Memaparkan catatan dengan label pkr. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pkr. Papar semua catatan

11 September 2008

Ramlang ditukar ke Jakim

Oleh: Jimadie Shah Othman (malaysiakini)

Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi telah ditukar ke bahagian pentadbiran dan kewangan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya, berkuatkuasa 9 September lalu.

Surat bertarikh 8 September itu ditandatangani oleh pengarah bahagian berkenaan, Abdul Murat Abdul Wahab.

Surat tersebut tidak menyatakan sebab-sebab Ramlang ditukar ke bahagian berkenaan.

Bagaimanapun, surat itu menyatakan Ramlang dikekal pada Gred 17.

Perkara itu disahkan oleh peguamnya, Ahmad Nizam Hamid ketika dihubungi Malaysiakini pagi ini.

Pada 15 Ogos lalu, Ramlang adalah antara empat imam Masjid Wilayah Persekutuan yang diarahkan menghadiri majlis angkat sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan di masjid tersebut yang mendakwa dia diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Jun.

Ramlang kemudiannya muncul di tiga majlis anjuran Pakatan Rakyat pada 24 Ogos lalu - dua hari sebelum hari pengundian pilihanraya kecil Permatang Pauh - meminta supaya beliau tidak dikaitkan dengan majlis sumpah laknat Saiful kerana hadir tanpa perancangan awal dan hanya kebetulan berada di masjid untuk urusan pernikahan.

Ramlang juga menjelaskan beliau telah diarahkan hadir di majlis sumpah Saiful itu tetapi tidak menyatakan lebih lanjut pihak yang mengarahkannya berbuat demikian.

Sementara itu, Ahmad Nizam berharap tindakan Jakim itu tidak bersifat 'pemecatan konstruktif'.

"Ini bukan pemecatan tetapi memberi tekanan kepada pekerja. Dalam kes ini kadang-kadang mereka bagi meja dan kerusi tapi kerja tidak ada.

"Saya harap Jakim tidak melakukanm perkara itu (terhadap Ramlang)," katanya.

Menurut Ahmad Nizam lagi, sudah tentulah anak guamnya kini dalam keadaan sedih.

Katanya, walaupun gred jawatan Ramlang adalah sama tetapi dia tidak lagi menjadi imam.

04 Ogos 2008

Dari Bangsar Utama: Pilihan raya kecil Pmtg Pauh, bakal jadi pilihan raya terkotor





Pilihanraya kecil di Permatang Pauh nanti bakal menjadi pilihanraya yang paling kotor dalam sejarah Malaysia. Menurut sumber yang berada di”dalam” parti pemerintah, misi utama BN hanyalah untuk mengurangkan majoriti kemenangan di Permatang Pauh.

Pada PRU 12 yang lalu, Dr. Wan Azizah menewaskan calon BN dengan majoriti 13,388.

Kerja-kerja jahat akan dilakukan bagi memastikan Anwar Ibrahim menang dengan majoriti yang rendah. Jika majoriti berkurangan satu undi sekalipun, BN akan mengatakan bahawa Anwar sudah tidak lagi popular dikawasannya.


Sumber dalaman tersebut memberitahu, agen-agen BN sudah berada dikawasan Permatang Pauh untuk melaksanakan kerja-kerja jahat ini. Bagi setiap satu undi, agen-agen ini akan membayar RM 1000.


Kepada pengundi di Permatang Pauh, jika ada agen-agen BN datang dan memberi duit, ambil duitnya. Tetapi undilah calon yang anda mahukan. Pemberi wang tersebut tidak tahu siapa yang anda undi kerana “UNDI ADALAH RAHSIA”.

Dan bagi penduduk Permatang Pauh yang terlihat akan kejadian pembelian undi, sila rakamkan dengan kamera, video atau gunakan telefon bimbit yang mempunyai kemudahan kamera dan video. Jika ada bukti pembelian undi dilakukan, boleh hubungi saya melalui email di amin.iskandar@gmail.com.

Kita akan dedahkan segala penipuan pilihanraya ke peringkat nasional dan antarabangsa!!!

12 Julai 2008

Ezam bagi amaran kepada Anwar

Oleh Malaysiakini

"Kalau keluar dari mulut Anwar, keluar dari mulut Wan Azizah (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kata saya adalah sebahagian daripada konspirasi, dalam tempoh 24 jam saya akan bersumpah dengan secara Islam sebenar-benarnya untuk lawan Anwar," Ezam


Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor berkata beliau akan membongkar apa yang diketahuinya mengenai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau dikaitkan dengan dakwaan konspirasi politik untuk menjatuhkan mantan timbalan perdana menteri itu menerusi tuduhan liwat.

"Kalau keluar dari mulut Anwar, keluar dari mulut Wan Azizah (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kata saya adalah sebahagian daripada konspirasi, dalam tempoh 24 jam saya akan bersumpah dengan secara Islam sebenar-benarnya untuk lawan Anwar," katanya di dalam satu ceramah mengenai isu-isu semasa anjuran Umno bahagian Shah Alam dan sebuah pertubuhan bukan kerajaan "Alam Free Speech" di Seksyen 19 malam tadi.

Menurut laporan Bernama, Mohamad Ezam yang juga bekas setiausaha politik Anwar berkata beliau akan membongkar segala apa yang beliau tahu mengenai pemimpin PKR itu walaupun ia akan mengaibkan anak-anak dan keluarga Anwar.

Katanya, beliau tidak berniat untuk mendedahkan apa yang diketahuinya tentang Anwar tetapi jika maruahnya terus dicabar kononnya beliau dibawa masuk ke dalam Umno dan di beri habuan berjuta-juta ringgit, beliau terpaksa bertindak.

Mohamad Ezam berkata beliau telah berjumpa dengan dua ulama muktabar untuk mendapatkan pandangan mereka dan diberitahu adalah wajib bagi beliau untuk mempertahankan maruahnya.

Beliau juga berkata, ahli-ahli Umno juga perlu bangkit dan berjuang mempertahankan parti dan pemimpin-pemimpinnya yang kini diasak oleh Anwar.

Mohamad Ezam berkata dakwaan Anwar terdapat konspirasi politik ke atasnya setelah pembantu khas beliau Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23 membuat laporan polis bahawa Anwar telah meliwatnya bulan lalu, sepatutnya berkisar sebagai masalah peribadi Anwar dan pemuda itu sahaja.

Katanya, perkara itu tidak perlu diperbesar-besarkan sehingga mengaitkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia Altantuya Shariibuu.

10 Julai 2008

Kenyataan Media: Usul tidak percaya kepada PM

Oleh Datin Seri Wan Azizah


Pilihanraya Umum ke-12 menyaksikan ‘Tsunami Politik’ yang mengakibatkan 5 negeri dan juga Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sekaligus menafikan penguasaan majoriti 2/3 Barisan Nasional.



8 Julai 2008

KENYATAAN AKHBAR KETUA PEMBANGKANG

Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2)

Sebentar tadi saya dengan diiringi wakil parti-parti komponen Pakatan Rakyat telah menghantar surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk membawa satu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan (2).

Usul tersebut berbunyi:

“Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan.”

Pilihanraya Umum ke-12 menyaksikan ‘Tsunami Politik’ yang mengakibatkan 5 negeri dan juga Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat sekaligus menafikan penguasaan majoriti 2/3 Barisan Nasional.

Kemenangan tipis BN ini telah dicapai melalui manipulasi SPR dan pembohongan yang tidak bermaruah. Harga minyak telah dinaikkan secara mengejut selepas PRU walaupun Timbalan Perdana Menteri semasa melancarkan manifesto BN telah berjanji tidak akan menaikkannya. Negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat juga dianaktirikan menunjukkan sikap BN yang bertentangan dengan semangat demokrasi dan federalisme. Ahli-ahli Parlimen BN yang bertindak menolak sikap pimpinan mereka yang tidak bertanggung-jawab diugut dan dipaksa supaya tidak bersuara.

Perkembangan ini mengakibatkan wujudnya krisis keyakinan terhadap YAB Perdana Menteri dan kabinet beliau. Rakyat kini dilanda beberapa krisis besar seperti harga minyak yang terlalu membebankan rakyat, harga bahan makanan dan keperluan asas rakyat yang semakin mahal, keyakinan rakyat yang semakin terhakis terhadap institusi Polis, Peguam Negara dan Badan Kehakiman, Peningkatan kadar jenayah dan gejala Rasuah yang semakin membarah.

Kami yakin Dewan yang mulia ini wajar membincangkan Usul yang dikemukakan ini.

Sekian, terima kasih.

YB Dr Wan Azizah Wan Ismail

Ketua Pembangkang Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Permatang Pauh



09 Julai 2008

Surat Jemputan: DEBAT POLITIK

CALON LEBIH PENTING DARIPADA PARTI

Tarikh: 10 Julai 2008 (Hari Khamis)
Jam: 08-30 malam
Siaran Langsung (astro Awani)

UMNO –VS- PKR

Antara:
YB Dato Dr Zambry Abd Kadir
ADUN Pangkor - Ketua UMNO Bhg Lumut, Perak

Dan

YB Dato Zahrin Hashim
MP Bayan Baru - Pengerusi PKR Negeri P.Pinang

24 Mei 2008

Ramly Zahari di sebut-sebut ganti Tajol Rosli

beritaRK mendapat maklumat bahawa wakil rakyat Manong Datuk Ramly Zahari adalah antara calon yang dikatakan akan mengisi jawatan Ketua Perhubungan UMNO Perak bagi menggantikan Datuk Seri Tajul Rosli bin Ghazali.

Datuk Seri Tajul Rosli dikatakan akan meletak jawatan berkenaan kerana sikap bertanggungjawab terhadap prestasi buruk parti UMNO di Perak pada pilihan raya yang lepas.

Untuk rekod, kerajaan negeri sekarang dipimpin oleh kerajaan campuran Pakatan Rakyat (Pakatan) yang berjaya memenangi 31 daripada 52 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan. Manakala BN hanya mendapat 28 kerusi.

RK juga difahamkan bahawa sesetengah rakyat negeri Perak masih lagi yakin bahawa BN akan kembali memerintah dalam jangka masa terdekat ini. Menurut salah seorang daripada pemberi maklumat kepada RK yang juga enggan memberikan namanya, "Ramly Zahari akan naik jadi MB."

Beliau yang juga merupakan salah seorang pegawai kerajaan berkata dengan yakin bahawa Ramly Zahari akan mengganti Datuk Seri Ir Nizar sebagai MB dan bukan sahaja sebagai ketua perhubungan parti berkenaan.

Walau bagaimapun, RK masih belum metahui dan masih belum mendapat maklumat bagaimana proses peralihan kuasa dilakukan.

01 April 2008

KENYATAAN PIMPINAN PARTI PKR, DAP dan PAS

Kenyataan Media

Pimpinan tertinggi parti-parti PKR,DAP dan PAS hari ini telah mengadakan mesyuarat sebagai lanjutan daripada mesyuarat yang telah diadakan pada 18 Mac 2008.

Mesyuarat hari ini dihadiri antara lain oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB En Lim Kit Siang, YB Dato Seri Tuan Guru Haji Hadi Awang dan YB Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada mesyuarat hari ini kami telah mencadangkan untuk memantapkan lagi kerjasama ketiga-tiga parti ini atas nama PAKATAN RAKYAT. Nama ini telah dicadangkan dan akan disahkan setelah ketiga-tiga parti mendapat persetujuan pimpinan masing-masing dalam masa terdekat ini.

Pakatan Rakyat juga berikrar akan memperjuangkan hak dan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama dan kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Dengan keputusan pilihanraya yang lepas, kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor akan nantinya dikenali sebagai kerajaan negeri Pakatan Rakyat. Dasar-dasar utama kerajaan negeri ini akan diselaraskan sesuai dengan dasar-dasar Pakatan Rakyat.

Bagi memantapkan pemahaman atas semua dasar, wakil-wakil rakyat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri ketiga-tiga parti akan mengadakan satu konvensyen pada 27 April 2008.

Kami juga memperkemas dan memantapkan struktur Pakatan Rakyat dengan diwujudkan di bawah Majlis Pimpinan yang terdiri daripada ketua-ketua tiga parti, sebuah Sekretariat Bersama yang akan diwakili oleh tiga pimpinan daripada setiap parti. Sekretariat Bersama ini telah ditugaskan untuk membina asas dan kerangka pakatan untuk disahkan oleh Majlis Pimpinan nanti.

YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail
Dato’ Seri Anwar Ibrahim
YB Lim Kit Siang
YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

19 Mac 2008

Kenyataan Bersama oleh DSAI, YB Lim Kit Siang & YB Ustaz Abdul Hadi Awang

Oleh anwaribrahimblog.com

kenyataanAdalah diumumkan bahawa kami Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Ustaz Abdul Hadi Awang pagi pihak Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bersetuju dalam satu pertemuan pada malam 18 Mac 2008 bahawa hasrat rakyat sebagaimana yang ditunjukkan dalam pilihanraya ke-12 baru-baru ini perlulah dihormati dan dilaksanakan oleh kami dan parti-parti kami.

Kami bersetuju bahawa kerjasama yang lebih erat perlu dipertimbangkan dengan serius dengan mengambil kira hasrat rakyat untuk mewujudkan kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang baru dan boleh membawa perubahan-perubahan besar kepada rakyat.

Kami juga bersetuju mencadangkan YB Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat, iaitu parti pembangkang terbesar di Parlimen ke-12, sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia yang baru, sehingga Dato Seri Anwar Ibrahim layak bertanding untuk kerusi Parlimen

Anwar Ibrahim
Lim Kit Siang
Ustaz Abdul Hadi Awang

16 Mac 2008

PENDIRIAN KeADILan TERHADAP DEB JELAS DAN TEGAS

--- Kenyataan Media ---
15 Mac 2008

kenyataanParti Keadilan Rakyat (KeADILan) mempunyai pendirian yang jelas dan tegas terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB). Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Umum keADILan, Anwar Ibrahim dalam sebuah artikel 20 halaman dan diterangkannya melalui beberapa kenyataan serta ceramah umum, dan ditegaskan dalam beberapa dokumen Parti, termasuk Manifesto Pilihanraya, kami berhasrat untuk menggantikan DEB dengan Agenda Ekonomi Malaysia.

Selepas dilaksanakan hampir 40 tahun, DEB ternyata sudah ketinggalan zaman. Ia disalahgunakan oleh segelintir pemimpin Umno-Bn serta kroni-kroni mereka untuk merompak kekayaan negara bagi mengkayakan diri sendiri atas nama seluruh rakyat Melayu. Ia telah mengakibatkan amalan diskriminasi kaum, bertentangan dengan semangat memberi keadilan dan kesaksamaan kepada semua rakyat Malaysia, terutama sekali mereka dari golongan miskin, terpinggir dan terbiar dari semua kaum.

Agenda Ekonomi Malaysia berhasrat untuk: (a) memperkenal dan melaksanakan dasar pembahagian kekayaan negara yang adil, seimbang serta saksama; (b) memerangi dan akhirnya membenteras amalan jijik korupsi, kronisme serta nepotisme dan memastikan pemberian kontrak serta projek dilakukan secara terbuka dan telus; (c) meneruskan dasar memberi pertolongan kepada golongan Bumiputera yang miskin serta terbiar tetapi pada masa yang sama memberi peluang yang sejajar kepada golongan bukan Bumiputra yang miskin, terpinggir serta terbiar, atas asas keperluan dan bukan kemakan kaum; (d) menggunakan sumber kekayaan negara untuk menyediakan kemudahan sosial yang lebih baik – terutama pendidikan, kesihatan dan perumahan – untuk golongan miskin dan susah tanpa mengira latarbelakang kaum; dan (e) menjana pembangunan yang menguntungkan rakya serta membina kapasiti bersaing supaya Malaysia dapat berdiri sama tinggi dengan semua negara maju, bermula dengan yang di Asia.

Pemimpin-pemimpin Umno-Bn dan media mereka kuasai yang menuduh kononnya Parti Keadilan Rakyat tidak mempunyai pendirian terhadap DEB dan cara-cara untuk mempertingkat taraf hidup orang Melayu yang miskin, terpinggir dan tercicir sebenarnya berdusta dan segaja cuba hendak menipu dan menyelewengkan perhatian rakyat. Kami menegaskan dasar memberi keutamaan untuk kebajikan golongan miskin, terpinggir akan lebih banyak memberikan keuntungan kepada rakyat Melayu, kerana merekalah yang merupakan majoriti paling ramai di dalam categori ini.

Dr Syed Husin Ali
Timbalan Presiden, keADILan
15hb Mac 2008

13 Mac 2008

Angkat sumpah MB Perak batal lagi kerana salah faham

(Siasah Daily)KUALA KANGSAR, 13 Mac: Majlis angkat sumpah Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri Perak yang baru terpaksa batal lagi hari ini apabila anggota Dewan Undangan Negeri dari PKR pula tidak berpuashati hasil dari salah faham.

Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang ketika dihubungi Siasah mengesahkan perkara ini dan majlis yang sepatutnya berlangsung jam 4 petang ini (13 Mac) terpaksa ditangguhkan.

PKR salah faham apabila menyangka mereka tidak mendapat sebarang kerusi dalam kerajaan Perak, padahal persetujuan yang dicapai adalah DAP akan mendapat 6 kerusi, PKR 3 dan PAS satu di samping MB.

Taburan ini adalah berdasarkan bilangan Adun masing-masing dalam kerajaan bersama itu iaitu DAP mempunyai 18 anggota, PKR 7 dan PAS 6.

"Persetujuan ini dicapai semalam antara DAP dan PAS selepas mereka dipanggil oleh Raja Muda Perak, namun tidak dipanggil PKR kerana ketika itu PKR tidak terlibat membantah," kata Ahmad Awang.

Hari ini, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali membuat kenyataan tidak akan terlibat dalam pembentukan kerajaan negeri Perak itu.

Pagi tadi, rombongan tujuh Adun PKR di Perak menemui Penasihat Undang-undang dan seterusnya mengadap Raja Muda Perak menyatakan bantahan mereka.

Ketika dihubungi Siasah, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua memaklumkan bantahan itu dibuat kerana PKR seolah-olah tidak ada sebarang kerusi dalam kerajaan Perak yang baru itu.

Namun beliau mengaku taburan 6:3:1 dalam Exco yang baru beliau ketahui itu adalah taburan yang sangat sesuai dan boleh diterima.