KolumPada 21 Mac, 2008 lalu, aku pergi menonton teater di MTC. Tajuknya 'Peristiwa Di Zoo', arahan kawan aku, Lenny Deenerwan (jaga-jaga Lenny, aku nak kutuk kau, hahahaha). Aku sangat teruja sebenarnya dengan karya Edward Albee yang satu ni. Ops, terlupa, 'Peristiwa Di Zoo' ni adalah adaptasi dari naskah Edward Albee, 'The Zoo Story' (1958). Aku teruja dari segi nak pentaskannya suatu ketika dulu di USM (tetapi ada masalah la...) dan apabila Lenny cakap dia pentaskan naskah ini, aku teruja untuk menontonnya.
Dah lama aku nak tulis tentang hasil karya Lenny ni, tapi aku masih lagi terngiang-ngiang dengan politik Perak. Inipun aku terpaksa berhenti menulis tentang politik sekejap untuk menghormati bapak aku yang tergolong dalam 876 Ketua Kampung yang letak jawatan tu. Hehehe...
Baiklah, bagi sesiapa yang tidak tahu tentang cerita 'Peristiwa Di Zoo' ni, silalah pergi ke http://daribawahbayu.blogspot.com/2008/02/ada-apa-dalam-zoo-2.html dan http://daribawahbayu.blogspot.com/2008/02/ada-apa-dalam-zoo-prolog.html. Aku tak ada masa nak tulis daa...
Aku tulis di sini berdasarkan apa yang aku tonton malam itu dan situasi Malaysia hari ini, ya. Aku nak jelaskan betapa relevannya (perkataan relevan ni aku teringat zaman reformasi 1998) naskah ini di sini pada hari ini (2008) setelah 50 tahun lampau Albee menulisnya di New York. Ada dua watak sahaja dalam naskah ini iaitu Jo dan Pian. Kalau naskah asalnya, Jerry dan Peter. Jo, adalah wakil kepada kelompok masyarakat kelas bawahan (ala, marhain la tu) manakala Pian wakil kelompok masyarakat kelas menengah. Kerusi (bench) yang menjadi set dalam naskah ini adalah simbol kekuasaan. Oh,ya, setnya Lenny gambarkan di sebuah taman bersebelahan Zoo Negara (ada ke taman kat situ? Dalam zoo ada la... kat tepi tasik tempat P.Ramlee dengan Sharifah Hanim dating dalam filim 'Masam-masam Manis'). Pertemuan dua watak ini telah menimbulkan satu persoalan - antara kekosongan jiwa dan kekosongan harta. Kedua-duanya berkehendakkan kesempurnaan atau keselesaan atau kepuasan. Memang sudah menjadi tabi'i manusia, tidak pernah berpuashati.
Pian, yang bekerja sebagai eksekutif, berpendapatan tetap, berkeluarga, tiap-tiap hujung minggunya dihabiskan di kerusi di taman bersebelahan zoo, membaca akhbar dan majalah,tidak diganggu oleh sesiapapun... Dan tiba-tiba dia didatangi Jo, yang penampilannya saja membuatkan orang melabel dia sebagai gila (ada ke pakai jaket musim sejuk kat cuaca khatulistiwa KL ni?) Sikap Jo yang terlampau peramah itu telah mengganggu ketenangan yang dikecapi oleh Pian. Jo menceritakan kisahnya, bilik sewanya di Lorong Haji Taib (oklah tu dari tinggal di Choo Cheng Kay), tuan rumahnya, anjing tuan rumahnya, jiran bilik sewanya, perjalanannya ke zoo dan peristiwa di zoo. Manakala, Pian apabila ditanya oleh Jo, dia menceritakan tentang keluarganya, zoo mininya dan masalah kelelakiannya.
Nah, di sini kita pisahkan kedua-dua watak ini. Kita lihat Pian tidak pernah langsung menjalinkan hubungan dengan alam. Amat berbeza sekali dengan Jo, yang menjalin hubungan dengan semua orang di kediamannya termasuk anjing tuan rumahnya, lrt, jalanraya, binatang di zoo dan kita juga lihat bagaimana Jo menjalinkan hubungan dengan Pian. Apa yang aku nak sampaikan di sini ialah Jo ialah manusia yang berhubung dengan setiap makhluk dalam lingkaran masyarakatnya (komuniti) manakala Pian sangat terhad perhubungannya dengan masyarakat dan dia lebih mementingkan kerjanya. Orang yang lebih mementingkan kerja ini bolehlah aku golongkan sebagai kerabat IMPERIALIS. Orang yang suka bermasyarakat ini bolehlah aku kategorikan sebagai KOMUNIS.
Hah, Lenny, sepatutnya kau letakkan seorang lelaki tua berjanggut putih, berambut panjang putih (bukan A. Samad Said, tetapi Karl Marx) menjadi orang lalu-lalang kat taman tu dari tak ada orang langsung. Hehehe cadangan... cadangan....
Di penghampiran puncak cerita ini, mereka bertengkar dan berebutkan kerusi yang diduduki oleh Pian. Ada dialog yang diucapkan Pian ketika itu sangat terkesan pada otak aku - "Aku duduk kerusi dah lama tak ada orang kacau, tiba-tiba engkau datang, senang-senang nak rampas!" Hahahaha perasan tak kalian ini dialog siapa di Malaysia pada hari ini? Ini dialog orang-orang BN! Orang-orang BN yang dah selesa dengan kedudukan mereka dan hari ini kedudukan mereka tergugat! Hahahaha... Lenny, kau patut letak poster pilihanraya kat set kau tu (cadangan aku je la...). Kembali pada Jo dan Pian (Komunis lawan Imperialis), Pian takkan berganjak dari kerusinya dan mempertahankannya. Jo pula semakin mendesak supaya Pian boleh tinggalkan kerusi itu. Kemuncaknya, Pian mengajak Jo bergaduh sebagai lelaki tulen. Memandangkan Pian seorang yang tidak langsung terdidik dengan kesusahan, Jo mencadangkan Pian menggunakan pisau yang dibawa oleh Jo (komunis dan senjata memang tidak dapat dipisahkan kerana hanya itulah caranya untuk menumpaskan imperialis yang boleh membeli manusia dengan duit).
Tetapi di sini, untuk menggambarkan bahawa KOMUNIS ITU SUCI, Jo memberikan pisaunya kepada Pian. Mereka bergelut dan akhirnya Jo tertikam. Jo akhirnya didudukkan di kerusi yang mereka rebut tadi. Tapi apa maknanya mendapat apa yang dijuangkan kalau sudah tidak bernyawa. Memang dasar imperialis, akan membunuh komunis. Dalam cerita ini, tidak ditunjukkan sama ada Pian tertikam Jo ataupun Pian sengaja tikam Jo. Yang pasti Jo kena tikam. 1959, Fidel Castro berjaya menawan Cuba dan imperialis Amerika mengenakan sekatan dagangan terhadap Cuba dan pemerintahan Castro namun Cuba dan Castro tidak dapat dipisahkan.
Albee menulis naskah ini pada tahun 1958. Setahun kemudian Castro berjaya merevolusikan Cuba. 1948, Parti Komunis Malaya melancarkan serangan ke atas imperialis British. Adakah Albee ini seorang nujum yang tahu kesudahan komunis ini tidak ke mana ataupun memang itulah hakikat kemurnian dan keaslian akan pupus ditelan plastik?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan