National Institute for Electoral Integrity (NIEI) telah menjalankan pemantauan perjalanan pilihanraya umum ke 12 bermula daripada pembubaran parlimen, penamaan calon, tempoh berkempen sehingga hari mengundi.
Pemantau-pemantau dari NIEI telah memantau di beberapa negeri seperti Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.
Daripada pemantauan yang kami jalankan, proses pilihanraya boleh dikatakan aman bermula dari tarikh pembubaran parlimen sehinggalah hari membuang undi.
NIEI mendapati media cetak dan media elektronik memberi laporan yang berat sebelah kepada parti Barisan Nasional. Radio Televisyen Malaysia (RTM) milik kepada negara telah jadikan sebagai mesin propaganda untuk menyerang parti-parti bukan kerajaan (NGP). Ini merupakan satu penyalahgunaan jentera kerajaan.
Selain daripada itu terdapat beberapa calon yang menjadi menteri sebelum parlimen dibubarkan menggunakan peralatan dan kapasitinya sebagai menteri dalam berkempen. Contohnya di Lembah Pantai, Shahrizat Jalil telah menggunakankan statusnya sebagai menteri dan kemudahan Kementerian Pembangunan Wanita seperti kenderaan untuk kempennya.
NIEI meragui daftar pemilih yang dikeluarkan oleh SPR. Terdapat anggota tentera yang mendaftar didalam dua daftar pemilih iaitu dalam daftar pemilih pos dan daftar pemilih biasa dilaporkan berlaku dibeberapa negeri contohnya Kelantan. Disamping itu, kewujudan begitu ramai pengundi yang berumur lebih daripada 100 tahun juga turut mencurigakan.
Pembatalan penggunaan dakwat kekal oleh SPR pada saat-saat akhir iaitu empat hari sebelum pilihanraya membuktikan SPR tidak bersedia untuk melakukan Reformasi pilihanraya di Malaysia. Dengan alasan yang tidak masuk akal, penggunaan dakwat kekal dibatalkan walaupun wang negara sebanyak RM2.4 juta telah dibelanjakan untuk membeli 30,000 botol dakwat kekal dari India.
Kami mempunyai beberapa komen dan cadangan agar pilihanraya di Malaysia akan menjadi lebih baik pada masa akan datang:
1. Perlembagaan negara harus dipinda agar tarikh pilihanraya dapat ditetapkan pada masa akan datang. Jika ini dilakukan, pilihanraya di Malaysia akan menjadi adil kepada semua Pihak oleh kerana semua orang tahu bila pilihanraya akan datang akan dijalankan dan bukan hanya satu pihak yang mengetahuinya seperti sekarang.
2. Media perlu adil kepada semua calon yang bertanding tanpa mengira latarbelakang parti politik. Media milik negara seperti RTM perlu bebas daripada pengaruh parti yang memerintah oleh kerana ianya milik rakyat Malaysia.
3. Undang-undang perlu dipinda bagi membenarkan kehadiran pemantau antarabangsa. Ini penting agar kredibiliti pilihanraya di Malaysia dapat ditingkatkan dimata dunia.
Penggunaan dakwat kekal. Perlu diwujudkan agar kejadian penggundian berulang dapat dielakkan.
4. Tempoh tenang daripada kempen selama dua hari perlu diwujudkan oleh SPR agar rakyat mempunyai masa yang cukup untuk berfikir sebelum mengundi. Ertinya dua hari sebelum hari pengundi, kempen-kempen pilihanraya tidak lagi diadakan. Negara-negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Filipina telah melakukan perkara ini.
5. Pengharaman pondok panas. Ini penting agar pengundi-pengundi tidak diganggu oleh perayu-perayu undi sebelum masuk mengundi. Selain daripada itu, hanya parti atau calon yang kaya sahaja mampu membuat pondok panas yang lengkap dengan kemudahan untuk menyemak undi.
Laporan NIEI mengenai Pilihanraya Malaysia ke-12 akan diedarkan secepat mungkin.
Pengarah Eksekutif NIEI
Amin Iskandar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan