09 Januari 2009

Sumbangan Tulisan: 13 Mei

Subject: Call for Entries / Sumbangan Tulisan: 13 Mei

13 Mei (tajuk belum ada)

Editor : Fathi Aris Omar & Jimadie Shah
Penerbit : Gerakbudaya

Prakata

Tanggal 13 Mei tahun ini memberi makna yang besar kepada rakyat Malaysia terutama generasi muda pasca 13 Mei kerana usianya akan memasuki 40 tahun. Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 mewajibkan barisan kepimpinan dan anggota semua persatuan belia berumur di bawah 40 tahun yang secara tidak langsung meletakkan mereka yang tidak melebihi umur tersebut sebagai anak muda.

Lantas peristiwa 13 Mei 1969 ini akan menghampiri usia terakhir waktu mudanya dan akan menjadi dewasa seterusnya matang. Persoalannya sudahkah kita berjaya keluar dari hantu 13 Mei dan menunjukkan kematangan kita di dalam menghadapi segala masalah kaum dan agama yang kita hadapi di waktu ini?

Untuk menjawab persoalan ini, kami di Gerakbudaya ingin menghimpunkan penulisan dalam pelbagai bentuk serta lakaran dan foto dari anak-anak muda bagi menzahirkan penyataan mereka di dalam menyingkap tragedi ini.

Segala sumbangan akan diterbitkan di dalam buku yang akan diterbitkan oleh Gerakbudaya dan akan dilancarkan secara rasmi pada KL Alternartive Bookfest yang akan berlangsung pada 9 dan 10 Mei 2009 di Annexe Central Market.

Kandungan

Kami bercadang untuk memberi peluang seluas-luasnya kepada penyumbang untuk berkarya selagi mana memenuhi tema dan kriteria yang ditetapkan.

Tema utama buku ini adalah membuang hantu & momok 13 Mei demi Malaysia yang lebih baik.

Gaya Penulisan

Gaya penulisan seperti yang di bawah boleh diaplikasikan walaupun secara umum adalah bebas;

1) Kisah-kisah dari sumber sekunder seperti ibu bapa, cikgu, ahli politik, pensyarah dsb
2) Penulisan kreatif
3) Temu ramah orang yang terlibat dan merasai tragedi, tokoh-tokoh politik, sosial dll
4) Surat terbuka kepada politikus
5) Esei

Setiap karya yang dihantar hendaklah tidak melebihi 2000 patah perkataan , tiada minimum

Sumbangan dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris

Bagi yang membuat lakaran dan foto hendaklah tidak melebihi 4 muka surat

Setiap penyumbang hendaklah menggunakan nama sendiri atau nama pena yang dikenali umum

Penyumbang mestilah berumur 40 tahun ke bawah dan warganegara Malaysia

Jika anda berminat. sila nyatakan gaya penulisan yang dipilih

E-mel sumbangan dan segala pertanyaan dengan subjek ’13 Mei’ kepada zulhabri@gerakbudaya.com

Setiap penyumbang akan diberi dua buah naskhah buku serta berpeluang cerah menerbitkan buku bersama Gerakbudaya atau cabang penerbitan kami yang lain iaitu, SIRD

Tarikh tutup adalah pada 28 Februari 2009

Tiada ulasan: