08 November 2007

Pulihkan Institusi Demokrasi: DSAI

Ratusan ribu Rakyat akan tetap turun ke Dataran Merdeka walaupun sudah ada amaran dikeluarkan. Pihak berkuasa dan pemerintah nampaknya gagal menegah mereka dari berhimpun.

Ada di antara mereka berkata bahawa cara mereka itu sah di segi undang-undang dan amalan ini adalah amalan biasa bagi sebuah negara demokrasi, walaupun pihak polis berkali-kali memberi peringatan bahawa sesiapa yang hadir ke perhimpunan tersebut bisa dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam kenyataannya yang keluar pada awal hari ini sempena perhimpunan 100 000 rakyat yang akan diadakan pada hari sabtu ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mengingatkan kembali kepada kerajaan bahawa suara rakyat akan kembali bergema di Dataran Merdeka pada hari sabtu ini.

Pada 1998, petang sewaktu DSAI akan ditahan polis, satu perhimpunan raksasa melibatkan hampir 300 000 (ada yang mengtakan jumlah itu mencapai angka jutaan) rakyat berlangsung di Dataran Merdeka. Ketika itu, kata yang dilaungkan ialah "re-for-ma-si!."

Dalam kenyataan itu juga, DSAI mendesak pihak kerajaan supaya melaksanakan perubahan kepada institusi demokrasi di negara ini dn sistem pilihan raya dijamin sebagai telus dan adil.

"Desakan kami kepada kerajaan untuk melaksanakan perubahan ini tidak diendahkan. Mereka telah mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan institusi demokrasi di negara kita dapat berfungsi dengan baik. Maka rakyat Malaysia menuntut dari Raja-Raja Melayu untuk memastika kerajaan Malaysia melaksanakan amalan asas bagi pilihan raya yang telus dan adil sebagaimana dilaksanakan di demokrasi moden di seluruh dunia," antara lain tulisnya di dalam kenyataan sepanjang tujuh perenggan itu.

Beliau turut menyentuh soal skandal kehakiman yang melibatkan bekas Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz, tentang penggunaan pengundi hantu dan tekanan terhadap pengundi.

"Seramai 40,000 undi haram telah dikenalpasti di Selangor sahaja bagi Pilihan Raya Umum 2004. Dalam 12 bulan kebelakangan ini, kami mempunyai bukti bagaimana pengundi yang dikira menyokong pembangkang dipindahkan keluar dari daerah-daerah di mana sokongan UMNO lemah," tambah beliau lagi.

"Jika Suruhanjaya Pilihan Raya yakin dengan ketelusan pengurusan pilihan raya, mengapa mereka tidak membenarkan pemantau antarabangsa untuk masuk ke negara bagi memerhati dan melaporkan proses pilihan raya kita? Mengapakah tawaran kerjasama oleh badan antarabangsa dan serantau tidak diendahkan atau ditolak?"

[kenyataan penuh]

Tiada ulasan: