Pertandingan Menulis Essei Bertemakan “One Nation, One Malaysia” dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk generasi muda rakyat Malaysia semua kaum berumur antara 16 – 26 tahun.
======================================================
1. Pendahuluan
1.1 MyFuture Foundation ditubuhkan pada tahun 2008 khusus untuk generasi muda Malaysia yang diharapkan akan terlibat dan meneroka sesama mereka dalam isu-isu yang relevan bukan sahaja berkenaan kehidupan mereka tetapi juga dalam proses pembinaan negara.
1.2 Fokus Foundation ialah membina pemikiran yang matang dan terbuka di kalangan generasi muda sambil berusaha memperkasa diri mencapai kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi justeru itu memberi sumbangan berharga dalam proses pembangunan negara.
2. Objektif Pertandingan
2.1 Pada tahun 1991, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020.
Salah satu matlamat Tun Dr. Mahathir adalah mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang dikongsi bersama: Malaysia mesti menjadi sebuah negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam keharmonian, bekerjasama sepenuhnya secara adil, dan terdiri daripada satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara. Inilah konsep Tun yang berjudul ‘One Nation’.
YAB Perdana Menteri Malaysia yang baru, Datuk Seri Najib Tun Razak pula melancarkan konsep “One Malaysia” beberapa minggu lalu. Penjelasan awal konsep ini dikatakan bermaksud untuk menolong rakyat Malaysia untuk mendapat sokongan kerajaan, tidak kisah kaum dan bangsa. Tiada sesiapa akan dipinggirkan, Di satu majlis bersama Chinese Chamber of Commerce Perdana Menteri mengisytiharkan dasar One Malaysia bererti kerajaan adalah ‘pro-business’ dan meminta rakyat Malaysia keturunan Cina untuk ‘reciprocate’ (membalas budi) dasar pro-business ini dengan menyokong kerajaan. Dengan itu ada yang berpendapat bahawa One Malaysia yang dimaksudkan ini ada dasar yang mengutamakan perniagaan dan pelaburan.
2.2 Walaubagaimanapun, ada juga yang meluahkan pandangan secara umum iaitu konsep One Malaysia mestilah lebih luas gagasannya di mana rakyat Malaysia berbagai kaum mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama, hidup, berfikir dan bertindak dalam satu wadah bersama sebagai satu bangsa Malaysia dan menikmati hak yang sama sebagai rakyat Malaysia dalam semua bidang. Apa yang jelas ialah maksud “One Nation, One Malaysia” mestilah dipupuk dari bawah, mengambil kira kefahaman, kehendak dan penerimaan orang ramai (‘bottom-up’). Hanya rakyat jelata yang boleh memberi makna sebenar kepada matlamat ini. Oleh itu, MyFuture Foundation mengambil initiatif untuk mencari konsensus dan kefahaman orang ramai tentang konsep ini.
Peserta pertandingan esei dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris ini diminta mengulas beberapa perspektif yang difikirkan relevan untuk tujuan menjayakan matlamat One Nation/One Malaysia ini. Iaitu, pada pendapat anda, apakah yang anda harapkan dari konsep ini?
2.3 MyFuture Foundation mengambil pendekatan proaktif mengenai konsep “One Nation” atau “One Malaysia” melalui satu pertandingan menulis esei atas tema ini di kalangan generasi muda Malaysia berbagai kaum. Generasi muda adalah pewaris negara, justeru itu pandangan dan aspirasi mereka hendaklah diambil kira oleh pemimpin negara dalam membina gagasan penting ini.
2.4 Adalah diharapkan melalui pertandingan esei ini, para peserta melalui penulisan mereka, bebas meluahkan pendapat, harapan, cita-cita, kekurangan serta kelemahan yang ada dari berbagai sudut di samping menyarankan idea yang bernas dan praktikal untuk memperbaikinya.
3. Penyertaan Peserta
Pertandingan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia generasi muda berbagai kaum berumur antara 16 hingga 26 tahun. Terdapat dua kategori: Kategori A (16 hingga 20 tahun) dan Kategori B (21 hingga 26 tahun)
4.Tema
4.1 Esei yang ditulis mestilah bertemakan konsep “One Nation, One Malaysia” dan seharusnya mencakupi aspek-aspek berikut, diadun dalam bahasa yang baik dan susunan idea yang jelas:
• Pendapat atau takrifan penulis mengenai “One Nation” dan “One Malaysia”
• Bagaimanakah cara serta pendekatan yang patut digunakan dalam melaksanakan konsep ini, secara praktik di kalangan rakyat Malaysia. Penulis boleh mencadangkan cara bagaimana melalui berbagai aspek kehidupan sosio-budaya, politik, dan ekonomi rakyat berbilang kaum supaya konsep ini dapat mencapai kejayaan dalam pembentukan bangsa Malaysia yang progresif, bersatu padu dalam menghadapi cabaran dunia global.
• Kritikan membina terhadap kelemahan dan kepincangan daripada dasar-dasar sedia ada dan penyelesaiannya.
• Lain-lain aspek yang difikirkan sesuai untuk menguatkan hujah.
4.2 Dalam menyampaikan idea, penulis boleh menyelitkan pengalaman atau pemerhatian peribadi yang dialami untuk menjadikan esei yang ditulis mempunyai unsur-unsur `human interest’ yang menarik.
5. Panjang Esei dan Kaedah Penulisan
Kategori A:
Setiap esei mestilah lebih kurang 2,000 perkataan yang ditulis dalam komputer (soft copy sahaja). Tulisan tangan tidak dibenarkan. Panel berhak menolak penyertaan jika jumlah perkataan terlalu panjang dan jauh melebihi had perkataan yang dibenarkan.
Kategori B:
Setiap esei mestilah lebih kurang 3,000 perkataan yang ditulis dalam komputer (soft copy sahaja). Tulisan tangan tidak dibenarkan. Panel berhak menolak penyertaan jika jumlah perkataan terlalu panjang dan jauh melebihi had perkataan yang dibenarkan.
6. Penghantaran Esei dan Tarikh Tutup
6.1 Esei oleh peserta hendaklah dikirimkan ke alamat e-mel dengan tajuk berikut:
Panel Pertandingan Menulis Esei “One Nation, One Malaysia”
E-mel: info@myfuturefoundation.my
6.2 Semua pengiriman mestilah dilengkapi dengan maklumat peribadi peserta meliputi:
Nama Penuh;
Alamat Lengkap:
Nombor Telefon:
Nombor Kad Pengenalan:
Alamat e-mel:
Kegagalan menyediakan maklumat lengkap seperti di atas, akan menyebabkan penyertaan akan ditolak.
6.3 Penganjur akan mengesahkan penerimaan kepada peserta sama ada melalui pos, telefon atau e-mel.
6.4 Tarikh tutup penertaaan ialah pada 15hb Julai 2009. Pengiriman yang diterima lewat daripada tarikh tutup yang dinyatakan akan ditolak.
7. Ganjaran Hadiah dan Pengumuman Pemenang
7.1 Penganjur menawarkan hadiah wang tunai seperti berikut bagi esei-esei yang dipilih (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris):
7.2 Tiga(3) esei terbaik dalam Kategori A akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,200 (hadiah pertama), RM800 (hadiah kedua) RM500 (hadiah ketiga). Selain dari itu, ada tiga hadiah saguhati bernilai RM300 setiap satu.
7.3 Tiga (3) esei terbaik dalam Kategori B akan menerima hadiah wang tunai RM1,500 (hadiah pertama), RM1,000 (hadiah kedua) dan RM600 (hadiah ketiga). Selain dari itu, ada tiga hadiah saguhati bernilai RM300 setiap satu.
7.4 Peserta yang memenangi hadiah akan diumumkan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh penertaan ditutup. Walau bagaimanapun, penganjur berhak melewatkan tarikh pengumamn ini, sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Semua pemenang akan dimaklumkan melalui surat.
7.5 Satu majlis penyampaian hadiah kepada pemenang akan diadakan pada satu tarikh yang sesuai dan pemenang akan dimaklumkan secara rasmi untk hadir menerima hadiah masing-masing di majlis tersebut. Bagaimanapun, penganjur tidak akan menanggung sebarang perbelanjaan kepada pemenang yang hadir ke majlis penyampaian hadiah.
8. Penerbitan Esei Pemenang
8.1 Dua belas (12) esei yang memenangi hadiah akan diterbitkan dalam bentuk buku oleh pihak penganjur melalui syarikat penerbitan yang dilantik dan akan dijual di pasaran. Kemungkinan buku ini akan diusahakan penerbitannya sempena majlis penyampaian hadiah pada tarikh yang ditetapkan.
8.2 Penganjur juga berhak penuh untuk menerbitkan esei-esei yang memenangi hadiah, sekiranya perlu, di mana-mana penerbitan lain selain daripada dalam bentuk buku yang dicadangkan untuk tujuan promosi.
8.3 Kesemua pemenang yang esei mereka diterbitkan mesti bersetuju bahawa semua keuntungan yang diterima dari penjualan buku akan diderma ke MyFuture Foundation.
8.4 Sehubungan dengan ini, semua pemenang dikehendaki menandatangani kontrak penerbitan dengan penganjur/penerbit dan hakcipta penerbitan kepada esei-esei ini adalah dipegang oleh penganjur/penerbit.
8.5 Peserta yang mengirimkan esei sebagai penyertaan pertandingan tidak boleh menerbitkan esei mereka di mana-mana penerbitan sama ada di akhbar, majalah atau sebagainya, atau mana-mana laman web atau blog sebelum keputusan diumumkan.
9. Perlantikan Panel Hakim dan Pemilihan Pemenang
9.1 Penganjur akan melantik satu panel hakim yang akan menilai dan seterusnya memilih esei terbaik untuk menerima hadiah yang disediakan.
9.2 Keputusan panel hakim adalah muktamad dan sebarang bantahan atau keraguan yang ditimbulkan tidak akan dilayan.
9.2 Jika selepas dinilai oleh panel hakim, didapati esei-esei yang diterima oleh penganjur tidak mencapai tahap kualiti yang diharapkan, Pengajur berhak untuk tidak memberi apa-apa hadiah seperti yang dinyatakan dalam Perkara (7) di atas, dan justeru itu semua terma-terma dan syarat-syarat yang dinyatakan bagi pertandingan ini dianggap terbatal dengan sendirinya, dan penganjur tidak terikat untuk melaksanakannya.
10. Pengakuan sebagai karya asli
10.1 Semua esei yang ditulis oleh peserta dan yang dihantar kepada Pengajur untuk pertandingan ini hendaklah sebuah karya asli tulisan peserta itu sendiri dan bukan merupakan saduran, terjemahan atau plagiat daripada mana-mana artikel lain.
10.2 Peserta juga memberi jaminan bahawa esei yang dihantar untuk pertandingan mestilah esei yang pertama kali ditulis olehnya dan tidak pernah diterbitkan sebelum ini sama ada sebahagian daripadanya atau keseluruhannya dalam mana-mana penerbitan fizikal atau alam maya internet.
10.3 Sekiranya penganjur mendapati peserta telah melanggar peraturan yang dinyatakan dalam 10.1 dan 10.2, maka penyertaan peserta tersebut akan ditolak dan terbatal dan peserta berkenaan juga bertanggung jawab sepenuhnya terhadap tindakan undang-undang hakcipta yang mungkin akan diambil oleh pihak yang berkenaan. Jika esei itu telah memenangi hadiah, Penganjur berhak menuntut bayaran balik daripada peserta mengikut nilai hadiah yang dimenanginya.
11. Persetujuan Mutlak dan Sukarela oleh Peserta
11.1 Peserta yang menyertai pertandingan ini dan menghantar esei mereka untuk dinilai adalah secara mutlaknya dianggap telah bersetuju atas kerelaan sendiri dengan semua terma dan syarat yang dinyatakan oleh penganjur pertandingan.
11.2 Oleh yang demikian, sebarang bantahan, pertikaian dan keraguan dan yang sepertinya, yang diajukan oleh peserta berkaitan apa-apa keputusan penganjur adalah dengan sendirinya tidak sah dan tidak akan dilayan.