Istana Kelantan bergegar lagi dengan dakwaan bahawa seorang puteranya Tengku Muhammad Fakhry Petra mendera isterinya, bekas model muda Indonesia, Manohara Odelia Pinot.
Kali ini, wanita itu sendiri mendakwa beliau - yang digelar Cik Puan Temenggong Kelantan - dianiaya setelah didedahkan ibunya Daisy Fajarina 20 April lalu.
Manohara Odelia (foto terbaru, kanan) melarikan diri ke Jakarta dari Singapura semalam apabila berada di republik pulau itu untuk menziarahi bapa mertuanya Sultan Kelantan yang sedang mendapatkan rawatan kesihatan.
Akhbar dalam talian Detik.com tengah malam ini melaporkan, ibu Manohara Odelia mendakwa ada kesan seterika di dahi anaknya, selain kesan luka di bahagian dada.
Bekas model itu dilaporkan akan mengadakan pemeriksaan kesihatan pagi ini, selain pemeriksaan psikiatri.
Hasil pemeriksaan perubatan itu akan diserahkan kepada peguam mereka, lapor akhbar berpengaruh itu.
Walaupun tanpa dokumen lengkap, wanita 17 tahun itu berjaya tiba ke Jakarta pagi semalam (Ahad) setelah dibantu oleh kedutaan republik itu dan juga kedutaan Amerika Syarikat di Singapura dengan kerjasama imigresen Singapura sendiri, lapor Tempo Interaktif.
Sebuah NGO Indonesia yang dikenali Laskar Merah Putih juga dilaporkan berperanan membawa lari wanita itu dari Singapura.
Memetik wawancara Manohara Odelia yang disiarkan secara langsung dengan sebuah stesen televisyen TV One di Jakarta, akhbar itu melaporkan wanita itu menyalahkan pihak istana yang mengetahui nasib buruk yang dialaminya tetapi tidak bertindak membelanya.
Beliau malah mendakwa foto yang menunjukkan beliau dilukakan di bahagian dada telah diserahkan kepada polis Malaysia tetapi tiada tindakan diambil, lapor akhbar itu lagi.
Manohara Odelia juga menyalahkan media massa negara ini yang sering memberikan gambaran bahawa beliau sentiasa dalam keadaan baik.
"Bantuan media di Malaysia tidak ada. Mereka hanya memfoto, lalu kemudian bercerita bahwa saya baik-baik saja. Padahal saya tidak ditanya," beliau dipetik berkata.
Selain itu, beliau juga menuduh kedutaan republik itu di Kuala Lumpur gagal menjalankan tugasnya dengan baik berhubung kesnya tetapi seorang pegawai di Departemen Luar Negeri Indonesia hari ini menafikannya.
Dalam laporan laman web Kompas, yang memetik wawancara Manohara Odelia dengan televisyen ANTV, beliau mendakwa diberikan suntikan hormon untuk menambah berat badannya.
"Saya memang disuntik hormon itu dan berat badan saya bertambah 15 kg dalam waktu dua bulan. Malah 10 kg pertama kenaikan berat badan saya terjadi dalam waktu empat hari," beliau dipetik berkata petang semalam.
Sewaktu diwawancara TV One, Manohara Odelia menegaskan tidak akan kembali semula kepada Tengku Muhammad Fakhry walau suaminya itu "datang dengan baik-baik dan meminta maaf", lapor Tempo Interaktif lagi.
"Siapapun yang mengalami seperti yang Mano (Odelia) alami tidak akan mahu kembali lagi," beliau dilaporkan berkata sewaktu tampil dengan diiringi Daisy (foto kiri).
Menurut Manohara Odelia lagi, penderaan yang dialaminya berlarutan walaupun pasangan diraja itu pulang daripada mengerjakan umrah di Mekah, 9 Mac lalu.
Sumber-sumber kerabat diraja Kelantan dan kenalan putera Sultan Kelantan itu bagaimanapun sering menafikan dakwaan penderaan seperti dituduh ibu Manohara Odelia.
Mohd Soberi Shafii, sewaktu bercakap kepada Tempo Interaktif malam tadi, juga menafikan tuduhan Manohara Odelia didera.
"Dia boleh cakap apa saja. Itu adalah satu kebohongan," penulis blog itu yang dekat dengan istana Kelantan dipetik berkata.
Tambahnya, Tengku Muhammad Fakhry sendiri malah meminta isterinya bertemu dengan Daisy.
Laporan itu menyebut, putera Sultan Kelantan itu mengetahui kehadiran Daisy dan seorang lagi anaknya Dewi Sari Asih di hotel tempat pasangan diraja itu menginap kira-kira jam 8 malam Sabtu lalu.
Tengku Muhammad Fakhry bagaimanapun berada di bilik ibundanya Raja Perempuan Kelantan di tingkat yang sama.
Manohara Odelia bersama anggota keluarganya itu kemudian meninggalkan bilik hotel jam 3 pagi keesokannya tanpa menemui suaminya, lapor laman akhbar tersebut.
Malaysiakini akan cuba mendapatkan reaksi istana hari ini berhubung dakwaan terbaru daripada isterinya itu.