16 April 2008

Provokasi lagi


Oleh Zulfikar Samsuri

editorial: nota zulfikarCis! Satu lagi provokasi dari barat.

Oops.. aku dah berjanji pada diri aku sendiri, aku tak mau termakan dengan provokasi.

Lagipun Geert Wilders seorang ahli politik yang kurang laku di Belanda, tidak, aku tidak akan termakan sekali lagi dengan provokasi.

Seperti kartun yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar di Denmark; yang menyiarkan gambaran kartun rasulullah. Semasa penyiaran kartun itu, aku menolak sifat ekstrem yang ditunjukkan oleh umat Islam. Setiap kali aku menonton Dunia Hari Ini, setiap kali juga aku akan mengeleng kepala.

Beristighfar.

Kali ini sekali lagi aku mengeleng-ngeleng. Beristighfar setiap kali menonton Dunia Hari Ini..

Dasyat sungguh penentangan umat Islam; di Pakistan, Indonesia dan satu dua lagi di negara di Timur Tengah. Apa yang buat perhimpunan sampai pecah cermin kereta, baker patung Geet Wilders dan pelbagai lagi aksi yang menentang Belanda.

Bukankah tindakan ganas hanya akan membenarkan apa yang digambarkan oleh Wilders di dalam doku-short-film, Fitna hasilan Wulders.

Bukankah Muhammad SAW di turunkan ke dunia untuk tujuan rahmat sekalian alam melalui contoh akhlaknya. Akhlaknya adalah akhlak damai yang bertunjangkan al-Quran.

Menurut Karen Armstrong, seorang pengarang yang terkenal dengan buku-buku hasil tulisannya yang bercorak agama: pengarang buku yang diharamkan di Malaysia, History of God, berkata di dalam artikelnya yang berjudul When God Went to War, “[a]khirnya, Muhammad telah membawa kedamaian ke wilayah yang bergolak dengan dasar beraninya menolak keganasan.”

Ya, itulah akhlak Rasulullah, membawa kedamaian dan menolak keganasan. Jika seluruh umat Islam dengan penuh amarah berhimpun menyatakan ketidak puasan hati, apa yang membawa kedamaiannya, apa yang menolak keganasannya.

Rasa-rasa lagi baik kalau kita (umat Islam) membuat satu filem pendek lagi kreatif untuk menjelaskan bahawa kita tidak seperti yang ada dalam filem Fitna.

Sementara itu, Jan Peter Balkenende, Perdana Menteri Belanda berkata:"Islam disamakan dengan keganasan, kami menentang tafsiran (filem) ini. Kebanyakan Muslim menolak ekstremisme dan keganasan dan sebaliknya mangsa adalah dari kalangan Muslim itu sendiri.”
Ah, PM Belanda pun dah cakap bahawa filem itu memaparkan sesuatu yang salah.

Aku ada tanya pada kawan aku tentang filem ini, tentang sama ada filem ini memprovokasi. Kawan aku yang satu ini menjawab, bahawa isu yang kecil ini cuba dibesar-besarkan.

Tah, betul cakap kawan aku, isu ini kecil dan cuba dibesarkan; baik pihak yang sebelah sana mahupun pihak yang sebelah sini. Bagi aku, kepentingan politik memainkan peranan di sini. Si pembuat filem Fitna cuba meraih kembali kuasa politik yang semakin pudar. Manakala pihak sebelah sini juga ada kepentingan politik yang cuba ditagih.

Politik

Tapi aku lega, akhirnya semua ini selesai. Namun penentangan, kebencian dan sikap prejudis tetap ada menjadi pakaian umat manusia. Dan selepas ini dunia akan menyaksikan pertembungan dua tamadun.

Buku terbaru Hishamuddin Rais

oleh: Zulhabri Supian

resensiTerhangat dan masih panas. Baru sampai di kantor (opis) gua. Buku bertajuk Keganasan, penipuan & Internet ini adalah kumpulan tulisan-tulisan Hishamuddin Rais a.k.a Isham yang pernah disiarkan di kolum Surat Tanpa Alamat dalam harian akhbar Oriental Daily berbahasa Mandrin. Dalam kumpulan ini juga termasuk tulisan kolum Dari Brickfield dalam Berita Keadilan dan Dari Jelebu, blog Isham di Malaysia Today.

Buku ini wajib dimiliki oleh pembaca2 dan peminat2 Isham yang taat setia.

Ulasan2 atas karya agung ini;

Setuju 1000% dengan Hisham. Dahlah si tua bangka tu memporakperandakan negara selama 22 tahun, kemudian diwariskannya pula negara ini kepada si lembik yang suka tidur, jahanamlah kita.

Pekanpahang -22.10.2005

Anyway, aku salute dengan persembahan Hisham dlm tari dan lenggok kritisnya yg terkadang buat kita berfikir sekali lagi walaupun keputusan telah kita buat sebelum ini.

Itulah kelebihan dia

Dan dia sering berselindung di sebalik kelebihan itu

Sadin Marina 1 Februari 2006

Menarik sekali cerita Hisham ini, sungguh kagum dengan sentence ‘…. Ditengah kehebatan pop yeah yeah dan The Beatles..’

Hisham buat apa di kamunting? Jaga atau tetamu?

Stephen Bennit 6 Oktober 2006

Sesiapa yang tak sabar nak menghadam tulisan di dalam buku ini, sila beli secara online di laman web Gerakbudaya atau Kinibooks. Akan menemui orang ramai di kedai2 buku utama sedikit hari lagi.

Sementara menunggu hari2 itu, kamu semua boleh memesan terus melalui saya dengan nelpon 019-308 3804 atau emel kepada zulhabri AT gmail DOT com.

Harganya cukup berbaloi dengan hasil karya Isham iaitu RM30. Cepat dapatkannya!

Hishamuddin Rais aka Isham dilahirkan di Kampung Tengkek, Kuala Pilah. Membesar di Jelebu Negeri Sembilan. Sekolah awal di Jelebu dan kemudian di Malay College Kuala Kangsar sebelum memasuki Jabatan Sejarah Universiti Malaya pada tahun 1971/74.

Belajar Bahasa Perancis di University Katholik Louvainla-Neuve 1982. Mengikuti Asasi Seni di Brixton College London. Mendapat Sarjana Muda Filem dari University Westminster London.

Pernah menjadi wartawan BBC, penyunting filem, pelakon, penulis skrip. Memberi kuliah falsafah di Universiti Bangsar Utama - UBU dan Annexe Pasar Seni. Juga memberi kuliah filem di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan-ASWARA.

Pengasas, pengembang dan penganut Mazhab Ngi - non govermental individual

NAJIB PEMBAWA ZAMAN GELAP


oleh: Hishamudin Rais

eseiMahathir Muhamad telah memerangkap Tengku Razaleigh untuk membuka tirai – dengan mesyuarat agung tergempar - untuk mengetepikan Abdullah Badawi. Untuk entah ke berapa kali Razaleigh Hamzah telah dijadikan batu loncatan oleh Mahathir Muhamad. Razaleigh adalah perwakilan politik lama – politik era Tungku – politik ‘ the British clubby gentelman’ – di mana setiap kata adalah untuk di kota.

Era dan zaman itu telah lama selesai. Kita sekarang dalam era peralihan dari zaman gelap ke zaman cerah. Bahayanya, Mahathir Muhamad inginkan kita rakyat Malaysia kembali ke zaman gelap, ke zaman ketakutan dan ke zaman autokratik. Justeru, Mahathir Muhamad sedang merancang untuk menobatkan Najib Razak.

Seyogia perlu kita sama berwaspada dan mengetahui kenapa/mengapa Mahathir Muhamad memilih Najib Razak? Kita wajib memahami sebab musababnya agar kita semua akan bersedia menghadapi zaman gelap yang akan dibawa oleh Najib Razak.

Kenapa Mahathir kini bermati-matian, dengan licik lagi penuh tipu muslihat sedang merancang untuk menaikkan Najib. Malah minggu lalu media arus perdana juga ‘terjerat’ dengan tipu helah Mahathir apabila melaporkan Najib Razak bukan lagi satu pilihan. Kenyataan Mahathir ini bertujuan untuk menaikkan syahwat Razaleigh Hamzah dan Muhyiddin Yassin agar mereka terus berkomplot menentang Abdullah Badawi. Sebenarnya ini ialah tipu helah jenis Kitul.

( Siapa Kitul ? Sila rujuk Sejarah Melayu kitab naratif kesejarahan oral orang-orang Melayu Melaka. Kita merujuk Sejarah Melayu untuk melihat yang lampau , memahami yang kini dan pedoman ke hadapan.)

Untuk memahami siapa Najib Razak, kita melihat dan memahami kembali bagaimana Mahathir Muhamad memilih menteri- menteri kabinet dan para rottweiler yang mengelilinginya. Mahathir dengan selesa akan memilih orang-orang yang dikelilingi masalah besar. Lebih besar masalah itu lebih baik untuk Mahathir. Contohnya Rahim Thamby Chik dengan kes pecah pendaraan cinta berahi anak gadis di bawah umur adalah orang kepercayaan Mahathir. Arwah Megat Juned seorang kaki judi yang terlibat dalam kematian wanita pemilik kedai video adalah menteri setia Mahathir Muhamad. Shahidan Kassim terlibat dengan kemasukan beras secara gelap di Perlis adalah menteri besar Mahathir Muhamad yang setia.

Rais Yatim sekor bangkai bernyawa telah diberi nafas oleh Mahathir hinggakan sanggup meminum air basuh kaki Mamak yang pada satu ketika dahulu dikutuknya. Rafidah Aziz rottweiler betina terlibat dalam agihan AP, manakala rottweiler jantannya ialah Nazri Aziz. yang terlibat dengan 600 permit teksi. Mereka adalah menteri setia dalam kabinet Mahathir. Para rottweiler–rottweiler ini akan terus menderam dan menyalak jika ada sesiapa yang cuba menghampiri Mahathir Muhamad.

Lihat pula badan kehakiman dan badan kepolisian yang dirasuk rasuah dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Aktiviti rasuah ini dibiarkan oleh Mahathir kerana si perasuah ini akan terus bersetia kepada Mahathir.

Apa sangkut paut semua ini dengan Najib Razak?

Najib Razak ialah ibu kepada semua rasuah. Najib Razak ialah ibu kepada semua masalah. Najib Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya. Ini bukan tohmahan, Dalam mahkamah seorang saksi dari Mongolia telah menerangkan bahawa Najib pernah berjumpa dengan Altantuya.

Najib Razak lebih bangkai bernyawa dari Rais Yatim. Najib Razak lebih banyak menyondol dari Rahim Thamby Chik. Najib Razak berjuta-juta kali menerima rasuah dari Rafidah Aziz dan Nazri Aziz. Manusia seperti Najib Razak ini adalah model ( bukan model Mongolia) yang terbaik dalam bacaan politik Mahathir Muhamad. Manusia Najib ini akan menjadi sekor rottweiler yang paling setia kepada Mahathir Muhamad.

Dalam congak politik Mahathir, Najib Razak akan meneruskan dinastinya. Sesudah Najib akan dimasukkan Hishamuddin Hussein, rottweiler katek si pembawa keris yang lidahnya belum sanggup menjelir panjang. Akhirnya, Mukhriz Mahathir akan muncul. Pada ketika ini si Mukhriz sedang belajar untuk menjadi rottweiler dengan salakan-salakan kecil menyerang Abdullah Badawi. Mukhriz inilah klon asli yang di cita-citakan oleh Mahathir Muhamad.

Jadi siapa sebenarnya Najib Razak?

Najib Razak ialah pembawa zaman gelap ke dalam budaya politik Malaysia. Najib Razak akan memadamkan semua lampu-lampu pencerahan yang baru ingin menyala di Malaysia. Dari segi pembudayaan Najib pasti akan lebih Islam dari Pas. Lebih lebai dari Lebai Kulup. Dengan latar belakang keilmuan yang cetek, Najib untuk membuktikan keislamannya akan melakukan apa sahaja yang ‘dianggapnya’ Islam. Najib Razak yang tidak memahami inti dan falsafah Islam akan hanya berjaya melihat pinggiran dan kulitan Islam.

Ini bermakna Islam garapan Najib akan lebih kolot dan lebih menyusahkan hidup kita semua. Kulitan Islam a la Najib ini bukan lagi jantan di barisan lain dan betina di barisan lain, ia akan lebih dari itu. Keislaman Najib ini bukan hanya membuang patung-patung penyu seperti di Terengganu tetapi akan lebih dari itu.

Buktinya: Tiga tahun dahulu ketika Hari Raya dan Deepavali berjalan serentak, seorang insan yang mengakui dirinya sebagai ‘ ilmuwan Islam’ telah mengeluarkan ‘fatwa bahawa orang Melayu/Islam TIDAK boleh berkongsi Deepavali degan penganut agama Hindu. Kenyataan yang kononnya fatwa ini telah di sambut dan di sokong oleh Najib Razak. Hanya tiga hari kemudian fatwa karut ini telah di sangkal oleh Abdullah Badawi. Ini contoh Islam kapal selam.

Seorang insan yang terlibat dalam kes satu pembunuhan akan melakukan apa sahaja untuk membuktikan bahawa dirinya lebih suci dari Kaabah dan lebih putih dari sabun Breeze. Sila ingatkan kembali kenyataan-kenyataan Najib beberapa bulan dahulu. Hujan tidak guruh pun tidak tiba-tiba Najib menjadi Lebai Najib telah mula mengeluarkan ayat-ayat Furqan untuk membuktikan dirinya lebih Islam dari kapal selam.

Rasuah? Rasuah itu adalah nama timang-timangan dan nama manja Najib Razak.

Kalau polis menahan kita dan meminta baksheesh sepuluh dua puluh ringgit maka ini dianggap rasuah. Tetapi jika Najib membeli senjata, membeli kapal selam dan membeli jet pejuang ini bukan rasuah, mengikut kitab Najib. Duit berjuta-juta ini bukan duit rasuah tetapi mengikut fatwa Najib Razak ini wang komisen. Inilah dia susuk yang sedang di rancang dan sedang uli oleh Mahathir Muhamad untuk dijadikan perdana menteri.

Kenapa Mahathir Muhamad mahukan Najib Razak?

Mahathir Muhamad adalah kepala perompak yang mewakili Daim Zainuddin, Vincent Tan, Eric Chia, Ting Pek King, Ananda Krishan dan Lim Kok Weng antara nama-nama lanun besar . Ada ramai lagi lanun dan penjarah yang berpayung di bawah Mahathir. Mereka dengan bantuan kuasa Mahathir Muhamad telah merompak dan menjarah harta negara selama 22 tahun.

Seperti filem seram Rosemary Baby semua orang yang diharap-harapkan memberi bantuan rupa-rupanya adalah sebahagian dari jaringan lanun. Polis, kehakiman, media, badan pencegah rasuah, imam-imam – semuanya bersekongkol.

Perompak dan lanun-lanun ini tahu jika era pencerahan yang di bawa oleh Abdullah Badawi ini dapat diteruskan mereka semua akan di dakwa di mahkamah. Polis dan para hakim, politikus rasuah, dan sesiapa yang menyalah gunakan kuasa akan juga di hadapan ke mahkamah.

Adalah salah anggap jika kita percaya Mahathir mahukan Abdullah undur kerana legacy sedang di lupuskan. Menaikkan Najib tidak sangkut paut dengan legacy. Adalah salah bacaan politik jika menganggap bahawa Mahathir lebih sayangkan United Malay National Organisation. Mahathir mengharamkan United Malay National Organisation yang asal. Sejuta kali silap jika menganggap bahawa Mahathir membuat semua ini untuk orang Melayu.

Mahathir Muhamad mahukan Najib Razak kerana Najib Razak akan menjadi bangkai bernyawa dan TIDAK akan membuat apa dakwa dakwi terhadap Mahathir Muhamad dan para lanun-lanun yang lain. Dua puluh dua tahun zaman ganas dan zaman gelap Mahathir akan di teruskan oleh Najib Razak.

Kepada sesiapa yang memiliki ilusi tentang Najib Razak sebagai pilihan tepat Mahathir Muhamad, sila tanya diri sendiri. Sudah sampaikah masanya Malaysia menerima perdana menteri baru yang terlibat dalam kes pembunuhan? Apakah pembunuh boleh menjadi Perdana Menteri Malaysia?

15 April 2008

Sorakan lebih 50,000 gegar Stadium Perak

oleh: Johari Jaafar, Harakahdaily

IPOH, 15 April (Hkh) - Suara daripada lebih 50,000 orang bergema buat pertama kalinya di Stadium Perak beserta laungan takbir, sorakan reformasi serta makkal sakthi mengatasi jeritan dan pekikan "Kejo Yop Kejo" di stadium yang sama setiap kali perlawanan liga.

Pada malam 14 April 2008 buat pertama kalinya stadium ini digegarkan oleh 50,000 rakyat negeri Perak untuk mendengar amanah daripada pemimpin-pemimpin mereka.

Pengerusi majlis pada malam itu, Misbahul Munir Masduki, Ketua Penerangan PAS Perak yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Perak telah menaikkan semangat para hadirin dengan ucapan penuh bersemangat

Lima pemidato telah berjaya 'memukau' lebih 50,000 yang hadir pada malam itu. Pemidato tersebut antaranya, Naib Presiden PAS, Dato� Husam Musa mewakili Besar Kelantan; Menteri Besar Perak, Ir Mohamad Nizar Jamaluddin; Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali yang mewakili Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda DAP Pusat, Nga Hor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping yang mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang, .

Inilah buat pertama kalinya kelima-lima tokoh tersebut berganding bahu menyampaikan pidato di atas pentas di Stadium Perak.

Kelima-lima tokoh berkenaan senada menegaskan kemenangan yang dicapai pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu adalah kemenangan rakyat dan ia mesti dikekalkan sebelum Pakatan Rakyat berjaya menumpaskan Umno/BN pada pilihan raya umum ke-13 nanti

Malaysia Pasca 14 April 2008

oleh: AdiHamka

11 tahun lalu, 14 April adalah petanda ‘gelita’ buat pendukung gerakan reformasi, tidak keterlaluan juga jika dikatakan ia turut ‘menggelapkan’ Malaysia.

Semuanya kerana kelibat Anwar Ibrahim, mantan Timbalan Perdana Menteri yang dipecat, ditahan dengan pertuduhan yang tidak terbukti, dipukul dalam penjara, dinafikan hak sebagai rakyat Malaysia dan ahli politik selama lebih daripada 5 tahun.

Semalam, 14 April 2008 memberikan satu batu tanda baru dalam landskap politik Malaysia. Anwar kini bebas daripada sudut perundangan apabila sekatan berpolitik ke atas beliau secara rasminya tamat semalam.

Melihat kepada liputan media seperti Malaysiakini dan KLPos, termasuklah bicara teman-teman yang turut hadir ke Sambutan Black 14 semalam (meskipun ramai yang ‘bingit’ kenapa perlu diadakan di Kampung Baru, sedangkan Stadium Shah Alam bisa saja memperlihatkan sambutan yang lebih hebat!), Anwar kini sahih berdiri sebagai ‘remedi’ kepada kekalutan pemerintahan Malaysia selepas keputusan mengejutkan yang terhasil daripada Pilihanraya Umum ke-12 8 Mac lepas.

Dalam keadaan Anwar dinafikan hak untuk bertanding berikutan keputusan pemerintah untuk mengawalkan PRU12 seawal Mac 2008, kesempatan berkempen 13 hari dimanfaatkan sepenuhnya oleh beliau untuk menjelajah Malaysia. Rakyat yang jelas muak dan jelak dengan manipulasi media arus perdana yang bersifat sehala, memperlihatkan sokongan yang luar biasa kepada setiap ceramah Anwar (malah hampir semua calon PR) tidak kira di mana beliau singgah.

Hasilnya, tidak terjangkau pemikiran mana-mana pihak bahawa Pakatan Rakyat (PR) boleh memenuhi lebih satu pertiga Dewan Rakyat dengan 82 kerusi. Pertama kali dalam sejarah Barisan Nasional dinafikan majoriti 2/3. Di saat rakyat menyatakan mereka ‘muak dan jelak’, pihak-pihak tertentu terus bertelagah sesama sendiri mencari punca kekalahan. Semua jenis alasan keluar, tetapi tidak satupun alasan tersebut bersetuju akan 1 perkara - rakyat sudah bosan dan mahukan kepimpinan baru.

Rakyat Malaysia telah dipasak pemikiran mereka selama 50 tahun bahawa tidak akan pihak yang lebih kredibel untuk menaungi pemerintahan Malaysia selain daripada satu parti sahaja. Tetapi rakyat Malaysia bukan bodoh, makin meninggi arus globalisasi dan teknologi maklumat, rakyat makin bijak menilai hakikat biar disuap pelbagai jenis dakyah dan propaganda. Ruang kosong yang terbiar lama kini terisi.

14 April 2008, Anwar tampil untuk mengisi ruang itu. Persoalannya, apa langkah Anwar?

Pelbagai teori telah kedengaran. Kononnya akan ada lebih daripada 30 Ahli Parlimen pemerintah akan menyatakan kesediaan mereka untuk bersama-sama PR, lantas PR bakal mendirikan kerajaan baru. Ada yang mahu Anwar jangan berlengah bertanding agar terus mengepalai pembangkang di Parlimen. Segalanya masih menjadi tanda tanya. Tidak kurang juga cadangan mahu Anwar menjadi Menteri Besar Selangor ataupun Senator.

Anwar menyatakan komitmen beliau bahawa PR bersedia menjadi kerajaan bila-bila masa. Beliau memberikan tempoh 2 minggu untuk menentukan di mana beliau akan bertanding. Dalam erti kata lain, ia bakal terbukti selepas Parlimen memulakan sidang pada 28 April depan.

Saya berpendapat, Anwar layak untuk menjadi PM. Malah dalam keadaan sekarang, tidak keterlaluan dikatakan bahawa Anwar memiliki kredibiliti dan kriteria yang mencukupi untuk berada di tampuk itu. Tinggal lagi bilakah masa yang sesuai?

Kalau ditanya penyokong PR, jawapannya pasti secepat mungkin. tetapi pada hemat saya, ianya boleh direalisasikan sekiranya semuanya lancar. Mengharapkan 30 MP pemerintah melompat parti semata-mata tidak mencukupi, kerana ‘lompat melompat’ ini bisa saja menghampakan kiranya yang melompat berpatah balik.

Saya berpendapat, Kerajaan-kerajaan 5 buah negeri yang dikuasai PR perlu membuktikan dalam tempoh yang sesuai bahawa mereka mampu membuahkan sesuatu yang lebih bernas berbanding puluhan tahun negeri itu diperintah pemerintah terdahulu. Biarpun tekanan demi tekanan diberikan, sekiranya mereka bijak, tidak ada masalah untuk membuktikan keupayaan itu. Dan saya juga yakin, Anwar sebagai Ketua mampu mengawal keadaan dan memainkan rentak.

Jangan terlalu ghairah dengan kuasa, paling penting, jangan hampakan rakyat yang memberi peluang. Demokrasi bukan ruang untuk pemimpin beraksi, sebaliknya ruang untuk rakyat menentukan. Ini yang dijanjikan oleh PR sebelum ini.

Ahli dan akar umbi parti komponen PR juga harus bekerja keras ke arah itu. Bukannya membudayakan lobi-melobi jawatan dan kepentingan, menindas pihak yang kalah dan sebagainya. Buktikan yang akar umbi PR jauh lebih tinggi nilai insaninya berbanding mereka yang pincang moral dan sikap.

Saya percaya sekiranya PR berjaya membuktikan sesuatu, di sebalik kredibiliti Anwar yang telah terbukti, rakyat Malaysia akan bersedia untuk menerima kerajaan baru, untuk merealisasikan harapan baru untuk masa depan mereka.

Dan pasti, 14 April 2008 kelihatan menghampirkan rakyat dengan detik itu. Bukan untuk Anwar, bukan untuk PR, tetapi untuk rakyat.

Ribuan sambut Anwar bebas berpolitik

oleh: Malaysiakini

Kira-kira 20,000 penyokong pembangkang, khususnya PKR, menyertai perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru malam ini walaupun polis tidak menyediakan permit.

Program yang digelar "Menghitung Masa dari Black 14 ke Arah Kemenangan Rakyat" dianjurkan sempena tamatnya larangan berpolitik terhadap penasihat parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim esok.

Selepas muncul pada 9.15 malam, Anwar menyampaikan ceramah lebih satu jam sebelum polis mengeluarkan larangan.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, tunggu dua minggu sebelum beliau mengumumkan sama ada akan bertanding atau tidak dalam satu pilihanraya kecil.

Pada pilihanraya umum 8 Mac, Anwar hanya berkempen di seluruh negara akibat larangan tersebut dan mantan timbalan perdana menteri itu mendakwa ia diadakan bagi menghalang beliau bertanding.

Dalam sidang media selepas majlis itu, Anwar berkata sambutan tadi "di luar jangkaan."

Perhimpunan sempena 'Black 14' dan pidato perdana Anwar malam ini pada awalnya dijangka disertai 10,000 penyokongnya.

'Black 14, atau pernah disebut 'Gelita 14', disambut setiap tahun sebelum ini bersempena tarikh Anwar dijatuhkan hukuman bagi kes pertama pada 1999.

Sambutan ini pada tahun-tahun awal 2000-an biasanya bersifat demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur anjuran aktivis Gerakan Reformasi dan penyokong PKR.

Ketua polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman semalam berkata PKR tidak memohon permit untuk perhimpunan tersebut.

Kelab Sultan Sulaiman yang bersejarah - termasuk menganjurkan perhimpunan persatuan-persatuan Melayu untuk menubuhkan Umno - kini dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, selaku menteri besar baru negeri Selangor.

Menurut Muhammad Sabtu, walaupun majlis makan malam itu di buat di tempat persendirian, polis tetap akan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengadakan rondaan dan kawalan lalu lintas di sekitar kawasan itu.

13 April 2008

Kenyataan Bersama: Pakatan Rakyat Bertunjangkan Muafakat Pimpinan dan Rakyat

kenyataanPara pemimpin Pakatan Rakyat ingin menegaskan di sini bahawa Pakatan amat komited untuk meneruskan agenda besar membangunkan negara dan memakmurkan rakyat tanpa ada sempadan kaum, agama serta budaya dan selaras dengan hak asasi sejagat manusia.

Dasar-dasar Pakatan adalah berpaksikan kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui dan disepakati oleh semua pemimpin tiga parti iaitu, KeADILan, DAP dan PAS. Antaranya ialah membina negara ini atas landasan keadilan, membuka peluang untuk semua rakyat menikmati kemakmuran negara dengan memberi keutamaan kepada mereka yang miskin dan terpinggir.

Pakatan bukanlah medan bagi mana-mana pihak untuk memperjuang ideologi persendirian atau parti masing-masing. Walaupun ada pihak-pihak yang memberi pandangan berbeza dari yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin utama tiga parti dalam Pakatan, pandangan itu adalah pandangan peribadi yang tidak sama sekali mewakili mana-mana parti dalam Pakatan. Oleh demikian, semua pemimpin dan ahli dalam Pakatan telah diarahkan menghentikan pandangan yang lain daripada muafakat bersama ini.

Tidak ada parti yang menjadi tunjang Pakatan. Bahkan tunjang kekuatan Pakatan berpaksikan prinsip sama taraf dan berasaskan semangat pemuafakatan pimpinan Pakatan berteraskan mandat yang diberikan oleh rakyat dalam Pilihanraya Ke-12 yang lalu.

Pakatan berazam melaksanakan dan membawa perubahan berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi, keadilan sosio-ekonomi, peluang ekonomi yang saksama dan kebebasan beragma. Tugas besar ini kami tanggung bersama selaras dengan janji kami semasa Pilihanraya Umum Ke-12 yang lalu.

Pakatan telah melangkah ke hadapan dengan menyusun dan memantapkan lagi dasar untuk dilaksanakan oleh semua kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan dan juga untuk digunapakai oleh semua ahli Parlimen Pakatan apabila Parlimen bersidang nanti. Kami akan mengumumkan satu perisytiharan prinsip yang lebih menyeluruh kelak.

YB Wan Azizah Ismail
DS Anwar Ibrahim
YB Lim Kit Siang
YB Haji Hadi Awang

11 April 2008

Isu KHINZIR : Kerajaan Selangor Urus Isu Dengan Professional dan Bijak

Oleh : Mohd Ezli Mashut

eseiIsu projek penternakan Babi timbul lagi di Selangor. Isu ini cuba dimainkan oleh pemimpin desperado UMNO untuk menagih simpati daripada kalangan masyarakat Islam yang cukup sensitif dengan haiwan tersebut. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat berhasrat untuk mewujudkan sistem penternakan khinzir yang termoden berharga RM100 juta yang akan dilaburkan oleh penternak-penternak terbabit. Menurut Teressa Kok projek ini adalah untuk sebagai model pembangunan terancang kepada negeri-negeri lain di Malaysia yang selama ini juga masih kalut dalam menangani dengan professional dan bijak dalam isu ini.

Isu ini sebenarnya amat jijik untuk didebatkan secara umum. Usaha saya menulis ini adalah agar satu penyelesaian mengenai masalah ini dapat ditanganani dengan bijak dan professional. Malahan penyelesaian dan komitmen terhadap isu ini juga menggambarkan keprihatinan kerajaan baru Negeri Selangor untuk menyelesaikan isu ini dengan baik dan berhikmah setelah kegagalan kerajaan Selangor pimpinan lepas melaksanakan satu model penyelesaian yang memberi kemenangan (win-win situation) kepada semua pihak di Selangor Darul Ehsan.

Sebenarnya untuk rekod yang bersumberkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan Negeri Selangor 2004 yang dipetik daripada data sehingga Julai 2004 di Selangor jumlah ternakan khinzir di Selangor berjumlah 228,414 ribu ekor mengatasi dari segi jumlah ternakan-ternakan lain seperti kerbau, lembu, Kambing dan berbiri yang jumlah kesemuanya dijumlahkan berjumlah hanya 34,164 ekor . Data terbaru untuk statistik 2007 masih belum diperolehi namun ianya pasti tidak banyak berbeza daripada segi jumlah peratusan perbezaannya antara ternakan dalam ketegori

Halal dan Haram menurut Islam.


Pada pandangan umum rakyat sebenarnya dengan langkah terkini Kerajaan Selangor yang baru ini untuk memperkenalkan teknik terbaru dalam isu penternakan ini sebenarnya akan menyelesaikan banyak masalah yang timbul dalam isu penternakan haiwan ini. Mungkin jumlah khinzir di Selangor melebihi jumlah yang disangkakan daripada statistik yang diperolehi oleh agensi kerajaan kerana wujud juga penternak-penternak babi yang tidak berdaftar dan melakukannya tanpa pemantauan mana-mana pihak.

Dengan mewujudkan pusat penternakan secara berpusat dan termoden ini ianya akan membantu Negeri Selangor Darul Ehsan dalam isu menangani permasalahan yang timbul daripada haiwan ternakan ini :

Pertama : Penternak Babi secara haram dapat dibanteras dengan baik.


Jumlah data mengenai jumlah penternak Babi secara haram di Selangor tidak dapat diperolehi secara tepat. Dengan wujudnya penternakan secara berpusat dan bersistem termoden ini maka kewujudan secara haram penternak babi yang banyak di Selangor akan dapat dikurangkan jumlahnya. Dengan pemantauan ini maka akan memudahkan agensi kerajaan untuk memantau kesihatan dan pergerakan haiwan ini di Selangor. Justeru dapat mengelakkan kesan dan impilkasi tidak sihat daripada haiwan ini.

Malahan populasi babi juga dapat dikurangkan kepada sekitar jumlah yang munasabah untuk memenuhi permintaan dalaman masyarakat pengguna bukan Islam di Selangor. Pastinya jumlah ternakan babi yang keterlaluan bakal mengundang pelbagai implikasi tidak sihat terhadap kesihatan rakyat dan juga sensitiviti umat Islam di negara ini.

Kedua : Kawalan Kesihatan yang berpunca daripada Babi dapat di atasi.


Dengan wujudnya pusat penternakan dan penyembelihan khinzir berpusat dan termoden ini sebenarnya dapat mengawal dengan baik sebarang penyakit bawaan daripada haiwan ini khususnya penyakit J.E yang telah menggemparkan negara pada suatu masa ketika dahulu. Dengan kawalan dan pemantauan berterusan daripada Jabatan Haiwan dan Kementerian Kesihatan di harap ‘outbreak’ daripada endemik penyakit berpunca daripada Khinzir dapat dikawal dan ditangani dengan pantas.

Situasi kini di mana para penternak khinzir berselerak di negeri Selangor tanpa sebarang kawalan dan pemantauan berterusan dan rapi daripada agensi-agensi terbabit dalam hal ini akan menyukarkan tindakan dan kawalan yang boleh dilaksanakan jika perkara ini terjadi yang memerlukan tindakan pantas dan tepat. Pihak berkenaan boleh terus ke tempat kejadian dengan pantas dan mengawal penyakit bawaan daripada menyerang dan mengancam kesihatan awam.

Malahan dengan pengurusan yang sistematik dan termoden ini akan menyelesaikan masalah berkaitan dengan pencemaran alam yang dikaitkan dengan haiwan ini di Selangor. Kes pencemaran air di Semenyih akibat pecemaran air Sungai Semenyih yang menyebabkan loji terpaksa di tutup sementara telah mengundang masalah bekalan air kepada pengguna. Ianya pasti menyebabkan berlakunya banyak permasalahan akibat pencemaran ini yang boleh mengancam masyarakat umum.

Dengan wujudnya pusat ternakan termoden maka kita berharap masalah pencemaran sungai yang diakibatkan oleh pelepasan sisa buangan daripada najis-najis khinzir ini dapat diselesaikan. Malahan sensitiviti dan kesihatan umat Islam dan rakyat umumnya akan lebih selamat dan terjamin daripada membiarkan para penternak khinzir melakukan penternakan ini secara berselerakan di seluruh negeri Selangor yang akan lebih memberi ancaman wabak penyakit jika berlakunya sesuatu di luar dugaan.

Ketiga : Kawalan Terhadap Masalah Pengangkutan Khinzir Tanpa Mengira Waktu Boleh Diperbaiki.


Persoalan ini sebenarnya telah lama berpanjangan. Pernahkah anda bertembung dengan lori-lori yang membawa khinzir ini di waktu siang hari. Masakan pihak Ketua Pembangkang Kerajaan Negeri Selangor tidak menyedari hal ini apabila jalan raya di hadapan rumah ketua pembangkang sendiri di Dun Sungai Panjang berhadapan dengan situasi sepanjang masa sehingga kini. Masalah bau dan pencemaran daripada usaha untuk mengangkut haiwan ini daripada ladang ternakan untuk ke pusat penyembelihan atau penggunanya telah menimbulkan pelbagai implikasi kepada sensitiviti masyarakat Islam dan Bukan Islam. Ianya bukan sahaja soal halal dan haramnya tetapi menjangkau persoalan kesihatan yang berpunca daripada haiwan ini yang telah dibuktikan secara saintifik.

Malahan Islam mengharamkan memakan haiwan ini kerana ianya mempunyai pelbagai implikasi kesihatan kepada tubuh badan manusia. Justeru pendidikan dan penerangan kepada masyarakat bukan Islam terhadap kawalan memakan haiwan ini juga perlu di beri agar kesihatan mereka juga terjamin dalam jangka masa panjang. Hikmahnya Islam apabila sahaja umat Islam memegang atau terpegang sahaja khinzir dan anjing dengan menyamak dengan tanah sekali dan air sebanyak 6 kali sebenarnya adalah satu prosedur kawalan kesihatan untuk mengelakkan berlakunya jangkitan kuman-kuman yang di bawa oleh haiwan ini yang boleh mengancam kesihatan manusia.

Justeru dengan adanya pusat ternakan khinzir ini maka soal pengangkutan haiwan ini dapat diselesaikan dengan baik malahan dicadangkan pusat itu juga bertindak sebagai satu-satunya pusat penyembelihan berdaftar yang dipantau oleh agensi-agensi kerajaan terbabit untuk mengatasi masalah pengangkutan khinzir ini melalui jalan-jalan dengan tidak mengikut waktu yang telah ditetapkan. Malahan kita berharap apabila permintaan dalam negeri dipenuhi maka tidak perlu timbul soal pengimportan daripada negeri-negeri lain.

Keempat : Membantu Usaha Mewujudkan Kawasan Hub Halal dan Pengeluaran Bahan Makanan Halal di Negeri Selangor Terjamin.

Untuk mendapatkan kelulusan Halal daripada Majlis Agama Islam dan Jakim. Beberapa peraturan yang mengkehendaki satu jarak yang munasabah jauhnya telah ditetapkan sebelum kelulusan halal dapat diberikan. Dengan pertambahan dan kemajuan negeri Selangor yang kian pesat membangun. Pastinya penternakan khinzir yang berselerakan di negeri ini mengundang pelbagai implikasi.

Apabila pusat penternakan khinzir ini wujud kelak maka rakyat tidak perlu lagi risau dengan masalah penternak-penternak khinzir secara haram dan berleluasa yang akhirnya membawa masalah-masalah seperti pencemaran bau dan pencemaran air sungai serta air bawah tanah apabila kadar nitrogen dalam kandungan air melebihi kadar yang sepatutnya mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar.

Kita berharap tidak akan berlaku lagi kes-kes seperti pencampuran antara daging khinzir dengan daging ternakan haiwan lain sepertimana yang kecoh berlaku sebelum ini. Kenderaan yang membawa haiwan khinzir ini sepatutnya hanya dibolehkan membawa haiwan khinzir sahaja dan dilarang keras sama sekali membawa barang-barang makanan lain kerana ianya akan menyebabkan kehalalan dan kesucian makanan yang halal itu diragui statusnya. Isu ini sebenarnya ramai pihak terbabit terlepas pandang dan mengangap isu ini hanyalah isu sementara sahaja tanpa tindakan konkrit dan komprehensif.

Kewujudan kawasan yang ditetapkan khas ini akan memberikan keyakinan kepada pengguna-pengguna Islam sendiri untuk tidak ragu-ragu lagi akan wujudnya kawasan ternakan khinzir ini di kawasan kediaman mereka yang mungkin semakin berdekatan dari hari ke hari sejajar dengan kemajuan pesat pembangunan kediaman di negeri Selangor. Malahan kilang-kilang dan pengeluar produk halal akan berasa ebih selesa dengan tidak adanya lagi penternakan khinzir ini tanpa kawalan dan pemantauan daripada agensi terbabit.

Kita juga mengharapkan kebijaksanaan dan sensitiviti umat Islam dijaga dengan baik kerana kita tinggal untuk menikmati keselesaan dan keharmonian dan saling dalam percaya mempercayai antara satu sama lain. Kita berharap juga tidak akan berlaku produk-produk yang dikeluarkan untuk produk halal tercampur dengan bahan-bahan yang haram di sisi Islam ini yang boleh menyebabkan produk itu sudah haram untuk di makan oleh umat Islam lagi.

Kebijaksanaan dan Professionalisma Kerajaan Selangor di Hargai.


Usaha – usaha pendidikan kepada masyarakat umat Islam juga perlu dipergiatkan. Umat Islam di Malaysia cukup sensitif dengan isu ini dan ianya juga amat dihargai dan dipuji tinggi. Sewajarnya juga perasaan jijik ini juga perlu diteruskan kepada isu-isu lain seperti soal halal dan haram makanan yang dimakan sehari-hari daripada unsur-unsur penipuan, rasuah, penyelewengan dan pencurian. Jika umat Islam merasa jijik untuk memegang sahaja haiwan ini maka kita juga wajar merasa jijik yang amat sangat terhadap memegang wang daripada rasuah, penipuan dan pemerasan. Malahan kita juga merasa jijik terhadap tingkah laku pemimpin yang rasuah dan menyeleweng serta menyalahgunakan kuasa yang diberikan mandat oleh rakyat.

Kita menghargai usaha dan tekad baru Kerajaan Baru Negeri Selangor Darul Ehsan untuk menyelesaikan isu-isu terbengkalai kerajaan pimpinan Negeri Selangor yang lepas. Diingatkan kepada para pembangkang kerajaan Negeri Selangor. Sebenarnya isu ini adalah isu anda yang lepas. Kegagalan untuk melaksanakan model penyelesaian yang bijak dan professional merupakan tamparan hebat kepada pemerintah yang lepas.

Di atas rasa dan tanggungjawab yang tinggi di kalangan pimpinan Kerajaan Negeri Selangor yang baru membawa satu lembaran baru dalam aspek pengurusan isu terbengkalai pimpinan lepas. Kita yakin bahawa Kerajaan Negeri Selangor yang baru bijak dan professional dalam mendepani isu-isu sensitif dan kritikal. Malahan kebijaksanaan mereka teruji untuk tidak mengikut emosi sahaja tetapi bersandarkan kepada kekuatan ilmu dan kepakaran yang mereka ada selama ini dalam memperjuangkan nasib dan masa hadapan negeri dan rakyat.


Penternakan Industri Haiwan Halal Lain Juga Perlu Mendapat Perhatian.

Industri tenakan di negeri Selangor ini masih mempunyai potensi yang banyak untuk dikomersilkan. Malahan kita juga mencadangkan diwujudkan juga projek-projek ternakan moden yang menepati piawaian Islam dan antarabangsa dipergiatkan di negeri Selangor. Dengan jumlah penduduk tempatan dan rakyat asing sebenarnya untuk memenuhi permintaan bekalan daging masih jauh daripada mencukupi. Kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada negara-negara luar atas faktor kewangan negara dan bekalan daging mentah yang segar dan selamat di makan.

Dengan kos yang semakin meningkat dalam pengeluaran daging mentah ini dalam soal penjagaan dan makanan. Ianya pasti mengundang kenaikan harga barangan makanan ini di pasaran. Justeru kewujudan pusat ternakan daging halal di Selangor juga wajar mengatasi jumlah populasi khinzir yang mempunyai jurang kuantiti yang amat melebar daripada setahun ke setahun.

Kita juga merasa pelik dan jelik dengan kenyataan daripada pemimpin pembangkang di Selangor ini seolah-olah mereka tidak menyedari fakta bahawa jumlah ternakan khinzir di Selangor Darul Ehsan berlipat kali ganda berbanding dengan jumlah ternakan untuk daging yang halal di negara ini. Apakah mereka sebagai pemerintah yang lepas terlupa untuk menangani masalah ini.

Harapan Kepada Kerajaan Negeri Selangor yang baru.


Rakyat sebenarnya mengharapkan satu penyelesaian yang dapat menyelesaikan masalah-masalah lain yang timbul. Perbincangan dan dialog secara sihat dan penerangan dalam isu ini dan lain-lain wajar diberi keutamaan. Media-media arus perdana juga perlu bersifat professional dalam hal ini dan pelbagai isu. Jangan sampai pada satu ketika rakyat Malaysia khususnya di negeri Selangor merasa jijik dengan laporan terhadap isu khinzir ini dengan menyamakan media-media arus perdana setaraf dengan kejijikan terhadap haiwan tersebut. Rakyat sudah matang dan bermaklumat. Sebarang provokasi untuk melaga-lagakan rakyat tidak akan membawa Malaysia dan Negeri Selangor ke mana-mana.

Kita berhadapan dengan cabaran untuk membawa negara ke era yang lebih jauh. Kita sudah jauh ketinggalan daripada segi pencapaian ekonomi dengan Singapura , Taiwan dan Korea Selatan yang sebelum ini setanding dengan Malaysia. Tetapi kini kita terpaksa bersaing dengan negara seperti Myanmar dan Vietnam pula.

Semoga kerajaan dan pimpinan Negeri Selangor yang masih berumur belum 100 hari menunjukkan kecekapan dan kewibawaannya. Nampaknya usaha dan penyelesaian rakyat di bawah pimpinan Pakatan Rakyat lebih bersungguh-sungguh berbanding kerajaan pusat di bawah Pak Lah yang masih menyelesaikan masalah kepimpinan dikalangan mereka. Tiada isu rakyat yang benar-benar ‘direct’ kepada rakyat sudah di atasi pasca PRU 12. Ingatlah rakyat sentiasa menilai semua kepimpinan yang dipilih pada PRU 12 ini dengan penuh taakul dan berterusan.

Penulis merupakan salah seorang graduan berkelulusan LL.B (Hons) dan boleh dihubungi di alamat emel ezli007@hotmail.com dan blognya di http://ezli007.blogspot.com/

10 April 2008

Surat Jemputan

Program Cinematigraphy Events
Mini Filem Festival di Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS)
tintatif acara dibawah Program CIPTA(Cetusan Inspirasi Pelajar Tahun Akhir)
Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif UNIMAS
19 April 2008
7.30 malam - 10.00 malam

Tetamu Khas :
Senatot Tan Sri Datuk Jins Samsudin & Datin Sri Tiara Jacquelina

08 April 2008

Surat Jemputan

Seluruh rakyat dijemput untuk bersama dalam Black 14 perhimpunan khas countdown rakyat seperti di bawah:

Tarikh : 14 April 2008
Masa : 8.45 malam
Tempat : Kelab Sultan Sulaiman Kg. Baru, Kuala Lumpur

Iklan dari Angkatan Muda Keadilan Malaysia