04 November 2008

Riang-riang: Teater 'The Birds'


Aku menontonnya di auditorium Muzium Negara, pada 25 Oktober. Pada mulanya, aku malas nak tulis pasal teater ni sebab aku berbelah bagi nak tulis ke tak nak atas beberapa perkara mengenai teater ni. Tapi, satu malam, baru-baru ni, aku bercerita kepada kawan aku Pok Mey, dan dia menyarankan, aku mesti tulis pasal teater ni sebagai majlis ilmu.

Ini produksi budak-budak tahun pertama seni persembahan UM, tapi budak-budaknya bukanlah budak-budak. Budak-budaknya ialah Shahrul Mizad, Rosman Ishak, Juhara Ayub yang menyambung pengajian ijazah mereka. Dengar saja nama ini, boleh dikatakan, pentas mana saja yang diorang tak jejak. Sampai ke tahap itu, lah diorang ni dengan teater...

Kerana mereka inilah membuatkan aku berbelah bagi nak tulis. Aku faham Puan Rose (Roselina Khir), tentu susah dia nak mengawal budak-budak ni.

'The Birds', sebuah komedi Greek karya Aristophanes. Terus-terang aku katakan, inilah kali pertama aku menonton komedi Greek kerana sebelum aku dihidangkan dengan tragedi Greek dan tragedi Sauk - Hahahahaha.

Teks ini, sangat kuat dan ada juga relevannya dengan apa yang berlaku di negara Malaysia kita yang tercinta ni. Aku rasa, kerana relevan inilah Puan Rose memilih teks ini kerana budak-budaknya kali ini bukan lagi lepasan STPM, maka Puan Rose mengharapkan sesuatu akan berlaku - dan malangnya ia tak berlaku.

Kita tengok dulu apa yang berlaku di Malaysia hari ini ya. Kita hari ini di dalam zaman peralihan sistem pemerintahan dari demokrasi autokrasi Mahathir kepada demokrasi berpelembagaan tulen atau mungkin juga akan menjadi demokrasi liberal Anwar Ibrahim. Demokrasi hadhari Abdullah Badawi cuma sebagai iklan, dan waktu iklan inilah rakyat membuat pilihan sama ada untuk terus menonton telenovela demokrasi autokrasi Mahathir yang akan disambung oleh Najib Razak ataupun, tukar ke rancangan demokrasi liberal Anwar Ibrahim. Ini yang berlaku di Malaysia hari ini. Sila ambil nota.

Kenapa Puan Rose memilih 'The Birds'? (ini cuma tanggapan aku)

Kita jenguk pula ilmu sains politik dan sejarah ya. Dalam politik, ada corak pemerintahan yang dinamakan 'autokrasi' yang mempunyai sistem pemerintahan yang bercorak mutlak dan menyeluruh atau totalitarian seperti yang pernah diamalkan oleh Mussolini di Itali dengan Fasisnya, Hitler di Jerman dengan Nazinya dan Stalin di Soviet dengan Komunisnya. Lawan kepada sistem ini ialah sistem 'demokrasi'.

Pemerintahan beraja atau monarki mutlak juga tergolong di dalam sistem autokrasi.

Pada zaman Greek, pemikir ulung Plato dan anak muridnya Aristotle sudah membicarakan tentang sistem demokrasi. Plato menegaskan - perlunya pendidikan dan asuhan yang teratur dikenakan kepada rakyat agar mereka mempunyai sifat mengenali apa yang baik dan tidak baik untuk kepentingan bersama. Beliau khuatir kekurangan asuhan dan pendidikan akan mengakibatkan rakyat tidak berkeupayaan untuk mengendalikan demokrasi. Beliau juga menasihatkan supaya rakyat berhati-hati dalam mengamalkan demokrasi yang memungkinkan pemilihan pemimpin tidak setia kepada kepentingan negara.

Aristotle pula mencirikan demokrasi di Athens -

1. peluang penyertaan yang sama rata kepada semua rakyat dalam hal menentukan kepentingan bersama bagi rakyat.

2. perbincangan yang terbuka mengenai semua dasar yang ingin dilaksanakan.

3. penghormatan yang tinggi yang diberikan kepada peraturan negara yang dicapai secara muafakat.

Kita lihat pula sejarah Athens yang pada asalnya mengamalkan sistem demokrasi. Kemudian apabila berlaku perang antara Sparta dengan Athens, tentera Sparta telah berjaya memenangi perang ini sekaligus manghapuskan sistem demokrasi di Athens dan menggantikannya dengan sistem beraja mutlak dan kejam.

Apa itu sistem beraja mutlak?

Raja jenis ini dikatakan mempunyai ciri-ciri ketuhanan serta memainkan peranan pemerintahan, sebagai ketua agama serta hakim serta menggunakan kuasa paksaan untuk memerintah. Biasanya, corak pemerintahan ini wujud apabila seorang pahlawan atau orang besar mengambil alih pemerintahan negara dengan mengalahkan pemerintah yang sedia ada. Oleh sebab ia tidak mempunyai pengiktirafan rakyat, ia akan mengumumkan dirinya sebagai orang yang diberi mandat oleh tuhan untuk memerintah.

Tengok, mungkin ini yang Sultan Melaka dahulukala buat lalu mengatakan diri mereka ialah keturunan dewa-dewa dari Bukit Siguntang! HAHAHAHAHA

Apa yang berlaku dalam teater 'The Birds'?

Pithetaerus dan sahabatnya Euelipides telah lari dari Athens dan pergi menemui Raja Burung (yang disumpah oleh dewa) untuk membentuk sebuah kerajaan baru. Kenapa burung? Lihat dalam teks ini ya - burung dikurung dan dilastik oleh manusia sedangkan burung ialah simbol kepada kebebasan. Jadi, pemilihan burung sebagai simbol di sini sudah tentunya untuk hidup bebas! Ini demokrasi. Cara Pithetaerus membentangkan ideanya di hadapan semua warga burung dan berlaku argumentasi - ini juga konsep demokrasi.

Pithetaerus juga ingin menghapuskan kesetiaan kepada dewa-dewa yang selama ini telah menakutkan serta menghadkan kebebasan. Ini dengan terangnya menyangkal sistem beraja mutlak yang kononnya dilantik oleh tuhan atau dewa-dewa. Ini juga demokrasi!

Tapi malangnya, teater 'The Birds' yang dilakonkan oleh budak-budak UM ni tidak mencapai tahap pemikiran sebenar Aristophanes! Padahal, pelakonnya bukanlah calang-calang tetapi persembahan ini saling tak tumpah macam pelawak dari kumpulan Senario, yang terkinja-kinja di atas pentas kerana dalam kepala mereka tertanam ini teks KOMEDI! Neraka jenis apa ni? (what the hell is this)

Aku datang menonton pada malam itu dengan harapan yang tinggi tentang 'The Birds' memandangkan para pelakonnya sangatlah pelakon yang terdidik, berpengalaman serta bertanggungjawab. Tidak kiralah sama ada ini cuma kelas kamu. Tapi, aduh... aku tak tahu nak tulis apa lah!

Aduh... 'frust' aku. Jadi, Syahrul Fitri dan Nam Ron, aku rasa politik dan seni memang tak dapat dipisahkan sama ada politik disenikan, ataupun seni dipolitikkan. Hahahahaha

Tiada ulasan: