11 Jun 2008

Baik haramkan saja Islam Hadhari ini

Oleh Zulfikar Samsuri

editorialSah, Pulau Pinang tidak akan mempromosikan lagi apa yang dipanggil Islam Hadhari di negeri itu. Ini memetik kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada akhbar atas talian Malaysiakini bertarikh 9 Jun 08.

Katanya lagi, "[k]ita akan menumpukan untuk membangunkan dan menggerakkan sebanyak-banyaknya segala program-program Islam yang telah sedia ada dan kita syiarkan tujuan itu tanpa perlu menggunakan istilah-istilah yang mengelirukan.”

Mengutip apa yang diperkatakan oleh Luthfi Assyaukanie dalam ruangan editorialnya di web rasmi Jaringan Islam Liberal, “[n]amun, Islam Hadhari yang diperkenalkan Badawi tampaknya hanya sekadar retorika belaka. Sambil terus mempromosikan konsep itu, dia melakukan kebijakan-kebijakan politik yang sesungguhnya bertentangan dengan semangat Islam Hadhari. Misalnya, dalam dua tahun terakhir pemerintahannya, Badawi adalah penguasa Malaysia yang paling sering mengeluarkan daftar buku-buku terlarang, khususnya buku-buku yang terkait dengan sejarah dan pemikiran Islam.”

Tulisan beliau yang bertajuk Runtuhnya Islam Badawi itu bertarikh 15 Mac 2008 iaitu beberapa hari sejurus selepas Pilihan Raya Umum 12 pada 8 Mac lalu. Jika benar apa yang diperkatakan oleh Luthfi itu, maka lebih baik diharamkan saja Islam Hadhari. Ia jika digambarkanan oleh Luthfi itu ternyata sangat bertentangan sekali dengan semangat kebebasan yang dicita-citakan oleh Islam Hadhari.

Dua baris yang terakhir petikan tersebut yang berbunyi, “Badawi adalah penguasa Malaysia yang paling sering mengeluarkan daftar buku-buku terlarang, khususnya buku-buku yang terkait dengan sejarah dan pemikiran Islam.” Dengan jelas menggambarkan bagaimana sikap Islam Hadhari yang sebenar. .

Dalam sebuah artikel di web rasmi Islamhadhari.net, di bawah tulisan bertajuk “‘Keterbukaan’ dalam Islam Hadhari”, Abu Hatim penulis artikel tersebut telah menggambarkan tentang keterbukaan Islam Hadhari ini.

“Begitu luas dan tingginya ajaran agama Islam itu sedangkan pemahaman umat Islam kini masih lagi tertutup sehingga ada yang menganggap mempelajari sains pun adalah haram dengan memberikan alasan bahawa al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, sedangkan sains menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa asing yang lain. Bagi mereka, hanya bahasa Arab yang diperakui kesucian dan ketulenannya di sisi Allah s.w.t.”

Nampak ada pertentangan di sini; di antara apa yang ditulis oleh Abu Hatim dengan tulisan Luthfi Assyaukanie. Mana mungkin Islam Hadhari yang terbuka ini dilihat tertutup dengan sikap-sikap yang telah ditunjukkan oleh Pak Lah.

Lagi, jangan kita haramkan Islam Hadhari tetapi biarlah ia tidak menjadi ideology sesebuah negeri. Apabila ia menjadi semacam ideology bagi sesebuah negeri – tanggungjawab bagi negeri tersebut untuk menyebarkan ideology ini – maka dengan sendirinya akan ada peruntukkan bersifat kewangan untuk menyebarkan ideology tersebut.

Bukankah itu merupakan sesuatu yang membazir di kala rakyat dihadapkan dengan krisis ekonomi yang begitu mencengkam.

Sebaiknya kita tak mengharamkan Islam Hadhari tetapi cukuplah cuma ia tidak perlu lagi menjadi ideologi sesebuah negeri. Jika ada orang perseorangan atau sesebuah entity bukan kerajaan yang mahu mengangkat Islam Hadhari menjadi ideology mereka silakan, jangan larang.
Dan, seeloknya kerajaan dikedua-dua buah negeri bisa mengamalkan Islam yang lebih progresif dan menitik beratkan nilai-nilai demokrasi yang tinggi kerana begitulah Islam itu wujud!



Zulfikar Samsuri
Editor Blogzine Republik Kata


Tiada ulasan: