14 November 2007

MEMUPUK BUDAYA SAINTIFIK






Oleh: Kassim Ahmad

Memupuk dan membangunkan sebuah budaya saintifik di kalangan rakyat kita suatu usaha yang sangat penting dalam kerja besar kita untuk membangunkan sebuah tamadun baru bagi bangsa kita. Kita baru lepas merayakan ulangtahun kemerdekaan yang ke-50. Rakyat kita yang beragama Islam baru pula lepas melalui sebulan berpuasa - suatu latihan moral dan spiritual yang penting. Kedatangan Islam di zaman Muhammad sendiri membawa kita memasuki suatu era baru - Era Sains dan Teknologi. Itulah makna perintah 'baca!' kepada Nabi Muhammad. Dengan membaca, kita mengetahui; dengan mengetahui, kita boleh buat; dengan membuat, kita mendapat hasil dan mencapai kejayaan. Pendek kata, kita boleh mengubah nasib kita dan mengubah dunia tempat duduk kita. Inilah pula makna dan implikasi mertabat manusia sebagai khalifah di Bumi.

Jangan lupa kebangkitan bangsa Arab dalam abad-abad ketujuh hingga ketiga-belas, di bawah inspirasi dan ransangan ajaran Quranlah, yang telah memperkenalkan sains kepada dunia Eropah dan Barat dalam abada-abad ketiga-belas hingga keenam belas. Kemudian Eropah mengambil-alih pimpinan tamadun dari tangan orang Islam, yang mulai saat itu telah jatuh, kerana telah mengabaikan tanggungjawab mereka memimpin dunia.

Jangan takut dengan perkataan 'saintifik'. Ia hanya bermakna ilmu yang sahih. Setelah tidur berabad-abad lamanya dan dijajah oleh bangsa-bangsa Eropah, umat Islam telah bangkit semula dan menuntut kemerdekaan. Kemerdekaan bermakna bebas dari kaum penjajah untuk menentukan nasib kita sendiri dalam semua bidang: politik, ekonomi dan lain-lain. Tetapi, pada akhirnya, kebebasan itu suatu sifat minda. Jika minda kita tidak bebas dari segala bentuk kongkongan, maka kita tidak akan dapat membentuk sebuah kehidupan yang bebas baik dari segi apa pun. Inilah makna tauhid: bebas dari segala bentuk perhambaan, kecuali kepada Yang Maha Berkuasa.

Baru-baru ini, seorang putera Malaysia telah menyertai dua orang angkasawan lain untuk naik ke angkasa lepas dan membuat kajiana saintifik di sana. Idea Malaysia menerokai angkasa lepas dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri kita Tun Dr. Mahahtir. Kita bernasib baik, kerana pimpminan negara kita dari awal telah mendukung dasar budaya saintifik. Ini tidak semestinya telah berlaku, kerana banyak negara Islam menganut sikap menolak budaya saintifik Barat, kononya, sikap demikian tidak selaras dengan ajaran Islam. Untungnya, kita sudah pun memperukunkan dasar ini dalam Rukunegara. Ini boleh kita anggap satu kejayaan yang besar.

b e r s a m b u n g …

*dipetik daripada blog Kassim Ahmad

Tiada ulasan: