19 November 2008

Hikayat Pendekar Mongo, Penghulu Mukim dan sentri2 mereka

Oleh Suhaimi Said

hiasan
Tersebutlah alkisah Pendekar Kg Mongo. Hebat orangnya. Jika ada si Janda muda, dialah yang punya, kecuali jika dikehendaki oleh Penghulu Mukim yang seleranya tidak bertepi.

Penghulu Mukim ini diriwayatkan telah bermukah dengan jelitawan Kg Mongo, seorang janda juga tetapi baru anak satu. Janda ini memang sentiasa ditiduri Pendekar Kg Mongo kerana Pendekar itu mempunyai paras muka yang handsome dan berduit pula.

Namun, Pendekar tak berani menghalang kehendak Penghulu. Dikatakan Janda Kg Mongo itu sudahlah hamil. Entah benih siapa, benih Pendekar ke atau benih Penghulu.

Suatu hari, Janda Kg Mongo pergilah berjumpa Pendekar, mengadu ia bahawa ia telah hamil, baka Penghulu. Cepat-cepat Pendekar memberitahu Penghulu akan perkhabaran itu.

Janda Kg Mongo memberitahu Pendekar bahawa dia mahu duit perak 10 keping untuk dia menutup mulutnya, dan kalau tak berjaya dia akan hebahkan keseluruh Mukim.

Penghulu cukup gementar, dia tidak mahu isterinya tahu. Isterinya itu bukan saja hodoh rupa parasnya tetapi hodoh juga dari segi perangainya. Penghulu benar-benar takut kepadanya.

Maka Penghulu membuat rancangan sulit dengan Pendekar. Janda Kg Mongo ini mesti dibunuh, dan tubuh badannya dicincang halus-halus supaya tidak ada bukit lagi bahawa janda itu sedang hamil.

Diupahlah 2 orang sentri, semuanya yang bertugas dengan Penghulu, diintai mereka janda yang sedang berkemban, ditetak dari belakang, maka tersungkur dengan darah bersembur dari liang lehernya.

Dimasukkan janda yang masih menggelepar itu kedalam guni, dan dibawa ketepi hutan, maka tak terhinggalah janda itu dicincang lumat.

Perkhabaran janda hilang itu sudah riuh se Mukim. Biasanya, janda itu keluar membeli sayur dan ikan, kekadang mandi ditepi Sg Mongo, kekadang ada di warong Pak Azek. Tapi dah dua tiga hari tak kelihatan.

Rata-rata penduduk bertanya khabar, tapi tak siapa yang tahu. Bau busuk dari tepi hutan lama kelamaan menusuk hidung orang sekampong. Pergilah masing-masing melihat, tak ramai yang tahu bahawa itu adalah cincangan janda Kg Mongo.

Tapi Tuhan nak tunjukkan kudratNya, ada sebelah selipar janda terdapat ditepi hutan itu, orang semua kenal selipar itu siapa punya.

Maka semua mata menunjukkan kepada Pendekar, dialah yang bersalah, dialah yang bunuh, maka dipasunglah Pendekar. Pendekar ini bersetia sangat dengan Penghulu, tak dibuka mulutnya untuk cerita sebenar.

Yang dibuka mulutnya ialah ceritanya tentang kedua-dua sentri itu. Maka dipasung juga 2 orang sentri itu. Memang betullah sentri itu yang melakukannya, tapi mereka tidak ada niat dan tidak lakukan atas kehendak sendiri melainkan dengan arahan Penghulu.

Dilantiklah oleh Sultan seorang Hakim untuk perbicaraan. Boleh tahan Hakim ni, dia tahu tentang undang-undang, dia tahu cara mana nak beri orang supaya bersalah dan cara mana kalau nak lepaskan orang kena tuduh.

Panjang cerita bicara ini, berbulan-bulan, dah jemu Orang Kampong Mongo menunggu keputusan. Maka sampailah saatnya keputusan diberikan. Pendekar tidak dapat dibuktikan kesalahan dan dibebaskan tanpa perlu membela diri; 2 orang sentri itu didapati adalah bukti-bukti untuk terus dibicarakan....kita akan ceritakan lagi apabila keputusan perbicaraan akan diketahui nanti terhadap 2 sentri itu.

Versi cerita ini agak berbeza dengan versi cerita dari Mat Balu. Dia tahu cerita yang lain, dia tahu bukan saja Janda Kg Mongo itu hamil, tapi sebenarnya Janda itu bijak juga orangnya, dia menjadi Orang Tengah untuk penjualan tanah, dan ada komisyen untuk dibayar. Tapi Penghulu itu sudah engkar.

Mat Balu telah menghilangkan diri, dia sangat takut kalau-kalau dia juga akan menemui nasib yang sama dengan Janda Kg Mongo itu; maka dia terus menghilangkan diri dan tak dapat menjadi saksi.

Versi lainnya ialah Mat Balu ini tidak menghilangkan diri, tapi disuruk oleh Penghulu, mulutnya "disumbat" dengan ratusan keping wang perak.

Tak apalah. Apa versi pun, Pembunuh sebenarnya adalah Penghulu, Pendekar menjadi baruahnya, dan sentri-sentri itu pun orangnya, dan semua orang tahu bahawa apabila sampai waktunya, senteri-sentri itu akan dibebaskan juga.


1 ulasan:

DMP KEDAH berkata...

Rasanya masih ada babak dalam lipatan, penduduk menunggu burung hud-hud membawa berita