25 Mac 2008

Wan Azizah gariskan lima isu utama sebagai ketua pembangkang baru

Oleh: Suarakeadilan

BeritaPresiden KeADILan, Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini kemukakan penghargaan beliau kepada pimpinan KeADILan, DAP dan PAS kerana bersetuju melantik beliau sebagai wanita pertama menyandang jawatan Ketua Pembangkang untuk Parlimen ke-12.

"Saya akan memegang amanah dan menggunakan peluang ini untuk menumpukan perhatian kepada lima isu utama yang dihadapi Malaysia dewasa ini" kata beliau.

Lima isu tersebut adalah ekonomi, perpaduan, sistem kehakiman, media dan hak asasi.

"Ekonomi Malaysia harus dipupuk untuk memastikan kadar pertumbuhan yang subur, suasana yang meyakinkan untuk pelabur, dan pengagihan adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia. Dengan terus menyuarakan bantahan terhadap amalan rasuah dan pembaziran, kami akan membantu memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih mantap dan bebas dari kemiskinan serta kurang ketidaksamaan sosio-ekonomi terlalu lebar."

Dari segi perpaduan, Dr. Wan Azizah menekankan pentingnya membina perpaduan tulen yang berasaskan kepelbagaian rakyat Malaysia.

"Kami akan memastikan kedudukan orang Melayu tidak terancam, dan pada masa yang sama, hak-hak dan akses kepada peluang setara untuk orang Cina, India, Iban, Kadazan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus dilindungi dan digalakkan."

Dr. Wan Azizah juga berkata bahawa Malaysia harus memulihkan integriti sistem kehakiman negara. "Institusi-institusi kehakiman yang boleh dipercayai untuk memberi keputusan-keputusan adil tanpa berat sebelah merupakan asas terpenting demokrasi tulen."

Isu ke-empat merangkap isu kebebasan media. "Media Malaysia mesti diberikan kebebasan yang sewajarnya untuk membuat laporan yang menyeluruh dan adil. Setiap kerajaan, di peringkat perseketuan atau negeri, mesti diawasi dengan rapi oleh media bebas dan bertanggungjawab bagi memastikan ketiadaan sebarang unsur salahguna kuasa" kata Dr. Wan Azizah.

Dalam soal hak asasi, beliau turut menegaskan bahawa pihak pembangkang akan akan terus mempertahankan hak-hak asasi manusia di Malaysia, di mana undang-undang yang menyekat kebebasan asas rakyat mesti dimansuhkan.

"Kami mendesak semua tahanan ISA, termasuk ADUN Kota Alam Shah baru M Manoharan serta empat lagi tahanan politik Hindraf di Kamunting, yang ditahan tanpa bicara mesti didakwa atau dibebaskan dengan segera" kata beliau.

Dr. Wan Azizah turut menguatkan azam beliau untuk berkhidmat kepada rakyat. "Sebagai Ketua Pembangkang Parlimen ke-12, saya akan terus berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan harapan baru untuk Malaysia serta mendukung setiap hak rakyat Malaysia di bawah Perlembagaan."

Tiada ulasan: