07 Mac 2008

Black: SPR batal guna dakwat kekal, beri gambaran pengundi hantu memang wujud

Saya masih ingat lagi zaman tu, duduk lepak-lepak kat Kedai Mamak Maidin bawah UBU(Universiti Bangsar Utama) kat Bangsar Utama. Tempat lepak itu merupakan antara tempat lepak favourite saya selain Restoran Hamid di CM (Central Market), Devi’s Corner dan Restoran Khalifah di Telawi, Restoran Dawood dan Restoran Darhus di Shah Alam.

Ketika itu (lebih kurang 4 tahun sudah), sebelum pergi ke kempen pilihan raya bersama Hishamuddin Rais untuk membantu calon PKR melawan Sharizat di Parlimen Lembah Pantai, beliau (yang lebih mesra dengan panggilan Black) dengan gitar tongnya menyanyikan lagu Internationale, sebuah lagu anthem komunisma.

Saya tahu, beliau antara lain meminati muzik. Gaya mainan gitar dan nyanyiannya pada hari itu saling tak tumpah seperti Iwan Fals penyanyi dan pemuzik folk dari Indonesia. Beliau sudahpun mengeluarkan album berkonsepkan folk dan ada menyertai konsert-konsert kecil atau gig indie yang dianjurkan di serata KL.

Namun begitu, beliau adalah aktivis 'pemantau pilihan raya' -- sudah pergi hingga ke Sri Lanka, India, Indonesia dan Filipina untuk memastikan pilihan raya di sana kekal bersih. Dicuplik dari blognya, "… beliau juga merupakan seorang aktivis sosial yang bercita-cita untuk menegakkan demokrasi tulen di Malaysia. Beliau tidak melibatkan diri dengan mana-mana parti politik kerana mempercayai gerakan rakyat di luar rangkuman parti politik."

Pengalamanya luas tentang selok belok pilihan raya. Kerana pengalamannya itu, saya percaya bahawa langkah SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal, sangat mengecewakannya,

Pengalamannya juga sangat luas dalam bidang penulisan. Beliau antara lainnya pernah menyumbang artikel untuk majalah-majalah Terbitan Suria Janib, Berita Keadilan, Suara Keadilan dan beberapa lagi penerbitan yang tidak berkala.

Sekarang Amin Iskandar atau Black adalah seorang kolumnis kepada Malaysiakini.com. Sebuah akhbar harian elektronik bebas yang wujud di alam siber. Beliau mengendalikan kolum "Borak-borak" yang baru bermula pada 29 Mei 2007 yang lalu.

Ikuti wawancara saya, Zulfikar Samsuri, dengan Sdr Amin Iskandar atau lebih mesra dipanggil dengan nama Black:

1. Tindakan pembatalan penggunaan dakwat celup jari nyata tindakan kebelakang SPR, ini akan dengan jelas seperti memberitahu kita bahawa ada wujudnya pakatan antar BN-SPR. Apa pula pandangan Sdr Black?

Isu penggunaan dakwat kekal ini, diperingkat awal lagi saya telah melihat ketidaksungguhan SPR dan kerajaan untuk melaksanakannya. Pertama, peraturan pilihanraya tidak dipinda untuk mewajibkan penggunaan dakwat kekal bagi setiap pengundi di Malaysia. Sedangkan untuk memastikan Tan Sri Rashid terus berkhidmat, perlembagaan telah dipinda dan kuasa 2/3 BN diparlimen digunakan untuk memastikan pindaan ini berjaya.

Kedua, SPR tidak pernah mengadakan sebarang program pendidikan untuk mengajar rakyat proses mengundi dengan menggunakan dakwat hitam.

Mengenai pakatan diantara BN dan SPR, pembatalan penggunaan dakwat hitam ini mengesahkan lagi tuduhan ini.

2. Ada tak peluang untuk pembangkang menang secara keluruhan di Malaysia selepas SPR mengambil tindakan ini.

Agak sukar. Tambahan lagi pembangkang tidak diberikan akses media seperti apa yang diperolehi oleh BN.

3. Ada pihak yang mendakwa wujudnya pengundi hantu, apa benar dakwaan itu, atau cuma helah politik pembangkang untuk mendapatkan kuasa.

Mungkin ia atau mungkin tidak. Apabila SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal, ia memberikan gambaran bahawa pengundi hantu memang wujud.

4. Baru2 ini sebuah gabungan NGO dan parti2 pembangkang telah melakukan sebuah demonstrasi yang berjaya mengeumpulkan lebih 50 000 orang. Bagaimana anda melihat demonstrasi ini. Berjaya atau tidak dalam melahirkan pendapat?

Pada pandangan saya, tuntutan rakyat hanya akan dilayan selepas berlakunya demonstrasi. Contohnya kita lihat pada era reformasi, demonstrasi demi demonstrasi telah menyebabkan kerajaan menubuhkan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia).

Demonstrasi yang dilakukan oleh Bersih telah membuka mata dunia mengenai ketidakadilan pilihanraya di Malaysia. Human Rights Watch yang berpengkalan di New York telah mengeluarkan satu kenyataan dua hari lalu bahawa rakyat Malaysia dinafikan hak untuk mendapatkan pilihanraya yang bebas dan adil.

Manakala demonstrasi Hindraf pula menyaksikan kerajaan memberikan respon segera. Cuti Thaipusam diberikan kepada beberapa negeri tanpa diminta. Peruntukkan demi peruntukkan dihantar kepada masyarakat India untuk memujuk mereka.

Ini yang majoriti orang Melayu kena belajar.

5. Juga baru2 ini sebuah NGO India membuat demonstrasi di Ibu Negara untuk menyatakan ketidak puasan hati mereka terhadap status mereka di Malaysia. Bg anda, wajar atau tidak mereka berdemonstrasi.

Saya menyokong hak setiap rakyat Malaysia untuk berhimpun secara aman. Polis harus professional.

6. Baru2 ini saya didatangi oleh dua orang anak muda bertanyakan tentang siapa di belakang Hindraf. Mereka tegas mengatakan bahawa DSAI berada di belakang NGO itu. Apa benar DSAI berada di belakang NGO itu. Komen.

Mengenai Anwar Ibrahim dan Hindraf, saya tidak boleh komen kerana saya bukan ahli mana-mana parti politik termasuk Parti Keadilan Rakyat.

7. Anda rasa adakah Kelantan akan dipegang lagi oleh PAS?

Jika tidak ada sebarang taktik kotor, PAS akan mempertahankan Kelantan. Ini berdasarkan kepada tinjauan yang saya lakukan dibeberapa buah kawasan. Selain daripada itu, jentera-jentera PAS bekerja dengan semangat untuk mempertahankan Tok Guru Nik Aziz. Kempen yang dasyhat oleh BN menggunakan media arus perdana untuk menawan Kelantan telah seperti "backfire" kembali kepada mereka. Tambahan lagi Pak Lah dan menantunya yang kelihatan sangat angkuh dan rakus untuk menawan Kelantan. Ini mungkin akan menyebabkan rakyat Kelantan menjadi defensive untuk mempertahankan PAS Kelantan.

8. Dengar2 cerita bahawa beberapa negeri di utara Semenanjung Malaysia iaitu, Perlis, Kedah, Penang, Kelantan dan Terengganu akan menjadi milik Barisan Rakyat. Boleh anda ulas tentang perkara ini?

Perkara ini tidak mustahil oleh kerana sentimen rakyat terhadap kenaikkan harga barang yang berterusan.

9. Anda rasa adakah mungkin kaum india menjadi penentu undi bagi sesetengah kawasan?

Selama ini, kaum India berdiri teguh dibelakang BN. Namun kali ini kelihatan sudah berubah. Mereka lebih dekat kepada pembangkang. Mungkin ini akan menjadi penyebab pembangkang menang lebih banyak kerusi. Itupun kalau tidak ada penipuan.

Masyarakat India juga kini ramai yang mengahadiri ceramah anjuran pembangkang termasuk PAS.

10. Nampaknya Dr Jayakumar memberikan tentangan yang sengit kepada SSamy Vellu. Mampukah Dr Jayakumar menang, pada penelitian anda di kawasan itu, mungkinkah para pengundi beralih arah ke PKR (PSM)

PKR akan memberikan tentangan yang sengit. Sammy Vellu tercabar. Beliau berkampung di Sungai Siput dan kurang berkempen diluar. Ertinya beliau juga perlu bekerja keras untuk menghadapi Dr. Jeyakumar. Ini menunjukkan yang beliau tercabar.

Harap saudara berpuas hati dengan jawapan saya.

Sudah semestinya, terima kasih.

Tiada ulasan: