Memaparkan catatan dengan label nota zulfikar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label nota zulfikar. Papar semua catatan

02 Julai 2008

Underground untuk PROTES

Oleh: Sam Ahmad

Saya tertanya-tanya juga bukankah pengisian pada hari tersebut jelas bertentangan dengan Islam yang cuba dibawa oleh PAS. Namun saya begitu pasti, ada titik pertemuan tujuan mobilisasi massa ini cara underground dengan cara yang ingin PAS bawa.


Sehingga kini saya menantikan jawapan dari Black. Namun dia masih tidak mengirimkan emailnya kepada saya. Mungkin agak PROTES belum lagi buat mesyuarat terakhir. Mungkin sehari dua lagi agaknya barulah dia mengirimkan emailnya kepada saya.

Saya tertanya-tanya juga bukankah pengisian pada hari tersebut jelas bertentangan dengan Islam yang cuba dibawa oleh PAS. Namun saya begitu pasti, ada titik pertemuan tujuan mobilisasi massa ini cara underground dengan cara yang ingin PAS bawa.

Ustaz Nasaruddin Hassan at Tantawi timbalan ketua pemuda PAS dalam blognya membantah usaha untuk mengadakan konsert di dalam himpunan ini.

Saya mendapat info bahawa Dr Hatta dan Sdri Aiman Athirah tidak tahu menahu tentang konsert dan segala macam pengisian pada hari tersebut. Segalanya diuruskan oleh Sdr Hishamudin Rais. Tetapi saya juga ada mendapat info yang kuat bahawa pimpinan PAS pusat sudah merestuinya.

Tidak pasti saya, apakah tindakan yang akan di ambil oleh PROTES. Mahu meneruskan demo dengan konsert atau dibatakan sahaja bahagian konsert itu. Kedua-duanya mungkin akan diambil. Kita tidak boleh membuat telahan biasa saja. Kita juga mesti mengambil kira pandangan politik parti-parti yang terlibat dalam himpunan ini.

Ke mana arah politik PAS, PKR dan DAP? Saya yakin PAS, PKR dan DAP, masing-masing akan menilai perkara ini dengan sebaik mungkin untuk memastikan PAKATAN akan terus menuju ke Putrajaya.

Ramai dari kalangan PAS seperti Dr. Hatta Ramli, Dr. Dzukifli Ahmad, Siti Mariah Mahmoud, Dr. Lo’ Lo’ Ghazali serta Salehuddin Ayub sendiri dari pimpinan pemuda pusat yang sudah nampak semakin terbuka untuk menerima idea-idea kreatif seperti ini.

Pun begitu, pihak pemuzik-pemuzik underground yang sudah pastinya bebas dari belenggu kapitalis perlulah memastikan bahawa mereka tidak akan bertindak diluar kawalan seperti melakukan aksi-aksi yang kurang menarik untuk dilihat serta tidak melakukan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.

Setahu saya, pemuzik-pemuzik underground ini tidak berorientasikan keuntungan, jadi bayaran persembahan untuk mereka adalah rendah. Mungkin RM300 atau RM400 untuk satu band atau mungkin juga mereka membuat persembahan dengan percuma. Dalam hal konsert di himpunan ini nanti, saya tidak tahu sama ada mereka bermain secara percuma atau tidak.

Betul, Ustaz Nasaruddin Hassan at Tantawi berhak menyuarakan pendapatnya dan beliau juga mestilah menerima pendapat orang yang tidak sehaluan dengannya. Berdiskusi, bermesyuwarahlah dengan pimpinan dari Pakatan. Dan saya yakin pimpinan Pakatan akan membuat keputusan dengan adil dan bijaksana selaras dengan kebijakan politik dari mereka. Dan saya juga yakin pertimbangan PAS adalah sama dengan pertimbangan ketika mereka mengundang Mawi untuk mengadakan konsert di Kelantan.


11 Jun 2008

Baik haramkan saja Islam Hadhari ini

Oleh Zulfikar Samsuri

editorialSah, Pulau Pinang tidak akan mempromosikan lagi apa yang dipanggil Islam Hadhari di negeri itu. Ini memetik kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada akhbar atas talian Malaysiakini bertarikh 9 Jun 08.

Katanya lagi, "[k]ita akan menumpukan untuk membangunkan dan menggerakkan sebanyak-banyaknya segala program-program Islam yang telah sedia ada dan kita syiarkan tujuan itu tanpa perlu menggunakan istilah-istilah yang mengelirukan.”

Mengutip apa yang diperkatakan oleh Luthfi Assyaukanie dalam ruangan editorialnya di web rasmi Jaringan Islam Liberal, “[n]amun, Islam Hadhari yang diperkenalkan Badawi tampaknya hanya sekadar retorika belaka. Sambil terus mempromosikan konsep itu, dia melakukan kebijakan-kebijakan politik yang sesungguhnya bertentangan dengan semangat Islam Hadhari. Misalnya, dalam dua tahun terakhir pemerintahannya, Badawi adalah penguasa Malaysia yang paling sering mengeluarkan daftar buku-buku terlarang, khususnya buku-buku yang terkait dengan sejarah dan pemikiran Islam.”

Tulisan beliau yang bertajuk Runtuhnya Islam Badawi itu bertarikh 15 Mac 2008 iaitu beberapa hari sejurus selepas Pilihan Raya Umum 12 pada 8 Mac lalu. Jika benar apa yang diperkatakan oleh Luthfi itu, maka lebih baik diharamkan saja Islam Hadhari. Ia jika digambarkanan oleh Luthfi itu ternyata sangat bertentangan sekali dengan semangat kebebasan yang dicita-citakan oleh Islam Hadhari.

Dua baris yang terakhir petikan tersebut yang berbunyi, “Badawi adalah penguasa Malaysia yang paling sering mengeluarkan daftar buku-buku terlarang, khususnya buku-buku yang terkait dengan sejarah dan pemikiran Islam.” Dengan jelas menggambarkan bagaimana sikap Islam Hadhari yang sebenar. .

Dalam sebuah artikel di web rasmi Islamhadhari.net, di bawah tulisan bertajuk “‘Keterbukaan’ dalam Islam Hadhari”, Abu Hatim penulis artikel tersebut telah menggambarkan tentang keterbukaan Islam Hadhari ini.

“Begitu luas dan tingginya ajaran agama Islam itu sedangkan pemahaman umat Islam kini masih lagi tertutup sehingga ada yang menganggap mempelajari sains pun adalah haram dengan memberikan alasan bahawa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, sedangkan sains menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang lain. Bagi mereka, hanya bahasa Arab yang diperakui kesucian dan ketulenannya di sisi Allah s.w.t.”

Nampak ada pertentangan di sini; di antara apa yang ditulis oleh Abu Hatim dengan tulisan Luthfi Assyaukanie. Mana mungkin Islam Hadhari yang terbuka ini dilihat tertutup dengan sikap-sikap yang telah ditunjukkan oleh Pak Lah.

Lagi, jangan kita haramkan Islam Hadhari tetapi biarlah ia tidak menjadi ideology sesebuah negeri. Apabila ia menjadi semacam ideology bagi sesebuah negeri – tanggungjawab bagi negeri tersebut untuk menyebarkan ideology ini – maka dengan sendirinya akan ada peruntukkan bersifat kewangan untuk menyebarkan ideology tersebut.

Bukankah itu merupakan sesuatu yang membazir di kala rakyat dihadapkan dengan krisis ekonomi yang begitu mencengkam.

Sebaiknya kita tak mengharamkan Islam Hadhari tetapi cukuplah cuma ia tidak perlu lagi menjadi ideologi sesebuah negeri. Jika ada orang perseorangan atau sesebuah entity bukan kerajaan yang mahu mengangkat Islam Hadhari menjadi ideology mereka silakan, jangan larang.
Dan, seeloknya kerajaan dikedua-dua buah negeri bisa mengamalkan Islam yang lebih progresif dan menitik beratkan nilai-nilai demokrasi yang tinggi kerana begitulah Islam itu wujud!



Zulfikar Samsuri
Editor Blogzine Republik Kata


01 Jun 2008

Baju sekolah seksi, Ezam dan TDM

editorialWalaupun Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengatakan bahawa baju sekolah pelajar-pelajar perempuan seksi dan menganjurkan pelajar-pelajar perempuan di negara ini mengenakan baju sekolah berwarna tetapi rata-rata yang kami tanya melalui kolum Suara Rakyat mengatakan bahawa pendapat serta tindakan sedemikian adalah tidak perlu.

Pembaca kami berhujah; nafsu boleh dibangkitkan dengan pelbagai cara bukan sahaja dengan berpakaian seksi. Ada pembaca yang menggariskan bahawa masalah akhlak atau gangguan seksual berlaku akibat daripada perkara-perkara lain termasuk keluarga, masyarakat sekeliling dan tenaga pengajar itu sendiri. Cikgu memainkan peranan yang penting bagi memupuk nilai-nilai murni akhlak masyarakat.

Mungkin perkara paling mendasar bagi reaksi kepada kenyataan PKPIM ini ialah daripada tuan punya diri sendiri dan mereka yang melihatnya. Betul kata sala seorang pembaca; baju cuma pemangkin untuk jiwa remaja yang bergelora dan asyik berfantasi. Dan mungkin kerana asyik berfantasi, mereka, anak muda-anak muda ini sering tersilap langkah; membuat pilihan yang salah, yang bakal menerima akibat suatu masa nanti.

Betul, baju sekolah yang seksi memungkin gangguan seksual, cabul, kejadian rogol atau perkara lain yang sewaktu dengannya. Tetapi bukan semua orang terganggu atau tertarik dengan baju sekolah yang seksi ini.

Jumlahnya saya -- sebagai pernah bersekolah dengan para pelajar perempuan ini -- percaya adalah sedikit kalau boleh saya perkatakan (tanpa kajian yang lengkap sama seperti PKPIM) adalah sekelumit atau saja 1/30 daripada jumlah semua pelajar yang ada di sekolah atau juga lebih rendah daripada itu.

Kenyataan PKPIM ini kemudiannya disokong oleh Dewan Muslimat PAS yang turut mengatakan melalui Aiman Athirah setiausahanya bahawa cadangan itu “sangat bertanggungjawab dan munasabah". Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dewan itu beberapa hari selepas kenyataan dari PKPIM dikatakan juga telah mengambil kira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fekah.

Saya setakat ini masih gagal lagi untuk memaahami punca dari saranan PKPIM ini dan kemunasabahan disebalik cadangan ini. Walaupun mereka dikatakan “telah mengambil kira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fekah” namun saya rasa usul itu masih belum cukup munasabah.

Menurut web berita Malaysiakini, Muslimat PAS turut mencadangkan agar PKPIM “segera membuat pungutan suara dalam kalangan pelajar di seluruh negara sama ada pakaian menjadi satu faktor pemangkin mendorong jenayah seks.”

Cuma saya turut ingin mengemukakan cadangan kepada PKPIM supaya dapat menjalankan pungutan suara di kalangan bukan sahaja pelajar Islam tetapi seratakan pungutan suara kepada seluruh pelajar di Malaysia.

Sebentar lagi saya akan melancar sebuah ebuk mini berjudul “Babad Pendekar Jawa” hasil tulisan Khalid Jaafar. Buku elektronik yang khas menghikayatkan kisah Ezam Mohd Nor yang juga sangat rapat dengan Khalid Jaafar. Mereka pernah melarikan diri bersama membuat persediaan untuk menyerang Dr M dari luar.

Pustaka RK bertanggungjawab menghasilkan ebuk ini, atas dasar kami yang ingin tahu serta menyelidiki apa yang ada di sebalik babad Ezam ini.

Banyak rencana dan berita yang berkisar tentang masuknya Ezam Mod Nor ke dalam UMNO. RK harap anda sekalian yang ingin tahu perihal Ezam masuk UMNO boleh membacanya di sini.

Sementara itu, RK pada awal bulan ini telah menerbitkan beberapa esei dan berita berkenaan Mahathir keluar UMNO. Jika Ezam memasuki UMNO, Dr M pula keluar dari parti tersebut kerana melakukan protes terhadap kepimpinan Pak Lah yang dikatakan terlampau lemah dan membelakangkan orang-orang Melayu.

Tindakannya meninggalkan UMNO tanpa membawa anaknya Mukhriz keluar bersamanya dilihat oleh rata-rata pemerhati politik sebagai tindakan bijak sang politikus berpengalaman.

Biar saja Mukhriz di dalam UMNO dia bisa buat sesuatu dari dalam! Bukan untuk Parti, tapi untuk diri aku sendiri…

Zulfikar Samsuri
Editor blogzine Republik Kata

16 April 2008

Provokasi lagi


Oleh Zulfikar Samsuri

editorial: nota zulfikarCis! Satu lagi provokasi dari barat.

Oops.. aku dah berjanji pada diri aku sendiri, aku tak mau termakan dengan provokasi.

Lagipun Geert Wilders seorang ahli politik yang kurang laku di Belanda, tidak, aku tidak akan termakan sekali lagi dengan provokasi.

Seperti kartun yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar di Denmark; yang menyiarkan gambaran kartun rasulullah. Semasa penyiaran kartun itu, aku menolak sifat ekstrem yang ditunjukkan oleh umat Islam. Setiap kali aku menonton Dunia Hari Ini, setiap kali juga aku akan mengeleng kepala.

Beristighfar.

Kali ini sekali lagi aku mengeleng-ngeleng. Beristighfar setiap kali menonton Dunia Hari Ini..

Dasyat sungguh penentangan umat Islam; di Pakistan, Indonesia dan satu dua lagi di negara di Timur Tengah. Apa yang buat perhimpunan sampai pecah cermin kereta, baker patung Geet Wilders dan pelbagai lagi aksi yang menentang Belanda.

Bukankah tindakan ganas hanya akan membenarkan apa yang digambarkan oleh Wilders di dalam doku-short-film, Fitna hasilan Wulders.

Bukankah Muhammad SAW di turunkan ke dunia untuk tujuan rahmat sekalian alam melalui contoh akhlaknya. Akhlaknya adalah akhlak damai yang bertunjangkan al-Quran.

Menurut Karen Armstrong, seorang pengarang yang terkenal dengan buku-buku hasil tulisannya yang bercorak agama: pengarang buku yang diharamkan di Malaysia, History of God, berkata di dalam artikelnya yang berjudul When God Went to War, “[a]khirnya, Muhammad telah membawa kedamaian ke wilayah yang bergolak dengan dasar beraninya menolak keganasan.”

Ya, itulah akhlak Rasulullah, membawa kedamaian dan menolak keganasan. Jika seluruh umat Islam dengan penuh amarah berhimpun menyatakan ketidak puasan hati, apa yang membawa kedamaiannya, apa yang menolak keganasannya.

Rasa-rasa lagi baik kalau kita (umat Islam) membuat satu filem pendek lagi kreatif untuk menjelaskan bahawa kita tidak seperti yang ada dalam filem Fitna.

Sementara itu, Jan Peter Balkenende, Perdana Menteri Belanda berkata:"Islam disamakan dengan keganasan, kami menentang tafsiran (filem) ini. Kebanyakan Muslim menolak ekstremisme dan keganasan dan sebaliknya mangsa adalah dari kalangan Muslim itu sendiri.”
Ah, PM Belanda pun dah cakap bahawa filem itu memaparkan sesuatu yang salah.

Aku ada tanya pada kawan aku tentang filem ini, tentang sama ada filem ini memprovokasi. Kawan aku yang satu ini menjawab, bahawa isu yang kecil ini cuba dibesar-besarkan.

Tah, betul cakap kawan aku, isu ini kecil dan cuba dibesarkan; baik pihak yang sebelah sana mahupun pihak yang sebelah sini. Bagi aku, kepentingan politik memainkan peranan di sini. Si pembuat filem Fitna cuba meraih kembali kuasa politik yang semakin pudar. Manakala pihak sebelah sini juga ada kepentingan politik yang cuba ditagih.

Politik

Tapi aku lega, akhirnya semua ini selesai. Namun penentangan, kebencian dan sikap prejudis tetap ada menjadi pakaian umat manusia. Dan selepas ini dunia akan menyaksikan pertembungan dua tamadun.

14 November 2007

Demokrasi Cara Malaysia









"This is democracy Malaysian's style. (Ini adalah demokrasi cara Malaysia)"

Kata-kata di atas adalah kata-kata yang keluar dari mulut seorang wartawan asing yang terkena tembakan meriam air dan percikan gas pemedih mata. Wartawan tersebut mencari berita untuk Al-Jazeera, sebuah media yang dikenali ramai akan ketelusannya menyebarkan berita-berita sensasi lagi berani. Media inilah yang bertanggung jawab menyiarkan footage-footage Usama bin Laden.

Dan pada satu masa dahulu media ini juga amat dipuji ketelusannya oleh pemerintah Malaysia dalam menyampaikan berita-berita berkenaan Islam. Seterusnya pihak pemerintah Malaysia juga mengizinkan pejabat Al-Jazeera Edisi English beroperasi di Malaysia.

Dengan membenarkan pejabat Al-Jazeera beroperasi di negara ini, pihak pemerintah mahu dunia melihat bahawa negara Malaysia adalah jagoan negara membangun yang membenarkan “ketelusan” beroperasi di Negara ini. Pemerintah juga mahu dunia melihat bahawa Malaysia adalah negara Islam yang terbuka lagi positif.

Tetapi situasi yang berlaku di negara ini, seperti yang dilaporkan oleh Al-Jazeera English Edition pada hari Sabtu yang baru lepas menunjukkan ketidak telusan pemerintah. Kejadian perhimpunan rakyat aman dan cara polis mengendalikan para demonstran amat memalukan.

Ini ditambah dengan gelagat "lucu" Menteri Penerangan Malaysia, Datuk Seri Zainuddin Maidin atau panggilan mesranya ZAM. Jelas terpancar sikap Zam yang emosional; menjawab sementara wartawan sedang bercakap atau ingin menanyakan soalan tambahan. Amat memalukan.

Hamish MacDonald, wartawan dari Al-Jazeera itu secara tulus menyampaikan berita untuk tatapan jutaan penonton. Seperti Al-Jazeera suasana itu dikongsi bersama oeh BBC, CNN dan beberapa lagi agensi berita antara bangsa seperti AP, AFP, Reuters dan lain-lain lagi.

Jika Al-Jazeera mengelirukan rakyat, maka samalah juga keadaannya dengan BBC, CNN, AP, AFP, dan Reuters. Mungkin ada "konspirasi peringkat tertinggi", untuk membunuh imej negara terutamanya parti pemerintah. Mungkin. Tak masuk akal.

Di sisi lain pula, media arus perdana seperti mahu bersekongkol dengan parti pemerintah; menutup apa sebenarnya yang terjadi Sabtu lepas. Jumlah yang menghadiri perhimpunan itu kata mereka 4 ribu lebih orang sahaja, sedangkan laporan dari akhbar-akhbar dari luar negara mengatakan menurut laporan polis seramai 30 000 orang dan menurut BERSIH pula 40 000 orang menghadiri perhimpunan raksasa itu.

Betul kata Prof Dr. Hamdan Adnan, sikap ketidak telusan hanya akan menyebabkan masyarakat pembaca akhbar tidak akan membeli akhbar atau pergi ke sumber alternative lain. Seperti yang terjadi ketika pada zaman reformasi 1998. Kredibiliti akhbar dalam melaporkan hal sebenar diragui.

Dan situasi pada masa kini seakan membenarkan Indeks Kebebasan Akhbar RSF (Reporters Without Borders) yang meletakkan Malaysia di tangga ke 124 turun dari kedudukan tahun lepas iaitu di tangga 92. Tahap rating Malaysia amat mengecewakan jika mahu dibandingkan dengan beberapa buah lagi negara kecil dan miskin lain seperti Mongolia (74), Kemboja (85), Timor-Leste (94), dan Bhutan (116).

Apa yang terjadi Sabtu lepas, merupakan lubang kubur yang sudah siap digali, tinggal hendak memasukkan jenazah ke dalam kubur. Mahu dibawa beramai-ramai ke bawah, ke dalam kubur atau mahu sahaja jenazah menggolek-golekan diri, turun sendiri ke dalam kubur -- namun ia pasti sukar dilakukan atau boleh sahaja tidak mungkin dilakukan.

Jangan pula jenazah itu demokrasi, demokrasi yang gagal untuk marak di rantau ini atau sahaja ke alam dunia membangun atau dunia ketiga. Walaupun gagal untuk marak, namun ia tetap berkembang pesat; nyaris ada dunia siber ini. Pihak pemerintah mungkin boleh mengharamkan kritik kepadanya tetapi di dunia siber ini masalah jurisdiksi menjadi penghalang.

Dunia sekarang berteraskan demokrasi yang mementingkan hak asasi manusia, kebebasan akhbar dan lain-lain. Gelombang kuning Sabtu lepas mengisyaratkan kepada yang berkenaan bahawa demokrasi cuba untuk hidup di Malaysia; menggunakan talian hayat perhimpunan raksasa aman. Cuma persoalannya sekarang adakah demokrasi di Malaysia perlu satu lagi talian hayat selepas ini untuk menyelamatkannya dari terus mati dan terkubur. Mungkin. -- Zulfikar Samsuri

17 September 2007

Insiden Batu Burok


Oleh Zulfikar Samsuri

Habis, dua orang perserta terkena tembakan, satu di bahagian dada dekat dengan paru-parunya, yang satu lagi terkena serpihan tembakan, luka di bahagian leher. Mereka dikejarkan ke hospital berdekatan dan yang seorang kemudiannya dikejarkan pula ke Hospital Universiti Sais Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

[
lagi]

13 Julai 2007

Provokasi

Oleh Zulfikar Samsuri

Lihat sahaja baginda yang pernah dimarahi oleh orang yang berbangsa Yahudi, dilempar tahi, dipenggal sampah tidak melawan kembali perbuatan yang dilakukan orang Yahudi berkenaan kerana bagi baginda perbuatan yang tak elok mestilah dibalas dengan baik. Baginda menafikan konsep "eye for an eye" yang sudah sebati dengan budaya raja-raja Inggeris pada ketika itu. [lagi]