10 Oktober 2009

Jin Notti - Wah ada Jin S*hole!!!

Oleh Ikhares

Sewaktu aku menonton filem Jin Notti ini, telah tercetus beef di antara Norman Abd Halim dan David Teo. Beef bahlul dari dua produser tentang filem keluaran mana yang mendapat pulangan tiket tertinggi. Dengan kata lain, bermaksud, perang ego antara dua kapitalis yang cuba membuktikan filem mana yang lebih membuat untung.



Apapun, Jin Notti merupakan pilihan kedua aku selepas Momok. Jangan silap. Ini bukan bermakna aku mahu menyebelahi Momok. Tetapi sebagai penonton. Aku telah memilih untuk menonton Momok terlebih dahulu dan menjadikan Jin Notti sebagai kos lepas. Hanya semalam, baru aku berkesempatan dan juga mempunyai bajet untuk menonton Jin Notti.

Sebab-sebab aku memilih untuk menonton Momok mungkin kerana poster Momok,yang secara sublimenya memberi lebih nilai kepada libido sinema aku. Mungkin kerana, secara peribadi, orientasi syahwat sinema aku lebih kepada genre seram dari filem komedi.

Dan, yeah, aku tertipu, apabila Momok yang aku sangkakan seram bertukar menjadi sebuah komedi. Ceh, sudahnya langsung tiada ereksi. ( Aku bukan tidak gemarkan komedi, cuma komedi di dalam Momok ini tidak tersangka.)

Berbalik kepada Jin Notti. Kuat angin bertiup bahawa filem ini best. Apa yang bestnya? Kata mereka lain dari yang lain. Panggung penuh. Kelakar nak mampos. Sampai ada yang berani mengatakan bahawa filem Jin Notti ini merupakan satu revolusi dalam pembikinan filem melayu.

Air liur pavlov aku memang akan meleleh-leleh apabila mendengar semua ini. Sebagai pengganut skeptism tegar, tidak boleh tidak, aku perlu menonton filem ini.

Dan ohh...

INi rebiunya.

***

Mahu sahaja aku melempang mereka yang mengatakan filem ini sebuah revolusi tadi. Satu-satunya revolusi yang ada di dalam filem ini adalah JIN BERWAJAH PUNGGUNG dengan suara angin KENTUT! Selain dari itu, aku tidak nampak apa yang dihiperbolakan sebagai revolusi. Evolusi mungkin. Evolusi lambat dari sebuah produksi yang seharusnya mampu menghasilkan sebuah filem yang jauh lebih baik daripada ini.

Namun aku perlu akui bahawa, idea mencipta satu watak seperti Jin berwajah punggung ini merupakan satu perkara yang sangat radikal dalam pembikinan filem di sebuah negara yang mengamalkan Kesopanan dan Kesusilaan sebagai rukun negaranya (hahaha). Ini sebuah idea yang sangat absurd dan subversif. Sebelum ini aku hanya dapat melihat watak sebegini di dalam komik Crayon Shin Chan oleh Yoshito Usui ( yang telah mati baru-baru ini). Siapa yang tidak kenal Shin Chan dan obsesnya terhadap punggung? Buat pertama kalinya aku melihat figur manusia berwajah punggung adalah di dalam komik ini dengan nama Manusia Punggung Pipo Pipo. Dan kini, di Malaysia, Azhari Zain, samada terpengaruh dengan si genius Usui telah mewujudkan karekter sebegini yang bukan sahaja mengganggu malahan jenuh difikirkan bagaimana LPF tidak nampak ada satu punggung montok terpampang bogel dengan jelas di layar perak sambil mengeluarkan suara kentut.

Damn!

Mungkin bagi LPF, punggung yang di atas tidak sama dengan punggung yang dibawah. Hahahahaha. Karekter ini juga mengingatkan aku pada satu karekter di dalam Man In Black 2, dimana terdapat seekor makhluk asing yang dagunya adalah skrotum. Mentaliti kreatif rakyat Malaysia sudah sampai ke situ.

Terdapat beberapa percubaan oleh Azhari Zain untuk menjadikan beberapa babak di dalam filem ini sebagai satu parodi dan sindiran terhadap isu-isu politik negara. Sebagai contoh terdapat seekor Jin yang bernam Jinggam. Ha ah! Dengan karekternya sebagai seorang pendakwaraya dan adegannya bercakap melalui telefon itu memang mengingatkan kita pada kes Linggam. Juga terdapat satu watak peguam, yang mengingatkan aku pada figur politik pembangkang terkenal berbangsa Singh.

Menyentuh soal lakonan, aku berpendapat bahawa Mawi sungguh kaku walaupun wataknya ditonjolkan dengan begitu cool, namun apabila dia berdialog dan beraksi, lebih-lebih lagi sewaktu bergaduh ala-ala tomoi Tony Jaa, nampak sungguh tidak reti bergaduh. Fara Fauzana kelihatannya mempunyai potensi yang bagus juga di dalam bidang lakonan. Mungkin kerana dia pernah berlakon di dalam siri TVnya tidak lama dulu. Dan satu-satunya penyelamat, sumber humor numero uno, adalah Cat Farish. Walaupun lakonannya agak stereotaip dengan watak-watak lakonannya terdahulu, ianya masih mampu menarik gelak aku.

Terdapat satu perkara yang sangat mengecewakan iaitu CGI. Aku berkongsi pendapat dengan Fadz. CGI di dalam filem ini buruk. Teknik Kromakinya seolah dibuat menggunakan Adobe Premiere CS3. Yang mana, komputer buruk aku ini pun boleh lakukan. Agak pelik juga apabila produksi yang gah dengan teknologi dan kepakaran canggihnya melakukan CGI melepas batuk di tangga sebegitu. Perkara yang menyakitkan mata aku adalah api yang sungguh artifisial di mahkamah dunia jin. Juga scene di mana Notti berbicara dengan ayahnya Nesti, Back groundnya sungguh la huduh. Sedarlah KRU! CGI tidak akan bererti sekiranya buruk, lebih baik dibuat sahaja di lokasi semulajadi, dan keadaan ini akan bertambah parah sekiranya naratif filem itu berkembang dari satu adegan ke satu adegan secara kurang kewarasan tanpa sebab dan akibat yang kukuh dan lojik.

Sebagai contoh, Terdapat satu adegan di mana Aziz telah menyelamatkan Notti yang sedang menjelma sebagai Yvonne ( Apa ke jadah ntah ejaan nama ni). Yvonne merupakan kekasih kepada Taiko ( Corie) iaitu ketua samseng yang ingin diperangkap oleh Aziz. Selepas menyelamatkan Yvonne, Aziz dengan tak tahu apa sebabnya membawa Yvonne ke pondoknya yang terletak di dalam hutan. Di sini juga terdapat satu adegan Aziz mengaji Quran.

Perkembangan sebab akibat sebegini memang payah hendak difahami. Apakah motifnya Aziz membawa Yvonne ke pondoknya itu tidak difahami. Kenapa dia perlu membawa minah itu ke pondoknya. Minah itu bukan kekasihnya. Malahan dia tiada niat romantik dengan Yvonne.
Dalam masa yang sama dia ( baca : Aziz) ditonjolkan sebagai seorang lelaki yang alim dan warak. Warak-warak pun bawa perempuan ke pondok buruk tepi hutan juga. Haha.

Perkara yang paling mengganggu aku di dalam filem ini adalah adegan dimana menunjukkan Aziz mengaji al-Quran. Aku tidak bermaksud untuk menjadi sekular. Namun, pendapat peribadi aku, sebuah filem yang bergenre fantasi seperti Jin Notti ini adalah bercanggah dengan unsur-unsur agama suci Islam. Filem yang ideanya mengenai seekor jin betina, bertanduk, hidup di alam jin ( lokasi signifikannya di dalam lubang tandas kerana untuk keluar dari dunia tersebut adalah melalui lubang tandas) menjelma ke dalam tubuh berbagai gadis. Segala yang ditonjolkan adalah perkara-perkara fantasi, perkara-perkara tidak real. Dalam ketidak real itu tiba-tiba terdapat satu elemen yang real. Malahan boleh dilihat sebagai higher realiti. Iaitu agama. Islam dan Kitab Suci. Perkara-perkara ini adalah perkara benar. Perkara yang melibatkan keimanan.

Ini sesuatu yang menjengkelkan kerana bagi aku, Jin Notti yang dibikin atas genre 'fantasi' harus dibiarkan di dalam keadaan 'sekular'. Tidak perlu ada elemen agama di dalam filem bercorak fantasi begini. Ini kerana aku telah bersedia menerima fiksyen fantasi yang penuh elemen khurafat ini tetapi tiba-tiba eh eh, ada ayat suci pula.

Apakah relevannya adegan ini?

Ianya kelihatan seperti satu bentuk eksploitasi terhadap agama. Mawi itu sahaja sudah jelas sebagai satu simbol eksploitasi. Semua orang tahu Mawi mengaji memang best, tetapi adegan sedemikian langsung tidak kena dengan konsep cerita yang penuh dengan elemen-elemen bidaah dan khurafat ( hah ambik kau!). Adakah sebagai satu mesej dakwah? noo...

Perkara ini seharusnya dilihat dari sudut yang lebih sensitif. Fantasi itu ok. Tetapi sekiranya dimasukkan elemen islamik, elemen fantasi di dalam filem itu lansung akan menjadi tidak ok. Kerana ianya bercanggahan. Faham tak ni? Kalau tak faham, abaikan.

Selama sejam setengah, Jin Notti menghidangkan sebuah filem fantasi yang menghiburkan di skala yang sederhana. Cubaan pertama yang tidaklah gagal bagi Azhari Zain yang kelihatan begitu beremosi menyalahkan kelemahan diri. Rilek Abang Zack, ini cubaan pertama.

***

Jin Notti merupakan sebuah filem pop corn melayu yang biasa-biasa sahaja. Mungkin kerana aku menonton filem ini dalam keadaan mahu mencari dimanakah yang dikatakan best sampai pecah-pecah panggung itu. Dan kecewa kerana tidak menjumpainya.

Dan mungkin juga aku menonton ini selepas kejadian Norman melenting-lenting dengan David Teoh ( Ironinya, david Teo berlakun di dalam filem ini haha) kerana berebutkan pengiktirafan filem terlaris itu. Yang sedikit sebanyak menggetikkan hati aku.

Demi Tuhan, berhentilah bersaing secara bahlul begini. Baik Momok mahupun Jin Notti. Keduanya masih jauh untuk dilihat sebagai sebuah filem yang bagus.

Tak malu ke?

P/S- aku tidak sertakan sinopsis. Boleh baca sinopsis di blog lain.

Tiada ulasan: