berita Dua perhimpunan rakyat telah diadakan bulan ini dan tiga lagi perhimpunan dijangka diadakan di Lembah Klang bulan depan.
Tiga perhimpunan yang dirancang itu akan diadakan walaupun kerajaan telah memberi amaran keras termasuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas mereka yang menyertainya.
Pada 9 Disember ini, Majlis Peguam akan mengadakan perarakan tahunan Hari Hak Asasi Manusia dan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) telah menyatakan hasratnya untuk turut sama.
Dua hari kemudiannya, Bersih akan mengadakan demonstrasi di luar Bangunan Parlimen untuk membantah rancangan pindaan perlembagaan yang akan menaikkan had umur anggota Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Perhimpunan ketiga akan dianjurkan oleh parti-parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantah kenaikan kadar tol lebuhraya di beberapa negeri mulai 1 Januari depan.
Rancangan perhimpunan anti-tol itu belum diumumkan secara rasmi dan tarikhnya juga belum dimuktamadkan.
Pakaian kuning
Pada 10 November lalu, kira-kira 40,000 menghadiri perhimpunan anjuran Bersih di luar Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong menuntut supaya diadakan pilihanraya yang bersih dan adil.
Dan pada 25 November lalu, kira-kira 30,000 orang, sebahagian besarnya kaum India, menyertai perhimpunan anjuran Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf) di ibunegara, untuk menyerahkan petisyen kepada Suruhanjaya Tinggi British.
Sementara itu, wakil Bersih Faisal Mustaffa (kiri) memberitahu sidang akhbar hari ini bahawa anggota gabungan tersebut akan berpakaian berwarna kuning semasa berarak bersama para peguam dari Majlis Peguam.
Mereka merancang berarak dari Sogo hingga ke Pasar Seni di mana beberapa aktiviti akan diadakan untuk menyedarkan masyarakat mengenai hak asasi manusia.
Majlis Peguam pula dijangka membuat pengumuman mengenai perarakan tersebut pada 1 Disember ini.
Pindaan perlembagaan
Perhimpunan di hadapan bangunan Parlimen akan diadakan pada 11 Disember depan, iaitu pada hari Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua.
Seorang lagi wakil Bersih, Tian Chua, berkata gabungan itu percaya kerajaan mahu mempercepatkan pindaan tersebut bagi membolehkan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman terus memegang jawatan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Abdul Rashid mencapai usia 66 tahun pada 31 Disember depan. Pindaan tersebut akan memboleh Abdul Rashid berkhidmat setahun lagi. Beliau memegang jawatan tersebut sejak tahun 2000.
"Jika tidak, untuk perkhidmatan Abdul Rashid setahun lagi, perdana menteri perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Kita rasa kerajaan bimbang Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankannya," kata Tian Chua, sambil menambah Bersih menganggap perkhidmatan Abdul Rashid akan disambung untuk menjadi "alat" kepada kerajaan.
"Mengapa pinda Perlembagaan Persekutuan untuk menyelamatkan seorang kakitangan awam?" soalnya. - malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan