31 Oktober 2008

Ditangkap khalwat di pejabat, Norman percaya disabotaj


Oleh WAHIDA ASRANI (mstar.com.my)

PETALING JAYA: Belum pun lagi reda isu tentang pergolakan rumah tangga yang dibina lebih enam tahun lalu bersama aktres dan bekas penyanyi, Abby Abadi, Norman Hakim (gambar) berhadapan dengan kontroversi baru - kali ini dia ditangkap berkhalwat bersama pelakon baru, Memey Suhaiza awal pagi semalam.

Mereka ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang dekat ini, sekitar pukul 3 pagi.

Pasangan itu dijangka dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Januari depan.

Ketua Penguat Kuasa JAIS Daerah Gombak, Khairul Hazri Sulaiman berkata, pihaknya menjalankan operasi sebaik menerima maklumat kira-kira pukul 2.30 pagi.

Mereka dibebaskan selepas siasatan selesai kira-kira pukul 4 pagi.

Kata beliau, pihaknya mengetuk pintu kira-kira setengah jam tetapi apabila tiada respons, mereka bercadang untuk masuk dengan memecahkan pintu.

"Belum sempat memecahkan pintu, abang Norman tiba (di kawasan pejabat Norman)," kata beliau.

mStar Online difahamkan kedua-dua mereka berpakaian lengkap ketika serbuan dilakukan dan telah dibawa ke Balai Polis Melawati untuk disoal siasat.

NORMAN TIDAK NAFI

Dalam pada itu, Norman, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Gerak Khas ketika dihubungi mStar Online, tidak menafikan kejadian tersebut.

Namun, secara tegas dia berkata: "Cuma di sini saya ingin perjelaskan hal yang sebenarnya. Sekitar pukul 10 malam, saya dan empat lagi pekerja saya mengadakan mesyuarat di pejabat saya."

"Memey juga adalah salah seorang yang sertai mesyuarat ini kerana sejak Ogos lalu, dia banyak membantu dari segi pengurusan setelah pekerja am saya berhenti," katanya lagi.

Kemudian sekitar pukul 12 tengah malam, jelas Norman, dia keluar meneruskan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya dan pulang semula ke pejabat sekitar 1 pagi.

"Saya terus ke tingkat dua pejabat saya manakala Memey pula berada di tingkat 1 dan saya dapati, salah seorang staf pengurusan, Natalie juga sudah pulang dan hanya tinggal Memey di situ," katanya.

Kata Norman, tidak lama kemudian dia terdengar bunyi bising di tingkat bawah.

"Hanya selepas seketika baru saya turun dan dapati JAIS memang sudah berada di situ.

"Malah, abang saya juga tiba di pejabat setelah dia menerima panggilan daripada Memey yang menghubunginya kerana terdengar bunyi bising di luar pejabat," katanya.

Oleh itu, katanya, dia tidak tahu bagaimana perkara tersebut boleh berlaku kerana memang tidak menyangka sama sekali.

"JAIS kata mereka menerima aduan yang kami berada dalam keadaan mencurigakan sedangkan saya dan Memey berada di tingkat pejabat yang berbeza.

MASALAH RUMAH TANGGA

Awal minggu ini, Abby pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dia seolah-olah tidak dipedulikan oleh Norman lagi, yang lama tidak pulang ke rumah sejak Ramadan lalu.

Namun, aktor berusia 32 tahun itu menafikan hal tersebut ketika hadir pada majlis cukur jambul anak bongsunya minggu lalu dan menegaskan bahawa dia tidak pulang ke rumah kerana sibuk di lokasi penggambaran, tetapi masih pulang beraya bersama keluarga pada Hari Raya pertama sebelum balik semula ke lokasi pada hari raya kedua.

Norman juga ketika itu turut menafikan khabar angin bahawa dirinya sudah pun bernikah lagi secara rahsia di sempadan Malaysia-Thailand tidak lama dulu dan wanita itu dikatakan adalah Memey yang popular dengan drama bersiri Mahsuri.

Pasangan ini juga sebelum ini pernah bercerai sekitar Mei 2006 tetapi merujuk semula seminggu kemudian.

REAKSI ISTERI NORMAN

Mengulas lanjut tentang hubungannya dengan Abby ekoran insiden ditangkap khalwat, kata Norman, dia lebih senang perkara itu diselesaikan antara mereka sahaja.

"Saya tidak sempat menghubunginya pada masa kejadian, tetapi pagi tadi saya sudah berjumpa dengannya dan jelaskan sendiri perkara sebenar. Ya, memang ada sedikit ketegangan, tetapi perkara itu boleh diselesaikan. Saya perlu lebih masa untuk meyakinkannya," kata Norman.

Berbeza dengan kenyataan Norman yang sedang berusaha untuk memperbaiki hubungan mereka, Abby yang dihubungi kemudiannya memberikan reaksi berbeza apabila diminta komennya tentang kejadian yang berlaku.

"Umum sedia maklum bahawa hubungan kami sememangnya sedang dilanda krisis... malah sebelum kejadian ini berlaku pun. Saya tidak tahu bagaimana untuk respons kepada pertanyaan seperti ini. Saya anggap kes ini adalah jawapan kepada masalah pergolakan rumah tangga kami selama ini.

"Apa yang boleh saya katakan, saya tergamam bila mendapat tahu tentang kes ini. Tetapi saya tidak menangis. Dia ada datang berjumpa dengan saya tadi, tetapi apa saja alasan dia, orang tetap akan nampak dia yang bersalah," kata Abby dalam nada sugul.

Ditanya sama ada insiden ini akan menjejaskan lagi hubungan mereka suami isteri itu, Abby menjawab:

"Ya, ia akan bertambah teruk. Saya sebenarnya sudah putus asa. Sudah lama saya rasa hati dan perasaan saya tidak dijaga.

"Apa yang saya tanggung selama ini, sudah tidak mampu diluahkan lagi. Biarlah apa saja kenyataan yang dikeluarkannya, saya mempunyai kenyataan saya sendiri.

"Apa yang saya harap, saya cuma berdoa agar Allah lembutkan hati saya agar memaafkannya. Itu saja," kata Abby.

MEMEY ENGGAN ULAS LANJUT

Sementara itu, Memey yang dihubungi enggan mengulas lanjut tentang kejadian tersebut.

Menerusi SMS, pelakon muda itu berkata: "Saya minta maaf, saya hanya perlukan ruang buat masa ini untuk menenangkan fikiran saya.

"Insya-Allah, jika saya sudah bersedia nanti, saya akan jelaskan semuanya."

Tiada ulasan: