suratPada kebiasaanya apabila saya menulis tentang situasi semasa saya menulis di dalam Bahasa Inggeris tetapi akibat dari beberapa situasi semasa di PP baru baru ini, saya merasakan adalah perlu bagi saya menulis di dalam Bahasa Melayu bagi memastikan penulisan saya ini dapat di baca oleh semua peringkat rakyat di seluruh Negara terutama di PP.
Kejatuhan kerajaan BN di PP pada PRU ke12 baru baru ini terjadi akibat kegagalan kerajaan BN menangani masalah rakyat secara umumnya. Jika rakyat bahagia di bawah kepimpinan BN, sudah tentu ianya tidak akan di gulingkan di 5 negeri dan nyaris nyaris kalah di seluruh semenanjung.
Sebagai rakyat, kita sepatutnya berfikiran lebih matang dan tidak mengikut rentak permainan politik puak puak tertentu. Kerajaan baru ini dilantik oleh rakyat ini bukanlah untuk selama lamanya tetapi hanya untuk tempoh 5 tahun. Kalau kerajaan pusat berhajat membuat pilihanraya lebih awal, rakyat mungkin memilih selepas 3 tahun.
Kuasa di tangan rakyat. Kita perlu memilih pemimpin yang baik dan berwawasan. Tidak guna kita pilih orang orang tertentu kerana semata mata dia orang melayu atau Islam tetapi melayu itu pada warna kulitnya dan islam itu hanyalah sekadar pada songkoknya sahaja dan perangai macam syaitan atau mencuri duit rakyat secara terang terangan.
Saya ingin menarik perhatian pembaca semua kepada beberapa peristiwa yang berlaku selepas ke kalahan BN. Dato Dr Koh Tsu Koon telah menunjukkan watak yang amat matang dan terpuji apabila beliau menerima kekalahan BN di PP dan memberi jaminan bahawa akan memastikan peralihan kuasa kerajaan negeri akan di lakukan dengan aman. Kita lihat kerajaan PP paling mula mula di bentuk di semenanjung selepas PRU 12. Sikap seperti ini harus kita tauladani. Ianya mengambarkan kematangan berpolitik di pihak Dato KSK.
Saya amat terkilan apabila melihat berita TV3 pada 13/3/08 dan surat khabar pagi ini dimana UMNO Pulau Pinang meminta kerajaan pusat menarik balik semua projek mega di PP kerana rakyat sudah menolak BN dan UMNO di PP. Adakah masuk di akal apabila, UMNO PP meminta supaya perkhidmatan bas Syarikat RapidKL di PP di hentikan dan biarkan kerajaan baru PP mencari penyelesaiannya. Hari ini saya amat terkejut apabila membaca artikel di dalam Malaysiakini dimana IGP mengarahkan supaya orang ramai tidak berhimpun di Komtar dan pada sebelah petangnya tersebar berita mengatakan yang perhimpunan yang telah melibatkan hampir 2000 orang di lakukan oleh UMNO.
Orang UMNO selama hari ini kononnya berdisiplin dan senatiasa meminta permit polis apabila mengadakan sesuatu perhimpunan kini telah menunjukkan belang mereka. Tanpa kebenaran polis dan tidak mengindahkan arahan IGP, mereka berarak di PP. UMNO PP telah melakukan PERHIMPUNAN HARAM. Pada penilitian saya, mujurlah pihak polis di Malaysia ini sangat professional dimana mereka telah bersikap neutral dan mengambil langkah langkah mengawal keadaan. Sebaik baiknya pihak polis mengambil tindakan keatas pemimpin UMNO ini yang dengan terang terangan melanggar undang undang negara. Undang undang tidak membezakan pesalah diri segi warna kulit atau parti politiknya.
Apakah tujuan sebenar UMNO di Pulau Pinang?Siapakah pencetus isu perkauman di PP secara khususnya. Adakah ianya di lakukan bagi menimbulkan insiden insiden di mana membolehkan perintah darurat dapat di laksanakan di PP? Jika tuan tuan menonton TV, tuan tuan dapat melihat sendiri bagaimana Pak Lah memberi amaran terbuka kepada Lim Guan Eng supaya janagn bermain dengan isu perkauman dan hak hak orang melayu diPP. Apa yang di cakap oleh Pak Lah ini masuk di akal atau tidak? Guan Eng cuma menjelaskan bahawa selepas ini kerajaan PP akan melaksanakan tender terbuka dan tidak lagi melakukan "direct nego" sepertimana yang di amalkan oleh kerajaan BN sebelum ini. Mengapa Pak Lah mengaitkan kenyataan ini dengan hak hak orang melayu? Dari pengamatan saya, Pak Lah telah menimbulkan isu perkauman dan bukan Lim Guan Eng. Kenyataan Pak Lah di sambut oleh UMNO PP. Kalau perkhidmatan bas dihentikan, tentunya rakyat akan sengsara dan memberontak. Inikah niat UMNO PP atau Pak Lah sendiri. Jika ada pemberontakan, keseluruhan Negara akan terjejas dan bukan sahaja di PP.
Apakah yang ada dalam kepala otak pemimpin UMNO PP ini? Adakah Pak lah dan UMNO PP mahu menimbulkan keadaan dimana kerajaan pusat boleh mengumumkan “perintah darurat” di PP dan lepas itu kerajaan akan di ambil oleh kerajaan sementara. Saya juga terkejut apabila mendapati Orang Melayu juga membuat perarakan yang sama di Selangor. Ini memberi gambaran bahawa perkara ini di lakukan dengan perancangan rapi dari pihak atasan. Wahai bangsa ku di Pulau Pinang, saya pinta: Gunakanlah kekuatan akal fikiran kita sebelum membuat sesuatu tindakan. Janganlah cepat melatah.
"Pikiak jauh sikit".Jangan bagi malu bangsa kita ini. Kita kena tunjuk yang kita ini mempunyai IQ dan EQ yang tinggi dan setanding dengan masyarakat maju di dunia ini. Rakyat PP ini tak sama dengan rakyat di negeri lain. Di dalam darah kita ada darah pelbagai keturunan Arab, Turki, India, hindustani, eropah dll. Kita sepatutnya lebih celik dan lebih intelek lagi. Saya pinta semua rakyat merenung sejenak dan memikir sejauh mana BN telah menolong rakyat. Memang menjadi tanggungjawab mana mana kerajaan membina hospital, sekolah, longkang, jalan dan sebagainya. Itu fakta yang kina kena faham. Kalau kerajaan BN tak bina semua ini, sudah tentu rakyat dah lama buang depa. Selama ini rakyat menerima depa kerana pada fikiran rakyat politik perkauman itu penting bagi memastikan orang melayu tidak di pinggirkan. Realitinya, politik perkauman merugikan negara dan banyak pihak dan hanya menguntungkan sebilangan kecial orang orang UMNO yang mempunyai kuasa dan kedudukan .Kalau BN benar benar bagus, mengapa rakyat menolak BN di PRU ke 12.
Saya ingin bertanya kepada rakyat PP yang telah mengambil bahagian di demonstrasi haram di Komtar pada hari ini . Kerajaan yang di bentuk ini baru berumur 1 minggu. Sudahkah rakyat di tindas? Adakah hak hak orang orang kita telah di nafikan? Belum apa apa lagi kita dah melatah. Sebenarnya siapa yang melatah dan tak senang duduk sehingga menggerakkan rakyat yang tak tau hujung pangkal dengan mengadakan perhimpunan haram di PP?
Ini adalah orang orang yang menjadi kaya raya dengan duit rakyat di PP selama ini. Dengan UMNO mereka mendapat projek merata rata. Mereka mendapat projek bukan diatas kekuatan teknikal atau mental. Projek projek mereka semuanya ada kaitan dengan politik UMNO - “aku bagi hang projek, hang jangan lupa aku”. Projek ini memperkayakan orang orang tertentu dan bukan semua orang melayu.
Saya ambil contoh Dato Amin Shah yang kini telah muflis. Orang yang tidak ada pengalaman di dalam pembinaan perkapalan telah di beri kontrak hampir 5 billion ringgit untuk membina 6 buah kapal perang secara rundingan terus. Tidak perlu ada tender. Dimana kapal kapal ini hari ini? Setelah lewat lebih dari 8 tahun, apa yang sudah jadi dengan kapal kapal ini.
Sedarkah tuan tuan hari ini sebuah berada di tengah laut, satu masih lagi tidak di terima oleh pihak TLDM (tapi di paksa terima) dan kini berada di limbungan lumut kerana gagal mengikuti spesikasi. Yang 4 lagi kat mana? Bayang pun tak dak? Habuk besi pun tak dak? Tahukah tuan tuan bahawasanya semua duit berkaitan projek ini dah habis di bayar. Mana pi duit ini semua? Mana kapai?
Sebenarnya kalau kita tempah kapal ini di luar negara secara terus, harganya di 1/3 dari harga 5 billion dan ianya dah lama siap dah. TLDM hari ini dapat memantau laut PP dengan lebih selamat. Mana perginya duit duit ini? Saya minta tuan tuan fikirkan sendiri. Tahukah tuan tuan dengan 5 billion berapa banyak rumah dapat di sediakan untuk rakyat, berapa banyak monorel dapat di buat di PP – rakyat tak payah sangkut di dalam kesesakan lalu lintas. Duit ini duit siapa – duit rakyat dimana duit ini digunakan untuk memperkayakan orang orang tertentu. Begitu juga dengan projek PORR dan projek jambatan Pulau Pinang yang kedua. Ke semua ini tiada tender. Kalau di buat tender harganya jauh lebih murah. Duit selebihnya boleh digunakan untuk rakyat. Mengapa duit rakyat hendak digunakan untuk memperkayakan orang tertentu.
Saya minta tuan tuan berfikir sejenak dari segi sejarah. Sejak 1800, PP and Singapura di jajah oleh British. Dua duanya pulau. Kedua dua pulau ini di gunakan bagi tujuan yang sama iaitu untuk perdagangan bebas dan mengekspot hasil bumi dari Semenanjung. Rakyat pun sama. Kebanyakannya pedagang dari seluruh pelusuk dunia. Waktu Merdeka, PP dan Singapura sama tarafnya. Hari ini dimana Singapura dan di mana Pulau Pinang? Bagi rakyat PP yang tidak pernah sampai ke Singapura, cuba pergi tengok rumah mereka, pangsapuri mereka, jalanraya mereka, taraf ekonomi mereka. Baru baru ini saya menaiki MRT dari Orchard Road sampai ke Changi…jauh tu bang oi.. bayar S$0.70 sen.
Pergi tengok berapa bersih dan luasnya flat mereka. Hidu sendiri udara mereka dan nikmati kebersihannya. Pokok menghijau di merata rata dan Kerajaan Singapura hari ini ingin menjadikan Pulau Singapura sebagai sebuah Pulau yang berkonsepkan terusan air di merata rata. Mengapa Singapura boleh melonjak jauh kedepan walaupun minyak tak ada, air pun tak ada, hasil bumi pun tak ada. Asasnya mereka tahu mencari dan menguruskan wang dengan telus. Pergi tengok Sungai Singapura dan bandingkan dengan Sungai Pinang. Hari ini, orang Singapura boleh terjun dan mandi dalam Sungai Singapura. Di Pulau Pinang, hampir semua sungai dah di jadikan longkang. Sungai pun dah nak pupus dan di gantikan dengan longkangs. Pergi tanya rakyat Singapura adakah mereka menganggap kerajaan mereka itu kuat makan rasuah. Jawapannya tidak.
Pemimpin UMNO Pulau Pinang hari ini bukanya fikirkan hal dan kepentingan rakyat. Mereka pentingkan hak peribadi mereka. Mereka takut rahsia rahsia mereka terbongkar. Mereka takut kekayaan mereka di siasat. Dari 1000 orang Melayu di PP yang kaya berapa kerat ja yang betul betul kaya? Yang kaya kepala kepala UMNO yang duduk diatas . Kerana takut mereka melaga laga kan rakyat? Kalau benar DEB itu berjaya habis kenapa sampai la ni pun tak selesai selesai! Patut dah habis pada tahun 1991. Kalau BN tu bagus sangat, kenapa DEB tak selesai sampai hari ini. Adakah inaya tidak dapat diselesaikan atau sengaja tak nak di selesaikan? Jadi rakyat , saya pinta janganlah cepat melatah.
Orang Melayu kena fikir secara rasional. Mungkin kerajaan baru ini mempunyai kaedah kaedah yang lebih baik dari DEB. Bagi lah depa peluang untuk buka langkah. Ini belum apa apa lagi dah buat demonstrasi haram di jalanan. Kita tengok. Kalau depa tak boleh buat untuk kita macam depa dok janjikan kita buang mereka 5 tahun lagi. Apa kita nak takut. Biar kita tengok sejauh mana kebolehan mereka. Biar kita tengok dulu apa yang mereka janji tu mereka boleh buat tak. Jangan melatah.Tak rugi mana pun.. tak lama mana pun.. itulah kuasa rakyat.. rakyat boleh mengakkan kerajaan dan rakyat juga boleh menjatuhkan kerajaan.
Akhir kata, saya pinta Rakyat semua di seluruh negara terutama orang melayu di PP tanpa mengira latar belakang politik kita. Kita harus pentingkan negara dari pentingkan UMNO. Marilah kita bersama sama bekerjasama memastikan kerajaan yang kita lantik ini berjalan lurus dan bersih dan berkhidmat untuk kita. Hari ini ada perimbangan kuasa. Ianya bagus untuk rakyat. Peluang untuk menyalahguna kuasa dan wang kini agak sukar. Jadi duit lebihan ini akan di belanjankan untuk rakyat. Ianya bagus untuk rakyat dan bukan untuk pencuri duit negara. Kalau depa tak buat kerja yang kita harapkan untuk 5 tahun akan datang, kita akan buat pertimbangan semula pada PRU ke 13. Fikirkan apa yang saya kata. Kita orang melayu harus menunjukkan kematangan dari segi IQ dan EQ. Kenalah tunjuk pandai sikit. Jangan cepat melatah.
originally posted by Raja Petra Kamaruddin in m2day
Tiada ulasan:
Catat Ulasan