19 Jun 2009

Chin Peng, Komunisme dan Malaysia Merdeka

Oleh Amin Ahmad

waubebas.org


Tiba-tiba isu permintaan Chin Peng untuk pulang dan menghabiskan sisa hidupnya di Malaysia menjadi hangat dalam perbincangan masyarakat. Kehangatan ini pada sebahagiannya telah digunakan sebagai peluru untuk merebakkan semangat perkauman dan ini untuk saya harus ditolak. Isu ini wajar dibincangkan secara rasional, sesuai dengan keinginan kita menjadi sebuah negara maju – yang tentu saja bukan bersabit hal kemajuan infrastruktur, tetapi lebih penting ialah peradaban. Dalam pengertian ini saya maksudkan keterbukaan kita untuk menerima perbezaan pendapat secara aman.


Sekurang-kurangnya ada beberapa argumentasi kelompok menolak kepulangan Chin Peng dan argumentasi jawab balas yang juga penting daripada kalangan yang bersetuju membenarkan Chin Peng pulang.

Hujah utama di kalangan penentang kepulangan Chin Peng ialah kekejaman Komunis pasca Merdeka dan hujah ini untuk saya adalah hujah yang kuat. Di kalangan pendokong kepulangan Chin Peng, mereka menjawab hujah ini dengan hujah bahawa Malaysia telah berdamai dengan negara-negara yang pernah melakukan keganasan perang di Malaysia misalnya Jepun. Meskipun hujah ini boleh diterima baik, saya berpendapat bahawa Jepun sebagai sebuah entiti negara tentu sekali berbeza dengan individu manusia. Hujah lain yang lebih baik mungkin kerana Malaysia telah membenarkan beberapa pejuang Komunis berbangsa Melayu pulang, dan halangan terhadap Chin Peng lebih banyak didorong kerana sifat perkauman di kalangan kita.

Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Khoo Khay Kim juga turut sama memberikan komentar bahawa Chin Peng bukanlah warganegara Malaysia, tetapi Britain dengan fakta bahawa Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dilahirkan di Sitiawan pada 1923 yang ketika itu berada dalam Daerah Dinding. Kata beliau, “Dinding sejak 1826 adalah sebahagian daripada Negeri-Negeri Selat dan hanya diserahkan kepada Perak pada awal 1930-an. Negeri-Negeri Selat seperti Pulau Pinang, Melaka dan Singapura sejak 1867 sehingga 1941 adalah tanah jajahan British”. Selain itu, Chin Peng juga didakwa gagal mengemukakan dokumen rasmi menunjukkan beliau adalah warganegara. Hujah ini dijawab dalam bentuk konteks – mengambil kira situasi perang yang memungkinkan dokumen ini hilang dalam tempoh panjang itu. Saya juga tidak tahu sama ada kita berani mengambil pendirian yang sama sekiranya ada warga tua kita lahir pada tempoh sama dan berada di kawasan kelahiran yang sama dengan Chin Peng akan turut dilayan dengan hujah yang sama. Dalam satu dialog anjuran Malaysia Think Tank (MTT) bersama Profesor Khoo, saya fikir beliau membawa satu konteks yang agak kuat iaitu “komunis pada waktu itu harus dilihat sebagai perluasan empayar kuasa (dalam bentuk fizikal), bukan sekadar idea” atau dalam kata lain, ia juga satu bentuk imperialisme di sebalik slogan melawan imperialisme Barat yang dicanang.

Hujah lain sebagai pertimbangan ialah perasaan ahli keluarga pejuang anti-komunis pasca kemerdekaan yang kehilangan ahli keluarga mereka dalam tempoh tersebut.

Bagi kelompok yang mendokong kepulangan Chin Peng, hujah paling ampuh yang dibawa ialah Perjanjian dari Rundingan Damai Hadyai 1989 di antara kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) yang diharamkan sebelumnya dari menjadi Parti Politik yang sah oleh British, sekaligus menyebabkan jalan “Merdeka Dengan Darah” diambil.

Dalam Wikipedia menyatakan bahawa Perjanjian Damai ini telah berjaya diadakan kerana ;

1. Runtuhnya empayar Soviet Rusia yang menjadi ‘Bapa Negara Komunis’. Rusia kemudiannya mengamalkan dasar ekonomi yang lebih terbuka untuk memperbaiki kegagalan dasar komunisme.
2. Tembok Berlin yang memisahkan Jerman Timur (pengamal dasar komunisme) dan Jerman Barat (pengamal dasar ekonomi pasaran bebas) telah diruntuhkan. Kemunduran Jerman Timur menyebabkan ramai rakyat mereka mahu menyeberang ke Jerman Barat dan menyebabkan ratusan nyawa mati terbunuh.
3. Negara China juga membuka pintunya kepada pelabur asing khususnya Amerika, Korea Selatan dan Jepun sejak Presiden Li Peng dan sebelum itu.
4. Kerajaan Britain menyerahkan kembali Kepulauan Hong Kong kepada pemiliknya China pada tahun 1997. Hong Kong kemudiannya lebih maju daripada tanah besar China selepas keluar dari dasar komunisme.
5. Pimpinan PKM misalnya Chin Peng, Rashid Maidin dan Abdullah C.D merasakan pemberontakan bersenjata tidak berfaedah lagi kerana Malaysia telah benar-benar merdeka dan pemimpinnya bukan boneka kerajaan Britain dari dasar Buy British Last oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir (sekarang Tun), Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu.

Antara keputusan penting dalam Rundingan Damai Hadyai 1989 ini ialah;

1. PKM menamatkan perjuangan mereka, menyerahkan senjata kepada kerajaan Malaysia dan Thailand untuk dimusnahkan sekaligus membubarkan parti tersebut.
2. Ahli PKM akan patuh kepada undang-undang Malaysia dan Chin Peng sendiri berikrar menumpahkan taat setia kepada Yang Dipertuan Agong Malaysia.
3. Artikel 3 perjanjian menetapkan bahawa Kerajaan Malaysia akan membenarkan bekas anggota Parti Komunis Malaya yang dilucutkan senjata untuk menetap di Malaysia sekiranya mereka mahu.
4. Artikel 3.1 menetapkan bekas anggota Parti Komunis Malaya yang memang berasal dari Malaysia akan dibenarkan menetap di Malaysia mengikut undang-undang Malaysia dan;
5. Artikel 4 perjanjian menetapkan bahawa kerajaan Malaysia akan membantu bekas bekas anggota Parti Komunis Malaya untuk memulakan hidup baru di Malaysia.

Untuk saya, masalah kepulangan Chin Peng ini tidaklah terlalu rumit untuk dibincangkan.

Pertama, kita harus berani mengiktiraf sumbangan PKM dalam proses negara menuju kemerdekaan. Jika benar kita kita anti-PKM sekali pun, kita harus menyediakan alasan wajar untuk persoalan kenapa Dr. Burhanuddin al-Helmy disumbat ke dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kemudiannya meninggal dunia selepas dibebaskan dalam keadaan uzur. Sebab itu, Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) serta parti-parti yang membentuk Perikatan pada waktu itu jangan berdolak dalih bila dianggap boneka British dalam proses mencapai dan pasca Merdeka.

Kedua, kita wajar mempertikai kegagalan British dan parti-parti politik yang bersetuju untuk tidak memberikan hak kepada PKM bertanding sebagai sebuah parti politik yang sah. Kegagalan memberikan hak berbeza pandangan secara aman inilah antara punca penting perbezaan ini ditangani secara keras pasca Merdeka.

Ketiga, kita wajib menolak dan mengutuk keganasan Komunis pasca Merdeka setaraf dengan kewajipan kita menolak dan mengutuk tangkapan ISA kepada tokoh-tokoh yang menyumbang kepada desakan Merdeka sambil bersedia bertanding secara demokratik untuk mengolah persetujuan rakyat tentang bagaimana negara ini harus ditadbir. Saya bukanlah penggemar idea komunisme, tetapi saya suka memperakui sumbangan mereka di samping sedia menolak idea mereka yang saya fikir kurang baik berbanding idea-idea lain berasaskan prinsip yang saya pegang. Sebab itu saya percaya hak mereka untuk terlibat dalam politik dan berbeza pendapat secara aman wajib dijamin.

Keempat, komunisme tidak harus dilihat semata-mata dalam konteks perang dengan PKM. Komunisme adalah sebuah idea politik yang merangkumi sektor lain, justeru, saya suka menggalakkan kita semua merenung semula amalan dasar kita yang memang banyak juga komunismenya serta diadun dengan amalan fasis serta penswastaan yang kebanyakannya langsung bercanggah dengan prinsip pasaran terbuka sebenar.

Sebagaimana contoh-contoh di atas menunjukkan kenapa Rundingan yang berlaku berjaya, kita harus sedar bahawa pilihan ke arah ekonomi bebas dan pentadbiran demokratik sentiasa membantu ke arah kebaikan. Tidak ada gunanya kita memaki hamun Komunisme dan sikap anti-Barat tetapi kita meminjam sifat buruk yang zahir dari amalan mereka dan memandang sepi sifat baik yang ada dari sumber yang sama.

Untuk saya, Chin Peng harus dibenarkan pulang, sesuai dengan prinsip kebebasan yang diisytiharkan dalam Pemahsyuran Kemerdekaan. Tak perlulah kita pergi sejauh sama ada Chin Peng adalah warga Britain atau Malaysia kerana orang Melayu juga bukan asalnya Islam sebagaimana dalam Artikel 160(2) Perlembagaan Malaysia yang ada pada hari ini.

Namun tidak cukup dengan itu, dalam Pemahsyuran Kemerdekaan, kita juga menyatakan prinsip keadilan sebagai gandingan prinsip kebebasan (dan bagi mereka yang tahu akar isu kebebasan, ini tidak harus jadi masalah besar untuk difahami). Justeru, Chin Peng wajib memohon maaf secara peribadi dan mewakili keganasan PKM pada waktu itu.

Pada usia Chin Peng 85 tahun, saya fikir kita tidak perlu terlalu emosional. Meskipun saya yakin bahawa keganasan PKM pasca merdeka adalah sukar dimaafkan terutama oleh ahli keluarga mangsa, kita juga harus menerima bahawa PKM sendiri juga dizalimi dan sebahagian anggota Rejimen mereka juga terbunuh dalam perjuangan Merdeka di mana hak mereka kemudian untuk menyertai proses politik secara aman dinafikan. Bukan saja mereka, malah ramai lagi yang bukan daripada PKM juga dizalimi oleh proses politik sepanjang sejarah.

Ketika Rundingan Hadyai 1989 ditandatangani sebagai Perjanjian, penerimaan anggota PKM terhadap kepatuhan kepada Undang-Undang dan kesetiaan kepada Yang Dipertuan Agong sudah cukup mewakili semangat patriotisme mereka dan pengorbanan mereka meletakkan nyawa sebagai galang ganti kemerdekaan negara tentu saja bukan pilihan mudah yang mampu kita perbuat.

Chin Peng boleh saja dikenakan tahanan daerah atau negeri sebagai ganti hukuman mati atas keganasan PKM. Hukuman mati hanya akan dilihat sebagai sikap perkauman di saat kita boleh menerima pimpinan PKM lain daripada bangsa Melayu untuk meneruskan hidup, malah dibiaya bagi proses penyesuaian mereka dalam masyarakat. Tahanan daerah atau negeri di sini bukan bermaksud menyekat kebebasan Chin Peng, tetapi ia adalah pilihan wajar pada usianya berbanding menjatuhkan hukum mati yang akan menimbulkan isu lain.

Chin Peng juga harus dijamin hak untuk mengundi dan terlibat dalam proses politik sebagaimana warganegara lain dalam keterbatasannya. Kerajaan dan orang ramai tidak harus gusar kerana di sinilah kita menunjukkan perbezaan Malaysia Merdeka berbanding negara Komunis. Malaysia Merdeka tidak harus hanya dilihat pada laungan Merdeka 1957, tetapi apa pengertian sebuah negara merdeka tanpa kebebasan dan keadilan untuk warganya.

Noor Amin bin Ahmad Amin Ahmad ialah Penyelidik di Malaysia Think Tank. Artikel ini disiarkan dalam Malaysian Insider (18 Jun 2009)