KENYATAAN MEDIA
ANGKATAN MUDA KEADILAN SELANGOR
PARTI KEADILAN RAKYAT
UNTUK SIARAN SEGERA
10hb MEI 2009
AMK SELANGOR GESA ANAK MUDA BERSAMA-SAMA BUAT PERUBAHAN BESAR PADA PRU-13
Angkatan Muda Keadilan Selangor menggesa anak-anak muda di seluruh negara untuk menjadi penentu perubahan siasah pada PRU-13 kelak. Suasana siasah masa hadapan di negara ini perlu diselamatkan daripada menjadi lebih teruk dan buruk.
Perkembangan situasi siasah di Perak terkini menyaksikan sikap dan perangai sebenar pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang terus menerus meragut demokrasi di negara ini. Justeru anak-anak muda yang akan menjadi pengundi pada PRU-13 kelak perlu menterjemahkan satu perubahan situasi politik di masa hadapan.
AMK Selangor mengajak anak-anak muda di negara ini untuk bersama-sama aktif dalam membawa masa hadapan negara yang lebih baik dan cemerlang. Oleh itu sumbangan tenaga dan fikrah anak muda akan menjadi pemangkin yang paling efektif untuk membawa perubahan total di negara ini.
AMK Selangor yakin keterlibatan aktif generasi anak muda di negara ini mampu membina Malaysia menjadi sebuah negara yang hebat di pentas dunia. Anak-anak muda yang majoritinya mempunyai semangat perjuangan yang kental merupakan aset penting yang perlu disepadukan untuk perubahan arus politik di negara ini.
AMK Selangor juga menggesa anak-anak muda untuk bersama-sama dengan denyut nadi arus perubahan dunia yang semakin hebat. Perubahan siasah di seluruh dunia juga perlu dijadikan aspirasi dan inspirasi untuk memastikan negara kita juga seiring dengan arus perubahan global. Sudah tiba masanya anak-anak muda berperanan secara aktif di pentas glokal dan global dan tidak hanya menjadi pemerhati kepada proses perubahan besar ini.
AMK Selangor berkeyakinan generasi anak muda masa kini semakin celik dan bijak politik. Malahan mereka juga semakin terdedah dengan maklumat yang pantas dan tepat serta tidak bergantung kepada hanya maklumat yang bersifat sensasi dan mengelirukan. Kehadiran generasi anak muda berinformasi pasti mampu diterjemahkan dalam satu kerangka besar perubahan politik di negara ini.
Suasana politik di Perak telah banyak mengajar dan memberi erti kepada generasi muda erti demokrasi,keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Pencemaran demokrasi yang diaksikan oleh ADUN-ADUN UMNO/BN Perak semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Perak yang lepas hanya menyerlahkan lagi siapakah menjadi dalang kepada pencemaran demokrasi yang telah menggelapkan ruang lingkup sistem demokrasi di negara ini.
AMK Selangor akan terus memastikan agenda generasi muda membawa perubahan siasah di negara ini akan disambut dengan semangat perjuangan yang ikhlas,kental dan bersemangat. Kita juga yakin semakin ramai pejuang-pejuang muda yang akan terus menyumbangkan bakti,idea dan tenaga bagi menjayakan agenda besar arus perubahan di negara ini.
AMK Selangor juga menggesa generasi muda mendaftar sebagai pengundi dengan dengan segera. Mulakan langkah besar ini dengan generasi muda menjadi pemilih yang bijak dan bermaklumat untuk membawa perubahan siasah di negara ini. Tekanan, ancaman dan ugutan yang semakin hebat dikenakan mutakhir ini hanya menjadi penguat dan iltizam kepada generasi muda untuk merealisasikan perubahan besar ini.
Akhirnya, PRU-13 adalah detik yang cukup penting untuk generasi muda. Ini dan saat ketikanya generasi muda menjadi gelombang besar baru dan mampu menjadi penyelamat kepada negara ini dengan membawa sistem siasah dan harapan baru untuk Malaysia yang lebih demokratik.
Mohd Ezli Mashut
Ketua Penerangan
AMK Selangor