30 Oktober 2008
Teduh-teduh pokok kelapa
Dua bulan lalu, aku menjejakkan kaki ke kawasan perumahan elit yang sangat eksekutif, di Manjalara. Ianya sebuah taman perumahan teres dua tingkat tetapi tidak ada pagar. Cuma ada satu saja pintu pagar utama di mana terdapat pondok pengawal dan di sekeliling taman perumahan ini dipagari dan dikawal ketat. Waktu aku datang tu lewat malam dan bersama tuan rumah, jadi aku rasakan ianya biasa seperti memasuki kawasan pangsapuri.
Baru-baru ini, aku memasang kabinet dapur di Puchong Lake Edge. Konsep perumahan ini sama seperti yang aku sebutkan di atas. Tapi, kali ini aku datang sebagai kontraktor dan ianya bersyarat yang sangat ketat! Kami (para kontraktor) mesti memiliki permit untuk memasuki kawasan ini. Nama dan nombor kad pengenalan serta nombor kenderaan kami diambil kerana kami dicurigai. Pengawal keselamatan yang bertugas bukanlah warganegara sebaliknya warga Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Mereka ini memakai uniform yang segak, lengkap dengan but dan topi koboi. Mereka akan tabik hormat setiapkali pemastautin keluar dan masuk.
Kami hanya dibenarkan masuk bekerja mula jam 9pagi dan mesti tidak ada bunyi mesin lagi tepat jam 5petang. Sabtu dan Ahad, kontraktor tidak dibenarkan masuk. Yang paling best, kawasan perumahan ini dilengkapi dengan 'house-keeper'. Hanya telefon dan mereka akan datang membersihkan rumah. Dahsyat jugak, kan? Hah, harga sebuah rumah di sini, sebuah banglo dua tingkat yang saiznya sama saja dengan rumah dua tingkat di Saujana Utama, Kuang - RM 1.8 juta! Jadi, kalian boleh bayangkanlah bagaimana penduduk di sini. Kereta jenis apa mereka pakai dan basikal mereka pun pastinya jenama Scott yang berharga RM 4 ribu lebih semata untuk bersiar-siar di kawasan perumahan ini.
Bukan saja kontraktor saja yang mesti meninggalkan maklumat peribadi di pondok pengawal, malah para pelawat (tetamu) juga mesti. Huh, ini agak menyusahkan, kan? Kalau aku ada saudara tinggal di sini, tak nak aku datang, deh!
Mereka ini aku panggil orang kaya. Duit mereka banyak. Mereka mahukan komuniti mereka hanya terdiri dari orang-orang kaya juga adanya. Mereka mahukan keselamatan dan mereka mahukan status supaya dipandang tinggi. Mereka mencipta sistem sendiri supaya sistem lain yang sedia ada tidak boleh ganggu mereka. Hanya mereka yang selamat.
Macam mana dengan orang tak kaya, yang tinggal di flat yang parkirnya pun tak cukup, yang lifnya pun selalu rosak? Kalau di kampung-kampung yang sentiasa terbuka menerima kunjungan manusia, macam mana dengan mereka? Mereka ini tak selamat! Jenayah sentiasa ada. Mereka ini yang berhutang untuk jadi kaya, tapi akhirnya diburu dan diganggu hidupnya.
Kita, para marhaein, ibaratnya duduk berteduh di bawah pokok kelapa - teduh tapi bahaya ditimpa buah kelapa!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan