26 Oktober 2008

PAS kena tuntut balik Pasir Mas

Oleh Suhaimi Said
















Apabila diumumkan bahawa Ibrahim Ali menang didalam Pilehanraya Umum 2008 yang lalu ramai rakan-rakan merasakan bahawa beliau boleh memainkan peranan yang positif untuk memantapkan Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat). Rakan-rakan berpandangan sedemikian ini kerana beliau menang diatas tiket PAS.

Apabila PAS bersetuju menganggotai Pakatan Rakyat bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) dengan 82 orang keseluruhan Ahli-Ahli Parlimennya, maka sudah tentulah peranan yang boleh dimainkan oleh Ibrahim Ali adalah peranan yang bermakna.

Ada kawan-kawan merasa agak sedikit keciwa kerana Mohamed Sabu gagal memasukki Parlimen kali ini, dan jika ayam sabung PAS itu menang, maka suasana didalam sidang Parlimen tentulah akan menjadi lebih riuh lagi. Dan mereka mengharapkan Ibrahim Alilah yang boleh menggantikan tempat Mohamed Sabu.

Harapan mereka menjadi meleset apabila pada permulaan sidang Parlimen untuk memileh seorang Timbalan Speaker, undi yang diperolehi Tan Seng Giaw untuk jawatan itu kurang satu undi dari keseluruhan Ahli-Ahli Parlimen Pembangkang dan Barisan Nasional bertambah dengan satu undi.

Jari-jari menunding kepada Ibrahim Ali yang bermain kayu tiga, tetapi Ibrahim Ali tidak mahu menyatakan benar atau tidak. Tetapi kini tidak perlu bermain teka-teki lagi, Ibrahim Ali sudah secara terang-terangan menentang Pakatan Rakyat dan menyebelahi Barisan Nasional.

Ibrahim Ali telah digugurkan daripada calon Barisan Nasional oleh UMNO pimpinan Abdullah Ahmad Badawi. Tetapi Ibrahim Ali tetap mendekati bekas Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohamed. Begitu rapat Ibrahim dengan Dr Mahathir dapatlah dinilai semasa Mahathir disembur dengan gas penyembur nyamuk di Kota Bharu, Ibrahim juga ada bersama Mahathir.

Zaman kekuasaan Abdullah Ahmad Badawi secara teknikal dan praktikalnya sudah berakhir. UMNO kini kembali ketangan puak-puak yang menyokong Mahathir dengan dipimpin oleh Najib Tun Razak. Ibrahim Ali tidak pernah berselisih faham dengan UMNO pimpinan Mahathir dan apabila UMNO kini kembali dikuasai oleh puak-puak
pro-Mahathir, maka Ibrahim Ali merasakan bahawa beliau akan dan boleh
hidup semula didalam UMNO.

Ibrahim Ali telah memainkan peranannya untuk mendekatkan PAS kepada Dr. Mahathir. Buat beberapa tahun, ramai juga dari kalangan pimpinan PAS yang tampak berbaik dengan Mahathir hasil dari usaha yang didatangkan oleh Ibrahim Ali, dan Harakah sendiri telah memuatkan berita-berita Mahathir seolah-olah akan ujud satu kerjasama diantara PAS dengan Mahathir.

Abdullah Ahmad Badawi kerapkali dikeciwakan oleh ahli-ahli UMNO sendiri didalam usahanya menyatukan UMNO kerana faktor Mahathir. Dan pihak-pihak tertentu didalam PAS seolah-olah telah melupakan kezaliman Mahathir yang telah menahan aktivis-aktivis PAS dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri walaupun Mahathir sendiri tidak pernah memohon maaf kepada PAS kerana kezalimannya itu.

Dengan Najib menjadi pucuk pimpinan UMNO, Ibrahim Ali memandang kehadapan untuk bersama-sama UMNO kembali, tetapi kembalinya Ibrahim Ali kepada UMNO kali ini adalah secara berseorangan dia, kerana penyokong-penyokongnya yang sama-sama mempertahankan Ibrahim Ali semasa diketepikan oleh UMNO dulu sudah membuat pilehan sendiri, dan
apa yang kita dengar bahawa mereka itu sudah pun menyertai PAS.

PAS tidak perlu berdiam diri lagi. Parti itu kena nyatakan dengan jelas bahawa PAS tidak menyenangi Ibrahim Ali, dan oleh kerana Ibrahim Ali menjadi Ahli Parlimen melalui tiket PAS, maka PAS kena pinta Ibrahim Ali mengembalikan kerusi Pasir Mas itu kepada PAS.

Sikap Ibrahim Ali terhadap Anwar Ibrahim, Teresa Kok dan ISA tidak perlu dibincangkan lagi, kerana Ibrahim dari segi semangatnya adalah orang UMNO dan sebagai orang UMNO sudah tentu isu-isu yang menyemarakkan Pakatan Rakyat akan ditentang oleh Ibrahim Ali.

Maka terserahlah kepada PAS untuk membuat perhetungan dengan Ibrahim Ali!

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kalau nak tahu mengapa wakil rakyat pas tak berani tegur berahim ali, baca blog sayuti omar ..

org politik sama saja