Memaparkan catatan dengan label berita seni. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label berita seni. Papar semua catatan

28 Julai 2008

Akhirnya LPF lepas Susuk

Oleh WAHIDA ASRANI (MStar)

Filem arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili ini selesai menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun 2006 itu namun ramai yang tertanya-tanya nasib filem lakonan bintang-bintang hebat seperti Diana Rafar, Ida Nerina, Sofea Jane dan Aleeza Kassim ini apabila filem yang telah diuar-uarkan itu masih lagi belum ditayangkan.


SETELAH lebih dua tahun 'terperap', filem Susuk akhirnya bakal menemui penonton di pawagam-pawagam tempatan bermula 7 Ogos depan.

Filem arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili ini selesai menjalani penggambaran sekitar pertengahan tahun 2006 itu namun ramai yang tertanya-tanya nasib filem lakonan bintang-bintang hebat seperti Diana Rafar, Ida Nerina, Sofea Jane dan Aleeza Kassim ini apabila filem yang telah diuar-uarkan itu masih lagi belum ditayangkan.

"Saya lega akhirnya Susuk akan ditayangkan juga awal bulan depan. Apapun, saya tidak rasa tempoh dua tahun itu satu jangkamasa yang agak lama. Filem itu memang sudah siap sepenuhnya sekitar awal tahun lalu, tetapi kelewatan tayangan filem ini berlaku kerana sebab-sebab tertentu.

"Kita ambil masa yang agak lama untuk menyiapkan teknik CGI ketika proses pasca produksi walaupun babak yang memerlukan teknik tersebut hanya sedikit. Kita menggunakan dua team untuk proses ini.

"Kita juga mengalami beberapa masalah ketika penggambaran dulu. Penggambaran sepatutnya dijalankan selama lima minggu saja, tetapi berlarutan hingga lapan minggu kerana faktor yang tidak dapat dielakkan.

"Antara masalahnya, kita mengalami kesukaran untuk dapatkan lokasi. Sebagai contoh, kami tidak dibenarkan meneruskan penggambaran di sebuah kawasan pangsapuri kerana penduduk di situ kurang senang kerana ada yang rasa 'terganggu'.

"Disebabkan itu kami terpaksa mencari lokasi yang lain dan perkara ini sudah tentu menyukarkan kami kerana bukan semua pelakon available pada tarikh penggambaran yang baru ditetapkan semula.

"Ditambah pula dengan hujan hampir setiap hari sekitar Februari 2006, oleh kerana itu kami terpaksa tangguhkan lagi penggambaran," ujar Amir yang ditemui di pejabat Grand Brilliance Sdn Bhd, baru-baru ini.

Namun, segala cabaran yang dialami sepanjang pembikinan filem itu akhirnya berbaloi apabila Susuk akhirnya berjaya juga disempurnakan dengan baik dan ketika ini sedang menantikan masa tayangannya.

Filem bergenre supernatural thriller ini mengisahkan tentang dua wanita, Suraya dan Suzana. Suraya, seorang jururawat mempunyai impian untuk bergelar seorang penyanyi. Dia diperkenalkan dengan amalan susuk sebagai satu cara agar impiannya itu berjaya direalisasikan.
Dalam pada itu, Suzana seorang penyanyi tersohor sememangnya sudah lama mengamalkan penggunaan susuk yang cukup berbahaya dan jika terlanggar pantang, kesannya cukup hebat kerana akan ada nyawa yang terkorban.

Mengulas lanjut tentang filem terbitan GBSB ini, kata Amir, dia berharap mesej yang cuba ingin diketengahkan menerusi filem ini akan 'sampai' kepada penonton-penonton yang menyaksikannya kelak.

Meskipun ada dua bahagian daripada filem ini telah dipotong oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), ia bagaimanapun tidak langsung menjejaskan keseluruhan jalan ceritanya.

"Untuk menghasilkan filem ini, kami banyak menemubual bomoh-bomoh. Setiap bomoh ini mempunyai persepsi yang berbeza tentang susuk. Kami rekakan jalan cerita Susuk ini tetapi masih berlandaskan dengan apa yang kita tahu tentang amalan ini

"Bagi saya, Susuk ini lebih kepada metafora...kalau kita ingin berjaya, kita perlu lakukan sesuatu. Tetapi apa yang dipaparkan ini adalah persepsi negatif kerana seseorang itu tidak perlu guna cara seperti ini untuk berjaya.

"Saya cuma harap penonton mampu terima filem ini dan secara peribadi, saya tidak mahu letak berapa sasaran untuk filem ini. Malah, saya percaya filem ini juga mempunyai kekuatan dari segi barisan pelakonnya. Mereka mempunyai 'aura' tersendiri," kata Amir.

Ditanya mengenai pembabitan dua pengarah sekaligus di dalam filem ini, jelas Amir, dia tidak merasakan gandingannya dan Naeim sepanjang pembikinan filem itu mengalami masalah.

"Saya melihat ini satu kerjasama yang baik. Kalau boleh, kami ingin jadi seperti filem seram Thailand, Shutter yang juga menggunakan dua pengarah.

"Apapun, sudah tentu setiap keputusan yang kami lakukan perlu ada perbincangan. Naeim cukup mahir di dalam aspek teknikal, manakala saya sebaliknya," tutur Amir.

Dalam pada itu, Susuk juga menerima perkhabaran gembira apabila filem ini juga akan ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam ke-38 yang akan berlangsung pada Januari 2009.

"Sudah tentu kita rasa cukup bangga kerana Festival Filem Antarabangsa Rotterdam adalah sebuah festival filem yang cukup besar. Banyak juga filem-filem Melayu yang pernah ditayangkan di sana sebelum ini.

"Malah, filem ini juga telah ditayangkan di Festival Filem di Itali pada bulan lalu," kata Amir lagi yang turut melahirkan perasaan gembira apabila Susuk juga menerima pencalonan pada Festival Filem Malaysia ke-21 yang akan berlangsung awal bulan Ogos ini.

25 Julai 2008

Malaysian Snow ditolak: Mansor Puteh buat laporan polis

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ (MStar)

Saya rasa hampa bila skrip saya ditolak oleh Finas, sebab mereka kata ia tidak bermutu. Saya buat rayuan dan akhirnya diluluskan dalam tahun 2005. Dan saya menandatangani perjanjian dengan guaman Siti Nor & Partners dengan membayar RM11,000 yuran guaman dengan beberapa ribu ringgit sebagai baki.


BARU-BARU ini, aktivis filem Mansor Puteh telah melahirkan kekecewaannya apabila pihak Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad (SME) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) menarik balik pinjamannya untuk menerbit filem Malaysian Snow.

Justeru, Mansor telah memfailkan laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.07 petang semalam berhubung kes pinjaman yang ditarik balik itu.

Kata Mansor, dia membuat aduan tersebut kerana saluran lain khususnya dalam bentuk seminar, forum dan penulisan dalam akhbar tidak mendatangkan kesan dan tidak diendahkan oleh pihak-pihak terbabit.

"Jadi, tidak ada gunanya untuk membuat rayuan kepada bank, Finas dan kementerian sebab mereka juga terlibat dengan salahguna kuasa dan jenayah ini.

"Oleh itu, saya harap pihak polis akan dapat selidik aduan saya yang juga bertujuan untuk mengemaskan perusahaan filem tempatan agar ia dapat dimajukan dengan sempurna dan membabitkan ramai orang khususnya mereka yang berkelulusan dalam bidang perfileman," ujarnya.

Dia tidak menyangka permohonan yang dibuat sejak tahun 2004 itu akhirnya menemui jawapan yang mengecewakan selang dua tahun kemudian.

Ditanya mengapa baru sekarang dia terfikir untuk mengambil tindakan, jawab Mansor, "Saya tak nak melenting dan ingin selesaikan masalah ini secara senyap."

Namun, jika aduan yang dibuat tidak mendapat respon, apakah tindakan yang akan diambil seterusnya?

"Saya akan mengemukakan saman sivil!," beritahu Mansor ringkas.

Ketika di balai, Mansor sempat menunjukkan transkrip tentang perjanjian yang dibuat sebelum ini sebagai bukti.

Di dalam perjanjian tersebut, pihak bank tidak dapat menerima tesis skripnya kerana ia sudah terkeluar daripada skop perjanjian.

Namun, di dalam surat yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) Datuk Seri Dr. Rais Yatim, beliau menerima tesis skrip tersebut dan bersetuju untuk memberikan biasiswa di bawah skim pembiayaan filem cereka.

Berikut adalah butiran laporan yang dibuat oleh Mansor di balai polis semalam:

Aduan polis terhadap Bank SME, Finas dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW).

Oleh Mansor bin Puteh

1. Orang Melayu dan Malaysia pertama mendapat pendidikan di peringkat Master of Fine Arts in Film Directing di Universiti Columbia, New York.

Saya ingin membuat aduan terhadap SME Bank yang juga membabitkan Finas dan KPKKW (Kementerian) bersangkut dengan permohonan syarikat saya, Uniti Films Sdn Bhd untuk mendapatkan pinjaman untuk menerbit sebuah filem berjudul, ‘Malaysian Snow’.

Filem ini adalah sumbangan saya untuk memperkenalkan sebuah filem yang lain dari yang lain untuk memajukan perusahaan filem tempatan. Ia adalah berdasarkan kelayakan formal saya mendapat pendidikan di peringkat Master of Fine Arts in Film Directing atau Sarjana Seni Halus dalam Pengarahan Filem dari sebuah universiti terkemuka di Amerika iaitu, Columbia University di Bandaraya New York.

Dan saya rasa bangga sebab pihak universiti telah membenarkan saya mendaftarkan filem ini sebagai tesis ijazah sarjana saya, walaupun saya telah mengambil masa yang begitu lama untuk menyiapkannya.

2. Mencipta sejarah dan rekod paling unik dalam pendidikan di Amerika.

Kemungkinan besar saya akan mencipta sebuah rekod dan sejarah yang paling unik dalam bidang pendidikan di Amerika sebab akan menghantar sebuah filem Melayu dan Malaysia sebagai tesis ke sebuah universiti di sana dan dalam masa yang begitu lama iaitu 30 tahun sejak saya mula belajar di universiti itu dalam tahun 1978 dulu.

Biasanya sesebuah universiti di Amerika atau di mana-manapun enggan terima tesis yang dihantar begitu lama, tetapi untuk saya, pihak universiti masih sanggup terimanya. Dan saya anggap ini sebagai satu penghargaan bukan sahaja untuk saya tetapi untuk perushaan filem dan negara kita, sebab mereka yakin dengan kebolehan saya dan percaya akan dapat menonton sebuah filem lain dari yang lain.

Saya juga rasa yakin akan dapat menghasilkan sebuah filem yang lain dari yang lain, dan mengharumkan nama negara di Amerika di mana saya harap ia akan dapat pengedaran dan mungkin pengiktirafan dan akan dijemput ke banyak pesta filem.

Saya kuatir kalau saya gagal untuk menghantar filem ini kepada pihak universiti, kemungkinan besar mereka tidak akan menerimannya lagi, dan ini adalah satu kerugian besar kepada saya yang tidak dapat tamatkan pengajian untuk ijazah saya dan kemungkinan filem saya mendapat pengiktirafan dan pengedaran di Amerika dan ditayang di banyak pesta filem antarabangsa.

3. Skrip ditolak oleh Finas dan KeKKWa. Kemudian permohonan dilulus dan ditandatangani.

Saya rasa hampa bila skrip saya ditolak oleh Finas, sebab mereka kata ia tidak bermutu. Saya buat rayuan dan akhirnya diluluskan dalam tahun 2005. Dan saya menandatangani perjanjian dengan guaman Siti Nor & Partners dengan membayar RM11,000 yuran guaman dengan beberapa ribu ringgit sebagai baki.

4. KeKKWa beri biasiswa.

Saya rasa gembira dapat pengiktirafan dari KPKKW atau Kekkwa yang meluluskan sebuah biasiswa untuk saya daftarkan filem saya di universiti. Ini adalah pertama kali saya mendapat sebarang biasiswa dari kerajaan.

Permohonan saya untuk mendapat biasiswa dari Mara untuk melanjutkan pelajaran di Amerika dulu telah ditolak, walaupun saya merupakan orang Melayu dan Malaysia pertama diterima melanjutkan pelajaran di sebuah universiti terkemuka di Amerika dan dunia. Saya cuma diberi pinjaman dari Mara setahun kemudian.

5. Pinjaman ditarik balik oleh Bank SME dan penipuan terang-terang oleh mereka serta disokong oleh Finas dan kementerian.

Bagaimanapun, dengan tiba-tiba pihak bank menarik balik tawaran itu. Dan mereka kata bahawa saya telah gagal untuk menerima tawaran pinjaman dalam masa 90 hari, dan mereka juga tidak benarkan saya guna wang pinjaman untuk membuat filem sebagai tesis filem, walhal perkara ini telah dinyatakan oleh saya dalam pengumuman yang saya telah buat dalam akhbar dan surat permohonan.

Penipuan ini dilakukan kepada Bank Negara bila saya buat aduan sama dengan mereka, dan diberitau alasan yang sama.

Saya kemudian diberitau oleh pegawai bank bahawa saya telah juga gagal membayar satu senpun kepada guaman mereka. Ini adalah tidak benar.

Saya telah membuat rayuan kepada Finas, Kementerian dan bank tetapi mereka tidak dapat menyelesaikan masalah ini sehingga saya terpaksa ambil tindakan ini sebab ia ada elemen penyelewengan, salahguna kuasa dan melanggar undang-undang yang mungkin disebabkan oleh mereka yang terlibat itu tidak mempunyai kepakaran dan pengelaman dalam bidang ini dan tugas yang mereka jalankan.

Saya telah juga menulis kepada menteri baru Datuk Shafie Afdal, KSU barunya Dr Murzahet Musruri untuk mencari jalan penyelesaian, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan sehingga kini.

6. Cara bank menipu penerima pinjaman.

Saya diberitahu oleh dua penerbit filem yang telah mendapat pinjaman dari bank bahawa walaupun mereka telah buat perjanjian dengan bank, tetapi pemberian wang tidak dikeluar sehingga filem siap dibuat.

Penerbit berkenaan terpaksa guna wang sendiri atau berpinjam dari orang lain untuk menerbit filem mereka. Dan setelah siap, bank minta mereka hantar invois dan resit untuk menunjukkan yang mereka sudah keluarkan wang, sebelum bank beri wang pinjaman asal.

Ini bermakna seseorang penerbit itu terpaksa cari wang sendiri untuk menerbit filem mereka walaupun mereka telah mendapat pinjaman dari bank. Tidakkah ini satu penipuan?

7. Finas suruh buat permohonan baru.

Dan Finas telah menulis surat bertarikh 14 November 2006, menyuruh saya membuat permohonan baru untuk mereka timbangkan sekali lagi sebuah pinjaman baru.

Saya rasa ini amat tidak kena, memandangkan saya akan juga mahu terbit filem ini sebagai tesis ijazah saya memandangkan saya telah mendapat biasiswa dari Kementerian. Dan permohonan saya tidak mungkin akan diluluskan oleh mereka khususnya dari pihak bank yang mendudukki dalam jawatankuasa Kementerian.

8. Jins Shamsuddin, senator di Dewan Negara dan juga pengerusi Finas.

Saya tidak dapat membuat rayuan kepada Tan Sri Jins Shamsuddin segai senator di Dewan Negara sebab beliau adalah pengerusi Finas. Dan saya telah juga mempersoalkan kedudukannya sebagai senator dan pengerusi Finas dan anggapnya sebagai satu usaha Kementerian untuk tidak disoal dalam Dewan Negara.

Adakah kedudukannya sebagai pengerusi Finas tidak menyalah mana-mana peraturan? Menteri Kekkwa, Datuk Rais Yatim beritau perlantikan Tan Sri Jins adalah haknya sebagai menteri. Tidakkah wujud satu penyelewengan di sini?

Oleh itu saya buat aduan ini untuk meminta pihak polis menyiasat dakwaan saya, untuk memastikan bahawa bank telah menipu saya dengan memberi alasan untuk menolak pinjaman itu yang saya anggap adalah satu penipuan.

Adakah bank mempunyai kuasa untuk menarik balik tawaran tanpa mendapat sebarang persetujuan dari Finas dan KPKKW?

Dan alasan-alasan yang sama telah juga beri kepada Bank Negara bila saya ajukan aduan terhadap bank kepada mereka.

9. Isu undang-undang dan moral.

Saya mahu timbulkan isu undang-undang dan moral berkaitan dengan tindakan yang dibuat oleh bank, Finas dan Kementerian sebab segala tindakan dan rancangan yang dibuat oleh mereka selama 28 tahun itu tidak mendatangkan faedah sebenar jangka panjang.

Adakah pegawai bank, Finas dan Kementerian pakar dalam bidang perfileman dan tahu mentadbir dana RM50 juta yang telah diberi oleh Kerajaan Pusat?

Setahu saya tidak seorang dari pegawai di tiga agensi ini mempunyai ijazah tinggi dalam bidang perfileman. Dan saya telah juga sarankan agar pihak bank, khususnya, menghantar pegawai berkenaan mereka ambil kursus pendek yang sering dianjur oleh Finas.

Mungkin ini juga yang telah membuat mereka rasa marah dengan saya sebab tidak lama kemudian pinjaman saya ditarik.

Semua mereka yang ada pendidikan dalam bidang perfileman tidak diberi tempat sewarjanya oleh Finas dan Kementerian untuk memberi pandangan bernas untuk memajukan perusahanaan filem.

Saya sendiri tidak pernah dijemput menyertai acara rasmi Finas dan Kementerian atau dipelawa menyertai rombongan ke luar negeri untuk membuat pengajian tentang perusahaan filem di sana atau untuk bercakap dalam mana-mana forum dan seminar antarabangsa.

Namun demikian, saya masih dapat pelawaan untuk berbuat demikian secara langsung dan pernah membentang kertas kerja berjudul, ‘Muslim cinema as an antithesis to Hollywood’ (Sinema Islam sebagai pencabar Hollywood) di Persidangan Pertama Pengarah Muslim Antarabangsa yang diadakan di Tehran, Iran dalam bulan Februari, 1994 dulu.

10. Finas dan kementerian menipu rakyat dan kerajaan?

Saya berani berkata di sini bahawa Finas dan Kementerian khususnya telah gagal untuk memajukan perusahaan filem. Mereka akan terus mengabui mata kerajaan khususnya kabinet dan rakyat-jelata dengan mengadakan rancangan-rancangan yang memerlukan peruntukan yang tinggi untuk membina studio dan sebagainya tanpa mengadakan kajian menyeluruh dan tersusun. Ia tidak sama dengan agensi kerajaan lain yang ada pakar tertentu dalam bidangnya.

Dan Finas akan terus mengenepikan mereka yang pakar dalam bidang ini yang ada kelulusan bidang perfileman dari luar negara sambil terus mahu katakan yang mereka mahu banyakan tenaga pakar dengan adanya Akademi Kesenian dan Warisan atau Aswara sedangkan tenaga pakar yang sedia ada diketepikan.

Sepatutnya setelah 28 tahun Finas diwujudkan, kita sudah boleh mempunyai satu perusahan yang giat dan dapat menghasilkan puluhan filem penting dan bermakna setahun dan memberi peluang kepada semua mereka yang berkelayakan, khususnya mereka yang telah belajar di luar negara.

Finas asyik dengan diri sendiri dan adakan acara keramaian untuk meraikan ulangtahun mereka dengan membelanjakan ratusan ribu ringgit walhal ia adalah sebuah agensi kerajaan yang kecil. Saya diberitahu bahawa Kementerian telah mengarahkan Finas untuk tidak melakukannya mulai tahun ini setelah saya telah menyuarakan pendapat ini dalam media.

Finas tidak mungkin boleh memajukan filem sebab ia mempunyai sikap anti-intelektual. Dan pegawai mereka tidak dihantar ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran supaya semua ketua jabatan mempunyai ijazah sarjana dalam bidang perfileman. Sekarang Finas terpaksa mempelawa orang luar untuk menjadi ketua pengarah barunya oleh sebab mereka tidak yakin dengan pegawai yang telah lama bekerja dengan mereka. Sepatutnya ketua pengarah Finas mesti mempunyai kelayakan di peringkat kedoktoran bidang filem, supaya mudah dia berganding dengan mereka yang berkelayakan dan tahu apa yang mereka perlukan tanpa mengenepikan kehadiran mereka.

Baru-baru ini Finas menjemput seorang wanita dari London untuk memberi kursus satu minggu dengan perbelanjaan yang tinggi untuk 17 peserta.

Semasa Finas baru ditubuhkan ia telah dijadikan seperti agensi pelancongan untuk pegawainya makan angin di luar negara menyertai pesta filem dan sebagainya tanpa mendatangkan sebarang faedah. Dan menteri dan isteri dan pegawai kanan kementerian dan Finas juga menyertai pesta filem Asia-Pasific walaupun negara lain tidak hantar menteri dan pegawai kanan kementerian mereka.

Seorang pegawai kanan Finas telah diarah letak jawatan setelah didapati terlibat dengan rasuah atas aduan saya dari maklumat yang diberi oleh orang awam.

11. Selidik dakwaan pengarah filem yang menyata pegawai bank ajak makan dan syarikatnya kena bayar.

Seorang pengarah filem beritau saya dihadapan ramai orang rakan lain bahawa pegawai Bank SME ajak mereka makan dan syarikatnya kena bayar. Pegawai itu kata pembayaran pinjaman untuk syarikatnya itu akan dikeluarkan dengan cepat.

12. Perusahaan filem boleh merapatkan bangsa Melayu dan antara kaum di Malaysia, tetapi Finas dan kementerian telah gagal melakukannya.

Sepatutnya perusahaan filem kita kini sudah rancak dan kegiatan membuat filem ini boleh menjadi elemen utama untuk merapatkan Bangsa Melayu dan diantara kaum lain di negara.

Tetapi ini tidak berlaku oleh sebab pegawai Finas dan Kementerian tidak pakar dalam bidang ini untuk tahu memajukan perusahaan filem dan gunanya untuk tujuan seperti ini selain dari meningatkan tahab kesenian filem tempatan.

Profil negara juga boleh dipertingkatkan supaya Malaysia lebih dikenali di peringkat antarabangsa, dan filem tempatan boleh jadi bahan tarikan kepada pelancong ke negara, kalau Finas dan Kementerian pakar supaya perusahaan ini boleh memberi sumbangan kepada negara dan bukan terus mengambil dana darinya sahaja.

13. Mencipta rekod paling unik seluruh dunia dengan menerbit 60 buku dalam bahasa Melayu dan Inggeris serentak.

Kegagalan saya untuk menerbit filem ini telah juga tidak membolehkan saya melaksanakan hasrat saya untuk menarik perhatian seluruh dunia kepada usaha saya untuk mencipta sebuah rekod paling unik seluruh dunia, iaitu untuk menerbit 60 buah buku yang saya sudah tulis dalam Bahasa Melayu dan Inggeris, untuk mengharumkan nama negara dan Bangsa Melayu.

Sebab rekod seperti ini tidak pernah dilakukan oleh sesiapa dan tidak mungkin dapat
dipecahkan bila ia telah dicatat kelak.

Rekod seperti ini sudah pasti akan dapat menarik perhatian media seluruh dunia.

14. Penutup.

Aduan ini juga dibuat oleh sebab saluran lain khususnya dalam bentuk seminar, forum dan penulisan dalam akhbar tidak mendatangkan kesan.

Tidak ada gunanya untuk membuat rayuan kepada bank, Finas dan Kementerian sebab mereka juga terlibat dengan salahguna kuasa dan jenayah ini.

Oleh itu saya harap pihak polis akan dapat selidik aduan saya yang juga bertujuan untuk mengemaskan perusahaan filem tempatan agar ia dapat dimajukan dengan sempurna dan membabitkan ramai orang khususnya mereka yang berkelulusan dalam bidang perfileman.

10 Julai 2008

Amir Muhammad's 6HORTS is back

by Da Huang Pictures

From the director of Lelaki Komunis Terakhir and The Big Durian, 6horts will be released on Da Huang online shop in July.





From the director of Lelaki Komunis Terakhir and The Big Durian, 6horts will be released on Da Huang online shop in July.

Message from Amir Muhammad

6horts is something I made in 2002 under the informal motto of: "Other people can do it better, but I can do it cheaper." This cycle of six shorts does not have any actors and was made with the most minimal of means. But it is my take on various aspects of life here in colourful Malaysia.

A top celebrity (M. Nasir) walked out of a screening of 6horts because he complained it was too much like "reading a book." So be warned: It's not meant for the type of person who makes a living from Akademi Fantasia.

They were made in the order in which they appear on the DVD. The first one, Lost, was inspired by an essay by Phillip Lopate on "the essay-film." By sheer coincidence or Divine will, a series of events happened just after I read his essay, and those events became the putative plot of Lost.

The very last one, Pangyau, was shot by Naeim Ghalili. This was our first time working together and a few years later we co-directed a 35mm feature film, Susuk, which cost 200 times more than 6horts but is not necessarily 200 times better.

Oh yes, the bonus short 18MP is quite special to me. It is one of Jins Shamsuddin's finest performances! His impersonation of a boot-licking politician is right up there with his Jefri Zain - and I am glad I was there to see it.



02 Julai 2008

Protes Sejuta Turun ada rombakan

Oleh: Sam Ahmad

Sementara bagi bahagian konsert pula dijadualkan akan dipenuhi dengan band-band underground spt, Blues Gang, Carburetor Dung, Amy Search, Republic of Brickfield dll.

Kerana bantahan daripada Ustaz Nasaruddin at Tantawi, pihak RK mendapat info yang mengatakan akan berlaku sedikit perubahan terhadap program-program yang akan dijalankan dalam Protes Sejuta Turun.

Himpunan yang dijadualkan pada hari Ahad hujung minggu nanti menyediakan lain-lain program seperti konsert, teater, wayang kulit, puisi dan pidato dll. Mereka yang dijadualkan untuk berpidato adalah seperti Sdr. Anwar Ibrahim, Tuan Haji Hadi, Sdr. Lim Kit Siang, Dr Wan Azizah, Dr. Syed Husin, Sdr Mat Sabu, Sdr Hussam, Sdr. Mahfuz Omar dan Dr Saifuddin Nasution.

Sementara bagi bahagian konsert pula dijadualkan akan dipenuhi dengan band-band underground spt, Blues Gang, Carburetor Dung, Amy Search, Republic of Brickfield dll.

Pada bahagian inilah Ustaz Nasaruddin at Tantawi dan gerombolan Pemuda parti PAS membuat bantahan. Dan menurut sumber, hasil daripada bantahan ini pihak penganjur telah bersetuju untuk membuat sedikit rombakan terhadap program konsert tersebut.

Rombakan atas sebab menjaga kesepaduan Pakatan terpaksa menggugurkan band-band underground tetapi masih boleh mengekalkan konsert. Sikap yang mementingkan kesepaduan Pakatan adalah satu usaha terpuji dari semua pihak yang terbabit.

Kata sumber itu lagi, “cuma band-band underground mereka tak nak. Band macam Blues Gang, Amy Search tu diorang tak kisah sangat.”

23 Jun 2008

Rentak Juara kumpulan Aisunam

Oleh: Kosmo!

Rancangan yang disiarkan secara langsung menerusi RTM 1 itu menyaksikan kumpulan Aisunam mendendangkan dua buah lagu sendiri iaitu Kedamaian Terakhir dan Bisikan.

SHAH ALAM - Kumpulan Aisunam dinobatkan sebagai juara rancangan Rentak Juara - Rhythm of Champions sekali gus menewaskan tujuh kumpulan yang lain dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000 berserta sijil dan trofi di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.

Rancangan yang disiarkan secara langsung menerusi RTM 1 itu menyaksikan kumpulan Aisunam mendendangkan dua buah lagu sendiri iaitu Kedamaian Terakhir dan Bisikan.

Tempat kedua diraih oleh kumpulan Cherish 2000 yang mempamerkan persembahan bertenaga dengan lagu ciptaan sendiri iaitu Haru Biru.

Mereka berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM30,000, sijil dan trofi kemenangan manakala tempat ketiga yang menawarkan wang tunai berjumlah RM20,000, sijil dan trofi dimenangi oleh Carbolic Smoke- balls.

Mereka menyanyikan tiga buah lagu iaitu Engkau Pergi, Sempurna dan The Pretender, kumpulan itu tetap bersyukur walaupun hanya berada di tangga ketiga.

Kumpulan ini turut memenangi kategori Kumpulan Paling Popular yang dipilih seratus peratus menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi dan sijil.

Bagi pemenang sagu hati pula, mereka diberi habuan sebanyak RM3,000 untuk setiap kumpulan di samping trofi dan sijil penyertaan.

Hadiah kemenangan disampaikan oleh Datuk A. Rahman Hassan.


19 Jun 2008

Roslan Aziz: "Saya tidak berniat menghina"

Oleh Jimadie Shah Othman (Malaysiakini)

"Sebagai seorang manusia yang beragama Islam, (juga) bapa, suami dan anak yang masih menagihkan ilmu pengetahuan dan keredhaan-Nya, saya dengan merendah hati memohon maaf kepada semua muslimin dan muslimat khususnya ahli-ahli PAS atas perlakuan saya itu."

Komposer terkenal Roslan Aziz memohon maaf kepada ahli PAS kerana kenyataannya yang dianggap menghina parti itu berhubung tindakan Dewan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu, sempena 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir negeri itu.

"Sebagai seorang manusia yang beragama Islam, (juga) bapa, suami dan anak yang masih menagihkan ilmu pengetahuan dan keredhaan-Nya, saya dengan merendah hati memohon maaf kepada semua muslimin dan muslimat khususnya ahli-ahli PAS atas perlakuan saya itu," kata Roslan dalam blognya Roslan Aziz Production (http://roslanaziz.blogspot.com) semalam.

Kelmarin, Roslan menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan "ego" golongan agama dan bermotifkan politik.

"Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi kepada seorang ustaz dan kata kepada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan Pemuda PAS Selangor untuk mengadakan perhimpunan untuk membantah konsert tersebut yang dijadual 6 Julai di Shah Alam.

Dalam permohonan maafnya itu, Roslan mengaku tidak berfikir panjang sebelum menjawab soalan yang diajukan, sebaliknya menggunakan emosi dan "perasaan kecewa yang telah lama terpendam".

"Sebagai seorang Islam dan bapa kepada anak-anak, saya tidak sepatutnya menjawab begitu yang menyebabkan ada pihak yang berasa terhina," kata beliau yang juga bekas pengetua Akademi Fantasia musim lalu.

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak sama sekali berniat untuk menghina atau menimbulkan permusuhan.

Tidak niat menghina

"Saya tidak sama sekali berniat untuk menghina, jauh sekali untuk bermusuh sesama saudara (seagama)," katanya.

Permohonan maaf itu dipercayai dibuat berikutan banyak kritikan dibuat terhadap kenyataannya dalam blog-blog dan forum maya di internet.

Konsert itu, yang dilapor diadakan bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, akan diadakan sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara Singapura dengan pasukan negeri itu.

Menurut Harakahdaily.net, ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mokhyi, yang menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Nik Nazmi semalam, berharap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "bertindak segera agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi (dalam Pakatan Rakyat) khususnya PAS."

"Kami difahamkan bagi menyerikan program itu turut diadakan konsert Mas Idayu dan Ella. Sudah pasti persembahan mereka akan mengundang risiko moral yang tinggi dan tidak ada tempat dalam Islam," katanya seperti dilaporkan.

Selain mendakwa konsert anjuran syarikat kerajaan negeri Kelab Darul Ehsan Bhd itu sebagai "pembaziran dan gaya hidup mewah", Sallehen berkata ia "mengundang imej tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, apatah lagi imej Islam di ambang 100 hari" menguasai Selangor.

Semalam, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Sultan Selangor telah menyatakan persetujuan baginda untuk bertemu Dewan Pemuda PAS negeri itu bagi membincangkan bantahan dewan tersebut.

Pertemuan itu, menurut Khalid, akan diadakan sebelum akhir bulan ini.

18 Jun 2008

Bantah konsert 'ego orang agama'

Jimadie Shah Othman (Malaysiakini) Jun 17, 08

"Kalau nak ikut betul-betul, berapa ramai ahli parlimen tidak boleh masuk Perlis. Tengoklah perangai mereka dalam parlimen macam mana. Itu lebih teruk daripada Faizal Tahir."


Komposer terkenal Roslan Aziz menyifatkan tindakan Pemuda PAS Selangor membantah konsert penyanyi terkenal Ella dan Mas Idayu sebagai tindakan "ego" golongan agama dan bermotifkan politik.

"Orang yang tahu fasal agama, ego dia lebih tinggi. Cuba kita pergi kepada seorang ustaz dan kata kepada dia, hadis ustaz salah, sanad tak betul. (Awak) ingat dia boleh terima? Mereka ini hendak tunjuk suci," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas rancangan Pemuda PAS negeri mengadakan perhimpunan membantah konsert tersebut yang dijadual 6 Julai di Shah Alam.

Konsert itu, yang dilaporkan bersempena sambutan 100 hari Pakatan Rakyat mentadbir Selangor, diadakan sebelum perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor antara Singapura dengan pasukan negeri.

Menurut Roslan (foto), bantahan itu terjadi disebabkan PAS sendiri yang ingin menggunakan agama untuk tujuan politik.

"Secara peribadi saya tidak setuju guna Islam untuk tujuan politik. Saya fikir (tindakan) ini salah. Biar orang kata Umno itu jahat tapi ia tidak guna Islam untuk tujuan politik.

"Masalahnya pada keseluruhan PAS itu sendiri. Sebab itu di Datuk Keramat, saya tidak pernah mengundi. Masalahnya nak mencari orang yang betul dalam parti yang betul.

"Dalam Umno yang baik ada orang-orang senget. Orang-orang alim, lebai-lebai yang baik pula dalam parti senget," tambahnya.

Bekas pengetua Akademi Fantasia musim lalu ini juga berkata campur tangan ahli politik seumpama Pemuda PAS Selangor itu sebagai sejenis "buli" akibat kegagalan seniman sendiri.

"Ia berpunca artis kita juga. Ada yang bongok, oleh kerana tak pandai belajar, jadi artis. Jadi, mereka tidak proaktif, tidak ada pengetahuan. Sebab itu orang suruh potong rambut pun tak apa. Kena buli pun tak apa.

"Dulu masa (menteri penerangan) Mohamad Rahmat nak potong rambut pun, saya tak bagi. Jangan potong, saya kata. Saya bukan beruk. RTM tak bagi tak apa," katanya.

Dihubungi Malaysiakini berhubung memorandum Pemuda PAS itu, setiausaha politik menteri besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata menteri besar sedang menelitinya.

Tindakan selanjutnya bergantung kepada menteri besar, tambahnya lagi.

Menurut Harakahdaily.net, ketua Pemuda PAS negeri Sallehen Mokhyi, yang menyerahkan memorandum itu kepada Nik Nazmi semalam, berharap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim "bertindak segera agar tidak mencetuskan ketidakpuasan hati rakan kongsi (dalam Pakatan Rakyat) khususnya PAS."

"Kami difahamkan bagi menyerikan program itu turut diadakan konsert Mas Idayu dan Ella (foto). Sudah pasti persembahan mereka akan mengundang risiko moral yang tinggi dan tidak ada tempat dalam Islam," katanya seperti dilaporkan.

Gaya hidup mewah

Selain mendakwa konsert anjuran syarikat kerajaan negeri Kelab Darul Ehsan Bhd itu sebagai "pembaziran dan gaya hidup mewah", Sallehen berkata ia "mengundang imej tidak baik terhadap kerajaan Pakatan Rakyat, apatah lagi imej Islam di ambang 100 hari" menguasai Selangor.

Roslan menggesa seniman mencari alternatif untuk mengetengahkan idea mereka dan tidak tunduk kepada bantahan sebegini.

"Jangan tunduk. Jika tunduk, kita seolah-olah akui kita salah.

"Kalau saya, waktu mula-mula masuk dulu, saya nak ketengahkan muzik Melayu ke seluruh dunia.

"Saya akan buat. Tak apa, saya tak hairan kalau tak boleh pergi Kelantan. Saya cari jalan lain," tambahnya, yang mulai dikenali meluas selepas kejayaan album Sheila Majid dan Zainal Abidin pada akhir 1980-an.

Seniman beragama Islam, tambahnya, tidak pernah berniat melawan nilai-nilai Islam.

Mengulas larangan mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin terhadap penyanyi Faizal Tahir, Roslan berkata:

"Kalau nak ikut betul-betul, berapa ramai ahli parlimen tidak boleh masuk Perlis. Tengoklah perangai mereka dalam parlimen macam mana. Itu lebih teruk daripada Faizal Tahir."

Kumpulan rock terkenal Nitrus pula berkata Pemuda PAS berhak membantah tetapi tidak boleh mengetepikan hak orang lain.

"Dia ada hak beri pandangan mereka. Pihak yang lain juga ada hak. Yang perlu dibuat adalah diskusi, mesyuarat. Soal aurat, suara perempuan itu tidak terperinci (dijelaskan). (Bantahan) itu sesuatu yang kritikal. Ramai orang Islam yang cari makan dengan muzik, macam kami.

"Perkembangan budaya juga penting untuk pembangunan masyarakat. Diskusi patut melibatkan ahli akademik dan orang industri sendiri. Bincang, kemudian umumkan," kata vokalis kumpulan bebas itu Syed Helmy Syed Hood.

Bercanggah dengan manifesto

Ditanya sama ada mereka bersetuju dengan alasan moral dan pembaziran yang diberikan Pemuda PAS, Syed berkata:

"Kurang setuju. Tuduhan itu kurang konkrit, macam cakap tak ada dalil, tak ada alasan (terperinci). Kalau kata tak setuju, nyatakan batasan, garis panduan yang jelas.

"Budaya seni tidak boleh dipanjang remeh. Ia adalah sebahagian daripada kita," tambahnya.

Sementara itu, penggiat muzik dan pelukis Mazir Ibrahim pula berkata, bantahan Pemuda PAS itu tidak wajar.

"Kerajaan baru harus utamakan pembangunan masyarakat, bukan politik semata-mata. Takkan kerajaan baru kerjanya hanya mengharamkan. (Mereka) mesti sediakan (ruang) untuk semua. Bukan hal-hal yang dia suka saja," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tambahnya, hujah Pemuda PAS bahawa konsert itu akan "mengundang risiko moral yang tinggi" sebagai tidak relevan.

"Hujah yang dikemukakan mereka tidak relevan sama sekali. Tujuannya satu, untuk 'menghijaukan' (melebarkan pengaruh PAS di) Selangor sebab bertolak daripada premis politik.

"Tidak ada konsert, di Kelantan ada juga anak luar nikah. Ini soal pembangunan budaya. Ini juga tentang cari makan. Konsert kalau tidak benarkan, mesti beri alternatif lain," tambahnya, yang juga koordinator Music Forum.

Aktivis politik Amin Iskandar berkata tindakan Pemuda PAS Selangor itu sebagai "menipu" rakyat kerana bercanggah dengan manifesto parti itu dalam pilihanraya umum lalu.

"Tindakan ini tidak demokratik. Kenapa tidak tulis dalam manifesto dulu? Tindakan ini menipu rakyat. Kalau dulu tulis, itu OK. Dia kena sedar, Pakatan menang, termasuk PAS, dalam kawasan berkomposisi pelbagai kaum. Jadi tuntutan itu tidak sesuai dengan aspirasi Pakatan.

"Yang memenangkan mereka dulu bukan (penyokong) PAS saja, tetapi semua pihak. Jangan lupa pada Cina yang buka bilik gerakan untuk mereka dan India yang bertakbir selepas ceramah PAS dulu," katanya.

Tindakan Pemuda PAS ini hanya menunjukkan parti itu tidak bersedia memerintah Malaysia, tambahnya.

04 Mei 2008

Faizal gondol 4 anugerah AIM

Faizal Tahir yang baru-baru ini dikatakan oleh salah seorang mufti negeri sebagai seorang artis yang "membawakan contoh-contoh buruk" kepada masyarakat, telah berjaya menggondol empat buah anugerah di malam Anugerah Industri Muzik (AIM) yang telah diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Beliau telah memenangi anugerah Album Rock Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album Lelaki, Artis Baru Terbaik dan Album Terbaik.

Di bawah, disenaraikan nama-nama pemenang dan anugerah yang dimenangi:

Album Terbaik
Aku.Muzik.Kamu – Faizal Tahir / Audi Mok, Kunci Demak, Aubrey Suwito, Ahmad Izham Omar & Faizal Tahir

Lagu Terbaik – Komposer / Penulis Lirik
Azlan Abu Hassan / Sulu Sarawak – Izinku Pergi (Kaer Azami)

Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Lelaki)
Faizal Tahir – Aku.Muzik.Kamu

Persembahan Vokal Terbaik di Dalam Album (Wanita)
Dato’ Siti Nurhaliza – Hadiah Daripada Hati

Artis Baru Terbaik
Faizal Tahir

Artis Harapan
Suki

Album Rock Terbaik – Artis / Produser
Aku.Muzik.Kamu – Faizal Tahir / Audi Mok, Kunci Demak, Aubrey Suwito, Ahmad Izham Omar & Faizal Tahir

Album Pop Terbaik –Artis / Produser
Hadiah Daripada Hati – Dato’ Siti Nurhaliza / Dato’ Siti Nurhaliza, Aubrey Suwito, Audi Mok, Azlan Abu Hassan, Greg Henderson, Jenny Chin & Sharon Paul

Album Pop Etnik Terbaik – Artis / Produser
Melodi Ahlaan – Waheeda / Waheeda, Yasin Sulaiman, Cat Farish & Hafiz Hamidun

Album Nasyid Terbaik – Artis / Produser
Maulana – Rabbani / Rabbani, Azmi Manap & Yasin Sulaiman

Album Inggeris Tempatan Terbaik –Artis / Produser
Eclecticism – Melissa Indot / Melissa Indot & Marinna Indot (Executive), Mac Chew, Audi Mok & Sharon Paul

Album Cina Tempatan Terbaik – Artis / Produser
Here I Come – Andrew Tan / See Kwan Seng & Joshua Hing

Album India Terbaik Tempatan – Artis / Produser
Martin Zamigano Kanmani – Martin Zamigano / Martin Zamigano

Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Disampaikan Oleh Artis Luar Negara – Artis
Terlalu Cinta – Rossa

Kulit Album Terbaik
Jenny Sun – After 8 (Liang)

Rakaman Album Terbaik – Jururakam
Nick Lee, JD Wong & Illegal – After 8 (Liang)

Video Muzik Terbaik
Sean Chan – Sangkar

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bahasa Malaysia) – Penggubah
Nai Kong – Cintamu (Dato’ Siti Nurhaliza)

Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Bukan Bahasa Malaysia) – Penggubah
Hafiz Hamidun – Last Breath (Hafiz Hamidun)

Anugerah Kembara
Pop Shuvit

Anugerah Wirama
Fauzi Marzuki

30 Januari 2008

Filem Malaysia 2007

BeritaSeni Walaupun perkembangan industri perfileman di Malaysia pada tahun sudah adalah diperingkat sederhana, namun telah banyak juga filem yang mengalami evolusi kepada yang semakin baik dan tercetusnya 'scene' filem indie yang mampu memberikan kelainan kepada penggemar-penggemar filem di Malaysia.

Bagi yang meminati dunia filem, pasti akan kenal dengan nama Hassan Muthalib seorang pengkritik filem, penganalisis filem, penulis dan penggiat seni filem. Baru-baru ini beliau ada menyatakan beberapa buah filem yang boleh dianggap terbaik olehnya pada tahun 2007.

Filem-filem tersebut adalah filem Mukhsin arahan Yasmin Ahmad, Haru Biru arahan Shadan Hashim, Zombie Kg Pisang arahan Mamat Khalid, Before We Fall in Love Again arahan James Lee, The Birdhouse arahan Khoo Eng Yow dan Chalanggai arahan Chemman Chaalai.

Beliau menyakan bahawa antara sebab filem-filem itu menjadi pilihan beliau kerana cara pembawaan cerita-cerita itu yang baik dan disampaikan kepada penonton dengan cara yang penuh sinematik.

29 Januari 2008

Filem Yuhang menang di Rotterdam

BeritaSeni As I Lay Dying filem pendek arahan pengarah muda berbakat besar Ho Yuhang memenangi Anugerah Tiger di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam, Belanda yang ke 37.

Beliau menerima penghargaan tersebut pada malam penganugerahan yang dikhususkan untuk filem-filem pendek terkemuka di dunia; pada malam 28 Ogos, hari Isnin yang lepas. Pada malam itu juga terdapat dua buah filem pendek lagi, yang mendapat penghargaan tersebut. Filem-filem itu adalah Ah, Liberty! oleh Ben Rivers dari UK dan Observando el cielo oleh Jeanne Liotta dari US.

Menurut sumber festival filem tersebut, filem arahan Ho Yuhang berjaya memenangi Anugerah Tiger tersebut disebabkan oleh penilaian di segi teknikalnya atau "picture perfect framings, its smooth [dan] sure-handed embrace".

Antara juri-juri Penghargaan Tiger khas untuk Filem Pendek Cik Moniek Toebosch, artis tampak dari Belanda , Cik Katia Rossini, kurator panggung filem dari Brussel, Belgium, pengedar dan Encik Mike Hoolboom, artis yang berkerja untuk filem dan video.

26 Januari 2008

Natasha Hudson plagiat?

BeritaSeniNatasha Hudson, seorang pelakon filem yang juga merupakan seorang penulis sambilan, dikatakan telah memplagiat hasil puisi karangan Roger McGough seorang penyair Inggeris yang tersohor.

Puisi karangan Roger McGough itu yang bertajuk "Cake" dalam versi asal dan "Kek Coklat Itu", dikatakan juga diterjemah secara terus (direct translation)oleh pelakon yang baru mahu meningkat naik itu.

Puisi Asal;

i wanted one life
you wanted another
we couldn’t have our cake
so we ate each other.

Ini pula hasil tulisan Natasha Hudson yang dikatakan dicedok dari puisi Roger McGough;

Saya mahu satu kehidupan,
Kamu mahu sesuatu yang lain,
Kita tidak dapat makan kek coklat,
Jadi kita makan sesama diri.

Jannah Raffali dalam blognya "Gee Wheez Sudah Malas Menulis" mengirim blog posting bertajuk Natasha McGough Hudson. Beliau juga turut dengan nada sinis mengatakan bahawa beliau sanggup meminta maaf secara terbuka jika betul Roger McGough mempunyai hubungan dengan Natasha Hudson -- sepupu jauh, mungkin.

Selain itu, Da Cookie dalam blognya turut menyatakan antara puisi-puisi lain yang mungkin diplagiat oleh pelakon yang berwajah ayu itu;

Si Kura-Kura Kecil by Natasha Hudson

Ada seekor kura2 kecil
tinggal di dalam kotak
berenang di tepi tasik
memanjat di atas batu

dia cuba menggigit nyamuk
dia cuba mengigit kutu
dia cuba menggigit berudu
dia cuba menggigit aku

dia berjaya menangkap nyamuk
dia berjaya menangkap kutu
dia berjaya menangkap berudu
tetapi dia tidak berjaya menangkap aku

The Little Turtle by Vachel Lindsay

There was a little turtle.
He lived in a box.
He swam in a puddle.
He climbed on the rocks.

He snapped at a mosquito.
He snapped at a flea.
He snapped at a minnow.
And he snapped at me.

He caught the mosquito.
He caught the flea.
He caught the minnow.
But he didn't catch me.

Mentega kuning, jelly ungu, jam merah, roti hitam by Natasha Hudson

Mentega kuning, jelly ungu, jam merah, roti hitam
ratakan tebal
katakan cepat

ratakan tebal
katakan cepat

sekarang ulang
sambil kamu makan

sekarang ulang
sambil kamu makan

janganlah bercakap
bila mulut kamu penuh

Things We Like to Eat by Mary Ann Hoberman

Yellow butter, purple jelly, red jam, black bread.
Spread it thick,
Say it quick.

Yellow butter, purple jelly, red jam, black bread
Spread it thicker,
Say it quicker.

Yellow butter, purple jelly, red jam, black bread
Now repeat it,
While you eat it.

Yellow butter, purple jelly, red jam, black bread
Don’t talk
With your mouth full!

Dalam blognya itu juga, Da Cookie mengatakan secara berseloroh bahawa Natasha Hudson lebih baik berada di bidang peragaan. Dan beliau juga percaya bahawa penerbit tempat bukunya diterbitkan sepatutnya mengumpulkan semula semua buku-bukunya dan mengkaji jika terdapatnya lagi puisi-puisi hasil plagiat.

20 Januari 2008

Saya sekarang mantan Sasterawan Negara - A. Samad Said

BeritaSeni "Saya sekarang mantan Sasterawan Negara," tegas A. Samad Said atau panggilan mesranya Pak Samad dikalangan anak-anak muda.

Rahmat Haron, seorang penyair, pelukis dan penulis yang juga merupakan anak didik terdekat kepada Pak Samad menyifatkan bahawa kenyataan Pak Samad itu sebagai respon terhadap masalah yang berkaitan dengan buku teks baru. Buku teks yang berkenaan adalah untuk komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang dijangka guna tahun 2010 nanti.

Kenyataan oleh mantan SN (Sasterawan Negara) itu, terdapat dalam tulisan Rahmat Haron yang tersiar di Blogzine terkenal Malaysia, iaitu Rice Cooker yang boleh dicapai di http://ricecooker.kerbau.com/, Kenyataan bertulis oleh sebuah sekteriat bebas negara - Sekretariat Bertindak Anak Muda Malaysia (SAMA) dan di dalam blog Amin Iskandar yang boleh dilayari di http://aminiskandar.wordpress.com/.

Kata Rahmat Haron lagii, "[t]ak ada apa lagi yang aku mampu katakan lagi melainkan bebal, bingai, bodoh, sial dan banal! Beginilah cara orang bodoh mengaut keuntungan dengan rasuah dan penyelewengan kuasa. A. Samad Said yang mesra dengan gelaran Pak Samad kini bukan lagi sasterawan Negara, dia adalah Sasterawan Rakyat!"

Menurut Amin Iskandar pula, "A. Samad Said dengan nada kecewa dan marah mengumumkan bahawa beliau tidak mahu menggunakan lagi gelaran Sasterawan Negara."

SAMA antara petikan kenyataannya menyebut bahawa mereka merasa kecewa dengan pengiktirafan novel-novel Ahadiat Akashah seperti Budak Setan, Budak Rap dan Cinta Tiga Hari diangkat menjadi rujukan para pelajar bagi mata pelajaran sastera.

"Novel serta karya seperti ini tidak mengandung apa-apa nilai kesusasteraan, kemanusian dan pemikiran. Ia tidak lebih daripada sekadar hanya cerita cinta remaja yang cukup ringan dan kosong pemikirannya. Seperti langit dengan bumi jika mahu membandingkan karya-karya Usman Awang dengan penulis seperti Ahadiat Akashah ini." Kata sekreteriat itu lagi.

Pak Samad menurut Amin Iskandar atau Black, membuat kenyataan tidak mahu 'memakai' gelaran SN ketika di sebuah majlis Acara Baca Puisi di RA Fine Arts Gallery pada 19 Januari 2008.

25 September 2007

Marcel Marceau meninggal dunia


Seniman pentomin terkenal Marcel Marceau meninggal dunia Ahad lalu di Paris ada usia 84 tahun.

Marcel Marceau atau nama sebenarnya Marcel Mangel merupakan seniman Yahudi kelahiran Strasbough, Perancis.

Beliau yang popular dengan watak popular Bip the Clown itu mengingatkan penonton kepada tokoh komedi dunia Charlie Caplin. Karya-karya Marcel menjadi inspirasi kepada seniman terkenal lain. Antaranya Micheal Jackson yang meniru pergerakan mendiang di pentas dengan aksi yang dikenali “moonwalk”.

Sejak jelajah pertamanya di Amerika Syarikat pada 1955, Marcel bekerja mengelilingi dunia untuk mempopularkan “seni yang diam” (art of silence atau L'art du silence). Dunia pantomin dilihat sangat sinonim dengan beliau. Pada usia awal 80, beliau masih aktif membuat persembahan seperti biasa.

Mendiang juga pernah berlakon dalam beberapa filem. Antaranya Barbarela (1968) , Silent Movie (1976) dan Kinski Paganini (1989).

Pada 1978, Marcel mengasaskan Ecole Internationale de Mimodrame de Paris, organisasi untuk mempromosikan lakon pentomin (mimodrama).

Kerajaan Perancis mengurniakannya Legion od Honor, penghargaan tertinggi dalam bidang seni di negara itu.

Beliau lahir pada 22 Mac 1923 dalam keluarga Yahudi. Bapanya merupakan seorang penjual daging yang menjadi mangsa Gestapo pada Perang Dunia Kedua justeru mengembuskan nafas terakhir di Kem Auschwitz.

Mendiang meninggalkan isteri ketiganya Anne dan empat anak. Tiada penyebab kematian yang spesifik dikenal pasti setakat ini. - Jimadie Shah Othman