10 Oktober 2009

Bogelnya si pejalan menuju Tuhan

Oleh Zahiril Adzim

Begini.

Kamu lengkap berpakaian, sedang berjalan. Memandang terus ke hadapan, tidak ada pilihan untuk berpatah balik, kecuali Tuhan benarkan sistem kiraan waktu ke belakang.

Iaitu, contoh - selepas Rabu ialah Selasa. Selepas jam 7 ialah jam 6.

Tidak wujud hukum itu. Bukan hukum alam.

Yang tadi, memang lengkap berpakaian. Dari atas kepala jatuh ke kaki. Kemas, segak, cantik, anggun, ayu, hensem, kacak, cun, macho, sweet, cute, dan semuanya adjektif positif. Tanpa mengira gender

Kerana bila kita mula mengenali pemikiran sendiri, mula menggunakan otak, mula peka dengan sosial kehidupan, waktu itu umur sudah lebih kurang besar.

Seperti baru terjaga dari tidur. Waktu itu bangun dari katil adalah keputusan sendiri, angkat tangan adalah keputusan sendiri, capai tuala adalah keputusan sendiri. Tidak seperti mimpi, yang kita sendiri pun tidak tahu siapa yang membuat keputusan untuk menggerakkan plot mimpi tadi.

Sebab itu sedar - sedar, kita sudah berjalan. Bukan baru melangkah mula.

Jadi, dengan lengkapnya berpakaian yang sedang berjalan, itulah kehidupan. Terus berjalan. Namun, kejap - kejap berjalan, rambut kita ditiup angin. Habis rosak gayanya.

Itulah halangan. Kita jalan lagi terusnya. Dengan gaya rambut malapetaka.

Kejap - kejap kita jalan lagi, kasut kita terpijak lumpur. Itu juga salah satunya halangan. Kita jalan lagi dengan kasut berlumpur.

Kejap - kejap kita jalan lagi, baju tercarik terkena benda tajam. Habis terburai, menampakkan bahagian badan. Atau aurat.

Kita berhenti untuk mengenal pasti apakah halangan yang mencarikkan baju kita tadi. Kita jerit, kita marah, kita menangis dek baju yang tercarik robek. Betul - betul marah kenapa dicarikkan!

Kita perlu jalan lagi. Kalau baju itu tercarik kecil, kita pasangkan lagi ke badan.

Kalau cariknya besar, kita tanggalkan saja. Walau tak berbaju, kita harus jalan.

Kejap - kejap kita jalan lagi, seluarnya ditarik. Putus butang di pinggang, lansung londeh ke bumi. Itu kemaluan yang besar dipertontonkan. Baju tadi sudah dibuang, maka separa bogel meninggalkan seluar yang londeh habis.

Mahu pulang ke belakang sekarang? Ingat, tiada hukum pukul 7 jadi 6 selepasnya. Tiada.

Tidak ada jalan lain, samada pegang seluar itu atau tanggalkan sahaja.

Begitulah lengkapnya pakaian ditarik, dicarik, disentap oleh kehidupan. Satu - persatu dirosakkan, diambil.

Jikalau harus berbogel untuk sampai ke hujung, akan aku lakukan.

Kerana dihujung itu mati.
Di hujung itu Pencipta yang menunggu kita.

Dan siapa yang sedar, rupanya yang menarik, mencarik lengkapnya pakaian tadi, adalah Tuhan.

p/s: Kita hidup di dunia, dengan tiada siapa sebenarnya. Sendirian.

Tiada ulasan: