Oleh Sam Ahmad
Budaya suap memang kita akui semakin membarah di kalangan masyarakat terutamanya di kalangan mahasiswa. Kebanyakan nota diberi secara suap kepada para mahasiswa oleh para pensyarah. Ini sangat menyedihkan. Sangat mecewakan.
Bukan sahaja nota diberikan secara suap malahan ujian oleh para mahasiswa diberi endah tak endah, bagaikan melepas batuk ditangga. Melalui pengalaman penulis ujian diberikan bocor oleh para pensyarah dan segala nota diberikan pula berfotokopi. Mahasiswa dan generasi muda masa kini sudah hilang daya fikir dan melalui hidup ini seperti seorang pesakit sedang makan bersuap.
Dan yang paling memeritkan ialah budaya suap ini semakin menular ke bidang lain seperti bidang perfileman. Bidang yang menjadi cerminan bagi kita – penonton, untuk mengenali diri kita sendiri.
Hasil sesebuah filem melambangkan masyarakat tertentu, seperti kata pengarah kelahiran Malaysia kepada wartawan Majalah Siasah,Tsai Ming Liang yang mendapat tempat pada peringkat antarbangsa (tentu ada yang masih belum mengenalinya), “filem merupakan salah satu alat untuk memahami diri sendiri.
U-Wei Shaari juga bersetuju dengan Tsai Ming Liang, dalam artikelnya berjudul Filem Untuk Festival yang disiarkan oleh Siasah pada bulan Mei 2003, U-Wei berkata “jikalau ditanya apa yang patut ada dan akan memancing juri luar negara untuk menjemput kita ke festival mereka, jawapannya tetap pada niat murni yang dapat mengangkat dalam atau luar diri kita sendiri.”
Kita terpengaruh dengan filem-filem Hindi. Filem-filem Bollywood. Filem mellodrama-romantisisme dengan lagu-lagu mendayu-dayu dangdut nyanyian penyanyi yang sama berpuluh-puluh tahun. Aksi tarian ghairah-berguling-guling di kaki bukit-tukar lima enam pakaian dalam satu lagu.
Naratifnya, balik-balik tentang cinta. Tentang kasih sayang. Dan penamatnya selalu sahaja bahagia – seperti hikayat panji watak utama lelaki bertemu jodoh dengan watak utama wanita. Sesudah lama mengembara melawan segala musuh, berpanas, berhujan, tiada tempat untuk berteduh dan macam-macam lagi halangan yang tersedia menghadapani watak utama lelaki, ia pasti aka ketemu juga dengan watak utama perempuan.
Dan mungkin itu hukum orang-orang di sana – hukum karma – hitam akan mendapat balasan hitam dan putih pasti ketemu keadilan. Inilah hakikat filem-filem Hindi – hukum karma tertegak, walaupun hakikat itu sebenarnya berbeza daripada dunia nyata. Dunia nyata yang nyata mengkehendakkan manusia yang berani menghadapi cabaran hidup termasuklah hakikat hidup – yang putih tidak semestinya akan menang dan yang hitan tidak akan selalunya kalah.
Sejak zaman Studio Jalan Ampas hinggalah ke zaman sekarang, zaman Yusof Haslam dan soon-to-be zaman Prof. Razak Mohaideen kebanyakan filem-filem kita terikut dengan filem daripada Bollywood. Shammi Kapoor, Shah Rukh Khan, Salman Khan, Mitoon Chakravoti, Jackie Shrof dan Dev Annan antara sebahagian nama-nama besar dari Bollywood yang menjadi pujaan sesetengah penonton-penonton Malaysia.
Biarpun tak ramai dari pengusaha-pengusaha filem Melayu yang mengikut mereka di segi aksi tarian ghairah-berguling-guling di kaki bukit-tukar lima enam pakaian dalam satu lagu, namun tetap filem-filem Melayu mengambil rempah ratus resepi filem-filem Bollywood. Dalam filem Anak Mami The Movie dan Mami Jarum arahan Prof. Madya Razak Mohideen, jelas adunan aksi tarian buatan a la Bollywood digunakan menjadi selingan untuk filem tersebut.
Filem bukanlah tempat menyelesaikan masalah – yang baik pasti menang di akhir, sepasang kekasih pasti ditemukan dan yang jahat tersedar insaf dengan keadaannya. Yang putih sudah semesti mengalahkan yang hitam dan dosa yang hitam pasti akan terbalas.
Filem juga bukanlah pasar borong atau pasar lambak tempat orang berjual beli dan mengira keuntungan. Filem menurut Jostein Gripsrud merupakan penggerak masyarakat dan bukan sekadar hiburan semata – menyajikan pengajaran daripada cerita yang dibawa (Ku Seman Ku Hussain – Apresiasi Filem, Panca Indera).
Corak sesuatu filem juga perlulah berkaitan atau bersesuaian dengan keadaan sosial tempat filem itu dikeluarkan. Bukankah Finas bangga menjerit “filem kita, wajah kita.” Jika benar kata Finas, maka wajah kita terlalu hodoh dek kerana filem kita yang terlalu lesu dan membosankan – tiada pembaharuan, jauh ketinggalan dengan panggung-panggung besar di Hollywood, Perancis, Iran, Korea dan Jepun.
Permasalahan dan realiti sosial kotemporari masih gagal dibawa oleh pengarah-pengarah Malaysia ke atas masyarakat. Kebanyakan filem yang terdorong dengan faktor komersialisme menerapkan budaya popular masyarakat tanpa ada perdebatan tentang isu – pro dan kontra.
Inilah masalah pengarah komersial tempatan. Mereka seakan tidak memikul amanah sebagai penggerak massa, sebuah tugas berat seorang pengarah filem. Yang penting keutungan individual mereka sendiri. Asal filem mereka mendapat sambutan hangat, sudah memadai.
Filem sepatutnya menjadi ruang lontaran pelbagai idea dan pendapat. Dan pembikin filem mungkin terperangkap dengan kehendak massa. Massa berkehendakkan filem ringan, tiada permasalah berat dan menutup ruang diskusi. Filem kotemporari tempatan sekarang lebih suka menyudukan sajian mereka ke mulut penonton daripada menyediakan hidangan yang disudukan sendiri.
Tiada salahnya membikin cerita ala-ala Bollywood, sarat dengan cinta dan mellodrama habis. Ataupun, filem yang happy ending, tidak sekejam filem Iran atau kisah cinta tragis filem Hong Kong. Tetapi gabungkanlah pula dengan asakan pendapat, idea baru dan bukakanlah ruang perbincangan.
Lihat sahaja Kuliah Cinta arahan Prof. Razak Mohaideen, bukankah carbon copy kepada naratif filem Kuch Kuch Hota Hai. Dan Janji Diana arahan Yusof Haslam, tidak membawa hujah-hujah kuat kenapa Diana menjadi tomboy atau pendapat yang kontra dengannya. Sebaliknya Yusof Haslam lebih mementingkan pakaian Erra, kenderaan Rosyam dan aksesori-aksesori sampingan yang lain – Putrajaya, KLCC, rumah besar dan kerja standard tinggi.
Inilah masalahnya dengan filem Malaysia. Dan filem boleh mencerminkan pengarahnya sendiri. Setakat mana tahap keintelektualan mereka boleh dinilai melalui filem-filem keluaran mereka. Penulis rasa Ho Yu Hang pelakon iklan “kenapa, tak percaya?” lebih tinggi tahap keintelektualannya.
Yu Hang yang mendapat penghargaan di sebuah majlis perfileman di Nantes disebabkan filem arahannya Min, lebih menggambarkan filem yang bermutu. Begitu juga dengan Amir Muhamad, Osman Ali, Yasmin Ahmad, James Lee, Yuen 3R, Adman Salleh, U-Wei, Shuhaimi Baba dan Aziz M. Osman, hasil kerja mereka masih boleh dibanggakan sebagai penggerak massa.
Bukan niat untuk merendah-rendahkan martabat filem Hindi, keadaan tersebut mungkin sesuai dengan mereka dan sistem kasta antara mereka cukup membuatkan mereka berpegang dengan hukum karma.
Dan bukan juga niat untuk merendahkan pengarah-pengarah berbakat negara, tetapi inilah hakikat, hasil seni – tak kira nyanyian, perfileman, teater dan tarian – dan hasil persuratan menggambarkan di mana letak duduknya sesebuah negara dalam tamadun besar dunia.
nota: pernah tersiar di tabloid Siasah sekitar 2005.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan