Permatang Pauh.



20 Ogos 2008

Politik Persen (%)



Mungkin apa yang ingin saya ulas ini tidak begitu glamour memandangkan perbahasan mutakhir ini walau di ceruk mana sekalipun lebih banyak berkisar soal Pilihanraya Kecil Permatang Pauh dan isu liwat Anwar Ibrahim v2.0.

Saya tertarik dengan kekecohan yang ditimbulkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor, berkait dengan cadangan penerimaan 10% pelajar bukan Bumiputera dan pelajar asing ke Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya sebenarnya pernah bertemu dengan Tan Sri Khalid ketika beliau masih bergelar CEO Kumpulan Guthrie Berhad bersama dengan Sharmeen Jalil, adik-beradik Dato’ Shahrizat Jalil, yang menjadi PA (Pembantu Khas) Tan Sri Khalid, sewaktu saya masih menginap di Kolej Guthrie, Universiti Utara Malaysia.


Saya tidak berhajat, tidak berniat dan tidak berminat lagi untuk mengkritik Parti Keadilan Rakyat tetapi masalahnya saya tidak boleh bersetuju dengan Tan Sri Khalid dalam soal ini. Masalahnya juga saya turut tidak berkenan dengan respon-respon yang terbit akibat dari kenyataan Tan Sri Khalid ini, sama ada dari pimpinan Umno, peneraju UiTM Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah, para pelajar UiTM sendiri, juga dari pihak-pihak bebas seperti Ibrahim Ali, kerana mereka semua jelas hipokrit!

Saya cukup konsisten dalam hal ini. Politik persen (%) ini, berapa persen kita berapa persen dia, dalam isu pendidikan, yang cuba menyeret nasib anak bangsa dalam kancah peperangan laba politik, bukanlah sesuatu yang baru. Saya telah menulisnya selepas Pilihanraya Umum 1999, selepas PAS berjaya mengambil-alih Negeri Terengganu, bilamana dua buah MRSM - Yayasan Terengganu ditutup kerana kemenangan PAS itu, dalam waktu yang sama 10% pelajar bukan Melayu dan Bumiputera mula diterima masuk ke MRSM, apa yang saya simpulkan ketika itu boleh dibaca di sini, tulisan saya itu juga telah dipetik oleh laman portal berita Agendadaily.com.
Saya menulis ketika itu atas kapasiti saya sebagai bekas pelajar MRSM. Tidak adapun masa itu Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA ataupun pengetua-pengetua MRSM, yang membantah mainan politik persen ini menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Tidak ada juga masa itu ANSARA (Persatuan Bekas Pelajar MRSM) yang diterajui Mukhriz Mahathir turun berarak ke jalanraya membantah kemasukan 10% pelajar bukan Melayu dan Bumiputera ke MRSM ini. Sedangkan beza di antara isu MRSM dan UiTM ini sangat besar, MRSM dahulu sudah di peringkat perlaksanaan, sedangkan UiTM ini hanyalah satu cadangan sahaja.

Saya tidak boleh bersetuju dengan cadangan Tan Sri Khalid atas premis yang sangat mudah. Meskipun ada rasionalnya, namun untuk mengatakan yang orang Melayu dan Bumiputera bila dikumpulkan sesama mereka sahaja dalam sebuah institusi pendidikan akan menjadikan mereka kurang kompetitif dan buta globalisasi, itu bagi saya adalah satu generalisasi yang gopoh dan tidak cermat. Ini kerana kebanyakan pemimpin Melayu dalam negara ini “dikilangkan” oleh sebuah institusi Melayu, khas untuk orang Melayu dan bernama Melayu, itulah Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tan Sri Khalid pun tentu maklum yang Saudara Anwar Ibrahim juga lahir dari institusi ini. Betullah bukan semua membesar menjadi Anwar Ibrahim, tetapi sudah pasti ada yang menjadi Hishamuddin Tun Hussin, ada yang menjadi Hishamuddin Rais, ada yang menjadi Dr. Hatta Ramli, mereka semua adalah pemimpin dalam kelompok masing-masing, apakah mereka tidak kompetitif dan buta globalisasi?

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, termasuklah bidang pendidikan. Saya bukan seorang chauvinist Melayu, saya mendokong citra Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan budaya, jauh sekali untuk saya punya rasa prejudis terhadap kaum-kaum lain di Malaysia. Tetapi dalam masa yang sama saya mempertahankan klausa ini, apa salahnya? Saya yakin semua rakyat Malaysia, dari semua kaum dan agama memperakui bahawa Malaysia hari ini lahir dari kerangka-kerangka politik kenegaraan lama seperti Kerajaan Melayu Melaka, Kerajaan Melayu Johor, Kerajaan Melayu Pahang, Kerajaan Melayu Kedah, Kerajaan Melayu Perak, Kerajaan Melayu Kelantan, juga Kerajaan Melayu Terengganu. Ahli-ahli sejarah Malaysia, tidak kiralah dari mana-mana kaum sekalipun pasti bersetuju bahawa gerakan politik dan nasionalisma di negara ini bermula dengan dokongan orang Melayu, dari bersifat sebagai persatuan-persatuan bahasa, kemudiannya kepada persatuan-persatuan Melayu negeri, kepada kewujudan Kesatuan Melayu Muda, kronologi panjang ini sudah wujud lama sebelum PUTERA-AMCJA, sebelum Fron Sosialis, juga sebelum Perikatan. Atas asas inilah saya percaya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah wajar dan perlu. Lebih dari itu, asas Melayu yang begitu kuat dalam sejarah pembinaan negara ini adalah bukti bahawa sedikit keistimewaan untuk orang Melayu dan Bumiputera adalah HAK, bukan pemberian ihsan yang boleh diperbincang untuk dikekal atau ditarik balik.

Berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan ini, maka instruktur-infrastruktur pendidikan Melayu dibangunkan, ianya rancak dalam tempoh awal perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah tersilap bila mengatakan UiTM ditubuhkan berdasarkan Perkara 153 tersebut, ini kerana bukan hanya UiTM tertubuh kerananya, banyak infrastruktur pendidikan lain yang dibangunkan, antaranya termasuklah program-program matrikulasi, sekolah-sekolah berasrama penuh, juga Maktab-Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Soalnya, jika Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah benar-benar sayangkan bangsanya, benar-benar mahu mempertahankan Perkara 153, kenapa hari ini hanya berani bersuara? Kenapa tidak mengkritik ketika MRSM mula dibuka kepada bukan Melayu dan Bumiputera dahulu? Inilah yang saya katakan hipokrit.

Menyusuri latar belakang keluarganya, saya tidak pelik dengan sifat “ddebe” dan “nok ggocoh” Datuk Paduka Ibrahim Ali, tetapi orang kata biarlah bertempat. Sebagai Ahli Parlimen bebas, Ibrahim Ali mengatakan beliau akan menyokong siapa sahaja dan beliau akan mengkritik siapa sahaja, demi kepentingan Melayu dan Islam. Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi mangsanya, alasan Ibrahim Ali mudah, UiTM begitu sentimental dengannya kerana beliau bekas pelajar UiTM (ITM), bekas Setiausaha Agung dan Presiden KSITM. Saya suka untuk memakai frasa pertamanya, bahawa beliau boleh bersetuju dengan siapa sahaja, boleh menentang siapa sahaja, demi kepentingan Melayu dan Islam. Nyata beliau juga, seperti Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah, tertinggal MRSM dalam agendanya (atau masing-masing buat-buat lupa). Tidak lebih dan tidak kurang, Datuk Paduka Ibrahim Ali dan Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah sama-sama hipokrit, lebihnya Ibrahim Ali, beliau sedang mencari laba politik.

Saya rasa tak perlulah saya huraikan bagaimana cerianya pelajar-pelajar UiTM dipergunakan untuk berdemonstrasi tanpa polis dan FRU, bukankah AUKU melarang pelajar menyertai kegiatan haram, dan bukankah perarakan itu haram di sisi Seksyen 27 Akta Polis? Kenapa Dato’ Seri Profesor Dr. Ibrahim Abu Shah tidak mencadangkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar UiTM supaya membuat kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Selangor? Atau beliau juga sedang kemaruk populariti dan bercita-cita besar untuk terjun ke kancah politik?

Tentang komen-komen dari pimpinan Umno berkait dengan “baru cadangan” Tan Sri Khalid ini tidak perlulah saya ambil kira sangat. Tanya mereka dahulu apa bezanya di antara MRSM dan UiTM di sisi Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Anda semua harus tahu bahawa sekarang tanah rezab Melayu sudah ada harga di “pasaran bebas.” Siapa yang meletak harganya? Anda perlu tanya Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Kesimpulan saya dalam hal ini sama seperti dahulu juga. Sama ada di MRSM, di UiTM, di sekolah-sekolah berasrama penuh, atau di pusat-pusat matrikulasi, mereka adalah adik-adik kita, anak-anak kita, anak-anak bangsa Melayu dan Bumiputera, dan mereka sekarang sedang menjadi buah catur permainan “berapa persen-berapa persen” oleh ahli-ahli politik kita. Sakit hati, dendam dan perbalahan politik kita memungkinkan kita membunuh dan merencat generasi masa depan bangsa kita sendiri.

Sekali lagi, apapun yang ingin kita ubah, ingin yang kita reformasikan, mestilah hadir bersama tanggungjawab!!!

29 Julai 2008

Muqabalah @ Muzakarah: Kenapa PAS Sahaja Yang Terlarang?

Oleh: Zukri Aksah

Tidakkah semua itu namanya muqabalah, tidakkah sebahagiannya melibatkan muzakarah? Walaupun ada dari insiden di atas yang terus kelam sampai sekarang, nampaknya sama ada Saudara Anwar, Wan Azizah mahupun Saifuddin Nasution tetap terus teguh dan kekal bersama Parti Keadilan Rakyat khususnya dan Pakatan Rakyat amnya.


Lama dahulu sebelum Saudara Anwar bebas, Wan Azizah ada bertemu Pak Lah, Saifuddin Nasution juga ada bertemu Pak Lah, selain dari yang dinyatakan kepada umum bahawa pertemuan itu pada ketika itu adalah untuk memohon jasa baik Pak Lah bagi membenarkan Saudara Anwar ke luar negara berubat, buah-butir yang selebihnya tidak pernah diketahui penyokong terbanyak, dengar ceritanya Wan Azizah memanggil Pak Lah dengan panggilan ‘Uncle.’ Saudara Anwar juga selepas bebas ada berjumpa Pak Lah ketika rumah terbuka Hari Rayanya, selain kenyataan umum bahawa pertemuan itu semata-mata adalah untuk merakamkan ucapan terima kasih Saudara Anwar kepada Pak Lah kerana tidak mencampuri urusan penghakiman kesnya, yang lain-lainnya juga tidak pernah diketahui oleh penyokong terbanyak. Kita juga tidak pernah lupa bahawa Saudara Khairy Jamaluddin ada bertemu Saudara Anwar selepas bebasnya, selain alasan menguruskan passport, perbincangan lain antara mereka tidak pernah pula cuba dikorek oleh orang-ramai.

Tidakkah semua itu namanya muqabalah, tidakkah sebahagiannya melibatkan muzakarah? Walaupun ada dari insiden di atas yang terus kelam sampai sekarang, nampaknya sama ada Saudara Anwar, Wan Azizah mahupun Saifuddin Nasution tetap terus teguh dan kekal bersama Parti Keadilan Rakyat khususnya dan Pakatan Rakyat amnya.

Tetapi mengapa ia harus menjadi dilema, mencetuskan polemik bilamana muqabalah atau muzakarah sebegini, iaitu pertemuan dengan Pak Lah selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno, melibatkan pimpinan PAS? Meyakini seratus peratus tindakan Saudara Anwar, Wan Azizah dan Saifuddin Nasution tetapi mempersoalkan pula tindakan beberapa pimpinan PAS, samalah seperti kita mengatakan kita yakin akan kekuatan jiwa dan pendirian Saudara Anwar, Wan Azizah serta Saifuddin Nasution tetapi ragui kekuatan jiwa dan pendirian pimpinan PAS, kita letakkan jiwa pimpinan PAS di tahap lemah dan lembik, kita andaikan pendirian pimpinan PAS adalah rapuh dan mudah disogok. Betapa berdosanya kita jika ini tersebar menjadi fitnah, apatah lagi mereka ini adalah pimpinan jemaah Islam.

Ya, saya tahu wujud beberapa asas terhadap dilema dan polemik ini. Pertamanya adalah kerana kesilapan lampau yang dibimbangi terulang, kedua kerana ini berlaku pasca 8 Mac 2008, selepas runtuhnya kerajaan Umno dan BN di lima buah negeri, hilangnya kerusi-kerusi strategik Umno dan BN di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hilangnya dua pertiga majoriti BN di Parlimen, PAS dibimbangi akan dipujuk lagi oleh BN untuk memasuki BN bagi memperkuatkan kembali BN, selepas BN kembali kuat, PAS akan ditendang seperti sampah…

Soalnya kenapa itu yang tergambar di kepala kita bila pimpinan PAS berjumpa Pak Lah? Gambaran PAS akan masuk BN, PAS kena tipu dek Umno, PAS dipermainkan Umno dan sebagainya… Benar, pihak Umno seperti yang diakui Khir Toyo telah menawarkan apa yang dibimbangi itu, PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan menubuhkan kerajaan Negeri Selangor bersama Umno, tetapi itu politik Umno, biarlah dia dengan caranya, tiada apa-apa yang luak pun. Apakah kita ada terdengar PAS hadir dalam muqabalah atau muzakarah itu dengan membawa agenda yang sama? Menawarkan diri untuk membubarkan Pakatan Rakyat dan bercium mulut dengan Umno? Tidak ada bukan! Yang terbukti, sekolah agama rakyat di Kelantan akan mendapat bantuan kerajaan persekutuan, akhbar Harakah mendapat kembali permit dua kali seminggunya, tinggal lagi masalah tahanan ISA yang belum dapat diselesaikan. Jelas bahawa pimpinan PAS hari mempunyai kebijakan politik yang tinggi, sebab ada sesetengah tuntutan perjuangan yang boleh diselesaikan di meja rundingan, bukan di jalanraya atau dalam pilihanraya!

Sejarah perjuangan Islam yang panjang membuktikan bahawa muqabalah atau muzakarah dengan pihak lawan boleh diadakan selagi ia boleh memberi manfaat kepada Islam dan ummah sama ada secara tersirat atau tersurat, sama ada untuk jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah sudah sering diceritakan orang, kaedah dakwah Assyeikh Syahid Al Imam Hassan Al-Banna juga penting untuk dijadikan rujukan dalam situasi sebegini, bagaimana beliau masuk ke kelab malam untuk berdakwah, sehingga akhirnya kelab malam itu bertukar menjadi sebuah surau! Kalau berjumpa pemilik kelab malampun boleh membuahkan hasil dalam dakwah, maka bukanlah sesuatu yang terlarang untuk PAS berjumpa dengan pimpinan Umno.

Kepada sahabat-sahabat ahli PAS sekalian, kita sudah berbai’ah dengan PAS, maka eloklah kita menuruti rukun bai’ah sepertimana yang juga diperturunkan oleh Assyeikh Syahid Al Imam Hassan Al-Banna lewat Risalah Ta’limnya, iaitu Faham, Ikhlas, Amal, Jihad, Berkorban (Tadhiyah), Taat, Thabat, Tajarrud, Bersaudara (Ukhuwwah) dan Thiqah.

Oh ya, ada pesanan untuk Saudara Karpal Singh, seeloknya saudara menekuni terlebih dahulu lapis ayat Bahasa Melayu sebelum mengkritik apa yang diperkatakan oleh Tuan Guru Nik Aziz, nanti kalau ada orang kata saudara tak faham bahasa saudara marah.

15 Julai 2008

Surat Jemputan: Majlis Penerimaan Rasmi Zukri Aksah Sebagai Ahli PAS & Ceramah Umum

Majlis Penerimaan Rasmi Zukri Aksah Sebagai Ahli PAS & Ceramah Umum

Satu majlis khas berserta ceramah umum akan diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Pahang sempena meraikan kemasukan Saudara Zukri Aksah, bekas Ahli Lembaga Pengarah GERAK Malaysia dan bekas Exco Angkatan Muda Keadilan Malaysia ke dalam PAS. YB Haji Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS akan menerima secara rasmi kemasukan Saudara Zukri Aksah bagi pihak PAS.

Maklumat lengkap tentang majlis tersebut adalah seperti di bawah:


Tarikh

27 Julai 2008

Masa

9.00 malam

Tempat

Dataran Masjid Lama Jengka, Pahang

Penceramah

1. YB Haji Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS

2. Ustaz Haji Nasruddin Haji Hassan Al Tantawi, Timb. Ketua Dewan Pemuda PAS

3. Saudara Zukri Aksah

Semua dijemput hadir.

25 Jun 2008

Mengubah Wadah, Memperkemas Fikrah, Berjuang Terus… Insyaallah

Oleh: Zukri Aksah

Ustaz Suhaimi membawa sekali borang keahlian PAS, saya telah mengisi dan membayar yurannya sekali, cuma tarikhnya belum diisi. Satu majlis penyerahan borang berserta ceramah umum akan dibuat.


Hari ini lebih kurang jam 2 petang baru saya berkesempatan masuk ke pejabat saya. Sebelah pagi selepas selesai meneman isteri membereskan urusannya, saya berhenti minum sebentar di kedai dan selepas itu terus memandu ke Jalan Beserah, ke Akademi Arrasyidin, tempat di mana saya berjanji untuk bertemu dengan Ustaz Haji Nasruddin Haji Hassan At Tantawi, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan Ustaz Suhaimi Md Saat, Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang.

Janjinya jam 11 pagi, saya sampai agak awal, kurang lebih 10.35 pagi, memikirkan tiada apa lagi yang nak dibuat, saya terus naik ke pejabat akademi, memberitahu staff di situ tentang perjumpaan tersebut dan mengambil peluang berehat serta menunggu di ruang tamu.

Hampir tepat jam 11 pagi, Ustaz Nasruddin muncul, sementara menunggu kehadiran Ustaz Suhaimi, Ustaz Nasruddin pun memula bicara. Secara ringkas Ustaz Nasruddin menerangkan situasi semasa dalam PAS, tidak sukar untuk saya hadhamkan cerita beliau kerana selama sembilan tahun di dalam PKR dulu saya memang sangat rapat dengan PAS, terutama dengan kepimpinan bahagian Indera Mahkota. Tiada masalah untuk saya memahami struktur demokrafik dalaman PAS.

Dalam rancak berbicara itu, Ustaz Suhaimi pun sampai, jadi makin rancaklah sesi kami. Sedikit sebanyak perbualan juga menyentuh soal semasa terutama berkait dengan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, juga cerita-cerita Ezam dan sudah tentulah Anwar Ibrahim. Sesuai dengan nama perjumpaan tertutup, maka sudah pastilah bukan semua perlu dibuka si sini bukan!:-)

Turut diperjelaskan oleh Ustaz Nasruddin adalah tentang asas dalam PAS iaitu fikrah, akidah dan siyasah. Yang kelakarnya kerana saya berbicara dengan dua orang ustaz, mereka ber”ana” dan “anta” sedangkan saya (oleh kerana lama menetap di Pahang) lebih selesa untuk ber”kawan” dan “awak” (tetapi dalam kes ini saya membahasakan mereka dengan panggilan “ustaz” bukan “awak”).

Sesetengah orang mungkin merasa kekok untuk berada dalam situasi sebegini, apalagi bila sesekali saya dipanggil Akhi Zukri. Tetapi saya selalu yakin bahawa bukan semua yang berada dalam kepimpinan Hamas, kepimpinan Revolusi Islam Iran dan organisasi yang seumpamanya adalah Ustaz atau Mu’alim, jadi saya juga mahu menjadi “yang bukan Ustaz, yang bukan Mu’alim” yang kelak boleh berdiri di deretan kepimpinan PAS, insyaallah! Yang penting bagi saya, jangan saya ketinggalan dalam melanggan saham perjuangan ini.

Awal lagi saya sudah memberitahu Ustaz Nasruddin yang saya sudah makan sebelum ke pejabat beliau (makan pagi nasi lemak berlauk ikan “aya” bersama isteri), tetapi sunnah meraikan tetamu tetap beliau laksanakan, tanpa saya sedar beliau telah memesan roti canai dan teh ais dari restoran di tingkat bawah. Maka makanlah saya sekali lagi sambil meneruskan perbualan.

Ustaz Suhaimi membawa sekali borang keahlian PAS, saya telah mengisi dan membayar yurannya sekali, cuma tarikhnya belum diisi. Rupanya Ustaz Nasruddin telah terlebih dahulu berbincang dengan Jawatankuasa Harian, Dewan Pemuda PAS Pahang berkait dengan soal ini. Satu majlis penyerahan borang berserta ceramah umum akan dibuat. Tarikh yang dicadang ialah di sekitar akhir Julai ini, iaitu sekembalinya Ustaz Nasruddin dari mengerjakan umrah. Salah seorang pemimpin PAS Pusat akan dijemput untuk turut hadir berceramah dan menerima borang tersebut bagi pihak parti. Saya sangat berbesar hati dan terharu dengan perancangan mereka ini untuk diri saya, siapalah saya, seorang manusia kecil yang belum cukup pengalaman menempuh mehnah perjuangan, moga Allah memberkati mereka dan membesarkan jiwa saya.

Sedar tak sedar, asyik sungguh berbalas idea dan melontar bicara, jam sudahpun melewati satu tengahari, saya terpaksa meminta permisi daripada mereka.

Dalam kereta memandu ke pejabat saya di tengah bandar Kuantan, saya tersenyum sendiri. Akhir Julai ini rasmilah saya menjadi ahli PAS, Allah telah menunjukkan jalan saya di sini selepas hampir setahun saya berada di luar parti politik, setelah banyak berbincang dan meminta pendapat daripada sahabat-sahabat sama ada yang masih berada di dalam PKR, aktivis-aktivis GERAK, sahabat-sahabat di dalam Umno, juga sudah tentu sahabat-sahabat saya di dalam PAS. Menunggu ke tarikh tersebut, saya mohon sungguh-sungguh agar diri saya diperteguhkan. Kepada sahabat-sahabat di dalam PAS, terimalah saya sebagai rakan, saudara dan keluarga anda.

Berjuang terus!!!

27 Mac 2008

Isu MB Terengganu: Mengenal Demokrat Tulen?

Oleh Zukri Aksah (http://zukriaksah.com/)

eseiPercayalah bahawa keputusan pilihanraya umum baru-baru ini akan terus menjadi topik penting dalam perbualan rakyat Malaysia sepanjang tahun ini, sama ada dari segi kejadian mahupun kesannya. Ia bukan hanya mengejutkan ahli-ahli politik, sama ada daripada Barisan Nasional atau Barisan Rakyat, tetapi juga kumpulan-kumpulan lain yang turut ada kepentingan, termasuklah pihak istana.

Ini prinsip saya, sama ada orang lain bersetuju atau tidak, itu soal lain. Yang pastinya negara kita berdiri di atas dua semangat, semangat demokrasi berparlimen dan Raja berperlembagaan. Raja memang ada kuasanya, tetapi mestilah tertakluk kepada perlembagaan, dan perlembagaan negara kita pula terbina di atas kerangka demokrasi. Maka apa sahaja keputusan yang dibuat oleh Raja sebagai ketua negeri untuk negeri-negeri yang bersultan dan oleh Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara, ia haruslah pula menghormati perlembagaan yang demokratik itu.

Jelas kelihatan bahawa Raja-Raja kita kembali membuka buku Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing akibat senario politik yang berubah secara mendadak selepas pilihanraya umum baru-baru ini, khususnya dalam hal bidang kuasa dan bagaimana mereka akan berperanan secara lebih berkesan. Ini nyata terserlah berlaku di negeri-negeri Perak, Selangor, Perlis dan Terengganu.

Sementara proses pembentukan kerajaan negeri di Perak dan Selangor akhirnya selesai selepas melalui proses perbincangan yang panjang di antara pemimpin politik dan Raja-Raja di negeri tersebut (maklumlah ini pertama kali Barisan Rakyat mengambil-alih kuasa), Perlis dan Terengganu pula menyaksikan Umno dan Barisan Nasional seperti menghadapi masalah yang besar dalam menghadapi Raja di negeri masing-masing. Ini sebahagiannya mungkin kerana trauma yang dihadapi Umno dan Barisan Nasional selepas terpukul teruk dalam pilihanraya umum baru-baru ini. Ikatan dan hubungan sama ada dengan Raja atau sesama mereka sendiri yang telah dibina berpuluh tahun nampaknya bertukar menjadi retak dan rapuh. Buat pertama kalinya, pimpinan Umno dan Barisan Nasional yang terkenal dengan feudalismenya yang tinggi, hari ini secara terbuka telah menyanggah ajaran Demang Lebar Daun.

Setelah berhempas-pulas, kemelut di Perlis selesai jua, itupun ada harga tinggi yang terpaksa dibayar oleh Umno dan Barisan Nasional, dua orang bekas menteri kabinet dan pimpinan kanan Umno yang berasal dari Perlis, Radzi Sheikh Ahmad dan Azmi Khaled telah bertindak meletak jawatan serta-merta.

Malangnya Terengganu, malang lagi Idris Jusoh! Besar benar gamaknya dosa Idris pada Sultan. Sehingga artikel ini ditulis, belum ada kata putus yang jelas mengenai penyelesaian isu di Terengganu, walaupun sudah ada desas-desus yang mengatakan Pak Lah sebagai pemimpin tertinggi Umno dan Barisan Nasional terpaksa akur dengan kehendak Tuanku Mizan, juga kedengaran gosip panas tentang penarikan balik gelaran Dato’ dari tiga orang pimpinan kanan Umno dan Barisan Nasional Terengganu, Idris Jusoh sendiri, Rosol Wahid serta Din Adam.

Saya tetap dengan prinsip bahawa negara kita adalah negara demokrasi, maka demokrasi harus diangkat walau dalam keadaan krisis sebegini. Hubungan kerajaan negeri dengan Rajanya, hubungan Menteri Besar dengan Rajanya dalam konteks demokrasi adalah profesional dan formal, pertelingkahan peribadi antara sesiapapun, waima antara Menteri Besar dengan Rajanya sendiri tidak patut mengganggu-gugat perjalanan demokrasi dalam mana-mana negeri di persekutuan Malaysia ini.

Mengambil insiden di Terengganu, saya akui bahawa Raja, atau Pemangku Raja diwaktu ketiadaan Raja atau Majlis Penasihat Pemangku Raja dalam keadaan Pemangku Raja belum cukup umurnya, mempunyai kuasa untuk melantik Menteri Besar di negerinya. Tetapi untuk negara yang terbina atas kerangka demokrasi, maka kuasa ini juga harus dilihat dengan semangat demokrasi, iaitu kuasa itu setakat untuk melantik Menteri Besar, bukan kuasa untuk memilih siapa yang patut dilantik sebagai Menteri Besar. Sefaham saya, bagi tidak melanggar sifat demokratik perlembagaan negara kita, kuasa Raja/Pemangku Raja/Majlis Penasihat Pemangku Raja ini dalam melantik Menteri Besar Terengganu tidaklah sehingga menafikan suara rakyat negeri tersebut yang terus berkehendakkan Idris Jusoh dan Umno serta Barisan Nasional Terengganu memimpin mereka, yang telah dizahirkan melalui proses terpenting demokrasi, pilihanraya!

Dalam hal ini, proses demokrasi telah dua kali berlaku di Terengganu, pertama ketika pilihanraya umum, yang mana di sebalik tsunami politik yang membadai negara, rakyat Terengganu terus nekad memilih Umno dan Barisan Nasional di bawah pimpinan Idris Jusoh untuk memerintah negeri tersebut. Kali kedua, selepas menang, hampir kesemua wakil-wakil rakyat Umno dan Barisan Nasional di Terengganu seia-sekata dan sanggup berdiri teguh di belakang Idris Jusoh dalam mempertahankan beliau untuk terus menerajui Negeri Terengganu. Bukan senang untuk kita melihat pimpinan-pimpinan Umno dan Barisan Nasional mengambil risiko sebegini, risiko kehilangan kesemuanya, semua yang sering disabitkan dengan mereka, projek, kontrak, komisyen, wang ehsan, kemewahan, kedudukan, juga kekuasaan! Semua pihak harus mengendurkan emosi, hormatilah proses demokrasi yang sudah berjalan, sama ada segelintir pihak dari dalam Umno dan Barisan Nasional sendiri yang bencikan Idris Jusoh, pihak lawan Umno dan Barisan Nasional iaitu sahabat pimpinan Barisan Rakyat, juga pihak istana sendiri.

Sebenarnya, sebagai orang yang berasal dari Terengganu, situasi yang berlaku sekarang adalah pelik dan boleh menjadi kes klasik. Jauh dari mahu bersifat kesukuan, jarang berlaku di Terengganu, orang Besut seperti Idris Jusoh diterima dengan sebegitu rupa dan sebulat suara untuk memimpin negeri Cik Mek Molek ini. Selamanya orang Terengganu menganggap orang Besut berdarah Kelantan, dan Besut itu sendiri adalah bukan daerah asal Terengganu, tetapi merupakan daerah jajahan yang ditakluk oleh Terengganu dalam perang Terengganu-Kelantan yang lebih terkenal dengan nama Perang Dayung Sembilan.

Kita tinggalkan bab sejarah itu dan kembali ke isu pokok. Saya tertunggu-tertunggu suara demokrat tulen dari parti yang pernah saya anggotai, juga dari pimpinan Barisan Rakyat secara keseluruhannya (saya faham jika pimpinan DAP tidak akan membuat pendirian dalam hal ini).

Bukankah dulu pimpinan Barisan Rakyat inilah yang mahu merajai demokrasi, mempelopori Malaysia Baru, mengembalikan kuasa rakyat? Bukankah pimpinan Barisan Rakyat ini juga yang sering mengutuk Suruhanjaya Pilihanraya kerana tidak demokratik, bersikap berat-sebelah, mengkritik Polis DiRaja Malaysia kerana tidak menghormati demokrasi dan jelas berpihak, menentang sekeras-sekerasnya Barisan Nasional kerana merosakkan sistem demokrasi dengan memperkudakan begitu banyak instrumen kerajaan? Hari ini pertelingkahan istana Terengganu dengan Umno dan Barisan Nasional Terengganu sedang merosakkan tiang-tiang demokrasi. Apa tindakan pimpinan Barisan Rakyat? Setakat ini saya hanya membaca kenyataan lembut dan penuh berhati-hati dari Dr. Syed Husin Ali.

Ini soal prinsip, bukan lagi soal kiblat politik. Kalau kita kata kita mendokong demokrasi, kita mesti dokonginya di mana sahaja dokongan itu diperlukan. Kenapa? Apakah kerana pimpinan Barisan Rakyat melihat yang terkena itu adalah pimpinan Barisan Nasional, lawan politik mereka, maka tidak perlulah untuk membuat apa-apa pendirian, walaupun ia berkait langsung dengan demokrasi rakyat yang diperjuangkan? Atau sudah adakah kalangan pimpinan Barisan Rakyat yang juling mata melihat kekeruhan ini sebagai peluang untuk menangguk sepuas-puasnya? Sekarang inilah mula mahu menjadi hamba-hamba rakyat yang paling setia kepada Rajanya? Mula mengulangi dogma-dogma berpatik itu wajib, Raja itu bayang Tuhan! Itukan ajaran Demang Lebar Daun yang berdosa ratusan tahun (padahal mata melirik ke arah Ahmad Said yang sudah lama terpalit rasuah, makin mudahlah nak hentam selepas ini, Anwar Ibrahim tahu kes rasuah Ahmad Said ini, Ezam pun tahu). Jadilah demokrat bermaruah, jangan kotori perjuangan suci dengan strategi-strategi yang salah, jangan sedang telunjuk kita lurus menuding ke arah orang lain, kelingking kita turut sama berkait. Kalaupun benar Barisan Nasional pernah berbuat onar terhadap Barisan Rakyat, bukanlah sesuatu yang baik untuk berniat membalas dendam, itu bukan sifat demokrat tulen. Pimpinan Umno dan Barisan Nasional Terengganu juga merupakan rakyat negara ini, dan sekarang hak mereka dalam sistem demokrasi sedang dinafikan, mereka sedang dilanda musibah, kenapa tiada pemimpin Barisan Rakyat yang bangkit membela, atas nama demokrasi! Seperti saya kata, mereka jugakan rakyat!

Kenapa isu "natang" diperbesar-besarkan? Tiada lain selain mahu membangkitkan lagi kemurkaan Sultan demi kepentingan pihak-pihak tertentu. Memang antara budaya tidak baik generasi agak berusia di Terengganu ialah apabila mereka marah, kata-kata caci-nista agak mudah terkeluar, termasuklah natang, pangang, berayok mok, setang dan lain-lain lagi. Tetapi saya ingin nasihatkan tidak perlulah pihak-pihak yang berkepentingan ini terlalu serius mengambil-kira emosi orang yang sedang marah. Bukankah Anwar Ibrahim sendiri ketika marahnya telah menganjingkan Rahim Nor, apa natijahnya? Che’gu Bard pula mengikuti political grandmasternya ini dengan menganjingkan seorang pegawai pilihanraya ketika pilihanraya umum yang lalu. Emosi marah banyak bercampur dengan pengaruh syaitan, kalau silap cara pembawakannya, semua boleh menjadi punah-ranah, pecah terbarai dan kacau bilau.

Ampunkanlah patik Tuanku, bukan niat untuk menderhaka kepada Raja sendiri, Cuma anggaplah patik ini Islam dan Tuanku juga Islam, nasihat patik adalah nasihat saudara seIslam. Biarlah demokrasi berjalan dengan caranya. Ini bukan lagi zaman kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka yang mana Raja itulah kerajaan. Carilah seramai mungkin kawan, kurangkanlah sesedikit mungkin musuh. Masa depan bukan kita boleh jangkakan, tetapi sejarah jatuhnya kegemilangan Kerajaan Melayu Melaka juga mendedahkan bahawa robeknya pertahanan empayar tersebut tidak lain kerana pengkhianatan pembesarnya sendiri, Tun Mendeliar, yang mungkin membelot bukan kerana tidak patriotik, tetapi bosan dengan gelagat Sultan Mahmud. Patik pun bukanlah ada ghairah untuk bersenda dan bermanja dengan Umno, cuma walaupun sudah tidak menganggotai mana-mana parti politik, patik masih ada jiwa besar untuk menjadi demokrat tulen.