11 Mei 2009

Dari Bangsar Utama: Mahkamah putuskan Nizar Jamaluddin masih Menteri Besar yang sah

Oleh: Amin Iskandar

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa Nizar Jamaluddin masih lagi Menteri Besar Perak yang sah. Klik disini.

Kemenangan Nizar dan Pakatan Rakyat negeri Perak adalah hasil usaha beliau dan rakan-rakan seperti Ngeh Koo Ham dan V. Sivakumar yang telah berjuang habis-habisan demi untuk mempertahankan kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat Perak.

Selain daripada itu ucapan tahniah harus diucapkan kepada aktivis-aktivis serta para bloggers dari seluruh negara yang telah berjuang bermati-matian demi untuk memastikan kebenaran dipertahankan.


Dalam perang strategi dan taktik yang baik sangat penting untuk memastikan sesuatu kemenangan.

Posting-posting seperti disini kadang kala perlu dikeluarkan agar musuh berhenti untuk meneruskan kerja-kerja kotor dan gelojoh sepertimana yang Najib Razak lakukan pada 5 Febuari 2009 yang lalu.

Nampaknya berkesan juga. Musuh berfikir seketika untuk meneruskan kerja-kerja jahat.

Apa-apa pun kita tidak boleh terlalu bergembira dengan keputusan mahkamah ini. Lihat berita dari Berita Hairan dibawah:

Mahkamah Tinggi isytihar Nizar Menteri Besar Perak yang sah

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abd Rahim, di sini, sebentar tadi.

Dalam keputusannya, Abdul Aziz berkata jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undi tidak percaya terhadapnya hanya boleh dibuat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.

Nizar sebelum ini mengemukakan semakan kehakiman untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.

Bagaimanapun, keputusan itu masih belum muktamad kerana pihak yang kalah boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Mohammad Nizar juga memohon perintah supaya Zambry memberikan tunjuk sebab bagaimana dan mengikut dasar atau kuasa apa beliau berhak memegang jawatan itu.

Beliau turut memohon perisytiharan mahkamah, Zambry bukanlah Menteri Besar Perak dan tidak berhak menjawat jawatan itu.

Selain itu, Mohammad Nizar juga memohon mendapatkan takrif mengenai Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) sama ada jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan.

Pada 6 Februari lalu, Zambry mengambil alih pucuk pimpinan negeri Perak selepas Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 Adun berbanding 28 Adun bagi Pakatan Rakyat (PR).

Sokongan kepada BN bertambah selepas Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) keluar parti masing-masing untuk menjadi Adun Bebas serta menyokong BN.

Ertinya, BN akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan nanti. Belum selesai lagi isu ini. Krisis Perak akan berterusan sehinggalah DUN dibubarkan dan pilihanraya negeri dilaksanakan.

Kembalikanlah kuasa kepada rakyat.

Yang paling berkuasa dinegara ini ialah RAKYAT.

Pemimpin-pemimpin hanyalah perlaksana kepada AMANAH yang diberikan oleh RAKYAT!

P/s:

Mengikut khabar yang diterima dari kawan-kawan di Perak, Polis sedang mengepung bangunan SUK. Apo yang ditakutkannya? Ada dokumen rasuah yang nak dimusnahkan ke?

Apa khabar suami Rosmah dan Mamak Zambry?