oleh Suhaimi Said
eseiSaya adalah Orang Melayu, dan saya bangga menjadi Orang Melayu. Saya adalah warga negara Malaysia dan saya bangga menjadi Orang Malaysia, dan saya adalah seorang Muslim dan saya bersyukur kerana saya adalah seorang Islam.
Saya adalah anak kampong, bapa saya dan ibu saya adalah penoreh getah dan penanam padi, dengan pendapatan bulanan yang tidak mencukupi untuk keperluan keluarga dan persekolahan saya, abang dan adik saya. Kehidupan saya dan keluarga saya cukup dhaif. Saya dapat saksikan anak-anak Orang Berada dari kaum Melayu di Sekolah saya mendapat bantuan persekolahan, dan Guru Besar memberikan semangat kepada saya bahawa jika saya berjaya mengekalkan tempat dari nombor satu hingga nombor sepuluh didalam ujian bulanan dan didalam perperiksaan hujung tahun, saya akan diberi bantuan persekolahan kerana Sekolah sendiri akan membuatkan permohonanan.
Saya tidaklah cerdik sangat dan tidaklah bodoh sangat, tetapi didalam darjah, saya sentiasa dapat mengekalkan kedudukan dari nombor satu dan jatuh-jatuh pun nombor 5 atau 6. Tapi sehingga saya tamat Tingkatan 5, saya tidak pernah memperolehi apa-apa bantuan, dan anak-anak Orang Kaya Melayu yang jauh lebih "tidak cerdik" dari saya dapat bantuan.
Anak Orang Miskin, cerdik macam mana sekalipun, sukar mendapat menfaat daripada Hak Keistimewaan. Kedudukan saya samalah juga dengan anak-anak Orang India didalam kelas saya, mereka pun tak dapat apa-apa bantuan, walhal mereka itu beribu-bapakan pekerja-pekerja estet yang sama susah dengan ibu-bapa saya. Ada anak dari seorang Bendahari UMNO cawangan juga tidak mendapat apa-apa bantuan dan ayahnya itu, walaupun menyokong UMNO, tapi adalah dari golongan Orang Miskin juga.
Di atas usaha saya sendiri dengan menoreh getah, mengambil upah mengecat rumah, dan pekerja bertukang di bawah seorang sub-kontraktor, dan belajar bersendirian, akhirnya saya masuk Maktab Mara, dan setelah lulus disana saya bekerja di Jabatan Perdana Menteri dan diberi peluang bekerja sebagai PA kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Perdana Menteri pertama. Kemudian ditukarkan ke Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Hj Abdul Razak Hussain.
Siang saya bekerja di pejabat, dan malam saya belajar bersendirian, dan saya lulus dengan cemerlang HSC (Higher School Certificate). Dengan kelulusan itu saya mohon memasukki Universiti Malaya, dan oleh kerana sudah ada cop "Jabatan Perdana Menteri" saya ditawarkan Biasiswa Kerajaan Negeri Selangor. Hampir setahun di Universiti Malaya, saya mendapat tempat belajar di Lincoln's Inn, London di bidang Undang-Undang dan di atas cop pernah bertugas di Jabatan Perdana Menteri dan satu panggilan talipon dari YB Datuk Michael Chen, Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, saya ditawarkan biasiswa Persekutuan.
Amalan pada waktu itu bukanlah kualiti diri sendiri tetapi "siapa yang menolong kita dari belakang". Walaupun saya mendapat faedah tetapi hati kecil saya tetap memberontak mengatakan "tidak adil" dengan sistem itu. Sejak dari Maktab Mara lagi saya sudah menjadi anggota Parti Rakyat Malaya yang pada waktu itu dipimin oleh Kassim Ahmad selaku Pengerusi dan Syed Husin Ali sebagai Setiausaha Agung. Syed Husin Alilah yang mengajar saya ilmu politik, dan disetiap hujung minggu saya akan mengikutinya untuk kusus-kursus politik ke merata tempat di Semenanjung.
Saya lihat ramai Orang Melayu miskin khususnya di luar bandar walaupun yang pemerintah semuanya Melayu. Perdana Menteri Melayu, Timbalan Perdana Menteri Melayu, Menteri-Menteri Melayu, Menteri-Menteri Besar Melayu, D.O-D.O Melayu, Penolong-Penolong Pegawai Daerah Melayu, Tok-Tok Penghulu Melayu, Jabatan-Jabatan Kerajaan dipenuhi Melayu, dan yang menjadi pemerintah semuanya Melayu.
Hanya beza antara Melayu golongan pemerintah ini adalah mereka itu kaya dan senang senang dan tidak ada persamaan langsung dengan Melayu yang menjadi petani, nelayan, askar, polis, pekerja kilang dan kakitangan kerajaan yang rendah.
UMNO itu adalah parti Melayu, tetapi apabila dihalusi pemimpin-pemimpinnya hanya membuncitkan perut sendiri, habis daging diperkosa, ambillah tulang kepada hamba rakyat Melayu. Ini menyedarkan saya dari segi pegangan hidup, dan justeru kerana itu saya sentiasa memihak kepada orang bawahan walaupun saya menjadi ahli UMNO buat beberapa ketika.
Bagi saya seruan Melayu Bersatu adalah tin kosong kerana kepentingan Orang Melayu itu tak sama. Ada Orang Melayu yang mepunyai segala-gala, sampai ke cucu-cicit tak akan habis, dan ada Orang Melayu yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada juga Melayu yang didalam kategori itu yang berbangga kerana ujudnya beberapa orang Jutawan Melayu yang kebanyakannya daripada golongan kroni dan pemegang amanah kepada Menteri-Menteri, mereka kagum kerana ada Orang Melayu telah berjaya menjadi jutawan.
Golongan yang berbangga tak tentu fasal itulah yang menjadi ahli UMNO, menghidupkan UMNO, mereka berusaha menghancurkan PAS, orangnya dan organisasinya, kononnya PAS itu musuh Melayu dan PAS itu menentang Orang Melayu dan PAS itu mengajar ilmu sesat.
PAS bukan tidak pernah cuba bergabung dengan UMNO, tetapi gabungan itu hanya berlaku selepas Mei 13, bilamana UMNO lemah dan lemas, tetapi apabila UMNO itu kuat kembali mereka lebih mempercayai MCA dan MIC, dan PAS hanya menjadi melukut ditepi gantang.
Saya memilih jalan perjuangan, golongan terbesar Orang Melayu mempunyai kepentingan yang sama dengan golongan terbesar Orang Cina, India, Orang Asli, Orang Bumiputera Sabah dan Sarawak, perjuangan ini adalah yang lohor dan boleh mengsetabilkan negara di atas perpaduan rakyat Malaysia, dan tidak berkhayal di atas nama kaum yang telah saya saksikan bahawa Orang Kaya dari satu kaum itu menelan Orang Miskin dalam kaum yang sama. Jangan bermimpi dan jangan berkhayal.
1 ulasan:
Sewaktu menghantar risalah disekitar kampung, berpesanlah saya kepada veteran-veteran supaya jangan lupa mengundi orang yang mengimamkan sembahyang kita (calon PAS, seorang Imam),lantas jawapannya, kamu tidak tahu apa rasanya makan ubi kayu. Kalau bukan UMNO yang memerintah kita kena makan ubi kayu macam zaman jepun. Selepas 2 minggu negeri dipimpin oleh parti yang dahulunya pembangkang, nampaknya veteran-veterab tersebut masih lagi makan nasi, tak nampak pun ubi kayunya. Bak kata aku, yang tua menasihat yang muda menegur, Yang tua melihat yang muda mengatur..
Catat Ulasan