Memaparkan catatan dengan label wawancara. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label wawancara. Papar semua catatan

08 September 2008

Faktor Anwar berjaya ubah undi bukan Melayu tidak undi Melayu - Mat Sabu

Oleh: Jimadie Shah Othman (malaysiakini)

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya berkesan mengubah undi bukan Melayu, tetapi kurang berkesan di kalangan orang Melayu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, kata Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu.

“Faktor Anwar di kalangan orang bukan Melayu. Beliau hendak memperkenalkan dasar baru. Walaupun beliau tidak lagi meletakkan apakah dasar baru itu, tetapi memberi harapan kepada orang bukan Melayu,” kata Mohamad.

“Bagi orang Melayu, faktornya ada tetapi tidak sebesar mana. Kepada orang bukan Melayu, memberikan harapan,” katanya ketika diminta mengulas sejauhmana Anwar menjadi faktor kemenangan besar parti-parti dalam Pakatan Rakyat – termasuk PKR dan DAP -- dalam pilihanraya umum lalu.

Mohamad berkata, cabaran utama PAS adalah untuk “mempertahankan dasar Islam dan dalam masa yang sama berkawan dengan parti-parti lain”.

Isu-isu seperti negara Islam, terutamanya dengan DAP dilihat masih menghantui parti itu.

“Bagi kami, itulah, dalam hendak mempertahankan dasar Islam, dan DAP yang secara terang menyebut dia menolak negara Islam dan sebagainya, bagaimana dua kumpulan ini hendak bekerjasama? Ini merupakan cabaran yang besar kepada kami.

“Tetapi kami tidak melihat itu sebagai satu masalah yang tidak boleh selesai,” kata Mohamad yang ditugaskan oleh presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk berhubung dan “tinjau-tinjau” dengan pimpinan DAP ke arah membentuk kerajaan bersama di empat negeri – selain Kelantan – sehari selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

“Sukar tetapi boleh dilalui. Sukar sebab kita mentadbir manusia. (Ketawa) Umno sama Umno pun kita tengok lagi teruk. Tidak ada benda yang tidak boleh kita cabar,” kata Mohamad kepada Malaysiakini ketika diwawancara di rumahanya, di Shah Alam kelmarin.

Tuan Haji sebut kemenangan besar PAS disebabkan peralihan undi dari bukan Melayu. Jadi, apakah makna peralihan undi ini kepada PAS?

Politik Malaysia ini lebih berdasarkan kaum, terutamanya selepas merdeka, memang parti Umno, walaupun memperjuangkan Melayu, tetapi orang-orang bukan Melayu merasakan mereka sebagai sahabat, sebagai kawan. Tetapi PAS memang ditakuti orang Melayu, terutamanya orang bukan Melayu.

Kita tahulah, pilihanraya, parti politik, ini atas persepsi. Kita boleh bercakap apa pun tetapi persepsi orang begitu, digambarkan begitu. Jadi, kita kata dua parti dominan pembangkang – PAS dengan DAP – selagi orang Melayu takut kepada DAP, selagi DAP takut kepada PAS, selagi itulah BN akan berkuasa.

Ini trend politk dalam negara kita. Sebab itu kita lihat pada tahun 1986, 1994 dan 1999, isunya banyak, tetapi kita hendak bawa orang Cina mengundi PAS, orang PAS mengundi DAP memang agak sukar, walaupun kami di peringkat pimpinan, boleh bertemu dan berbincang.
Oleh kerana berlaku peristiwa (perhimpunan besar) Bersih, Hindraf , kemudian dengan (krisis badan) kehakiman, (kes) VK Lingam, berlaku kenaikan harga minyak pada waktu tu, kenaikan harga barang, maka rakyat kali ini tidak peduli, sampai orang buat khidmat pesanan ringkas (SMS) mudah - ABU - Asalkan Bukan Umno - kita undi.

Tuan Haji lihat peralihan undi daripada golongan Cina ini menggambarkan mereka mula menerima dasar-dasar PAS, bersifat sementara kerana tidak sukakan BN atau tanda demokrasi kita makin matang?

Saya melihat tanda demokrasi semakin matang. Perkara ini bukan jadi dengan begitu saja, walaupun ia tsunami. PAS sendiri membuat pendekatan dengan orang bukan Melayu ini secara agak agresif, bermula pada pilihanraya umum 1986 melalui Majlis Perundingan Cina (CCC). Tetapi oleh kerana badan itu kecil, ia kurang berjaya.

Kemudian, kita terus dengan DAP pada tahun 1999. Tetapi propaganda BN menyebabkan orang Tionghua sendiri takut untuk mengundi DAP. Disebarkan di Pulau Pinang (foto) Lim Kit Siang pakai serban dalam pilihanraya itu. Jadi, itu propaganda. Jadi, sampai bila rakyat Malaysia hendak berada dalam suasana itu?

Sekarang ini rakyat Malaysia ada akses kepada internet, kepada laman-laman web, blog dan sebagainya.

Jadi, teknologi informasi membantu kemenangan PAS?

Ya, juga pendekatan PAS kebelakangan ini.

Tetapi adakah dasar-dasar PAS itu dapat diterima?

Kita tidak kata mereka menerima secara bulat. Sekarang ini mereka datang dengar penerangan langsung daripada kita. Dan saya rasa perubahan ini tidak sementara. Tetapi kita tidak boleh diam begitu sahaja. Kena teruskan pendekatan yang dibuat.

Bagaimana faktor Anwar Ibrahim memainkan peranan mengubah undi?

Faktor Anwar Ibrahim di kalangan orang bukan Melayu. Beliau hendak memperkenalkan dasar baru. Walaupun beliau tidak lagi meletakkan apakah dasar baru itu, tetapi memberi harapan kepada orang bukan Melayu.

Bagi orang Melayu, faktornya ada tetapi tidak sebesar mana. Kepada orang bukan Melayu, memberikan harapan.

Bagaimana peranan beliau menggabungkan ketiga-tiga parti dalam Pakatan?

Setakat ini, kita di peringkat jawatankuasa penyelaras. Sudah ada di peringkat pusat. Ia berjalan dengan baik di Perak dan di lain-lain negeri. Kita buat dalam bentuk mesyuarat. Pertama sekali, Pakatan ini berjalan dengan baik walaupun kita, majoritinya kecil di Perak ini, tetapi berjalan dengan baik.

Selain itu ada dakwaan PKR mendominasi Pakatan sedangkan semua parti-parti yang bergabung bersetuju tiada pihak lebih besar dalam Pakatan.

Iyalah, siapa pun mendapat kerusi lebih, jadi mereka merasa mereka hebat. Biasalah itu. Macam dalam BN, Umno kerusi terbanyak. Sekarang dalam Pakatan, dalam pilihanraya lepas, keadilan yang terbanyak (dengan) 31 kerusi, DAP 28 kerusi, PAS 22 kerusi. Jadi, kalau orang-orang PKR merasakan begitu, tidak ada masalah. Sebab dia masa sekarang ini mendahului daripada sudut jumlah kerusi. Tetapi dominan saya tidak nampak, tidak timbul dalam parti (PAS) ini.

Anwar Ibrahim yang dominan membuat kenyataan bagi pihak Pakatan, adakah itu juga pandangan bersama PAS dan DAP bersama?

Kenyataan Anwar dalam bentuk umum, kita kata itu pandangan beliaulah. Jadi, beliau sendiri pun jarang membuat kenyataan di atas nama Pakatan Rakyat, di atas nama peribadi dia. Tetapi kenyataan misalnya kalau memerintah, harga minyak akan turun, walaupun itu peribadi, tetapi itu boleh diterima akal. Itu tidak ada masalah.

PAS setuju bincang dengan DAP dan masalahnya persepsi media?

Orang Melayu tidak ada masalah dah sejak tahun 1999 lagi. Tetapi kita faham masalah DAP ini, orang Cina takut kepada negara Islam. Sebab itu kita kata, persefahaman, perundingan itu banyak berlaku dan orang tengahnya adalah PKR.

Persefahaman parti-parti dalam Pakatan dikatakan sebagai “tersimpul mati”?

(Ketawa) Tidak sampai “tersimpul mati”. Itu bahasa saya. Itu hendak gambarkan perpaduan, sebab dalam politik ini, payah hendak baca. Buat masa sekarang, Pakatan itu makin baik.

Maksudnya PAS masih merisaukan hubungan dalam Pakatan di masa akan datang? Begitu? Tidak “tersimpul mati” itu maksudnya ada kerisauan lagi.

Ya, Kita kena terbukalah. Sikap parti politik ini memang begitu keadaannya.

Tetapi kerunsingan utama PAS atas dasar apa?

Politik ini adalah saingan kuasa. Dan PAS tidak dapat lari, kelangsungannya selama 57 tahun di atas dasar Islam. Sebab itu kita hendak mempertahankan dasar, dalam masa yang sama bekerjasama dengan orang lain. Bila ahli kita melihat PAS tidak lagi memperdulikan soal dasar dan sebagainya, itulah yang merunsingkan kita.

Jadi, jaminan hendak mempertahankan perlembagaan PAS, sebab apabila tandatangan saja borang PAS, kalau dia seorang cikgu, mungkin dia kena tukar. Kalau dia pegawai, mungkin tidak naik pangkat. Dan dia memilih PAS kerana dia menjunjung dasar yang kita janjikan.

Sebab dalam Pakatan, kita hendak berkawan dan bagaimana dengan mempertahankan dasar kita itu. Ini yang menjadi, bukan kerunsingan, tetapi antara cabaran yang kita kena (hadapi)...

Oleh kerana hubungan persefahaman yang kuat setakat ini, kenapa ada suara-suara dalam PAS ingin berunding dengan Umno?

Begini, berunding bukan hendak berkuasa bersama. Sebab ada di kalangan pemimpin dan ahli-ali PAS melihat orang-orang Islam berpolitik, bergaduh dalam semua perkara.

Kita lihat misalnya kalau di kalangan parti-parti politik bukan Melayu ini, ini fikiran orang yang hendak berbincang dengan Umno, kita lihat dalam isu pelajaran, DAP dan MCA berlainan parti tetapi bercakap mempertahankan hak bangsa, kaum mereka senada. Ada juga di kalangan intelektual Melayu senada, kenapa orang Islam tidak boleh buat begitu?

Dalam Pakatan, apa masalah lain yang dihadapi untuk ke depan?

Bagi kami, itulah, dalam hendak mempertahankan dasar Islam dan DAP yang secara terang menyebut mereka menolak negara Islam dan sebagainya, bagaimana dua kumpulan ini hendak bnekerjasama. Ini merupakan cabaran yang besar kepada kami. Tetapi kami tidak melihat itu sebagai satu masalah yang tidak boleh selesai.

Yang paling penting sekali ialah bersedia duduk semeja berunding. Itu yang paling penting.

Macam mana hendak selesai? Baru-baru ini, dalam kongres DAP, beberapa perwakilan mendakwa PAS tidak menghargai undi bukan Melayu kerana hendak melaksanakam undang-undang Islam, sedangkan DAP tetap dari dulu hingga sekarang menolak sebarang usaha menjadikan Malaysia sebagai negara teokratik. Bagaimana kita hendak mempertemukan kedua-dua pandangan itu?

Ini satu cabaran kepada kita. (Penyelesaian objektif) A, B, C, D tidak boleh. Ini soalan kemanusiaan, soal persepsi. Bagi kita, pencapaian setakat ini pun orang PAS mengundi calon DAP, orang Cina mengundi calon PAS. Itu sudah besar. Jadi yang lain-lain, prosesnya mesti melalui pertemuan dan perundingan. Akan ada pantang laranglah.

Setakat mana PAS boleh bertolak ansur tentang dasar, undang-undang Islam?

Sekurang-kurangnya paling minimum ialah perlembagaaan, Islam agama rasmi, kuasa Islam di peringkat negeri dan sebagainya. Dan saya rasa DAP pun tidak ada masalah. Di sini ada pertemuan. Dan kita pun sebut, kalau di peringkat persamaan undang-undang syariat, dia akan kena pada orang Islam.

Iyalah, tetapi itu pun tidak dapat diterima oleh DAP untuk penguatkuasaan undang-undang Islam itu?

Tidak mengapa. Dari masa ke semasa kita bincang teruslah, kalau kita hendak menjadi parti pemerintah. Tidak menjadi masalah kepada kita untuk terus berbincang. Macam sekarang ini, kita boleh berjalan di Perak, di Selangor.

Jadi, adakah Tuan Haji melihat sebuah jalan yang sukar oleh PAS dalam Pakatan untuk tempoh akan datang?

Sukar tetapi boleh dilalui. Sukar sebab kita mentadbir manusia. (Ketawa) Umno sama Umno pun kita tengok lagi teruk. Tidak ada benda yang tidak boleh kita cabar, benda-benda seperti ini.
Sekarang ini PAS disebut-sebut mempunyai dua aliran, pertama moderat, kedua konservatif. Apa komen Tuan Haji?

Itu biasa dalam mana-mana parti politik dan aliran pemikiran. Jadi, parti politik yang mencecah sejuta, aliran-alirannya itu adalah perkara biasa. Tetapi sudah tentu keputusan parti, keputusan muktamar itu yang didokong bersama. Aliran pemikiran tidak ada masalah.

Maksudnya wujud?

Dalam mana-mana parti politik biasalah. Macam Umno dulu, kononnya ada aliran kiri, ada aliran kanan. Tetapi mereka itu Umno-lah. Ini pun semacamlah, ada dikatakan aliran keras, ada aliran sederhana. Tetapi semuanya mendokong dasar Islam. Bagi saya berlainan pendekatan itu lumrah.

Sebenarnya, berapa aliran dalam PAS setakat ini?

(Ketawa) Satu aliran saja, aliran Islam.

Apa perbezaan antara kedua-dua aliran tadi (konservatif dan moderat)?

Kalau di sebelah Pantai Barat, tentulah kecenderungan hendak mendekatkan ideologi Islam kepada non-muslim menjadi agenda utama. Kalau di sebelah Pantai Timur, bagaimana hendak mendekatkan Islam kepada orang yang sudah Islam menjadi agenda utama.

Jadi, kalau kita lihat, secara individunya, orang-orang itu, tidak ada perbezaan sama ada satu kumpulan menerima pandangan komunis (contohnya) atau satu kumpulan pandangan Islam. Tidak ada sampai ke peringkat itu.

(Ketawa) macam kita kata, gaya belah rambut sahaja. Sama ada hendak belah tengah atau belah tepi. Sampai peringkat pertarungan ideologi dalam parti, itu tidak ada.

Tuan Haji dengar, baru-baru ini ada satu kumpulan dalam PAS dikenali sebagai Kumpulan Erdogan disebut dalam sebuah blog. Katanya Kumpulan Erdogan ini diketuai Datu Husam Musa. Beberapa pemimpin PAS diletakkan dalam kategori ini?

Saya berpendapat, begitulah, kalau ada, pandangan-pandangan peribadi, tetapi semuanya bekerja dalam konsep tidak lari daripada dasar Islam tadi.

Tetapi kumpulan ini wujud atau tidak dari segi kesefahaman, ideologi dan pendekatan yang serupa?

Tidak ada, tidak ada. Saya tidak nampak ada.


12 Julai 2008

Hadi: PAS berunding dengan UMNO untuk sampaikan mesej Islam

Oleh Harakahdaily

Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza.



HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini?

USTAZ HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad.

Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?

Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut?

Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

Hasil pertemuan dan rumusan PAS?

Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC.

Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah?

Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar.

Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik.

Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas?

Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan.

Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya.

Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku.

Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS?

Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu.

Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh.

Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing.

Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza.

Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam.

Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya?

Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi.

Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati.

Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat?

Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya.

Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)?

Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno.

Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan 'engagement' yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita.

Penerimaan ahli PAS mengenai 'engagement' seperti ini macam mana?

Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya.

Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat?

Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri.

Dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS?

Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah.

Maknanya ia perlu selesai di mahkamah?

Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah ....

Isu Anwar, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru?

Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting.

Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? ... sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya.

Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya 'loose'. Itu yang penting.

Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu?

PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita. Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam.

Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru?

PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh.

Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara?

Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas.

Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini?

Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada.

Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar.

Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi 'king maker' kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah.

Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang.

Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan raya iaitu 'Islam For All'. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai 'Islamophobia' tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.

Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi. Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan.

Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi

18 Jun 2008

Q & A Zaki Yamani: “Apa kata kalau Abdullah masuk KeAdilan?”

Wawancara dan susunan oleh: Zulfikar Samsuri
Responden: Zaki Yamani

Anwar kukuh dalam keadilan, kenapa dia nak masuk ke UMNO. Ezam masuk UMNO pun belum dapat buat apa-apa. Apa kata kalau Abdullah masuk KeAdilan?

Responden yang kami wawancara kali ini pada zaman mudanya begitu aktif dalam gerakan kemahasiswaan. Dan pernah dikenakan tindakan pecat dari universiti kerana terlibat dengan gerakan reformasi.

Saya berpeluang berbicara di ruang siber beberapa hari sudah dengannya. Perbualan kami tidak lebih berkisar daripada beberapa perkara -- minyak, masa depan politik Malaysia, AMK dan Anwar sendiri..

Nama betul beliau ialah Ahmad Zaki Yamani bin Zainon dilahirkan di Alor Setar pada 30 November 1976. Beliau pernah memegang amanah memimpin beberapa buah persatuan pelajar di ITM. Beliau juga pernah diamanahkan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Setiausaha Majlis Pelajar Malaysia (MPM) 1999-2000 sebelum menyertai keADILan.

Zaki Yamani sekarang memikul tugas sebagai Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Shah Alam, Ahli Jawatankuasa Bahagian Shah Alam dan Setiausaha Politik kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia.

Di bawah merupakan transkrip perbualan ringkas kami:

Tentang kenaikan harga minyak

Zulfikar Samsuri (ZS): Kenaikan harga minyak, sejauh manakah ia membebankan sdr?

Zaki Yamani (ZY): Membebankan, daripada penggunaan biasa. Saya akan menanggung tambahan belanja RM3, 500 setahun.

ZS: Agak-agak cukup tak rebat tu?
ZY: Saya hanya dapat RM625 maka saya perlu berusaha mendapatkan hampir 3 ribu lagi. Kos sara hidup lain juga meningkat. Andai saya membelanjakan 24 ribu setahun, saya akan terpaksa mencari pendapatan tambahan sekitar 10 ribu setahun, jika kenaikan kos 40%.

ZS: Ermm... jd solusinya..?
ZY: Solusinya berusaha tukar kerajaan dengan seberapa segera.

ZS: Jadi sdr fikir, semua masalah ini boleh diselesaikan dgn menukar kerajaan? Tentu anda fikir DSAI boleh memberikan solusi yang baik, iaitu dengan menurunkan harga minyak? Jika dibandingkan dengan apa kerajaan cakap, bukankah ia sesuatu yang mustahil untuk Anwar menurunkan harga minyak?
ZY: Itu janji Anwar. Dibandingkan dengan keadaan BN sekarang, Anwar tidak mungkin boleh melakukan yang lebih buruk kerana pentadbiran Abdullah terlalu buruk

Kata-kata Anwar

ZS: Banyak kata-kata Anwar akhir-akhir ni ramai yang take it for granted je? Menganggap enteng; contohnya isu cross over, isu minyak dll. Bagi sdr, Anwar ni boleh dipercayakah?
ZY: Sebelum pilihan raya umum pun orang pandang enteng kepada Anwar dan keupayaan pakatan rakyat, natijahnya BN hampir tersungkur. Sebelum pilihanraya saudara percaya BN boleh begini teruk keadaannya? Sehinggakan parti kedua, 3 dan 4 terbesar dalam parlimen adalah daripada Pakatan Rakya. BN hanya menduduki tempat ke5.

ZS: Hari ni (16/6/08) tentang MP dari MCA hendak menyeberang ke Pakatan. Bagaimana tu, boleh percaya ker?
ZY: Hanya masa mampu membuktikan, saya secara peribadi percaya.

Trojan Horse

ZS: Soal ezam jadi trojan horse?
ZY: Ezam boleh jadi macam-macam. Tetapi kata orang Abdullah trojan horse paling besar, apabila menaikkan harga minyak sampai 40%.

ZS: A ha.. Saya pun ader sangsi jugak pasal tu. Tapi saya tolak tepi. Tak masuk akal. Heeheh... tah.
ZY: Mungkin tak masuk akal tapi pada tahun 2004 apakah ada sesiapa yang fikir Anwar akan bebas? Ada yang kata Anwar deal dengan Abdullah, sebab tu Anwar tak attack Pak Lah (pada masa ramai pihak yang menggesa Pak Lah berundur).

ZS: Ezam & DSAI betul-betul ada krisiskan?
ZY: Kata Ezam begitulah

Anwar masuk UMNO

ZS: Ni pasal Anwar, rasa-rasa sdr beliau akan join UMNO?
ZY: Anwar kukuh dalam keadilan, kenapa dia nak masuk ke UMNO. Ezam masuk UMNO pun belum dapat buat apa-apa. Apa kata kalau Abdullah masuk KeAdilan?

ZS: Tolong ulas tentang Abdullah masuk KeAdilan
ZY: Masuk akal atau tidak?

ZS: Masuk akal jugak.
ZY: Ada juga pihak yang berkata Anwar sekarang sedang berunding dengan Mahathir untuk berpakat menjatuhkan Abdullah.... masuk akal tak? Apa fikir saudara?

ZS: Saya fikir tak masuk akal kot.
ZY: Saya fikir ada kemungkinan

ZS: Kenapa pulak?
ZY: kenapa tidak?

ZS: Bukankah TDM yang memasukkannya kedalam penjara.. Saya lebih percayakan Pak Lah berpakat dgn DSAI..
ZY: Pak Lah juga sebahagian daripada konspirasi Mahathir dulu

ZS: Adake? Bukan dia dulu orang panggil MR Clean...
ZY: Clean ke?
ZS: tak de lar.. dier dikenali dgn gelaran tu.. tp tak tau laa... kan?
ZY: Kita tak tau. Sekarang dia kata orang panggil dia "lembik" pula
macam mana? Itu kata Abdullah sendiri on tv.

Pengharaman Islam Hadhari

ZS: Hmm... bagaimana dengan pengharaman Islam Hadhari di Selangor dan Penang. Pandangan sdr?
ZY: Apabila Islam ada Hadhari (bertamadun), mesti ada Islam Badawi. Masuk akalkah Islam Tak Bertamadun? Seorang Muslim belum tentu bertamadun, sebab dalam Islam pun ada Muslim yang bukan Mukmin.

ZS: Jadi sdr fikir, Islam Hadhari tu tak patut ada?
ZY: Niat asal wujudkan Islam Hadhari tu tak baik, untuk saingi Masyarakat Madani.
Sebab tu tak jadi.

ZS: A itu saya setuju.
ZS: kiranya dia nak lawan dengan Masyarakat Madani yang Anwar bawak, jadi Islam Hadhari ni tak lebih dari slogan politik?
ZY: "Pengarang" Islam Hadhari ni Nakhaie Ahmad. Seorang yang baik, banyak ilmu tapi ye lah. buat untik puaskan tuan poliitk.

ZS: Jadi, bukankah elok sekiranya kita tak mengharamkannya tetapi cukup cuma kerajaan negeri tidak perlu menyebarkannya.
ZY: Itu la yang kerajaan negeri buat, tapi sebenarnya kalau ikut strict Islam tambahan kepada Islam, seperti tu dah lari akidah. Simply kata ada Islam yang bertamadun, ada yang tak bertamadun dah terjejas akidah. Eloklah kita kembali kepada Islam dan kita galakkan masyarakat madani, masyarakat yang bertamadun dan mengamalkan nilai-nilai murni.

ZS: Kalau kerajaan pusat nak buat atau orang perseorangan atau NGO nak buat tak perlulah kita halang. Istilah tu mengelirukanlah.
ZY: Jadi kenapa perlu dibiarkan berterusan istilah tu, pemilihan istilah itu satu kesilapan. Mengaku sajalah dan betulkan, kenapa kita manusia perlu takbur sampai enggan mengaku kita silap

ZS: Hmmm... betul tu. Istilah tu tak patut wujud.

27 Mei 2008

10 Tahun Reformasi: Makin Maju atau Mundur?

Republik Kata bersoal jawab dengan Fathi Aris Omar, wartawan kanan Malaysiakini.com dan juga pengarang buku bertemakan gerakan reformisme pemikiran Patah Balek: Catatan Terpenting Reformasi bersempena sambutan ulang tahun ke-10 peristiwa Reformasi 1998.



wawancara
Wawancara ini disediakan awal 2008, menjelang pilihanraya umum ke-12 – sebelum "tsunami politik" mengubah lanskap hubungan BN-pembangkang di Malaysia pada 8 Mac.

Republik Kata (RK): September tahun ini, genap 10 tahun Gerakan Reformasi, yang telah menjadi petanda baru arus politik sehingga ada orang menyebut "saat-saat penakrifan baru", atau the new defining moments, politik negara selepas Merdeka. Apakah anda bersetuju dengan kenyataan ini? Apakah yang "baru" itu?

Fathi Aris Omar (FAO): Ya dan tidak. Memang ada tanda-tanda baru kesedaran berpolitik dengan tema-tema baru muncul, khususnya semakin popular sejak era Reformasi 1998. Contoh mudah, tema-tema baru yang menjadi wacana politik Melayu seperti gerakan mansuhkan ISA, hak asasi dan juga penglibatan lebih ramai anak muda dalam politik pembangkang atau NGO.

Sebab itu saya selalu tegaskan, Reformasi 1998 itu tidak memadai kita lihat sebagai pertarungan politik Anwar Ibrahim dengan Dr Mahathir Mohamad. Di lapisan luar, memang kelihatan seperti itu, seolah-olah perebutan kuasa dua tokoh dalam Umno dan kerajaan. Itu sisi pandang makro, yang mudah ditafsir oleh banyak pihak.

Ada sisi pandang mikro yang sering diabaikan orang. Tetapi sebagai aktivis dan wartawan yang bergiat aktif pada waktu itu, saya suka mengetengahkan perspektif mikro. Supaya kita boleh nampak lapisan-lapisan analisis yang lebih luas, mendalam dan kompleks.

Kita ambil contoh mudah, siri-siri demonstrasi yang berlanjutan sejak Anwar dipecat sehingga aktivis-aktivis utama reformasi ditahan bawah ISA pada April 2001. Kita lihat tema-tema yang dibangkitkan mereka dan kita tengok penggerak-penggeraknya. Pastilah gejala ini baru dan khusus sebagai penanda aras lain dalam politik nasional.

Kita lihat kelompok-kelompok muda, walaupun sangat kecil, seperti Universiti Bangsar Utama (UBU), Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) atau Komunite Seni Jalan Telawi (KsJT). Jelas, mereka ini bukanlah orang Anwar, bukan kumpulan NGO atau aktivis-aktivis lama yang menukar baju organisasi.

UBU, KAMI dan KsJT memang kelahiran baru, yang wujud sebagai reaksi kepada dan by-product Reformasi 1998. Ada sesuatu yang mendasar dalam pemikiran politik telah berubah sehingga memungkinkan tenaga baru itu berjaya muncul. Soal daya tahan kumpulan ini, itu soal kedua, tetapi kelompok-kelompok ini telah menjadi "kampus baru" aktivisme politik kita.

Ambil satu lagi kumpulan, GMI atau Gerakan Mansuhkan ISA. Memang sudah ada kempen anti-ISA sebelumnya tetapi hanya Reformasi 1998 yang telah melonjakkan kesedaran anti-ISA sehingga menjadi tenaga baru untuk menyalakan kempen mansuhkan ISA.

RK: Apakah kita boleh sebut pergerakan Bersih, Hindraf dan fenomena blog politik juga satu penanda aras baru dalam politik nasional? Dan apakah sumbangan atau kaitan Reformasi 1998 dalam mencetuskan trend ini?

FAO: Ya, memang. Bersih, Hindraf, blog politik dan Malaysiakini.com itu semuanya penanda-penanda penting kesedaran baru politik nasional. Dan saya nampak ia suatu kesinambungan peristiwa Reformasi 1998.

Bersih dan Hindraf yang menggunakan kaedah mobilisasi massa ke tengah-tengah Kuala Lumpur sehingga sanggup berdepan dengan jentera polis jelas menunjukkan trend Reformasi 1998.

Orang nampak mobilisasi rakyat boleh membawa mesej kuat sesuatu hasrat politik. Orang mulai percaya bahawa berdemonstrasi bukan kerja menjerit sia-sia tetapi langkah politik yang berkesan sehingga cakap-cakap tentang "pilihan raya atau pilihan jalan raya" Hishamuddin Rais sudah tidak lagi terlampau asing di kalangan ahli-ahli politik pembangkang.

Malah, tema pilihan raya bebas dan adil yang dibawa Bersih ini memang produk langsung Reformasi. Ia bermula dengan usaha pemantauan pilihan raya umum 1999, walau tidak begitu menjadi. Sekarang sudah muncul Mafrel (Malaysians for Free and Fair Elections) dan Bersih – kedua-duanya menyuarakan tema baru politik ini dengan pergerakan yang jauh lebih sistematik.

Blog politik dan Malaysiakini.com jelas kesinambungan era laman-laman web Reformasi. Blog memang teknologi baru tetapi blog ala (kandungan) laman-laman Reformasi (1998 hingga 1999) sudah tidak ada. Yang muncul, media online seperti Malaysiakini.com yang meneruskan debat dan berita politik.

Dan juga blog-blog yang kritikal tetapi tidak takut menampilkan wajah pengendali-pengendalinya, misalnya Malaysia-Today, Rocky Bru dan kelompok All-Blog. Apatah lagi sebahagian besar pengendalinya berpengalaman luas dalam kewartawanan, matang (usia) dan mampu pula berbahasa Inggeris. Tetapi laman-laman Reformasilah pencetus pergerakan politik di alam siber di negara ini.

RK: Kalau begitu, luas sekali pengaruh Reformasi 1998. Jadi, kenapa perubahan politik, khususnya penyertaan dalam politik NGO dan pembangkang masih terbatas? Anak-anak muda, misalnya, masih ramai yang tidak peduli politik. Masih ramai anggota masyarakat yang takut-takut, enggan bersuara, sehingga menjadi majoriti bisu. Kita lihat nanti, misalnya, keputusan pilihan raya umum kali ke-12. Apakah ada kesan besar Reformasi 1998?

FAO: Saya kira, kita tidak boleh melihat gejala politik dengan linear (selanjar). Tidak ada proses sosial yang linear. Mesti ada simpang-siur proses perubahan, ada trend dan counter-trend. Ada paradoks dan conflicting trends. Dan kita jangan melihat perubahan besar semata-mata dengan mengabaikan perubahan incremental (sedikit-sedikit). Apatah lagi, kita bercakap sekarang dalam konteks membuka ruang politik atau pendemokrasian di sebuah negara yang makin kuat menekan.

Dua contoh gejala counter-trend itu ialah kemunculan pelajar pro-Aspirasi di kampus-kampus IPTA dan juga himpunan gerakan-gerakan agama (Islam khususnya) yang semakin lantang, dan juga sistematik, menampilkan sikap konservatifnya.

Walau sudah lama wujud AUKU dan kampus kita memang terbatas ruang politiknya tetapi gerakan pro-Aspirasi wujud akibat kebimbangan kerajaan pada sumbangan positif Reformasi 1998. Sebelum itu, kampus tidaklah seketat dan sekeras ini cengkaman Umnonya terhadap birokrasi, tenaga akademik dan siswa.

Malah, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) juga satu pakej baru untuk mengawal kesan-kesan positif era Reformasi. Begitu juga Puteri UMNO. Semuanya ini usaha mempolitikkan orang muda sebagaimana panggilan Reformasi 1998 telah berjaya menyeret anak muda ke kancah politik seperti lahirnya UBU dan KsJT.

Gerakan-gerakan agama yang muncul sekarang lebih lantang, dan lebih banyak label dan jaringannya, untuk menentang sebarang percubaan membuka tema-tema baru Islam yang sepadan dengan pendemokrasian seperti hasrat Reformasi 1998.

Gerakan agama kini menjadi medan penutupan fikiran dan medan menakut-nakutkan orang ramai pada tema-tema kebebasan, hak asasi manusia dan demokrasi. Seolah-olahnya gerakan baru NGO Islam ini ditaja oleh tangan-tangan ghaib kerajaan juga! Maksud saya, dalam usaha membasmi sisa-sisa kesedaran yang telah berjaya dicetuskan oleh Reformasi 1998.

Saya tidak mahu terperangkap dalam teori konspirasi di sini. Maksud saya, banyak anasir dalam masyarakat Melayu-Islam yang mula rasa terancam dengan perubahan-perubahan yang telah dan bakal dibawa oleh peristiwa Reformasi 1998.

Jadi, sama ada di pihak pembangkang Islam, NGO Islam atau pegawai-pegawai kerajaan dan juga pemimpin-pemimpin Umno tertentu yang mula panik atau muak dengan niat Reformasi ke arah kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran.

Kita ambil contoh reaksi keras mereka terhadap IFC dan Artikel 11. Misalnya lagi, jenis-jenis buku yang semakin aktif diharamkan, sebahagian besarnya buku-buku ilmiah atau kesarjanaan yang boleh membuka mata pembaca dalam bidang pemikiran (agama).

Ini semua counter-trend kepada Gerakan Reformasi 1998 tetapi tema dan bahasanya kelihatan Islam. Asasnya bukan agama, tetapi kebimbangan pada arus kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran.

Mereka takut pada tema-tema kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran tetapi berselindung di belakang hujah agama. Kadang-kadang hujah sastera dan seni juga diolah untuk menentang tema-tema Reformasi 1998 ini. Lihat, misalnya, hujah penulis-penulis muda di Rumah PENA.

Contoh lain, memperkenalkan meritokrasi di IPTA oleh Dr Mahathir pada 2001 atau penilaian kembali DEB oleh Anwar melalui "Agenda Ekonomi Baru". Orang Melayu-Islam, sama ada di pihak parti kerajaan atau pembangkang, tidak menyambut hangat dua idea ini kerana dianggap menentang status quo. Tetapi tema-tema ini memang niat awal Reformasi 1998.

RK: Orang mulai resah dengan tema-tema ini. Kenapa? Kemudian mereka akan menutup diri daripada berfikir dan enggan menilai kembali. Sebaliknya, jika boleh, jangan sekali-kali membenarkan orang lain (gerakan Reformasi) membangkitkannya lagi.

FAO: Ya, memang betul. Sebab itu mereka menyebut perkataan "kontrak sosial" dalam Perlembagaan sebagai langkah mematikan perbahasan. Ia dianggap "isu sensitif".

Aktivis agama misalnya mula memperkenalkan ungkapan "hak asasi Tuhan" bagi menunjukkan banyak sisi serong hak asasi manusia (yang dikaitkan dengan ilham dan idealisme Barat). Ingat, "Barat" sebagai momok. Tetapi ini semua reaksi-reaksi terhadap arus besar yang muncul akibat Reformasi 1998.

Kita harus melihat begini: Era Reformasi 1998-2001 itu muncul bersama ketegangan politik. Jadi banyak isu tersedut untuk menjawab dan melawan tekanan keras tersebut.

Misalnya tema keganasan polis dan profesionalisme mereka. Itu tema Reformasi 1998 tetapi telah dirampas, di-hijack, oleh Abdullah Ahmad Badawi melalui suruhanjaya siasatan polis dan kemudian cadangan menubuhkan IPCMC.

Begitu juga tema kebebasan dan korupsi badan kehakiman yang juga idea Gerakan Reformasi. Sekarang baru kelihatan lebih jelas – walaupun saya percaya Abdullah menubuhkan suruhanjaya diraja (siasatan klip video VK Lingam) baru-baru ini untuk "membeli" undi semata-mata, bukan usaha tulus untuk mereformasikan badan kehakiman.

Era politik panas 1998-2001 itu menyebabkan keresahan yang mendalam di kalangan Melayu-Islam yang konservatif itu lambat muncul. Ia ada dan bergerak tetapi tenggelam buat sementara waktu. Politik kepartian (kepembangkangan) kelihatan mendominasi persaingan tema dan wacana pada waktu itu.

Tetapi sebaik sahaja gerakan ini dilembikkan melalui ISA dan kem Kamunting, maka bermulalah siri baru serangan tersebut, yakni memorandum PUM kepada Agong untuk menghukum dan menapis tulisan-tulisan yang dianggap menentang agama. Ia muncul seawal 2002 sebagai penanda aras baru sebelum muncul ACCIN atau Badan Anti-IFC (Badai).

Di satu sisi lain, gerakan untuk menuntut ruang dan kebebasan ini melancarkan Kempen Anti-Kawalan Moral (MPAMP) pada 2004 sehingga Artikel 11.

Maksud saya, di luar musim politik panas, ketegangan politik kepartian, maka muncullah politik ideologi atau aliran yang bersifat merentasi kumpulan dan kelompok. Pada asalnya tema-tema diskusi digerakkan untuk menentang pemerintah (Dr Mahathir) tetapi kemudiannya menjadi persaingan pemikiran dan budaya yang merentasi kaum, kelas, latar pendidikan dan parti politik.

Era 2002-2005 yang dianggap "resah" itu sebenarnya dilatari oleh semangat "kebebasan, kesamarataan, hak asasi manusia, perdebatan pelbagai hala dan keterbukaan fikiran" yang menjadi roh pergerakan Reformasi. Dan pergerakan Reformasi seumpama ini memang mudah menangkap aliran pemikiran atau ideologi yang merentasi kaum, parti dan kelompok.

RK: Maksudnya, ada kesan menurun atau kemerosotan arus Reformasi?

FAO: Ya …maksud saya reformasi pemikiran, bukan Gerakan Reformasi sebagai sesebuah kelompok, persatuan atau parti politik. Kita tidak akan nampak perubahan idea dan budaya politik jika kita mengurung analisis dampak Gerakan Reformasi seperti kita menganalisis PAS atau politik Anwar.

Perkataan "reformasi" ini sebagai label kepada sejumlah nilai hidup, gerakan kepolitikan, perkumpulan orang dan tema wacana yang bersifat merentasi kurungan-kurungan kelompok, persatuan atau parti politik. Perkataan "reformasi" telah menjadi setaraf dengan maksud "Islamis", "liberal" atau "Marxis" – maksud saya, ia telah bertukar sebagai politik idea, ideologi atau budaya (fikiran).

Organisasi hanyalah kenderaan untuk mengenali, dan kenderaan untuk mengurus, manusia sahaja. Tetapi gejala "reformasi" atau ideologi "Islamis" itu memang melangkaui sesuatu organisasi. Ia adalah suatu pemikiran, reformasi sebagai usaha reformisme sebagaimana fundamentalisme atau Islamisme hidup daripada Islam.

Perkataan "reformasi" di sini sebagai maksud "kaedah berfikir" dan kaedah merumus isu-isu kenegaraan, kebudayaan, agama dan masyarakat.

RK: Bolehkah kita sebut Reformasi 1998 atau "reformisme" yang disebut tadi sebagai gerakan anti-Mahathirisme? Yakni, Reformasi bukan sahaja menentang tubuh Dr Mahathir Mohamad tetapi keseluruhan projek, idealisme, gerak politik, citarasa dan penggubalan undang-undang era 22 Dr Mahathir sebagai perdana menteri?

FAO: Ya, memang. Di satu sisi, Reformasi 1998 memang sejenis kebalikan Mahathirisme. Sebab itu saya sebut di awal tadi, Reformasi 1998 bukan pertembungan Dr Mahathir dengan Anwar semata-mata, bukan persaingan kuasa pengikut Dr Mahathir dengan kem Anwar. Bukan. Bukan itu faktor asas yang melatari motivasi dan wacananya.

Harus sentiasa diingat, sewaktu Anwar di dalam penjara, pengikut Anwar hanyalah sebahagian kecil daripada arus besar Reformasi 1998. Mungkin dalam parti Keadilan (sewaktu ditubuhkan pada 1999) dan di tepi-tepi jalan, masih ada pemimpin dan pengikut Anwar, khususnya daripada Umno.

Tetapi sebahagian besarnya, mungkin antara 60 hingga 70 peratus, penggerak demonstrasi dan pengemuka wacana era Reformasi 1998 bukan lanjutan Anwarisme Umno. Sebahagiannya digerakkan oleh aktivis NGO yang pelbagai latar belakang, termasuk kelas menengah kota dan bukan Melayu. Begitu juga peranan parti pembangkang seperti PAS dan PRM, bukan penerus citarasa Anwarisme Umno. Bukan.

Dan, menariknya, Reformasi 1998 bukan pertarungan kem-kem dalam Umno seperti Team A melawan Team B era 1987 hingga 1990 (pilihanraya umum ke-8). Reformasi 1998 adalah gerakan anti-kuasa, gerakan anti-negara. Negara di saat ini disimbolkan oleh Dr Mahathir (perdana menteri), Umno (kuasa politik berparti) dan institusi-institusi negara (polis, media dan mahkamah).

Dr Mahathir, Umno dan institusi ini dianggap "negara". Maka penolakan dan perlawanan gerakan Reformasi 1998 adalah simbol penentangan terhadap elemen-elemen asas ini, unsur-unsur mendasar tentang sendi-sendi kenegaraan kita.

Mereka bukan menolak untuk membuangnya. Bukan sejenis revolusi. Reformasi 1998 sejenis gerakan evolusi reformisme kenegaraan. Ia hanya melihat dan mahu mencantas keburukan-keburukannya sahaja tetapi mengekalkan kebaikannya.

Misalnya, isu rasuah. Reformasi 1998 bukan mahu membuang BPR tetapi mahu BPR lebih berani, lebih bebas, lebih profesional menjalankan tugasnya kepada semua pihak, khususnya "ikan-ikan besar". Begitu juga polis.

Reformasi 1998 bukan menentang polis atau menolak institusi kepolisan. Reformasi 1998 menentang sikap polis yang membelasah orang ramai dan sikap polis yang lengah-lengah dan tidak berani bertindak secara profesional, khususnya kepada pemimpin kerajaan dan ahli-ahli politik BN.

Misalnya soal kebebasan badan kehakiman. Reformasi 1998 bukan mahu menukar sistem mahkamah sivil kepada mahkamah syariah tetapi mahu menegakkan kembali imej bersih dan independen mahkamah sebelum tragedi 1988, yang diruntuhkan oleh Dr Mahathir.

Begitu juga sikap mereka terhadap kebebasan siswa dan kampus dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti, atau kebebasan media (Akta Penerbitan dan Mesin Cetak). Mereka mahu ruang yang lebih bebas untuk mengkritik pemerintah, setidak-tidaknya "sedikit lebih bebas dan dapat bernafas", tidak seperti apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir sejak 1981.

Jika anda kaji pindaan undang-undang yang dicipta oleh Dr Mahathir sepanjang era 1980-an, anda akan faham kenapa Reformasi 1998 begitu anti-Mahathirisme dan kenapa anti-Mahathirisme itu bersifat "gerakan anti-negara", bukan sekadar anti-batang tubuh Dr Mahathir.

Reformasi 1998 berbeza dengan gerakan anti-Abdullah yang dicetuskan oleh Dr Mahathir, beberapa penulis blog dan penyokong Umno. Gerakan Dr Mahathir ini skopnya sangat sempit. Mereka hanya mahu membuang Abdullah dan juak-juak perdana menteri seperti Khairy Jamaluddin, anak-beranak perdana menteri atau kumpulan "tingkat empat".

Mereka tidak menawarkan kritikan mendalam dan serius tentang institusi-institusi kenegaraan. Gerakan Reformasi 1998 tidak begitu. Reformasi menentang Dr Mahathir, Umno dan negara kerana ia menuntut perubahan menyeluruh daripada proses Mahathirisme yang melemahkan negara.

RK: Jadi, maksudnya gerakan Dr Mahathir sekarang menentang Abdullah tidak wajar disokong? Kalau kita sokong Dr Mahathir sekarang, apakah ini bermakna kita tidak lagi menyokong reformisme 1998?

FAO: Bukan begitu maksud saya. Reformasi 1998 telah mengemukakan pelan tindakan yang lebih menyeluruh daripada usaha Dr Mahathir menentang Abdullah hari ini. Reformasi 1998 terus-menerus menuntut peluasan ruang demokrasi, termasuk kebebasan mengkritik dan menegur perdana menteri dan presiden Umno.

Reformasi 1998 tidak fokus kepada individu atau juak-juak tertentu. Reformasi 1998 menuntut pembaikan dalam hampir semua bidang kenegaraan yang merugikan bangsa Malaysia.

Reformasi 1998 menuntut wacana baru, semakan semula, dan bahasa baru untuk mengukuhkan negara, misalnya hubungan antara kaum, misalnya pengagihan semula ekonomi, misalnya ruang demokrasi, misalnya peranan media (termasuk Internet) dan peranan kelas menengah.

Reformasi 1998 bukan sekadar gerakan politik seperti Dr Mahathir menyerang Abdullah.

Reformasi 1998 sebenarnya gerakan kebudayaan, gerakan pemikiran, gerakan wacana dan gerakan idea untuk merombak negara agar lebih menghargai demokrasi dan hak asasi warganya.

Memang gerakan reformisme di mana-mana pun melibatkan aksi politik tetapi aktivisme politik itu hanya saluran atau jalan untuk menjayakan sejumlah idea atau wacana yang dikempenkan.

Sebab itu, saya sebut awal tadi, Reformasi 1998 ini sudah menjadi gerakan "reformisme" pemikiran dan kebudayaan dalam bidang kepolitikan dan kenegaraan.

Maksud saya, Reformasi 1998 itu membuka jalan atau ruang untuk kita membentuk falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia. Sebab itu ia bukan sekadar gerakan politik.

RK: Jadi, apakah reformasi seperti ini akan ada masa depan di Malaysia? Atau akan dikalahkan negara atau ditewaskan oleh penggerak-penggeraknya yang tidak faham arah tuju dan semangatnya?

FAO: Saya tidak optimis dan tidak juga pesimis dalam hal ini. Tetapi bagi saya, ringkas sahaja. Jika Reformasi 1998 dinilai sebagai gerakan pencetus "falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia", yakni gerakan pemikiran dan wacana baru, maka reformisme seumpama ini memberi harapan kepada Malaysia.

Jika orang menafsirkan Reformasi 1998 sekadar usaha-usaha menjatuhkan BN, sekadar merebut tampuk kekuasaan, sekadar menjadi perdana menteri, atau sekadar mengambil peluang ekonomi dan kedudukan politik (dalam kerajaan dan parti), maka proses selama 10 tahun ini akan sia-sia, tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Saya jelaskan tadi, kedua-dua maksud dan tafsiran Reformasi 1998 ini berbeza dan membawa akibat yang berlainan. Terpulang kepada penggerak-penggerakanya, intelektualnya, penulisnya dan aktivis mudanya.

Ke mana mereka membawa arus Reformasi 1998, terserah kepada mereka. Tetapi jalan yang dirintis sejak 10 tahun lepas telah membuka kemungkinan untuk kita menggerakkan reformisme ketatanegaraan yang baru dan saya semakin optimis ia akan membuka (telah membuka!) mata banyak orang.

Jika anda membaca buku saya Patah Balek: Catatan terpenting era reformasi, atau buku Hishamuddin Rais, Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya, atau buku Khalid Jaafar, Tumit Achiles, anda akan faham banyak lagi gerakan reformisme harus kita usahakan.

Kita harus terus menyuburkan idea, terus melatih bakat-bakat baru dan terus mengasak dengan gerakan politik yang lebih padu. Ketiga-tiga bidang ini (pemikiran, tenaga baru dan aksi politik) tidak boleh kita abaikan.

Ingatlah pesan saya, Reformasi 1998 itu ertinya gerakan pencetus "falsafah baru tentang politik Malaysia dan tentang ketatanegaraan Malaysia", yakni gerakan pemikiran dan wacana baru.

08 Mac 2008

Trilogi Wawancara Bersama Tiga Penulis Hebat


1. Rocky Bru:
Presiden Penaja Grup All-Blogs,
Bekas editor Malay Mail, kolumnis Mypaper dan
blogger terkenal


2. Black:
Kolumnis malaysiakini.com,
penulis bebas dan
blogger terkenal





3.Helme Hanafi
Pengarang klpos.com,
penulis bebas dan
kolumnis

07 Mac 2008

BN disaingi di kawasan utara, urban, Perlis kekal di tangan BN

Di bawah merupakan pendapat aku, Zulfikar Samsuri dengan rakan seeditorial aku, Jimadie Shah Othman tentang PRU12 yang akan diadakan esok 8/3/08.

Zulfikar Samsuri: Menurut pemerhatian aku, BN akan kekalkan kemenangan dihampir kesemua negeri. Mereka akan disaingi di negeri2 Utara Semenanjung, seperti Perlis, Kedah, Penang, sedikit kawasan di Perak, Kelantan dan Terengganu. Mereka juga bakal disaingi di kawasan-kawasan urban atau perbandaran, seperti di KL, Kelana Jaya, Subang Jaya, Lembah Pantai, Pandan dan Ipoh.

Jimadie Shah Othman: PRU12 ni aku sukar untuk menilai, sebab aku tengok daripada luar. Tapi setakat yang aku nampak, peluang pembangkang di kawasan-kawasan kuat macam Kelantan dan Kedah boleh sampai 60%. Sabah pun agak kuat sebab ada Jefrey Kitingan. Namun masalahnya org Sabah kalah dengan rasuah. Perlis pembangkang akan bungkus. Paling kuat 2 kerusi DUN. Peluang Harun Din di Arau pun still 45 persen. Apa pun kita tengok last touch atau last calllah. Inilah pendapat aku.

Helme Hanafi: BN akan kembali berkuasa, cuma banyak hilang kerusi

Beliau adalah seorang penulis yang baru mahu meningkat naik. Menjadi pengarang klpos, membuatkannya lebih terkenak. Ditambah lagi dengan kedudukan klpos yang menjadi pesaing (tidak keterlaluan) terdekat bagi malaysiakini, malaysia-today dan tranungkite.

Saya mula kenal dengan Helme, sejak dia di majalah seni politik Siasah (bukan tabloid Siasah), dalam Bengkel Kewartawanan anjuran IKD. Beliau sememangnya peramah, senang saja mahu berbual dengannya. Kami berbual isu politik, seni dan sukan.

Beliau juga adalah pemegang Diploma Tahfiz dari Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat, Yayasan Ismail Perlis. Menggemari Sukarnoe bekas presiden Indonesia, beliau mula mengasaskan klpos.com pada sekitar awal tahun 2006. Antara berita yang paling menggoncang pembaca adalah berita mengenai sebuah foto Najib ketika disebuah jamuan.

Berita yang pada mulanya hanya dianggap sebagai khabar angin telah menjadi suatu berita yang menggemparkan seluruh negara apabila Amy sepupunya mendakwa bahawa ada pernah ditunjukkan oleh Altantuya, sekeping gambar antara Altantuya, Razak Baginda, dan seorang pegawai kerajaan Malaysia Najib Razak.

Beliau, memulakan langkahnya sebagai penulis dengan Berita Keadilan dan Suara Keadilan, pimpinan Khalid Jaafar. Tidak beberapa lama sekepas itu, beliau menjadi pengaran no 2. Jawatan sebagai penolong Zunar benar-benar mematangkannya. Namun sebelum itu beliau juga pernah menyertai agendadaily.com.

Beliau adalah penyumbang wawancara yang terakhir. Namun begitu beliau bukanlah terlewat kerana dateline bagi wawancara ini adalah pada malam nanti. (ed: Helme kau tak terlewat)

1. PRU12 dah semakin dekat, apa pendapat Sdr Helme selaku editor Klpos.com tentang pilihan raya ini. Maksud saya, Sdr Helme agak-agak siapa menang, secara keseluruhannya.

Terima kasih. Untuk jujur saya merasakan bahawa dalam pilihanraya ini BN akan kembali berkuasa. Cuma berkemungkinan besar mereka akan kalah di beberapa kerusi di negeri seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Pahang.

2. Dapatkah PAS pegang Kelantan lagi? Saya tengok hampir tiap2 hari TPM Najib, pergi ke sana. Khairy pun dah start serang PAS.

Kelantan masih di tangan PAS. Insyallah, biarpun media mengembar gemburkan bahawa Kelantan akan jatuh, dari pemerhatian saya ketika di Kelantan baru baru ini, secara majoritinya masih menyokong PAS. Saya rasa kegemparan bahawa Kelantan akan jatuh hanyalah 'iklan' di media. Realitinya tidak menggambarkan perkara tersebut.

3. Rasa-rasa Sdr Helme ada tak negeri yang mungkin diambil pembangkang?

Selain Kelantan, saya rasa pembangkang tidak mampu menawan mana-mana negeri. Tetapi mereka akan menang tambahan kerusi di negeri yang saya telah sebutkan tadi.

4. Pembatalan penggunaan 'dakwat celup jari' bukankah menampakkan bahawa ada pakatan antara BN-SPR? Komen?

Saya tidak pasti tentang pakatan. Cuma apa yang orang ramai fikir adalah, SPR gagal untuk membuat kajian terperinci sebelum mengumumkan sesuatu perkara. Ini termasuk soal 'duit sete,' yang diumumkan beberapa hari sebelum penamaan calon dan kemudian ditarik balik. SPR lemah dan tidak berwibawa.

5. Kebangkitan kaum India dengan slogan 'makkal shakti' betul2 menekan kerajaan, pada hemat Sdr Helme mampukah kaum India menjadi penentu bagi PRU12 ini. Bagaimana peluang Samy Vellu, boleh dia menang?

Samy Vellu akan menang. Tapi di mana-mana kita boleh lihat kebangkitan orang India. Ia sesuatu yang baru dalam politik di Malaysia. Selama ini kita lihat kebangkitan rakyat bergilir antara kaum Melayu dan Cina, ini kali pertama orang India menunjukkan sikap mereka menentang BN. Tapi pada saya ia masih di tahap ombak, belum mampu mencetus gelombang.

6. Sdr Helme rasa iternet kini, sudah menjadi alat mencari kebenaran atau tidak atau keberkesanannya kini adalah menjadi penghasut supaya rakyat di negara ini membenci kerajaan. Tolong komen?

Pada saya internet sekarang menjadi media baru kepada pembangkang. Sata wahana selain ceramah dan risalah. Cuma penggunaan teknologi ini masih belum meluas di kalangan orang Malaysia. Jadi kalau hendak kata ia merupakan penghasutpun masih belum cukup untuk menjatuhkan kerajaan.

7. Dalam pada media arus perdana, digunakan secara maksimum oleh kerajaan, saya rasa rakyat mula muak dan beralih ke media alternatif yg lain. Apa pula pendpt Sdr Helme?

Bukan rakyat. Tetapi aktivis pembangkang dan mereka yang berminat dengan hal ehwal politik semasa. Ini fenomena biasa kerana berita pembangkang tidak disiarkan oleh media arus perdana jadi mereka beralih kepada media baru seperti internet untuk mencari berita. Sedangkan rakyat secara keseluruhannya masih bergantung kepada media konversional seperti akhbar dan media elektronik.

8. Ada dakwaan dari beberapa pihak, bahawa akan ada pengundi2 hantu. Apa benar dakwaan ini pd pendpt Sdr Helme?

Pertama, definasi hantu itu tidak jelas. Apakah ia merujuk kepada orang mati yang mengundi, atau pengundi yang menggunakan identiti orang mati, atau ia merupakan pengundi luar yang di alihkan secara sistemetik untuk memenangkan sesuatu parti tanpa menyalahi peraturan disediakan.

Jadi saya fikir definasi pengundi hantu itu sendiri masih kabur. Apa yang saya perhatikan adalah, pengundi dari luar, yang dibawa masuk secara sistematik, dengan perancangan rapi untuk mengundi di satu-satu kawasan. Contohnya, saya ahli Umno di Segambut. Parlimen Segambut kerusi GERAKAN, jadi saya dipindahkan secara sistemetik oleh pejabat bahagian saya untuk mengundi di Shah Alam, kerusi yang ditandingi Umno. Dari segi undang-undang tidak salah.

9. Mungkin betul kata KPN, bahawa bas yang akan memasuki Terengganu dan Kelantan nanti adalah bas yang mengangkut pengundi Terenganu yang duduk di luar. Komen sdr.

YA, berkemungkinan sekali berdasarkan kaedah yang saya terangkan tadi.

10. Loh Gwo Burne, Nurul Izzah, Amir Sari, Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir, Jonah adalah sabahagian daripada anak2 muda yang mengambil bahagian menjadi calon dalam pilihan raya kali ini. Siapa pada pendapat sdr akan menang dan siapa pula yang akan kalah.

Payah soalan ini, cuma saya berdoa supaya golongan muda ini menang semuanya agar Parlimen kita lebih berseri. Memang patut golongan tua yang suka dengan sindiran lucah di Parlimen digantikan oleh golongan muda yang lebih agresif.

Terima kasih, Helme.

Black: SPR batal guna dakwat kekal, beri gambaran pengundi hantu memang wujud

Saya masih ingat lagi zaman tu, duduk lepak-lepak kat Kedai Mamak Maidin bawah UBU(Universiti Bangsar Utama) kat Bangsar Utama. Tempat lepak itu merupakan antara tempat lepak favourite saya selain Restoran Hamid di CM (Central Market), Devi’s Corner dan Restoran Khalifah di Telawi, Restoran Dawood dan Restoran Darhus di Shah Alam.

Ketika itu (lebih kurang 4 tahun sudah), sebelum pergi ke kempen pilihan raya bersama Hishamuddin Rais untuk membantu calon PKR melawan Sharizat di Parlimen Lembah Pantai, beliau (yang lebih mesra dengan panggilan Black) dengan gitar tongnya menyanyikan lagu Internationale, sebuah lagu anthem komunisma.

Saya tahu, beliau antara lain meminati muzik. Gaya mainan gitar dan nyanyiannya pada hari itu saling tak tumpah seperti Iwan Fals penyanyi dan pemuzik folk dari Indonesia. Beliau sudahpun mengeluarkan album berkonsepkan folk dan ada menyertai konsert-konsert kecil atau gig indie yang dianjurkan di serata KL.

Namun begitu, beliau adalah aktivis 'pemantau pilihan raya' -- sudah pergi hingga ke Sri Lanka, India, Indonesia dan Filipina untuk memastikan pilihan raya di sana kekal bersih. Dicuplik dari blognya, "… beliau juga merupakan seorang aktivis sosial yang bercita-cita untuk menegakkan demokrasi tulen di Malaysia. Beliau tidak melibatkan diri dengan mana-mana parti politik kerana mempercayai gerakan rakyat di luar rangkuman parti politik."

Pengalamanya luas tentang selok belok pilihan raya. Kerana pengalamannya itu, saya percaya bahawa langkah SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal, sangat mengecewakannya,

Pengalamannya juga sangat luas dalam bidang penulisan. Beliau antara lainnya pernah menyumbang artikel untuk majalah-majalah Terbitan Suria Janib, Berita Keadilan, Suara Keadilan dan beberapa lagi penerbitan yang tidak berkala.

Sekarang Amin Iskandar atau Black adalah seorang kolumnis kepada Malaysiakini.com. Sebuah akhbar harian elektronik bebas yang wujud di alam siber. Beliau mengendalikan kolum "Borak-borak" yang baru bermula pada 29 Mei 2007 yang lalu.

Ikuti wawancara saya, Zulfikar Samsuri, dengan Sdr Amin Iskandar atau lebih mesra dipanggil dengan nama Black:

1. Tindakan pembatalan penggunaan dakwat celup jari nyata tindakan kebelakang SPR, ini akan dengan jelas seperti memberitahu kita bahawa ada wujudnya pakatan antar BN-SPR. Apa pula pandangan Sdr Black?

Isu penggunaan dakwat kekal ini, diperingkat awal lagi saya telah melihat ketidaksungguhan SPR dan kerajaan untuk melaksanakannya. Pertama, peraturan pilihanraya tidak dipinda untuk mewajibkan penggunaan dakwat kekal bagi setiap pengundi di Malaysia. Sedangkan untuk memastikan Tan Sri Rashid terus berkhidmat, perlembagaan telah dipinda dan kuasa 2/3 BN diparlimen digunakan untuk memastikan pindaan ini berjaya.

Kedua, SPR tidak pernah mengadakan sebarang program pendidikan untuk mengajar rakyat proses mengundi dengan menggunakan dakwat hitam.

Mengenai pakatan diantara BN dan SPR, pembatalan penggunaan dakwat hitam ini mengesahkan lagi tuduhan ini.

2. Ada tak peluang untuk pembangkang menang secara keluruhan di Malaysia selepas SPR mengambil tindakan ini.

Agak sukar. Tambahan lagi pembangkang tidak diberikan akses media seperti apa yang diperolehi oleh BN.

3. Ada pihak yang mendakwa wujudnya pengundi hantu, apa benar dakwaan itu, atau cuma helah politik pembangkang untuk mendapatkan kuasa.

Mungkin ia atau mungkin tidak. Apabila SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal, ia memberikan gambaran bahawa pengundi hantu memang wujud.

4. Baru2 ini sebuah gabungan NGO dan parti2 pembangkang telah melakukan sebuah demonstrasi yang berjaya mengeumpulkan lebih 50 000 orang. Bagaimana anda melihat demonstrasi ini. Berjaya atau tidak dalam melahirkan pendapat?

Pada pandangan saya, tuntutan rakyat hanya akan dilayan selepas berlakunya demonstrasi. Contohnya kita lihat pada era reformasi, demonstrasi demi demonstrasi telah menyebabkan kerajaan menubuhkan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia).

Demonstrasi yang dilakukan oleh Bersih telah membuka mata dunia mengenai ketidakadilan pilihanraya di Malaysia. Human Rights Watch yang berpengkalan di New York telah mengeluarkan satu kenyataan dua hari lalu bahawa rakyat Malaysia dinafikan hak untuk mendapatkan pilihanraya yang bebas dan adil.

Manakala demonstrasi Hindraf pula menyaksikan kerajaan memberikan respon segera. Cuti Thaipusam diberikan kepada beberapa negeri tanpa diminta. Peruntukkan demi peruntukkan dihantar kepada masyarakat India untuk memujuk mereka.

Ini yang majoriti orang Melayu kena belajar.

5. Juga baru2 ini sebuah NGO India membuat demonstrasi di Ibu Negara untuk menyatakan ketidak puasan hati mereka terhadap status mereka di Malaysia. Bg anda, wajar atau tidak mereka berdemonstrasi.

Saya menyokong hak setiap rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman. Polis harus professional.

6. Baru2 ini saya didatangi oleh dua orang anak muda bertanyakan tentang siapa di belakang Hindraf. Mereka tegas mengatakan bahawa DSAI berada di belakang NGO itu. Apa benar DSAI berada di belakang NGO itu. Komen.

Mengenai Anwar Ibrahim dan Hindraf, saya tidak boleh komen kerana saya bukan ahli mana-mana parti politik termasuk Parti Keadilan Rakyat.

7. Anda rasa adakah Kelantan akan dipegang lagi oleh PAS?

Jika tidak ada sebarang taktik kotor, PAS akan mempertahankan Kelantan. Ini berdasarkan kepada tinjauan yang saya lakukan dibeberapa buah kawasan. Selain daripada itu, jentera-jentera PAS bekerja dengan semangat untuk mempertahankan Tok Guru Nik Aziz. Kempen yang dasyhat oleh BN menggunakan media arus perdana untuk menawan Kelantan telah seperti "backfire" kembali kepada mereka. Tambahan lagi Pak Lah dan menantunya yang kelihatan sangat angkuh dan rakus untuk menawan Kelantan. Ini mungkin akan menyebabkan rakyat Kelantan menjadi defensive untuk mempertahankan PAS Kelantan.

8. Dengar2 cerita bahawa beberapa negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu, Perlis, Kedah, Penang, Kelantan dan Terengganu akan menjadi milik Barisan Rakyat. Boleh anda ulas tentang perkara ini?

Perkara ini tidak mustahil oleh kerana sentimen rakyat terhadap kenaikkan harga barang yang berterusan.

9. Anda rasa adakah mungkin kaum india menjadi penentu undi bagi sesetengah kawasan?

Selama ini, kaum India berdiri teguh dibelakang BN. Namun kali ini kelihatan sudah berubah. Mereka lebih dekat kepada pembangkang. Mungkin ini akan menjadi penyebab pembangkang menang lebih banyak kerusi. Itupun kalau tidak ada penipuan.

Masyarakat India juga kini ramai yang mengahadiri ceramah anjuran pembangkang termasuk PAS.

10. Nampaknya Dr Jayakumar memberikan tentangan yang sengit kepada SSamy Vellu. Mampukah Dr Jayakumar menang, pada penelitian anda di kawasan itu, mungkinkah para pengundi beralih arah ke PKR (PSM)

PKR akan memberikan tentangan yang sengit. Sammy Vellu tercabar. Beliau berkampung di Sungai Siput dan kurang berkempen diluar. Ertinya beliau juga perlu bekerja keras untuk menghadapi Dr. Jeyakumar. Ini menunjukkan yang beliau tercabar.

Harap saudara berpuas hati dengan jawapan saya.

Sudah semestinya, terima kasih.

05 Mac 2008

Rocky: PRU12 Antara PRU yang terkotor

Siapa yang tak kenal dengan Ahirudin Attan AKA Rocky Bru, blogger terkenal tanah air dan juga merupakan blogger pertama dengan Jeff Ooi (Screenshot) yang menghadapi saman dari pihak News Straits Time (NST).

Beliau seorang yang benar-benar merendah diri, menjawab emel yang saya kirimkan dalam masa yang sangat singkat. Walaupun pada hari semalam beliau berada dalam keadaan mengantuk (akibat menunggu statement dari Husam Musa berhubung pembatalan penggunaan dakwat kekal) tetapi beliau tetap dengan sepenuh hati menjawab soalan-soalan yang saya tanyakan.

Ahirudin Attan, merupakan bekas pengarang eksekutif akhbar harian Malay Mail dan beliau juga (seperti yang boleh dilihat dalam blognya) merupakan Presiden Penaja grup National Alliance of Bloggers (All-Blogs). Sebuah grup yang mengumpulkan semua blogger "heavyweight"). Beliau sekarang dalam proses untuk menyiapkan bukunya yang pertama.

Selain daripada itu, beliau juga merupakan kolumnis pelbagai akhbar dan tabloid dan juga penasihat bagi National Press Club. Mula berblog pada 21 Mei 2006 dan kini telah mencapai hits sebanyak 3 198 484 (seperti yang tertulis pada laman blognya -- rocky's bru).

Ikuti soalan yang saya, Zulfikar Samsuri, tanyakan kepada beliau dan jawaban dari beliau sendiri:

1. Lebih rapat kalau saya panggil Sdr Rocky saja, apa pendapat Sdr Rocky tentang pilihan raya ini. Maksud saya, siapa menang, secara keseluruhannya.

Persepsi setakat ini, Pru12 Antara Pru yang terkotor. Ada yg kata RM20 billion taxpayers' money dilebur untuk Pru12. RM500 million untuk bawak anak2 Kelantan di negeri2 lain balik mengundi untuk BN. Ink "ghaib" betul2 ghaib, 3 hari sebelum pilihanraya. Propaganda press dan tv menjadi-jadi. Untung ada alam siber, tapi tak cukup untuk menyuci keadaan.

2. Dapatkah PAS pegang Kelantan lagi?

Kelantan tetap milik Pas. Tapi kata2 AAB semalam bahawa ada pihak yang cuba sabotaj Pru di Kelantan adalah membimbangkan. Husam Musa pula kata ada pihak luar yang telah mencetak 20,000 t-shirt Bersih untuk tujuan yang dah tentu kurang baik. Polis tak cakap pulak pasal t-shirt kuning Bersih ni.

3. Rasa-rasa Sdr Rockylah ada tak negeri yang mungkin diambil pembangkang?

Pulau Pinang bergelora. Silap hari karam bahtera BN di pulau tu. Kalau menang pun BN, banyak akan terkorban. Puncanya mulut celupar Khairy jugak, main api dengan sentimen kaum pada akhir tahun 2006. . Susah nak padam api kemarahan sesuatu bangsa. Lihat saja Hindraf.

4. Pembatalan penggunaan 'dakwat celup jari' bukankah menampakkan bahawa ada pakatan antara BN-SPR? Komen?

Bukan saja dengan SPR tapi juga dengan PDRM dan pejabat Peguam Negara dan media massa arus perdana. Itu persepsinya.

5. Kebangkitan kaum India dengan slogan 'makkal shakti' betul2 menekan kerajaan, pada hemat Sdr Rocky mampukah kaum India menjadi penentu bagi PRU12 ini. Bagaimana peluang Samy Vellu, boleh dia menang?

Sebagai suatu "force", kaum India kecil bilangannya. Tak ada satu constituency pun yang pengundi India itu majority (lebih 50 peratus). Tapi bilangan yang kecil pun cukup untuk buat sesorang calon kalah dan nampaknya ini ditakuti oleh BN dan bukan pembangkang. Sampai ramai calon MIC telah dipindahkan ke kawasan di mana pengundi India kecil sangat bilangannya. Contoh - K. Parthiban pindah dari Ijok ke Melawati. Samy Vellu silap hari benam.

6. Sdr Rocky rasa iternet kini, sudah menjadi alat mencari kebenaran atau tidak atau keberkesanannya kini adalah menjadi penghasut supaya rakyat di negara ini membenci kerajaan. Tolong komen?

Macam baca benda lain atau tengok tv jugak, selayar Internet kena pilih dengan cerdik. Yang penting, masih ada pilihan, tak macam media tradisional kita. .

7. Dalam pada media arus perdana, digunakan secara maksimum oleh kerajaan, saya rasa rakyat mula muak dan beralih ke media alternatif yg lain. Apa pula pendpt Sdr Rocky.

Setuju. Bab politik memang ramai orang dah muak dengan propaganda NST, Star, Berita Harian maupun Utusan. Tapi orang kampung baca jugak. Dan orang Melayu khususnya suka baca berita2 "geli" di Metro dan Kosmo. Tu sebab laku jualan tabloid Melayu.

8. Ada dakwaan dari beberapa pihak, bahawa akan ada pengundi2 hantu. Apa benar dakwaan ini pd pendpt Sdr Rocky?

Pencuri, pembohong, perogol, penyamun kat mana2. Tapi selagi tak kena tangkap selagi tu kita tak dapat buktikan jenayah yang berlaku.

9. Mungkin betul kata KPN, bahawa bas yang akan memasuki Terengganu dan Kelantan nanti adalah bas yang mengangkut pengundi Terenganu yang duduk di luar. Komen sdr.

Kalau ada bas khusus untuk bawak pengundi saja, mungkin ada elemen rasuah untuk sogok pengundi. Tapi sekali lagi, perlu bukti.

10. Loh Gwo Burne, Nurul Izzah, Amir Sari, Chegu Bard, Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir, Jonah(menamakan sebahagian kecil) adalah sebahagian daripada anak2 muda yang mengambil bahagian menjadi calon dalam pilihan raya kali ini. Siapa pada pendapat sdr akan menang dan siapa pula yang akan kalah.

KJ dah pasti menang. Sumber dia sebagai menantu PakLah tiada hadnya dan pembangkang tidak mati-matian untuk "membunuh" cita2 anak muda ini. Peluang Mukhriz semakin cerah tapi atas sebab lain. Dia membawa suatu perubahan di mana ceramahnya langsung tak kutuk atau cerca pembangkan atau calon yang menjadi lawan. Nurul popular tapi mungkin next round; pengundi Lembah Pantai noi pelik sikit. Jonah tak patut diletakkan di Pekan, rugi bakat. Dia lebih dikenali di kampungnya di Masjid Tanah, Melaka dan dah banyak buat bakti kat sana. Chegubard kalau kalah pun tak malu, saya rasa. Insyallah, majoriti kalah 2004 boleh dikecilkan jurangnya.

Terima kasih Sdr Ahirudin Attan.

13 Julai 2007

Bersama Sdr MR al-Mustaqeem (ketika itu Editor Majalah Siasah)


Sebetulnya, saya tidak minat dengan politik kepartian dan tidak banyak bercampur dengan orang-orang parti walaupun pernah menulis di tabloid yang saudara sebutkan. Fathi Aris Omar pernah menulis tentang MASPARTI (Masyarakat Politik Tanpa-Parti) dan saya amat menyukai istilah serta menyetujui gagasannya. Parti politik perlu dan harus terus wujud. Dalam masa yang sama, ruang publik perlu dibesarkan. Masyarakat Madani yang pernah dihebahkan dulu perlu diteruskan wacana tentangnya. Pemikiran Habermas tentang "public sphere" perlu diteliti. [lagi]